Wednesday, 2 December 2020

RADEN MAS AYU 2

 ASSALAMUALAIKUM


 


RADEN MAS AYU

 

Tersebut dalam satu negeri,

kisah berlaku zaman bahari,

Pengiran Agung dari Kediri,

kisah disyair membuai diri.

 

Pengiran Agung semangat waja,

akan kekanda seorang raja,

pahlawan hebat tidak mendurja,

apa dititah buat sahaja.

Ada yang dengki akan dirinya,

jawatan penting yang disandangnya,

adinda tiri kanda iparnya,

gemar mencari salah silapnya.

 

Hanya Dandiar kawan pengiran,

ikhlas dan tulus nyata gelaran,

sering bersama tiada jeran. 

lunak hatinya mengikut saran.

 

Pengiran Agung segak dan tampan,

ramai terpikat pandang terpempan,

hendak berkahwin entahnya kapan,

Ratu bertanya kala berdepan.

 

Hai Kanjeng Ratu adakan majlis,

dalam keraton tamu memilis,

bersukaria duka digilis,

bertatarias melentik alis.

 

Pengiran Agung tidaklah kisah,

diam sendiri mengurai resah,

duduknya jauh agak terpisah,

hanya perhati hati gelisah.

 

Tiba-tiba tersorotlah mata,

di tengah ramai rakyat jelata,

gadis nan ayu cantik jelita,

sedang menari menyeri pesta.  

 

Hati pengiran sudah tertawan,

ingin bertemu dengan rupawan,

pesona cinta menambah rawan,

rindu teramat tidak terlawan.

 

Akhir bertemu dengan Mas Ayu,

gadis penari termalu luyu,

penangan cinta mendayu-dayu,

menyulam kasih selembut bayu.

 

Pengiran Agung insan budiman,

sekian lama tidak berteman,

bertemu dengan gadis di taman,

lalu bernikah meneguh iman.

 

Murkalah juga hai Kanjeng Ratu,

nikah adinda tidak direstu,

kanda iparnya juga begitu,

apa terjadi sudahlah tentu.

 

Pengiran Agung dengan tekadnya,

pertahan akan cinta sucinya,

kekal bersama dengan surinya,

lahir puteri seri hidupnya.



Seri Diningrat nama pilihan,

meraup syukur kepada Tuhan,

tangisnya mersik halus perlahan,

rindu mengusik kala jauhan,

.

 

Kanda iparnya atur rencana,

tentu niatnya hendak mengena,

Pengiran Agung lalu ke sana.

memburu kijang titah laksana.

 

Berat isteri hendak lepaskan,

akan jiwanya rasa tertekan,

bagai suatu yang difikirkan,

bakal terjadi tak terdugakan.

 

Manosekoro ambil peluang,

Pengiran Agung tinggalkan ruang,

malam berlalu tinggalkan siang,

mudah olahnya melonjak riang.

 

Mas Ayu cuba pertahan diri,

Seri Diningrat anak sendiri,

dipeluk erat sambil berlari,

ditusuk keris ipar yang iri.

 

Pulanglah sudah Pengiran Agung,

lihat rumahnya bukannya panggung,

telah dibakar api memanggung.

sedihnya hati tidak tertanggung,

 

Mas Ayu suri hati tersayang,

Pengiran Agung masih terbayang,

ketika nyawa hampir melayang,

longlai terkulai terhuyung-hayang.

 

Terlalu sangat rasa kecewa,

apa berlaku meranah jiwa,

langkah di atur diri dibawa,

tinggal Kediri di tanah Jawa.

 

Jauh tinggalkan keraton watan,

lewati desa pinggiran hutan,

belayar ia tengah lautan,

lupa segala akan kaitan.

 

Menyara hidup jadi nelayan,

Seri Diningrat kasih dilayan,

sedari kecil dalam buaian,

hingga remaja tidak kerayan.

 

Suatu hari kisah berlaku,

sebab terlajak mengikut laku,

jauh melangkah buah dipangku,

Seri Diningrat dipukul kaku.

 

Tengku Halijah dan teman-teman,

sedang berada di dalam taman,

marah terlalu melilau laman,

dirampas buah dalam genggaman.

 

Raden  Mas Ayu Seri Diningrat,

telah disiksa terlalu berat,

tersalah langkah jauh melarat,

luka berdarah nyawa sakarat.

 

Sorang lelaki sedang perhati,

tepi muara naiki jeti,

gadis disiksa hampirlah mati,

menyergah dia agar berhenti.

 

Lagak gayanya orang bangsawan,

gagah perkasa bagai pahlawan,

Tengku Halijah hilanglah sawan,

takut menjerut hendak melawan.

 

Dibawa gara kepada sultan,

minta adili nan perbuatan,

menyiksa gadis yang kesakitan,

lantaran marah tiada bentan.

 

Sosok lelaki seorang diri,

ternyata dia sedang mencari,

tntah ke mana hilang puteri,

arah istana kangkah hampiri.

 

Pahlawan itu terkejut sungguh,

segera sujud tidak bertangguh,

jantung Dandiar bagai direngguh

Pengiran Agung baginya jaguh.

 

Sultan merasa amatlah malu,

tingkah anaknya memang terlalu,

sanggup bertindak dengan melulu,

apa sebenar tak tentu kalu.

 

Sultan meminta salah maafkan,

Tengku Khalijah sanggup nikahkan,

Pengiran Agung enggan turutkan,

kasih Mas Ayu ingin kekalkan.

 

Majlis bernikah sangat meriah,

Seri Dinigrat sayangkan ayah,

telah bersama harungi payah,

tidak siapa berani rayah,

 

Lahir Tengku Cik pengikat kasih,

putera bonda nan putih bersih,

Halijah rasa bagai disisih,

suami sayang Mas Ayu masih.

 

Tengku Khalijah riak cemburu,

hatinya gundah iri memburu,

Raden Mas Ayu bingung selaru,

asyik didera bukanlah baru.

 

Ibu tirinya tiasa marah ,

anak tirinya sering diarah,

kadang dipukul hingga berdarah,

Raden Mas Ayu diam berpasrah.

 

Pengiran Agung mendapat tahu,

amarah mulai meninggi suhu,

durja isteri dirasuk rahu,

hendak ditikam terkena bahu.

 

Bahu Tengku Cik luka sedikit,

cuba menghalang marah  membukit,

mengelak bonda mendapat sakit,,

Tengku Halijah segera bangkit.

 

Laju langkahnya mengadap sultan,

mengadu akan hal perbuatan,

anakandanya yang kesakitan,

hendak dibunuh kata hasutan.

 

Murkalah sultan tidak terkira,

tiada lagi usul bicara,

Pengiran Agung hukum penjara,

dalam perigi dibuang lara.

 

Perigi buta teramat gelap,

tempat hukuman pada yang silap,

sinar tiada semua malap,

tak makan apa sehingga lelap.

 

Raden Mas Ayu duduk melengung,

ayahnya hilang dirinya bingung,

gundah gulana berdengung-dengung,

sering bertanya bagaikan tongong.

 

Pihak istana nyata sembunyi,

tidak siapa akan berbunyi,

Pengiran Agung di tempat sunyi,

melarat sakit sungguhlah kenyi.

 

Ibu tirinya mula merancang,

dan Tengku Bagus ajak berbincang,

tutup rahsia onar yang lancang,

kahwin Mas Ayu kaburi pincang.

 

Cerita itu telah tersebar,

nusa Kediri mendapat khabar,

Dandiar rentas laut yang lebar,

hadiri majlis namun berdebar,

 

turut bersama lasykar Kediri,

bersama-sama tidak sendiri,

ingin hadiri majlis kenduri,

semoga majlis bertambah seri.

 

Kepada sultan dia bertanya,

raden Mas Ayu mana walinya,

Pengiran Agung yang dicarinya,

tidak menjawab nak diamuknya.

 

Tengku Cik pun membuka cerita,

ayahanda dalam perigi buta,

dia bertemu tika gelita,

leka bermain merata-rata.

 

Pengiran Agung dibawa pulang,

marah Dandiar bukan kepalang,

Raden Mas Ayu bersedih walang,

ayahnya uzur nasibnya malang.

 

Raden Mas Ayu merayu bonda,

mohon ampun pada ayahanda,

segala salah masa berada,

namun hatinya ihsan tiada,

 

Sombong dirinya telah bersemi,

melangkah pergi tinggal suami,

Raden Mas Ayu tidak fahami,

cuba menghalang kasih dibasmi.

 

Terjatuh dia terhentak pinggul,

tertikam pula cerucuk sanggul,

menahan sakit wajahnya sugul,

tamat riwayat puteri unggul.

 

Pengiran Agung lemah terlalu,

nafas terakhir dihembus ngilu,

derita hidup telah berlalu,

sebak Dandiar meratap pilu.

 

Mengamuk dia dalam istana,

galak memancung ramai terkena,

tinggal Tengku Cik di hujung sana,

merayu nenda jangan ke mana.

 

Gagah Dandiar hatinya lembut,

kata Tengku Cik lahan disambut,

nyawanya nenda tidak dicabut,

cerahlah mendung gelap berkabut.

 

Tengku Halijah pantas melangkah,

cahaya langit menyuluh tingkah,

dipanah petir pangkah-memangkah,

maut menjemput bumi merekah.

 

Syair berkisah apa terjadi,

kasih sejati kekal abadi,

mengenal akan indahnya budi,

selagi masih berdenyut nadi.


16 comments:

  1. Terasa macam terbang ke zaman lampau, terbayang2 cantik mata dia sebab cantiknya alis dia :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. TKSH SYAZ SEORANG PUTERI MESTILA CANTIK KAN

      Delete
  2. Wkmsalam.
    cerita sejarah jadi pengajaran.

    ReplyDelete
  3. Sesekali bagai merasai pedihnya rasa dihati yang lalui.

    ReplyDelete
  4. Replies
    1. TKSH NOHAS YA MAKAM PUTERI NI DI SINGAPURA

      Delete
  5. Semoga kita ambil iktibar dari kisahnya.

    ReplyDelete
  6. terhibur membaca syair ini biar pun penuh kesedihan...

    ReplyDelete
    Replies
    1. TKSH CIKGU AK KISAH DLM SYAIR MENGASYIKAN JUGA

      Delete
  7. tak pernah tahu kisahnya.. hanya nama pernah dgr. kisah pahlawan di negara seberang

    ReplyDelete
  8. terus google kisah raden mas ayu sebab nak tahu sejarah nya

    ReplyDelete
  9. Panjang kisahnya. Alhamdulillah, kelebihan yang Allah kurniakan, tajam fikiran dan bijak PI mencari diksi yang puitis, rima yang selari dan sesuai dijadikan bait-bait syair!

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”