Friday, 8 May 2020

TAFSIR SURAH 21. AL ANBIYA'. Ayat 73 - 77.

ASSALAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA

PERKONGSIAN ILMU: SURAH 21. AL ANBIYA'. Ayat 73 - 77.

Syukur Alhamdulillah keluarga besarku dapat berjemaah solat Isyak dan solat sunat terawih yang diimami Amiru, anak kelimaku.
Selesai solat kami berkumpul dalam majlis ilmu. Rutin mingguan kelas tafsir Quran.
Suamiku tetap bersemangat memimpin bacaan secara bertalaqqi. Walaupun tangan kanannya bersimen kerana terjatuh.
"Ayat 73: Merupakan sambungan tentang Nabi Ibrahim dan keturunannya." Aku memulakan tafsir.
"Allah beri nikmat tambahan kepada baginda, anak-anak dan cucu-cucu baginda. Iaitu Bani Israel menjadi pemimpin dan berbakti kepada agama. Menyembah hanya Allah. Mendirikan solat dan membayar zakat."
"Ibadat zaman tu solat dan zakat sahajakah?" Azya bertanya.
"Ada ibadat-ibadat lain. Allah sebut ibadat yang paling penting iaitu solat dan zakat. Solat memelihara hubungan manusia dengan Allah. Zakat memelihara hubungan antara manusia." Jelasku panjang lebar.
"Ayat 74: DALIL NAQLI KE-3 kisah Nabi Luth. Sebelum ini disebut Nabi Ibrahim dan anak saudaranya iaitu Nabi Luth telah berhijrah. Nama sebenar Luth bin Haran bin Azar. Dan Ibrahim bin Azar."
"Allah beri kefahaman agama dan ilmu kepada Nabi Luth. Allah selamatkan Nabi Luth di daerah penduduknya yang melakukan perbuatan keji iaitu homoseksual di Kota Sodom. Allah hancurkan mereka."
"Sekarang perbuatan keji begitu dikenali LGBT." Afyan mencelah.
"Ya.. betul. Berdosa perbuatan itu." Aku membenarkan.
"Ayat 75 : Allah beri Rahmat kepada Nabi Luth as. Baginda masuk ke dalam syurga kerana baginda termasuk orang yang soleh."
" Ayat 76 pula: DALIL NAQLI KE-4 kisah Nabi Nuh as. Baginda hidup sebelum Nabi Ibrahim dan Nabi Luth."
"Nabi Nuh as berdoa memohon kepada Allah supaya dibinasakan kaumnya yang mendustakan ajaran- ajarannya. Baginda telah baginda berdakwah selama 950 tahun, tetapi hanya sedikit yang menerima. Doa baginda telah dimakbulkan. Kaumnya yang engkar tenggelam dalam banjir besar."
"Ayat 77: Allah selamat kan Nabi Nuh as dan pengikut-pengikutnya daripada banjir besar. Kaumnya yang syirik semua mati lemas. Mereka syirik menyembah berhala dan sembah gambar-gambar."
"Itu sebab kita tak boleh gantung gambar-gambar orang dalam rumah. Malaikat rahmat tak masuk." Amiru menambah tazkirah.


7 comments:

  1. Terima kasih atas perkongsian yang baik ni 😊

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah.Ilmu di hari Jumaat indah.

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah
    Ambil manfaat daripada pengajarannya

    ReplyDelete
  4. Saya suka tafsir surah anbiya ni. Banyak kisah2 nabi untuk dijadikan panduan dan pengajaran

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”