Thursday, 14 May 2020

DARMATASIAH...

ASSALAMUALAIKUM


HIKAYAT DARMATASIAH
Darmatasiah syair berkisah,
menabur bakti tak kira susah,
agar suami tidak gelisah,
Ingin bersama bukan berpisah
Suci hatinya sukar selami,
taat setia kasih bersemi,
baik budinya batas tanami,
Sheikh Bil-Makhruf akan suami.
Ampun tuanku dosanya daku
Darmatasiah beperi laku,
ujarnya lembut sambil teleku,
membasuh kaki menunduk kaku.
Sekian lama hidup bersama,
isteri ulang perkara sama,
bagaikan lagu dengan irama,
berkasih sayang pokok utama.
Gembira sungguh Darmatasiah
Allah kurnia akan hadiah,
berseri hidup penuh meriah,
lahir puteri dipangku ayah.
Cenderadewi nama pilihan,
kata suami perlahan-lahan,
gembira rasa tidak tertahan,
bersyukur amat kepada Tuhan.
Cenderadewi amat disayang,
wajahnya cantik pauh dilayang,
sekali pandang terbayang-bayang,
kasihnya ayah jelas gentayang.
Darmatasiah persis selalu,
kasih suami amat terlalu,
layanan masih macam dahulu,
cuba penuhi apa yang perlu.
Pelita pula hampir terpadam,
fikir hatinya cuba menghadam,
bimbang dirinya bagai direndam,
takutkan dosa pula menggodam.
Tujuh helai rambutnya digunting,
jadikan sumbu tatkala genting,
limpah cahaya perkara penting.
namun suami pula melenting.
Darmatasiah disergah marah,
lantaran laku tidak diarah,
hatinya luka parah berdarah,
diusir pergi dia berpasrah.
Meninggalkan anak hatinya sayu,
puaslah sudah merayu-rayu,
marah suami mencapai kayu,
pengsan isteri dipalu luyu.
Ayah dan ibu tidak membantu,
takut berdosa jadi sekutu,
Darmatasiah hilang penentu,
mohon simpati tidak direstu.
,
Kini hidupnya semakin goyah,
makan dan minum terlalu payah,
lemah dirinya jatuh melayah
terkenang anak ibu dan ayah.
Ke dalam hutan membawa diri,
melangkah kaki hindari duri,
lapar dahaga tidak terperi,
juga terselit takut dan ngeri.
Kepada Allah dia munajat,
mengadu nasib telah tersejat,
memohon ampun dosa yang bejat,
agar tertunai apa dihajat.
Semasa hendak sembahyang Asar,
resah hatinya mula menggusar,
terlalu risau tujuan sasar,
tidak sempurna semua kasar.
Allah mendengar doa hamba-Nya
mahligai emas ujud sisinya,
bersolat dia dengan kusyuknya,
tidak terjangkau akan jadinya.
Isi mahligai emas dan perak,
kemas semua tidak berserak,
Darmatasiah mudah bergerak,
amal ibadah tidak berjarak.
Jibril pun turun ke alam fana,
Allah berfirman arahnya mana,
pakaian syurga indah sempurna,
beri kepada isteri merana.
Hamba-Ku itu suri yang taat,
besar baktinya setiap saat,
pada suami ikhlas beringat,
telah-Ku kabul akannya niat,
Pakaian syurga indah menyerlah,
cantik sekali tidak tersalah,
menjunjung kasih anugerah Allah,
teramat banyak tidak terjumlah.
Dua rokaat usai bersolat,
berseri wajah laksana kilat,
purnama penuh sinari selat,
amat rupawan hilanglah ralat.
Malaikat Jibril menghantar pulang,
sekian lama telah menghilang,
suka hatinya bukan kepalang,
tiada apa aral menghalang.
Singgah dahulu ke rumah ibu,
terkejut sapa selaru serbu,
entah siapa wajahnya gebu,
konon pembawa pesan di kalbu.
Pada Sheikh Bil- Makhruf ingin diberi,
Darmatasiah hajat mencari,
arah ditanya pergi sendiri,
tegarkan langkah seorang diri.
Sekali pandang sudah tertawan,
Darmatasiah sangat rupawan,
hatinya pula menjadi rawan,
suami dera bagaikan haiwan.
Kata dipesan sampailah sudah,
hendak berundur terasa gundah,
suami pula mengolah madah,
ingin menjamu tamu juadah.
Hendak memasak kayu dibelah,
wajah tersenyum manis terserlah,
berulang pandang bagai menelah,
luka tangannya tersilap olah.
Darmatasiah tersenyum saja,
suami itu dulunya raja,
kasih sayangnya dibalas durja,
kini dirinya dipuja-puja,.
Siaplah sudah akan hidangan,
Cenderadewi dalam dukungan,
Darmatasiah hulurkan tangan,
pelukan erat terlerai jangan.
Darmatasiah debar mengaku,
ungkap cerita apa berlaku,
tidak tertinggal walaupun suku,
suami dengar terdiam kaku.
Menangis dia tersedu-sedu,
kesal hatinya tidak dipandu,
mengikut rasa pahit hempedu,
orang dibenci kini dirindu.
Syair dikarang hikayat lama,
citera suri taat agama,
pada suami kasih selama,
walau berpisah akhir bersama.

PARIDAH ISHAK
DMS
14/5/020

12 comments:

  1. klasik ni..buku kuning, takde noktah..

    ReplyDelete
  2. kat kampung wak ada makcik nama Dermatasiah
    Ada sejarah rupanya

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum kak paridah. Tinggi betul bahasanya. Mendamai rasa dalam cerita.

    ReplyDelete
    Replies
    1. WSALAM SS TKSH SUDI BACA KISAH DLM SYAIR KALAU RAJIN NANTI CUBA TLS CERITA PROSA

      Delete
  4. sedap betul nama tu... Dermatasiah

    ReplyDelete
  5. Dah lama x baca syair.best syair ini :)

    ReplyDelete
  6. Saya tak faham..kenapa suami dia halau dia?

    ReplyDelete
  7. Tinggi bahasa melambangkan hebatnya pemikiran.. subhanallah.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”