Thursday, 20 May 2021

HATI TIKUS

 ASSALAMUALAIKUM


HATI TIKUS

PIC GOOGLE IMAGES(C)

 

Tikus berlari laju untuk menyelamatkan dirinya. Seekor kucing sedang mengejarnya hendak menangkapnya. Setiap kali Tikus keluar mencari makanan dia akan terserempak dengan Kucing. Lantas Kucing mengejar dan cuba menangkapnya. Tikus berlari susup-sasap menghilangkan dirinya daripada penglihatan Kucing.

            “Kau hendak lari ke mana Tikus? Aku akan tetap mengejar kau sehingga aku dapat menangkap kau. Penat saja kau berlari setiap hari daripadaku. Akhirnya aku akan dapat jua menangkapmu dan menjadikan kau habuan makananku.” Kucing bersuara dengan marah lantaran kecewa tidak dapat menangkap Tikus.

            Tikus mendengar suara Kucing. Dia amat ketakutan. Mujur dia cepat berlari menyembunyikan dirinya di dalam lubang tanah. Jikalau tidak tentu dia sudah dimakan Kucing dan berada di dalam perut Kucing. Dia terdiam di situ menahan kepenatan diburu Kucing. Tikus idak berani hendak keluar dari situ lagi.

            “Kenapalah Kucing itu tidak henti-henti mengejarku walau dia tidak dapat menangkapku? Hairan betul aku. Tapi aku juga sangat penat berlari untuk menyelamatkan diriku daripada ditangkap Kucing setiap hari. Dia menyusahkan aku saja untuk keluar mencari makanan dengan tenang. Berat betul masalah yang sedang kuhadapi ini. Bagaimanakah  aku hendak menyelesaikannya?” Tikus merasa bingung memikirkan masalah dirinya.

Lama dia termenung. Dan fikirannya menggambarkan idea yang dipersetujui hatinya. Dia tersenyum lega.

            “Aku akan menemui Tukang Sihir untuk memintanya menolongku.” Dia pun segera bergegas ke rumah Tukang Sihir. Pantas pergerakannya. Sebentaar saja dia sudah tiba di situ.

            Dia menceritakan masalahnya kepada Tukang Sihir satu persatu.

            “Saya harap Tuan Tukang Sihir dapat menyelesaikan masalah saya. Masalah saya ini sangat menyusahkan saya. Hanya tuan seorang yang dapat menolong saya.”

            “Bagaimana pula? Aku tidak faham akan maksud kamu. Nyatakanlah dengan lebih jelas.” Tukang Sihir amat keliru dengan kenyataan Tikus.

            “Bukankah tuan ini seorang tukang sihir yang sangat handal. Tuan Tukang Sihir tolonglah tukarkan saya menjadi kucing pula. Tuan Tukang Sihir tentu dapat melakukannya dengan mudah.   Sekiranya saya menjadi kucing,tentulah Kucing itu tidak akan mengejar saya lagi. Saya sudah terlalu penat berlari setiap hari dikejar Kucing itu. Tolonglah saya Tuan Tukang Sihir.” Tikus merayu kepada Tukang Sihir agar menolongnya.

            “Tuhan telah jadikan kamu sebagai tikus,kenapa hendak menjadi kucing pula?” Tanya Tukang Sihir kepada Tikus. Namun Tikus terus merayu agar Tukang Sihir mahu menolongnya di atas sebab yang dinyatakannya itu.

            “Baiklah kalau begitu aku akan mohon kepada Tuhan agar menukarkan kamu menjadi kucing pula.” Lalu Tukang Sihir berdoa memohon kepada Tuhan menunaikan hasrat Tikus.

            Tiba-tiba dengan izin Tuhan bertukarlah sosok Tikus. Kini dirinya telah wujud berbentuk kucing seperti yang diidamkannya. Tikus merasa sangat gembira. Dia   pun mengucapkan terima kasih kepada Tukang Sihir. Dia amat yakin masalahnya telah pun selesai.

            “Aku harap kamu berpuas hati dengan keadaan diri kamu sekarang.” Dia melihat Tikus begitu gembira dengan keadaan dirinya yang baru. Tikus  ingin pulang memberitahu kepada keluarga dan kawan-kawannya.

Tikus bergerak menuju sarangnya. Dia tidak dapat hendak memasuki lubang tanah tempat kediamannya selama ini kerana badannya sebesar kucing. Dia tidak dapat berjumpa dengan keluarga dan rakan-rakannya untuk bercerita pengalamannya. Dan dia bercadang mengajak mereka bertukar menjadi kucing sepertinya. Hajatnya tidak kesampaian. Dia menyedari keadaan dirinya yang menyebabkan dia tidak dapat bertemu dengan keluarga dan kawan-kawannya. Hatinya terasa sedih pula. Tapi dia masih teruja kerana dirinya kini seekor kucing yang besar. Jauh lebih besar daripada tikus.

            Dia berfikir hendak mencari tempat tinggal yang baru dan sesuai dengan keadaan dirinya.. Dalam perjalanannya mencari kediamannya, seekor anjing menyalak dengan garang sambil mengejarnya. Dia berlari pantas untuk menyelamatkan dirinya daripada dicederakan Anjing. Badannya yang besar menyusahkannya berlari dengan pantas. Dan setiap hari Anjing akan mengejar Kucing setiap apabila bertemu. Dia tidak tahu bahawa sudah sekian lama anjing memusuhi kucing.

            “Susah juga menjadi kucing ini. Setiap hari aku terpaksa berlari sebab anjing tidak henti-henti mengejarku. Sungguh penat aku berlari. Takut sungguh aku kepada anjing.” Tikus bersungut sendirian.

            “Mungkin akan lebih baik kalau aku menjadi anjing pula. Menjadi anjing tentu lebih baik daripada menjadi kucing. Aku tidak mahu lagi menjadi kucing. Tukang Sihir tentu dapat menolong aku.”

Tikus bergegas menemui Tukang Sihir sekali lagi. Dia menceritakan masalah yang dihadapinya kepada Tukang Sihir dan meminta agar menolong menukarkannya menjadi anjing pula..

“Baiklah kalau sudah begitu yang kamu inginkan, aku akan cuba mohon kepada Tuhan agar perkenankan permintaan kamu”. Tukang Sihir pun memohon kepada Tuhan semoga hajat Tikus hendak menjadi anjing termakbul

Tiba-tiba sosok kucing berubah menjadi anjing pula. Tikus gembira dengan bentuk tubuhnya yang baru. Dia berjalan ke sana-sini tanpa menyedari ada seorang lelaki yang sedang memerhatikan dirinya.

Lelaki itu lalu menangkapnya dan mengurungkannya di dalam kandang.Dan lelaki itu melatihnya untuk menjadikannya sebagai anjing perburuan. Setiap hari dia terpaksa masuk ke hutan memburu pelbagai jenis binatang liar.dia merasa terlalu penat berlari mengejar binatang bersama lelaki itu.

Dia merasa ketakutan kerana ketika dalam perburuan itu dia bertemu dengan singa dan harimau. Dia terpaksa melarikan diri daripada menjadi mangsa binatang buas itu. Dan dia mengambil keputusan hendak menjadi manusia pula. Dia berharap Tukang Sihir boleh menukarkannya menjadi manusia pula. Kalau dia dapat menjadi manusia tentu dia dapat menguasai semuanya. Maka tentu akan selesai semua masalahnya.

Tukang Sihir hanya tersenyum sahaja mendengar permintaan Tikus itu.

            “Walau kamu berubah bentuk tubuh kepada setiap yang kamu inginkan namun kerana kamu miliki hati tikus di dalam diri kamu, tentu kamu tidak berjaya mengatasi setiap halangan laluan hidup kamu. Walau kamu menjadi kucing namun hati kamu mengatakan kamu adalah seekor tikus kecil. Jikalau menjadi kucing, hati kamu mesti seperti hati kucing juga. Tapi hati kamu setiasa mengatakan kamu adalah tikus yang lemah. Kamu tidak boleh lagi menyimpan hati tikus di dalam diri kamu. Kebiasaan yang kamu rasakan menyukarkan diri kamu menerima perubahan. Adalah lebih baik kamu menjadi siapa diri kamu sebenarnya. Bersyukurlah kerana Tuhan jadikan kamu sebagai tikus.” Kata Tukang Sihir memberi jawapan kepada Tikus yang sentiasa keliru dengan dirinya. 

            Tikus mulai memikirkan kebenaran di sebalik kata-kata Tukang Sihir itu. Walau dia selalu dikejar Kucing dan keletihan berlari tapi Kucing tidak pernah berjaya menangkapnya. Tubuhnya yang kecil memudahkannya berlari dan bersembunyi di mana saja untuk menyelamatkan dirinya daripada ditangkap Kucing.   

Dia amat menyesali akan tindakannya merubah bentuk dirinya beberapa kali.dan dia ingin menjadi tikus semula. Dia ingin sekali bertemu semula dengan keluarga dan kawan-kawannya yang sangat dirindukannya.

 


9 comments:

  1. Sangat mendalam cerita ini. Kesimpulan yang dapat saya buat ialah, jadilah diri sendiri dan redha apa yang berlaku dalam kehidupan seharian kita.

    ReplyDelete
  2. Kita kena sentiasa bersyukur kan Kak PI.

    ReplyDelete
  3. moralnya sentiasa percaya diri, terima diri seadanya dan bersyukur...
    menarik ceritanya kak PI

    ReplyDelete
  4. Kita patut bersyukur dengan apa yg Allah kurniakan kpd kita...

    P.S. Jom join GA yg sdg berlangsung di blog Abam Kie? Terima kasih.
    http://www.zukidin.com/2021/05/happy-birthday-giveaway-by-abam-kie.html

    ReplyDelete
  5. sbb tulah kita kena bersyukur dgn segala kurniaan-Nya...

    ReplyDelete
  6. Yang penting kekuatan dalam diri, bukan fizikal.cerita yang menarik kak PI

    ReplyDelete
  7. kita kena bersyukur, penulisan luar kotak. suka baca

    ReplyDelete
  8. Konklusinya bersyukur dgn apa yg ada. Baik mahupun buruk...

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”