Monday, 27 April 2020

TAFSIR: SURAH 21. AL ANBIYA (PARA RASUL). Ayat 58 - 63.

ASSALAMUALAIKUM

PERKONGSIAN ILMU: SURAH 21. AL ANBIYA (PARA RASUL). Ayat 58 - 63.
"Jom ke Taman Raudhah." Ujarku usai mengerjakan solat terawih dan witir.
Syukur Alhamdulillah anakku, Amiru mengimami solat Isyak dan solat terawih keluarga besar kami. Anak kelimaku itu, bekas pelajar Ma'had Tahfiz Terengganu.
"Eh, Taman Raudhah?" Balqis cucu sulungku kehairanan.
"Berada dalam majlis ilmu, bagaikan berada di Raudhah, iaitu Taman Syurga. Beribu-ribu malaikat menaungi majlis ilmu kita ini." Aku menjelaskan.
Afyan, ayah Balqis memimpin bacaan quran kami secara bertalaqqi.
Kemudian aku mulai menyambung tafsir.
"Ayat 58: Merupakan sambungan Kisah Nabi Ibrahim as. Baginda telah menghancur-leburkan patung-patung yang terdapat di dalam kuil itu kecuali satu. Iaitu sebuah patung yang paling besar."
Aku juga menjelaskan, harapan Nabi Ibrahim as supaya kaumnya mendatangi patung yang besar itu. Patung-patung lain dihancurkan supaya tidak dapat dibaiki lagi.
"Ayat 59. Apabila kaum Nabi Ibrahim datang semula ke kuil mereka sangat terkejut dan berkata; Siapakah yang tergamak melakukan perbuatan ini terhadap illah-illah kita?"
"Illah-illah tu apa?" Cucuku Aqila, bertanya.
"Illah-illah tu maknanya tuhan-tuhan." Azya, anak keenamku memberi jawapan.
"Mereka sebut illah-illah, tak sebut patung-patung." Aku menjelaskan.
"Ayat 60: Salah seorang daripada mereka berkata; Aku dengar ada seorang pemuda pernah mencela illah-illah kita. Sebut kelemahan illah-illah kita. Namanya Ibrahim."
"Ayat 61: Lalu mereka mencari Nabi Ibrahim as, supaya datang ke kuil. Baginda bersedia datang tanpa paksaan."
"Ayat 62: Mereka bertanya kepada Nabi Ibrahim as. Apakah kamu yang menghancurkan illah-illah kami?"
"Ayat 63: Nabi Ibrahim as menjawab; Memang ada seseorang yang telah hancurkan patung-patung itu. Patung yang paling besar ini masih ada. Kamu tanyalah dia, sekiranya dia dapat bercakap atau menjawab."
"Ada tafsir yang menyatakan Nabi Ibrahim as menjawab; Patung yang besar ini yang melakukannya. Kamu tanyalah dia."
"Patung besar tu boleh jawab tak?" Aku melontar tanya.


"Tak boleh...!" Mereka menjawab serentak.

4 comments:

  1. Wkmsalah
    Alhamdulillah perkongsiannya.

    ReplyDelete
  2. salam sis
    terima kasih atas perkongsian
    semoga bermanfaat yg membaca

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”