Friday, 24 January 2020

TAFSIRAN YASIN 2

ASSALAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA

PERKONGSIAN ILMU
SAMBUNGAN SURAH 36: YASIIN. Ayat 6 - 12.
"Ayat enam, Tujuan al Quran diturunkan. Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad saw memberi peringatan kepada kaumnya, Musyrikin Mekah." Aku menyambung tafsir.
"Sebelum ini tidak ada nabi-nabi yang memberi peringatan dan amaran kepada mereka. Menyebab kan amalan-amalan mereka jauh daripada agama."
"Ayat tujuh pula, Allah SWT beritahu awal-awal kepada Rasulullah, sedikit sahaja orang yang mahu beriman. Jika enggan beriman, setelah didakwah mereka akan diazab. Diazab di mana?"
"Neraka..." Serentak mereka menjawab.
"Ayat lapan, Ancaman Akhirat; Orang-orang yang enggan beriman ini, di dunia mereka berjalan dengan sombong. Di akhirat tangan mereka dibelenggu, diikat di batang leher dengan rantai. Menyebabkan dagunya terdongak ke atas."
"Ayat sembilan; Allah SWT tutup dan sekat pandangan mereka dari hadapan , belakang dan atas. Apabila ini berlaku cahaya hidayah dan kebenaran tidak dapat masuk kepada mereka."
"Ayat sembilan ini, dulu Mama ajar sebagai doa. Kalau naik motor tak ada lesen atau lalu depan polis, baca doa ini supaya polis tak nampak." Anom bersuara.
Anak-anakku yang lain mengangguk -angguk, tanda setuju.
"Dulu Mama jahil. Ustaz ajar begitu. Mama ikut. Kemudian ajar anak-anak, ajar pelajar-pelajar Mama. Nampak polis baca ayat ni. Sampai di pemeriksaan imigresen baca ayat ni."
"Sekarang dah belajar tafsir, dah faham maksudnya. Kita taubat, jangan buat lagi." Aku berpesan kepada anak-anak dan menantu- menantu.
"Ayat 10: Golongan yang menolak wahyu, degil. Mereka yang tidak mahu mendengar al Quran, tidak akan dapat hidayah."
"Ayat 11: Sifat Orang-orang yang mahu menerima al Quran. Mereka membenarkan wahyu dan memahami maksud dengan bertalaqqi. Macam majlis ilmu kita sekarang ni."
"Orang-orang beriman sempurna, takut kepada Allah SWT, taat kepada perintah-NYA dan jauhi maksiat walaupun orang tak nampak. Takut kepada azab di akhirat, walaupun tak nampak lagi azab."
"Berita gembira, mereka mendapat keampunan Allah dan diberi pahala. Semoga kita termasuk dalam golongan ini."
"Aamiin..." Mereka mengaminkan doaku.
"Ayat 12: Allah SWT berkuasa menghidup orang yang telah mati. Semua amalan kita ditulis dalam buku amalan kita dan disimpan di Lauh Mahfuz."
"Bukan disimpan di illiyin ke?" Afya mengemukakan soalan.
"Simpan roh tu." Jawabku.
"Roh-roh orang baik yang disimpan di illiyin, di langit ketujuh. Roh-roh orang jahat disimpan dalam sijjin yang terletak di dalam perut bumi." Aku menjelaskan. Kemudian menyambung tafsir.
"Sesiapa yang tunjuk kebaikan cara Nabi, Si mati dapat pahala. Contoh Abah ajar mengaji Quran ketika kamu kanak-kanak.
Sekarang kamu sudah dewasa, ajar mengaji kepada anak-anak kamu pula. Abah juga dapat pahala."
"Sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud; Apabila mati seorang manusia, putus semua amalannya kecuali tiga. Iaitu sedekah jariah. Ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh."
"Oleh itu sebelum kita mati, buatlah kebaikan untuk kita tinggalkan. Kesan- kesan kita ke masjid dapat pahala. Kesan-kesan kita ke majlis ilmu pun dapat pahala."
Menjelang waktu Isyak. Majlis ilmu kami berakhir. Insyaallah bersambung minggu hadapan.

2 comments:

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”