Tuesday, 31 August 2021

REZEKI 31 OGOS

 ASSALAMUALAIKUM



SALAM MERDEKA...SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN 31 OGOS...SEMOGA NEGARA TERUS AMAN HARMONI MERDEKA SELAMA  SEJAHTERA MAKMUR...SEMALAM 30 OGOS SIFU TABIR ALAM MENGANJURKAN SAYEMBARA HAIKU DAN SONETA...ALHAMDULILLAH REZKI PI TERPILIH MENANG TEMPAT KEDUA SAYEMMBARA HAIKU TAPI KALAH DALAM SONETA..TAHNIAH SEMUA PEMENANG  PESERTA....TERIMA KASIH BANYAK SIFU TA SUDI PILIH KARYA PI  YG SEADANYA ITU.

DAN SEMALAM JUGA BIRTHDAY BLOGGER NOHAS, ABQORI, SALMAH AMIR JUGA RAMAI LAGI KAN....

SANAH HELWAH NOHAS, SALMAH AMIR, ABQORI DLL MOGA SIHAT SEJAHTERA SELALU, MURAH REZEKI DALAM LINDUNGAN ALLAH SUKSES  DUNIA AKHIRAT




KEPUTUSAN SAYEMBARA HAIKU MERDEKA
Tahniah diucapkan kepada pemenang. Hanya dua orang haijin sahaja layak dipertimbangkan untuk sayembara ini.
Tempat Pertama > Kamarsinah Sarkam
sambut merdeka -
Dataran Putrajaya
kobar semangat
Tempat Kedua > Paridah Ishak
Hari Merdeka
acara lintas langsung -
media massa
Terima kasih kepada haijin yang turut serta dalam "Sayembara Haiku Merdeka" kali ini.
01 - Kamarsinah Sarkam
02 - Bayu Pagi
03 - Seti Zaleha
04 - Rina Chundau
05 - Yahti Hayati
06 - Zuraida Dewi
07 - Paridah Ishak
08 - Hamimah Ibrahim
09 - Pak Engku
10 - Issey Miyaki
11 - Deli Koesoma Cempakancana

Sunday, 29 August 2021

YASIN

 ASSALAMUALAIKUM



PERKONGSIAN ILMU: SURAH 36. YASIIN.
Muka Surat: 440. Ayat 1 - 12
PENGENALAN:
Ramai orang membaca surah Yasiin, buat program bacaan Yasiin tiap-tiap minggu. Tetapi tidak memahami isi kandungan surah ini. Tiada hadis sohih tentang kelebihan surah Yasiin. Pahala membaca surah ini, sama seperti pahala membaca ayat-ayat al Quran yang lain. Setiap kali kita membaca al Quran, Satu huruf yang kita baca dapat satu kebaikan. Satu kebaikan digandakan 10 kebaikan. Surah Yasiin turun di Mekah pada tahun-tahun terakhir sebelum Nabi Muhammad saw berhijrah ke Mekah. Surah ini menafikan Syafaat Qahriyah. Iaitu syafaat kasih sayang. Syafaat hanya milik Allah SWT. Rasullullah saw sendiri tidak dapat beri syafaat kepada bapa saudaranya yang disayangi Abu Talib, yang mati. Kandungan Surah Yasiin terbahagi tiga bahagian. Iaitu Tauhid, Risallah dan Akhirat.
AYAT: 1-11. Mukadimah Surah. Allah menjelaskan bahawa al Quran adalah bukti kebenaran Nabi Muhammad saw. Tetapi kebanyakan manusia hatinya telah tertutup tidak dapat melihat kebenaran.
Ayat 1: Yasiin: Merupakan huruf-huruf muttaqaah. Allah SWT tidak beritahu maknanya. Rahsia Allah. Ada juga muffasir mentafsirkan untuk menarik perhatian pendengar. Contoh apabila Musyikin Mekah mendengar bacaan Quran, mereka tak mahu mendengar. Tetapi apabila terdengar bacaan: Yasiin.. atau Toha..mereka berhenti mahu mendengar, kerana rasa hairan. Tiada perkataan itu dalam Bahasa Arab.
Ayat 2: Allah bersumpah dengan al Quran. Ini menunjukkan pentingnya al Quran. Dengan al Quran manusia dapat ilmu. Dalam surah-surah lain, ditunjukkan Allah bersumpah dengan Waktu Dhuha, bersumpah dengan buah Tiin dan lain-lain. Allah bersumpah dengan makhluk yang DIA cipta. Kita hamba-Nya hanya boleh bersumpah dengan Nama Allah sahaja.
Ayat 3: Pujukkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad saw yang bersedih. Sedih kerana setelah hampir 10 tahun berdakwah di Kota Mekkah, sedikit sahaja yang beriman. Allah SWT pujuk Rasullullah, begitulah yang dihadapi oleh rasul-rasul terdahulu. Menjalankan tugas dakwah, sedikit yang menerima, ramai yang menentang.
Ayat 4: Merupakan bahagian pertama surah: RISALAH. Tugas Nabi Muhammad saw menyeru manusia supaya berada di jalan yang benar. Kita hendaklah beriman 100% ikut kandungan al Quran dan sunnah.
Ayat 5: Allah SWT menegaskan, al Quran itu diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa. Allah Yang Maha Mengasihi. Diberi kepada Nabi Muhammad saw melalui Malaikat Jibril, sedikit demi sedikit. Selama 23 tahun. Bukan rekaan Rasulullah. Oleh itu kita hendaklah ikut kehendak Allah SWT seperti yang terkandung dalam Al-Quran.
Ayat 6: Tujuan al Quran diturunkan. Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad saw memberi peringatan kepada kaumnya, Musyrikin Mekah. Sebelum ini tidak ada nabi-nabi yang memberi peringatan dan amaran kepada mereka. Menyebabkan amalan-amalan mereka jauh daripada agama.
Ayat 7: Allah SWT beritahu awal-awal kepada Rasulullah, sedikit sahaja orang yang mahu beriman. Setelah didakwah, enggan beriman mereka akan diazab di akhirat.
Ayat 8: Ancaman Akhirat: Orang-orang yang enggan beriman ini, di dunia mereka berjalan dengan sombong. Di neraka tangan mereka dibelenggu, diikat di batang leher dengan rantai. Kerana itu mereka tertengadah (wajah mereka mendongak ke atas).
Ayat 9: Ayat Celaan kepada orang-orang yang tidak mahu beriman: Allah SWT mengunci hati kebanyakan manusia, mereka tidak dapat memahaminya. Allah SWT menutup pandangan mereka di hadapan dan di belakang. Sehingga mereka tidak dapat melihat kebenaran. Tidak mendapat petunjuk dan hidayah.
Ayat 10: Kebanyakan umat akhir zaman tidak beriman. Sama sahaja bagi mereka, sama ada mereka diberi peringatan atau tidak diberi peringatan. Mereka tetap tidak beriman. Degil. Menolak wahyu. Kufur.
Ayat 11: BERITA GEMBIRA: Peringatan Nabi Muhammad saw hanya berguna kepada orang-orang yang takut kepada Allah Yang Maha Pengasih, walaupun mereka tidak melihat-NYA. Pasti mereka yang mengikut Rasulullah saw mendapat keampunan dan pahala. Iaitu orang-orang yang membenarkan wahyu dengan bertalaqi ada dalil Quran.
Ayat 12: ANCAMAN AKHIRAT: Allah SWT berkuasa menghidupkan orang-orang yang telah mati. Segala amalan manusia, baik atau buruk dicatat dalam kitab amanlan masing-masing. Dia bertanggungjawab terhadap amalan baik atau buruk yang diikuti oleh orang lain. Kitab amalan ini disimpan dalam Lauh Mahfuz. Akan diberi balik di akhirat nanti.

Saturday, 28 August 2021

MENGIKAT JANJI..

 ASSALAMUALAIKUM



MENGIKAT JANJI

 

Angsana ganti pindah cemara,

biarkan tamar, longan, bidara;

arjuna hati sudah berkira,

akan melamar dengan segera.

 

Menanda batu perigi sudah,

setara jidat dalam menggundah;

pada suatu pagi yang indah,


acara adat bersulam madah.

 

Lantun pualam gelam di para,

terlekat kanji angan melara;

pantun disulam dalam bicara

mengikat janji dengan acara

 

Karbaid mudah sendat dicanang,

biang gara tersangat senang;

mustaid sudah adat bertunang,

riang gembira saat bertenang.

 

Pelupuh pinang dijangat kembar,

kasar kiraan rengsa selumbar;

tempoh bertunang sangat mencabar

besar dugaan rasa berdebar.

 


Wednesday, 25 August 2021

GUNUNG JERAI

 ASSALAMUALAIKUM



PIC GOOGLE IMAGES(C)


ikan haruan

limpahan tali air

renangan jauh

tetamu laman rumah

kejutan awal pagi

 

 #2

hujan mencurah

Gunung Jerai menadah

limpahan terjun

hanyut segala bawa

menimbun duka lara

 


 #3

menghibur sunyi

serunai batang padi

melodi desa

layar citra memori

bersatu dalam impi


Tuesday, 24 August 2021

HATI TIKUS

 ASSALAMUALAIKUM


ALHAMDULILLAH CERITA RAKYAT DENGAN JUDUL HATI TIKUS, DISIARKAN MAJALAH DEWAN PELAJAR EDISI SEPTEMBER 021...TERIMA KASIH BANYAK EDITOR DP SUDI PILIH KARYA  PI YANG SEADANYA SAJA UNTUK DITERBITKAN.

BOLEHLAH DAPATKAN MAJALAH DEWAN PELAJAR VIA ONLINE DBP NIAGA ATAU SHOPPEE SEBAGAI BACAAN ANAK2 DAN KELUARGA KALA SENGGANG SAMBIL MELAYAN PKP/PKPD YANG BELUM LAGI BERAKHIR...MASA ITU EMAS..MANFAATKAN SEBAIKNYA INSYA-ALLAHTIDAK RUGI.




Saturday, 21 August 2021

WARKAH KEPADA PM

ASSALAMUALAIKUM


BARU-BARU NI PI SERTAI SAYEMBARA MENULIS SURAT KEPADA PERDANA MENTERI ANJURAN GAKSA. ESASTERA VAGANZA ASEAN.

ALHAMDULILLAH KARYA PI TERPILIH MENANG TEMPAT KEDUA...PENULIS IBNUDIN ASSINGKIRI  TERPILIH JUARA..

TERIMA KASIH PROF IRWAN ABU BAKAR DAN GAKSA SELALU MENYOKONG KARYA PI YANG SEADANYA SAJA.


 


 

Paridah Ishak,

Desa Melor,

48200 Serendah

Selangor DE

7 Ogos 2021


YAB,

.

Tan Sri Muhyiddin Yassin,                                                ,

Perdana Menteri  MALAYSIA

Putrajaya.

 

 

 

Assalamualaikum, salam sejahtera YAB Perdana Menteri yang dihormati semoga dalam perlindungan rahmat Allah tiasa. Aamiin.

Alhamdulillah! Tahniah! YAB terpilih menerajui pentadbiran negara tercinta Malaysia ekoran parti gabungan PN  (PERIKATAN NASIONAL) 7 Ogos 2020 dengan persetujuan semua ketua parti politik mewujudkan kerajaan baharu menumbangkan PH (PAKATAN HARAPAN) kerajaan yang mentadbir negara mulai 21 Feb 2020 dalam pemuafakatan yang dikenali sebagai ‘LANGKAH SHERATON’

            Pada suatu sisi tindakan menggabungkan parti PAS, UMNO, BERSATU dilihat sebagai langkah bijak mengembalikan kuasa pemerintahan negara kepada yang lebih berhak iaitu bangsa teras negara iaitu Melayu beragama Islam. Pandangan dari sudut lain pula seolah kudeta merampas hak kemenangan PH yang ditentukan rakyat melalui peti undi.

Perpaduan antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum sangat dijaga bagai menatang minyak yang penuh sejak Malaysia ujud pada 31 Ogos 1957 mula berkocak dengan isu sensitif mereka yang tidak bertanggung jawab. Insiden berdarah 13 Mei 1969 kerana perpecahan kaum ekoran keputusan pilihanraya kerana banyak kerusi dimenangi pembangkang, ingin dipastikan sejarahnya tidak berulang..

            Namun apa yang berlaku dengan izin Allah jua. Dan rakyat menerimanya sambil menunggu penuh sabar apa yang bakal terjadi seterusnya. Mungkin kerajaan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri lebih tulus berintegriti dan amanah.

Kerajaan baharu dibentuk selalunya diharapkan rakyat jelata membawa perubahan  lebih baik daripada kerajaan dahulu. Dan rakyat tetap berhak mengkritik dan memberi pandangan menurut perkiraan marhaen. Hak rakyat menyuarakan apa saja pendapat mempergunakan pelbagai saluran media tidak mengira sama ada undang-undang membenarkannya..

Nampaknya perubahan ketara yang diambil YAB Perdana Menteri ialah dengan menambah bilangan menteri kabinet. Ramai menteri dan timbalannya dibayar dengan gaji yang lumayan sesuai dengan kedudukan yang istimewa sedangkan masalah fiskal negara tidak stabil lantaran menanggung bebanan hutang yang banyak dibuat kerajaan terdahulu.. Sepatutnya jumlah menteri dikurangkan paling minima.tidak perlu ada jawatan timbalan menteri kerana kebanyakan tugas penting pentadbiran diuruskan penjawat awam dengan sangat efisien. Wang yang disalurkan ke dalam poket menteri dan timbalannya boleh dipergunakan dengan tujuan lebih bermanfaat.

Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Gumpalan awan memutih indah menghiasi langit nan biru tergantung. Lelayang, camar dan unggas bebas berterbangan rentasi semapadan tanpa halangan. Namun sama sekali tidak boleh membiarkan ‘burung besi’ atau ‘drone’ milik negara asing melintasi ruang udara yang disepakati negara dunia akan maktub syarat perundangan negara berdaulat. Mempertahankan laluan ruang udara hak milik negara tersurat wajib tanpa tolak ansur. Tapi kelihatannya penguatkuasaan itu semakin longgar. Contohnya Israel yang tiada sebarang hubungan diplomatik, pesawatnya dibenarkan melintasi ruang negara. Kenapalah membiarkan musuh berwenang-wenang di langit memperhatikan kita di bawah. Musykil juga kan!

Soal pentadbiran menyangkut segala urusan penting terutama agama Islam akidah bangsa termasuk sosio budaya dan maslahat rakyat.  Agama Islam merupakan agama rasmi dalam perlembagaan negara. Menjadi kebanggaan warganegara dan dijunjung tinggi. Urusan mengenainya diserahkan kepada alim ulama bertauliah dengan persetujuan Sultan dan Yang Di Pertuan sesebuah negeri. Hak itu tidak langsung ada kena-mengena dengan politik. Mereka yang fasih dalam ilmu agama Islam semestinya menguruskan berkenaan ini tanpa campur tangan sesiapa.

Begitu  juga dalam soal pendidikan peringkat rendah atau atas, sepatutnya setiap keputusan mengenainya hanya ditangani mereka yang arif dan terlibat dalam bidang tersebut. Termasuk juga dalam sosio budaya kesusasteraan. Masyarakat berilmu kerana rajin membaca. Lalu penerbitan buku ilmiah, sastera kreatif menjana daya fikir proaktif mencergaskan minda perlu diberi dana penerbitan untuk realisasikannya menggalak masyarakat membaca. Dengan itu rezeki penulis karya akan sentiasa ada. Walaupun karya penulis tidak memberikan hasil sebanyak mana yang diharapkan. Lapangan ekonomi warga dalam bidang penerbitan buku amat perlu diberi penekanan.

Seluruh dunia kini dilanda Covid-19. Bermula sejak akhir 2019. Bahana pandemik menular memakan korban yang tidak sedikit. Masalah ini juga dihadapi Malaysia. Telah beribu-ribu rakyat dijangkiti dan kematian mangsa berlaku setiap hari dalam jumlah yang tidak sedikit. Menggerunkan mengira akan jumlahnya.

Amat sedih melihat kejadian ini berulang setiap hari.. Ramai  yang telah kehilangan  yang tersayang dan penting dalam kehidupan masing-masing. Nampaknya PKP/SOP langsung tidak berkesan sekiranya dipatuhi suatu pihak saja. Tapi beberapa pihak lain mengingkarinya. Walau PKP berterusan sekian lama apalah maknanya sekiranya beribu-ribu mangsa dilapurkan dijangkiti Covid 19 setiap hari. Jumlah terkini mangsa yang dijangkiti telah melebihi 20,000 sehari pada 7 dan 8 Ogos 021.

Soal antara hidup dan mati lantaran serangan virus corona yang bermutasi dan sering mengubah diri dalam pelbagai varian yang kebal dengan penawar vaksin perlu ditangani dengan bijaksana. Bahana covid-19 memaksa warga Malaysia menyantuni hidup normal baharu dalam segala bidang termasuk pendidikan. Pelajar tidak lagi belajar di sekolah dan universiti secara bersemuka dengan guru. Tapi  disogokkan dengan PdPR. Memang ada kebaikannya kerana anak-anak diperkenalkan dengan IT sejak pra-sekolah lagi. Penguasaan  ilmu digital amat penting diperolehi menyantuni era kini.

Anak-anak semakin jemu terkurung dalam rumah tanpa dapat melakukann aktiviti atau riadah kebiasaan. Buat mereka yang tinggal dalam ruang sempit sebuah flat di kota raya dengan ahli keluarga yang ramai bilangannya tentu menyukarkan mereka untuk bernafas. Dan pelbagai masalah lain akan timbul. Namun masing-masing mulai mengerti situasi yang didepani.

 Tapi normal baharu telah menjadi lama. Sepatutnya masing-masing prihatin saling melindungi, membantu kesulitan sesiapa tanpa prasangka. Ramai yang telah hilang kerja dan banyak syarikat perniagaan gulung tikar.

Bendera putih dikibarkan anologi kepada kesusahan rakyat yang tidak tertanggung jelas ketara. Terpaksa menghambur rasa pedih tekanan jiwa bukan citra sinis kiasan tersirat. Putih lambang suci dan tulus hati laksana kain bendera yang putih berkibar bicara isyarat. Tentu terasa tenang hati melihat bendera putih berkibar dihembus angin daripada melihat individu terjun bangunan bunuh diri kerana ingin menamatkan hidup kerana tekanan jiwa akibat gara-gara pandemik yang tidak kunjung usai..

Wabak menular dengan sangat pantas dan menewaskan korban terlalu banyak jumlahnya. Kini warga Malaysia ternyata hidup dalam gelembung ngeri. Tiada lagi gelembung selamat yang terbuka pintunya untuk dimasuki. Setiap hari ketakutan merajai situasi.  Doa ditadah mengharapkan usaha holistik warganegara barisan hadapan, belakang kiri dan kanan mampu membendung wabak kadar segera dengan apa pun cara. Hanya kepada-Mu Allahhu Rabbi yang Maha Mengetahui rahsia makrifat kejadian diserahkan doa yang diulang selalu. Aamiin.   .        

Sekian sahaja secebis coretan saya kepada YAB Perdana Menteri yang dihormati Akhir kata didoakan semoga YAB  sentiasa sihat walafiat dalam lindungan Allah dan berjaya menyelesaikan masalah rakyat dan negara yang teramat kritikal kini.. Terutama melandaikan pandemik dan menangani kegawatan ekonomi negara.

            Jasa dan baik budi YAB  disanjung tinggi amat dihargai semoga Allah membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran…Amiin

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN KE 64 PADA 31 OGOS 2021

DIRGAHAYU MALAYSIA TERCINTA AFIAT SEJAHTERA SELAMA..

 

Terima  kasih.

 

 

Saya yang benar,

 

 

Paridah Ishak

 

 

           

 

Friday, 20 August 2021

AYAHANDAKU

 ASSALAMUALAIKUM


SALAM JUMAAT MULIA


HAJI ISHAK BIN HAJI ISMAIL

 

H-adir insan ini memaknai kehidupanku

A-yahandaku nan tercinta

J-erih payahnya menjaga mendidikku hingga dewasa

I-ngatan akan budi dan jasa ayahanda abadi di kalbu

 

I-nginku tulis puisi ini demi ayahandaku

S-entiasa berada di sisiku susah dan senang

H-ambal Allah yang sederhana serba-serbinya

A-mun setia bertakwa kepada Pencipta

K-asihku kepada ayahandaku tidak pernah surut

 

B-esar menggunung budi ayahanda kepadaku

I-ndah terukir sebagai tugu ingatan

N-an tiada tolok bandingnya bagiku

 

H-ampir seluruh kehidupannya menemaniku

A-naknya yang terlantar tidak berdaya

J-auh sekali mengabaikan kebajikanku

I-ikhtiarnya tidak putus mencari penawar sakitku

 

I-damanku segera pulih ingin ayahanda tunaikan

S-ayang ayahandaku tidak selamanya di sisiku

M-eninggalkanku mengadap Ilahi

A-llah terlalu menyanyangi ayahandaku

I-nsaf aku akan ketentuan-Nya walau tangis mengalir sedih

L-ambat-laun perpisahan akan berlaku jua





Wednesday, 18 August 2021

LAMUNAN CINTA

 ASSALAMUALAIKUM



LAMUNAN CINTA

#1

Lela meramu anggur serupa,

berhenti tebar antah menghampa;

kala bertemu bertegur sapa,

hati berdebar entah kenapa.

 

#2

Di laut hanya berenang-renang,

dedai gelama biasa wenang;

raut wajahnya terkenang-kenang,

andai bersama terasa tenang.

 

#3

Di talam rapi sepiring lumu,

kelisa lonta tatang ke tamu;

di dalam mimpi sering bertemu,

terasa cinta datang bertamu.

 

#4

Mengurap pipi sendi sekata,

tega beria menghafaz kata;

mengharap mimpi menjadi nyata,

semoga dia melafaz cinta

 

#5

Pundak  tersepuk salah imbangan,

kanji diusul lengan gerangan;

tidak bertepuk sebelah tangan,

janji menyusul dengan  pinangan

Monday, 16 August 2021

FRAGMEN SENJA

 

ASSALAMUALAIKUM

Alhamdulillah PI terima FRAGMEN SENJA hadiah kiriman penulis mapan dan prolifik Ibnu Din Assingkiri. Terima kasih banyak Cikgu Sanusi kesudiannya. FRAGMEN SENJA merupakan kompilasi cerpen karya penulisnya terbitan ITBM. 20 cerpen pilihan bertemakan senja mengisi 185 halaman buku comel ini. Kesemua cerpennya sangat menarik. Teruja sekali ingin mengetahui akhiranya setelah membaca tajuknya. Gabungan cerita pelbagai idea penulis biasanya berdasarkan pengalaman,pemerhatian ditambah dengan kreativiti menyusun diksi dan melukis suasana latar. PI memang suka membaca penulisan cerpen gaya begini kerana Penulis tidak meminta pembaca memikirkan pelbagai maksud tersirat yang sukar difahami. Cikgu Sanusi menulis cerpen atau cerita pendek yang menepati maksudnya. Ada permulaan dan penamat tidak sukar dijangka. Namun keindahan bahasa kesusasteraan amat sempurna. Setiap cerpen mengungkap nilai murni kehidupan tentunya. Tahniah Cikgu Sanusi!

Sekiranya ingin telusuri semua kisah dalam FRAGMEN SENJA terutama cerpen dengan tajuk yang sama hubungi penulisnya @facebook. Harganya mampu milik berbanding nilai karya sastera yang ternyata berkualiti tinggi.  



  

Saturday, 14 August 2021

SAMBUNGAN SURAH 67: AL MULK (KERAJAAN).

 ASSALAMUALAKUM


PERKONGSIAN ILMU
SAMBUNGAN SURAH 67: AL MULK (KERAJAAN).
Muka surat: 562 hingga 563. Ayat: 12 hingga 21.
Ayat 12 - 14: TABSIR UKHRAWI (Khabar Gembira): Janji-janji Allah SWT kepada orang-orang Mukmin.
Ayat 12: Orang-orang beriman sentiasa takut kepada Allah SWT, walaupun tidak pernah melihat Allah SWT. Mereka percaya balasan azab walaupun tidak pernah melihat azab. Mereka berusaha menghindari azab Allah SWT, seperti azab Hari Kiamat. Mereka sentiasa peka kepada perhatian Allah SWT, sama ada ketika bersendirian atau terang-terangan. Meninggalkan maksiat dan taat kepada Allah SWT walaupun tiada manusia lain melihatnya. Nescaya dosa mereka memdapat keampunan Allah dan beroleh ganjaran pahala yang besar.
Ayat 13: Allah SWT menyatakan jika orang-orang Mukmin yang merahsiakan perkataannya, menuturkan kata dengan perlahan atau menyatakan perkataan dengan nyaring. Sama sahaja bagi Allah SWT. Allah Yang Maha Mengetahui segala isi hati, segala yang terkandung dalam dada mereka. Allah SWT tahu niat seseorang.
Ayat 14: Allah SWT bertanya, Adakah patut Allah SWT yang mencipta manusia tidak mengetahui tentang ciptaan-Nya? Allah SWT menegaskan DIA Maha Halus (Teliti) dan Maha Mengetahui semua mahluk yang dicipta-Nya. Contoh, kilang yang mencipta kereta Honda, pasti mengetahui semua perkara berkenaan kereta Honda ciptaan kilang mereka.
Ayat 15: DALIL AQLI KETIGA: Allah SWT yang menjadikan bumi untuk kegunaan manusia. Manusia boleh berjalan di seluruh pelusuk dunia. Allah SWT juga menyediakan rezeki makanan dan minuman kepada manusia. Tetapi ingat, kepada Allah SWT semua manusia akan kembali, setelah dihidupkan semula.
Ayat 16 – 18: ANCAMAN UKHRAWI (Ancaman Akhirat): Ancaman Allah SWT kepada orang-orang kafir.
Ayat 16: Pertanyaan Allah SWT kepada orang-orang kafir. Kamu telah derhaka, kamu berasa amankah? Apabila telah kembali kepada Allah, manusia jangan berasa aman dari azab Allah. Azab ketika berlaku kiamat. Mati adalah kiamat kecil.
Ayat 17: Allah SWT bertanya lagi kepada orang-orang kafir. Kamu tidak takutkah kepada Zat yang berada di langit, tidak akan megirimkan azab kepada kamu? Keseluruhan ayat ini tidak dapat difahami secara zahir. Dalam ayat ini, rahsia disebut langit, adalah sebagai penegasan Kuasa Allah SWT sebenarnya merentasi langit, bukan terhad tuhan palsu mereka yang terdapat di bumi. Kuasa Alllah yang sangat tinggi, menjangkau langit dan bumi. Tujuan penyebutan langit, untuk mengagungkan pemerintahan dan kekuasaan Allah SWT.
Ayat 18: Allah SWT memberi tahu, kaum terdahulu juga telah mendustakan rasul-rasul mereka. Allah sangat murka dan telah menurunkan azab yang telah membinasakan mereka. Seperti kaum Nabi Nuh a.s. yang tenggelam dalam banjir besar kerana menolak kebenaran.
Ayat 19: DALIL AQLI KEEMPAT: Allah SWT bertanya lagi. Adakah mereka tidak melihat burung-burung yang berterbangan di udara. Mengembangkan sayap dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Pertanyaan-pertanyaan ini, untuk manusia berfikir. Hanya Allah SWT sahaja yang membolehkan burung-burung berterbangan di udara dengan kekuasaan-Nya. Bagaimana mungkin manusia menganggap ada kuasa lain pemberi berkat, selain daripada Allah Yang Maha Berkuasa?
Ayat 20 - 21: ANCAMAN DUNIAWI.
Ayat 20: Allah SWT bertanya kepada orang-orang kafir, apakah pujaan batil yang mereka seru dapat menolong, jika ditimpa azab di dunia ini? Allah SWT memberitahu orang-orang kafir, bahawa illah-illah yang mereka seru tidak dapat menyelamatkan mereka daripada azab Allah.
Ayat 21: Allah SWT bertanya lagi, siapa yang akan memberi rezeki kepada kamu sekiranya DIA menahan rezekimu? Tetapi orang kafir terus berada dalam kesombongan. Sifat-sifat orang kafir adalah seperti berikut;
a. Ghurur – Terpedaya kerana menyeru kepada makhluk yang tidak patut diseru. Seru roh nabi-nabi dan wali-wali. Seru malaikat dan jin-jin.
b. Utuwwin – Degil.
c. Nufur – Lari dari kebenaran.
You, Zuraida Dewi, Sabariah MY and 10 others
4 Comments
2 Shares
Love
Love
Comment
Share