Tuesday, 11 August 2020

NABI AYUB AS

 ASSALAMUALAIKUM


SYAIR NABI AYUB

#1

Mukaddimah syair perihal nabi,

rasul pilihan Allahurobbi,

dalam al-Quraan insan murabbi,

contoh teladan serbanya serbi

#2

Nabi Ayyub hai allaihissalam,.

cucundanya  Luth tersurat kalam,

Al-Aish ibn Ishaq nasabnya silam,

Ibn ‘Asakir tulis mendalam.

#3

Seorang kaya harta melimpah,

anak dan isteri kasih tertumpah,

hamba sahaya menjana upah,

banyak ternakan bersepah-sepah.

#4

Nabi Yusuf nasabnya si Rahmah,

akan isterinya santun peramah,

teman setia menadah hikmah,

berkongsi rasa ikrar berhemah.

#5

Satu persatu Allah hilangkan,

nikmatnya hidup dulu rasakan,

sengsara pula Allah hadirkan,

perihnya sungguh nabi redakan.

#6

Semua harta telah tiada,

sedih teramat nasib anakanda,

riang gembira masa berada,

suratan takdir hilangkan tanda

#7

Sakit yang kronik bawa derita,

kawan dan jiran asyik mengata,

jijik memandang menghina nista,

ke tempat sampah dibuang leta.

#8

Hanya isteri masih di sisi,

susah suami sanggup dikongsi,

sakitnya nabi santun urusi,

aral merintang gigih lintasi.

#9

Kasih isteri kekal abadi,

sebagai suri mengenang budi,

jasa suami berdenyut nadi,

sanggup bersama apa terjadi.

#10

Nabi bersabar akan musibah,

ujian Allah hadapi tabah,

tawakal reda takwa bertambah,

kepada Allah berzikir sembah..

#11

 

Rahmah menjaga sambil merawat,

setia masih ketika gawat,

siang dan malam waktu yang lewat,

akhirnya resah hindari khalwat.

#12

Terpaksa pula keluar rumah,

cari rezeki laksana amah,

walau dirinya semakin lemah

rajin usaha seorang Rahmah.

#13

Hidupnya payah tetap bersabar,

cekal jiwanya laksana ambar,

kasih suami anyam berlembar,

risau maslahat hati berdebar.

#14

 

Demi suami Rahmah bekerja,

sanggup lakukan apa sahaja,

dapatkan duit buat belanja,

beli makanan pada penjaja.

#15

Perihal Rahmah ada sedari,

akan dirinya seorang suri,

kepada nabi Ayub diperi,

sikap mereka merubah diri.

#16

Tiada lagi sumber hasilan,

puas mencari jauh berjalan,

mereka tolak jadikan taulan,

tidak dibantu sungguh terkilan,

#17

Rahmah bersedih menjual tocang

tasdik di kalbu tidak dirancang,

dengan suami tidak berbincang,

dapat rezeki berbungkus uncang.

#18

Nabi sedari tingkah surinya,

baginda mulai tertanya-tanya,

makanan dari mana sumbernya,

Rahmah terpaksa menjelaskannya.

#19

 

Saudara nabi datang ziarah,

sakitnya nabi dilihat parah,

zuhudnya nabi segenap arah,

hampir bercerai daging dan darah.

#20

Azabnya nabi tidak terkira,

terdengar nabi kata saudara,

getar hatinya menyimpan lara,

doa dan restu pohon segera.

#21

Kepada Allah akan bersujud,

selama-lama selagi ujud,

beriman soleh sifatnya maujud,

Allah kabulkan doa tahajjud.

 

#22

Syar berakhir dengan pujian,

nabi yang maksum besar ujian

tegar bersabar dengan cacian,

teguh dan cantik bagai berlian.

 

#23

Allah menguji akan hamba-Nya,

untuk meningkat iman takwanya

jua mengangkat  akan tarafnya,

wajar contohi sunnah rasul-Nya.


4 comments:

  1. Nabi ayub antara nabi yg berat ujian dihadapi...namun bila ditanya kenapa tidak meminta kesembuhan, baginda menjawab malu kerana sudah begitu lama Allah beri begitu byk nikmat..

    ReplyDelete
  2. Betapa tabhnya, dan manisnya kesabaran :)

    ReplyDelete
  3. Setiap Nabi diuji dgn bkn sebarang ujian...sbg pedoman utk kita

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”