Sunday, 15 September 2019

SKRIP PURBAWARA SRIKANDI MELAKA

ASSALAMUALAIKUM

ADA YANG BERMINAT NAK TULIS SKRIP PURBAWARA RADIO KLASIK...PI KONGSIKAN DI SINI FORMATNYA
https://drive.google.com/file/d/1bwvdV9e3DG6S7rE7M9HysTn_chGDHUb8/view?ts=5d65e734

RANCANGAN: PANGGUNG DI KLASIK
PENERBIT:        ZURAIDAH MOHD NOR.
TAJUK:               SRIKANDI  MELAKA.
PENULIS:          PARIDAH BINTI ISHAK.
ALAMAT:          

K/P:                 
HP/ E-MEL:        
AKAUN BANK:        

                           

PELAKON:        1. .…………………….....…........ sebagai TUN FATIMAH.
                            2. .………………………............. sebagai LELASARI.
                            3. ………………………….......... sebagai SULTAN.
                            4. ………………………….......... sebagai TUN BUSU.
                             5....................................................sebagai L.KHOJA   HASAN.                          
                           

EFEK:                 1. SUARA PERGADUHAN.
2. SUARA ORANG RIUH-RENDAH.

SINOPSIS:             
Ayahanda Tun Fatimah, bendahara Melaka, suaminya dan keluarga dititah bunuh oleh Sultan Melaka kerana dipercayai merancang merampas kuasa mentadbir negeri. Tun Fatimah amat bersedih kerana merasakan sultan bertindak tanpa menyiasat kebenarannya terlebih  dahulu. Lelasari sahabatnya cuba menaikkan semangatnya yang merudum dengan menasihatkannya agar menyiasat gara-gara siapakah yang menabur fitnah yang menyebabkan kejadian itu.. Tun Busu, sepupu mereka dan seperguruan dalam persilatan turut membantu.  Sultan memaksa Tun Fatimah menjadi isterinya. Pada mulanya Tun Fatimah enggan. Akhirnya Tun Fatimah  bersetuju setelah dipujuk Lelasari dan Tun Busu yang menerangkan rancangan mereka untuk membongkar rahsia pembunuhan bendahara dan keluarganya. Tentulah lebih mudah mereka melaksanakan siasatan mereka sekiranya Tun Fatimah berada dalam istana dan berdampingan dengan sultan.  Hasil siasatan mereka mengetahui, hukuman yang dikenakan sultan ke atas bendahara adalah kerana sultan percaya pendustaan Raja Mandaliar dan laksamana Khoja Hasan. RajaMandaliar dan laksamana Khoja Hasan menerima hukuman setimpal dijatuhkan sultan.


GRAM:              MUZIK PENGENALAN.
JURUHEBAH:   Wahana citra warisan bangsa, dipersembahkan dalam Purbawara. (PAUSE) Purbawara dengan kisah “SRIKANDI MELAKA” karya Paridah Ishak, Desa Melor Serendah. “SRIKANDI MELAKA”.
SYAIR:                   
.                            Syair dimadah kisah lagenda
                            Ceritera Tun Fatimah bangsawan muda,
    Dugaan besar datang melanda,
    Sedih hidupnya porak peranda.

                            Dirinya hiba hatinya luka,
                            Tidak tertahan menanggung duka,
                            Insan tersayang  tidak terjangka,
                            Semua dipancung sultan yang murka.
GRAM:                   MUZIK.
LELASARI :           Marilah makan Tun Fatimah! Sudah beberapa hari tuan hamba tidak makan.
T.FATIMAH:          (SEDIH) Biarlah hamba begini Lelasari. Selera makan hamba telah mati. Mati bersama kematian ayahanda dan kekanda Tun Ali suami hamba juga semua adinda dan kekanda hamba yang   hamba  kasihi. Hamba juga ingin turut bersama mereka ke alam sana. Kenapalah hamba tidak dipancung  sekali.                                                                                                      
LELASARI :           (MEMUJUK) Sabarlah Tun Fatimah! Setiap yang berlaku sudah takdir Yang Maha Esa. Terimalah ketentuan-Nya dengan reda.
T.FATIMAH:          Kenapalah ayahanda hamba, suami hamba dihukum pancung Sultan Melaka. Sedangkan ayahanda hamba adalah bendahara Melaka yang berkhidmat sepenuh jiwa raganya.   Hamba tidak mengerti apa puncanya.                                                    
LELASARI :           Kerana itulah tuan hamba tidak boleh berhiba menanggung duka semata. Kuatkan semangat. Kita sebagai warisnya mesti siasat. Apalagi tuan hamba sebagai warisnya terdekat. Kalau tiada angin masakan pohon  bergoyang Tun Fatimah. Tidak mungkin kita percaya bendahara menderhaka dan ingin merampas takhta.                                                                                    
T.FATIMAH:          (BERSEMANGAT) Hmm..Benar kata tuan hamba Lelasari. Hamba tidak boleh patah semangat dan cuma berdiam diri. Akan hamba cari sebabnya hingga akar umbi. Sia-sia  hamba sebagai anak bendahara memerhati saja. Angkara siapa menabur fitnah pesona akan hamba siasat.  Siapa yang menabur angin akan menuai badai.
LELASARI:            Hamba juga bersedia menolong tuan hamba. Bukankah kita ini bersaudara dan bersahabat sejak lama. Kesusahan tuan hamba, hamba turut rasainya.
T.FATIMAH:          Terima kasih Lelasari! Tuan hambalah sahabat hamba yang sejati.
LELASARI:            Sebelum kita memulakan langkah eloklah kita bersua dengan                               Tun Busu meminta pertolongan dan pendapatnya. Tun Busu  sahabat seperguruan silat kita. Tentu dia rela hati bersedia bantu kita.
T.FATIMAH:          Ya mudah-mudahan Tun Busu akan membantu kita.
LELASARI:            Esok kita ke rumahnya. Moga apa yang kita rancangkan dapat kita laksanakan.                                                                                                                                                                                                                   
GRAM:                   MUZIK.
LELASARI:            Tenguk tu Tun Fatimah...sebelum kita mengatur langkah sudah ada yang datang menghalang.                                                                                             
T.FATIMAH:          Nampaknya Tun Busu juga berada di belakang hulubalang-hulubalang itu. Apakah hajat mereka menuju ke mari.
EFEK SUARA KASAR:     (TANGKAP TUN FATIMAH...BAWA KE ISTANA SULTAN!)                   
TUN  FATIMAH:   (SUARA TINGGI) Kalau berani cubalah tangkap hamba. Tidak semudah itu hamba menyerah. Tidak puaskah lagi sultan membunuh semua keluarga hamba? Akan hamba amuk tuan hamba semua sehingga kehilangan nyawa.
EFEK PERGELUTAN:     
T.BUSU:                  (SUARA TINGGI) Usahlah bertarung bertumpah darah Tun Fatimah. Ikut sajalah pengawal ke istana agar kita tahu duduk perkara. Mungkin maksud sebenar sultan tidak seperti yang kita sangka.
T. FATIMAH:         (MARAH) Sungguh tidak hamba duga tuan hamba juga sudah berpaling kepada tingkah durjana sultan ya Tun Busu? Menghukum ayahanda hamba dengan tiada usul periksa.
T.BUSU:                  Usah dipersoalkan itu Tun Fatimah. Sudah adat kita Melayu pantang menderhaka kepada sultannya.(PAUSE) cepat bawa Tun Fatimah ke istana.                                                                       
LELASARI:            (MARAH) Memang tidak boleh diharap tuan hamba ini Tun Busu! Sanggup membiarkanTun Fatimah diperlakukan sebagai pesalah begitu.
T.BUSU:                  (SUARA PERLAHAN) Diam dahulu Lelasari, sebentar lagi kita bicarakan sesuat Jom kita ikuti mereka ke istana.                                                                                                                                                             
GRAM:                   MUZIK
SULTAN:                (SUARA TINGGI) Lepaskan Tun Fatimah. Tinggalkan Tun Fatimah bersama beta di sini.
T. FATIMAH:         (SUARA TINGGI) Kenapa patik dibawa ke sini  tuanku? Tuanku berhajat hendak membunuh patik? Silakan tuanku. Patik reda bersemadi bersama ayahanda, suami dan semua keluarga patik yang telah tuanku hukum. (MENANGIS)
SULTAN:                Usahlah menyangka yang bukan-bukan Tun Fatimah. (PAUSE) Sebenarnya beta hendak mengambil Tun Fatimah sebagai isteri beta dan menabalkan sebagai permaisuri Melaka ini.
T.FATIMAH:          Tidak sudi patik bersuamikan sultan kejam yang telah membunuh semua kesayangan patik. Biarlah patik dituduh menderhaka sekalipun.                       
SULTAN:                Heh… hendak dijadikan permaisuri Melaka pun tidak mahu! (PAUSE) (TERKEJUT) Kenapa keturunan bendahara ini berada di sini tanpa diundang. Berambus dari sini tuan hamba  berdua.
T.BUSU                   Ampun tuanku. Ampunkan  patik dan Lelasari kerana berada di sini. Patik berdua terlalu gembira tatkala mendapat khabar tuanku ingin memperisterikan Tun Fatimah dan ingin menyampaikan ucapan rasa bahagia kami kepada tuanku dan sepupu kami ini.
SULTAN:                Oh jadi tuan hamba berdua bersetuju beta memperisterikan Tun Fatimah( KETAWA)                                                                                                                T.BUSU:                  Benar tuanku! Biarlah patik berdua memujuknya dan menenangkannya
GRAM MUZIK
T. FATIMAH:         Rupanya tuan hamba berdualah selama ini menjadi gunting dalam lipatan yang tidak hamba sedari. Menyesal hamba bersaudara dengan tuan hamba berdua.   
LELASARI:            Usah bicara begitu Tun Fatimah. Niat suci hamba berdua usahlah diragui.                    
T.BUSU:                  Benar kata Lelasari. Tuan hamba harus menjadi permaisuri dan berada di dalam istana ini agar mudah kita mencari bukti dan merungkai masalah ini.                                                                                   .                                                                                                         
GRAM:                   MUZIK.
T.FATIMAH:          (MARAH) Hamba mendapat khabar yang diberitahu seorang dayang istana bahawa Raja Mandaliar menyampaikan kepada Laksamana Khoja Hasan bahawa ayahanda hamba telah menempah  cerek emas dan capal emas khasadnya hendak menaiki takhta. Dusta sekali semuanya. Tidak berguna sekali Raja Mandaliar itu.                        
T.BUSU:                  (TERKEJUT) Apa? Rupanya gara-gara fitnah pesona Raja Mandaliar. Biar hamba merisikinya sebelum hamba bertindak terhadapnya.
                                 Patut hamba pernah mendengar dia berkata setiap patah katanya Sultan percaya.
T.FATIMAH:          Hamba akan meminta tuanku menyiasat semula  akan hal ini.
LELASARI:            (SUARA LUNAK) Berhati-hatilah Tun Fatimah. Musuh kita banyak memperhati. Moga kita selamat dan tidak ditimpa celaka.                                       
SYAIR:                     Ayahandanya  dituduh persiap diri,
                                  hendak menjadi sultan negeri,
                                  merampas kuasa kabar diperi,
                                  barangan emas tempahan seri.

                                  Tun Fatimah usaha membongkar,
                                  mencari bukti hingga ke akar,
                                  segala punca cari selongkar,
                                  akhir terbukti fitnah membakar,
GRAM:                   MUZIK
T.FATIMAH:          (SUARA LEMBUT) Ampun tuanku adinda bertanya sepatah dua.
SULTAN:                Silakan adinda, bertanyalah apa saja, beta sedia menjawabnya.
T.FATIMAH:          Khabarnya berlaku pergaduhan di pelabuhan Melaka suatu ketika antara Nina Sura Dewana  dan Raja Mandaliar dalam urusan perdagangan mereka. (PAUSE)  Almarhum ayahanda bendahara telah menyelesaikan persengketaan mereka. Tapi Raja Mandaliar tidak berpuas hati kerana ayahanda memihak kepada Nina Sura Dewana pesaing dagangannya kerana kebenarannya,.apakah kekanda tuanku tahu soal itu?
SULTAN:                Tidak! Beta cuma diberitahu oleh laksamana Khoja Hasan bahawa Raja Mandaliar memberitahunya bendahara hendak menderhaka dengan khasadnya menaiki takhta  dan telah menempah cerek emas dan capal emas.  Lain-lainnya tidak pula diberitahu.               
T.FATIMAH:          Ampunkan adinda tuanku! Apakah tuanku telah menyiasat kebenaran semua itu?                                                                                                                                                         
SULTAN:                (SUARA TINGGI) Beta sudah memberi amanah kepada Laksamana Khoja Hasan syahbandar, tentulah dia telah menjalankan tugasnya dengan baik.
T.FATIMAH:          (SUARA LEMBUT) Ampun tuanku di luar istana orang-orang Melaka mendengar Raja Mandaliar bercerita tuanku mentadbir negara mengikut apa bicaranya.          
SULTAN::               (MARAH) Apa! Beta tidak boleh terima semua ini. Seolah selama ini beta diperbodohkan Raja Mandaliar dan laksamana Khoja Hasan..(PAUSE) (SUARA TINGGI) Pengawal bawakan Raja Mandaliar dan Khoja Hasan mengadap beta.  Beta ingin tahu perkara sebenarnya.               
T.FATIMAH:          Ampun tuanku. Adinda mohon diri ke taman  sebentar.
GRAM:                   MUZIK.
T.FATIMAH:           (SUARA PERLAHAN) Dayang panggilkan Lelasari dan Tun Busu ke sini!                   
LELASARI:            Kenapa Tun Fatimah memanggil hamba berdua?               
T.FATIMAH:          Kita harus bersedia kerana tuanku telah memanggil laksamana Khoja Hasan dan Raja Mandaliar ke istana. Hamba bimbang mereka melarikan diri kerana tembelang mereka telah diketahui. Ayuh kita semua ke sana.
LELASARI:            Ayuh jangan biarkan pesalah-pesalah itu tidak dihukum.
                                 Pesilat-pesillat seperguruan kita jua telah hamba bawa bersama.
T.BUSU:                  Ayuh segera kita ke sana kerana hamba bimbang kedua mereka belayar meninggalkan pelabuhan Melaka. Hamba sudah lama ketahui mereka berdua berpakat merancang semua angkara ini. Tapi hamba tidak berdaya menjelaskannya tanpa bantuan Tun Fatimah.
GRAM:                   MUZIK.
EFEK PERGELUTAN
T.FATIMAH:          Lihat itu! Mayat para pengawal yang dititahkan                                  tuanku membawa mereka mengadap baginda bergelimpangan. Sungguh kasihan                                                                                                                                
LELASARI:            (SUARA TINGGI) Tun Busu kawan-kawan semua, ayuh kita tangkap mereka! Petualang-petualang Melaka in kita hadapkan kepada sultan.                                 
EFEK PERGELUTAN
TUN BUSU:            Menyerahlah tuan hamba berdua. Tuan hamba berdua tidak akan menang berlawan dengan pahlawan-pahlawan Melaka ini. Berhentilah menentang kami.                             
LELASARI:            Cepat kita heret saja kedua-dua petualang ini ke hadapan sultan.
                                 (PAUSE) Tun Fatimah! Tuan hamba terlukakah? Biar hamba balut lukanya. Tahan sakitnya ya!  
GRAM:                   MUZIK.
T.BUSU:                  (SUARA TINGGI) Ampun tuanku! Patik membawa kedua-dua pacal ini mengadap tuanku. Pengawal-pengawal yang tuanku titahkan membawa mereka, habis mati dibunuh mereka.
K.HASAN:              (MERAYU) Ampun tuanku! Patik tidak bersalah tuanku.                                         
SULTAN  :            (SUARA TINGGI) Kalau tidak bersalah kenapa hendak larikan diri.
                                  Dan pengawal-pengawal beta habis dibunuh mati. Apakah  
                                 maksudnya semua ini? Terangkan kepada beta perkara sebenarnya.
K.HASAN:              Semua ini pesona fitnah Raja Mandaliar yang memaksa patik sampaikan kepada tuanku kisah penderhakaan bendahara kepada tuanku. Dan patik diberi imbalan sepuluh kati emas.
SULTAN:                (MARAH) Hanya kerana sepuluh kati emas kamu sanggup membiarkan nyawa bendahara dan keluarganya melayang kerana hukuman beta yang semata-mata mempercai bicara kamu. Sungguh kamu  ini tidak amanah. Beta akan hukum kamu dengan seberat-berat hukuman.                                                                  
K.HASAN:              (MERAYU) Ampuni patik tuanku! Sebenarnya Raja Mandaliar inilah yang khasad naik takhta dengan meminta bantuan bangsa benggali putih yang datang berdagang di pelabuhan Melaka                                               tuanku! Bendahara tidak khasad begitu.
SULTAN:                (MARAH) Sungguh tidak berguna kamu berdua. Sanggup kamu bersubhat dengan Raja Mandaliar melakukan petualangan ini. Dan mereka yang tidak bersalah menjadi mangsa. (PAUSE) Sudah! beta tidak mahu mendengar lagi semua ini. (PAUSE) (SUARA TINGGI) Pengawal! Heret kedua-dua penderhaka ini dan gantung mereka di pesara.
T.BUSU:                  Biarlah patik mengiring mereka bersama-sama kawan-kawan patik ini tuanku!
SULTAN:                (TERTANYA-TANYA) Tun Busu... tapi siapakah kawan-kawan kamu ini. Beta tidak pernah melihat mereka selama ini.
 T.BUSU:                 Ampun tuanku! Kesemua mereka adalah pesilat-pesilat seperguruan dengan patik tuanku. Merekalah yang turut membantu patik menangkap penderhaka ini tuanku.
SULTAN:                Oh begitu! (PAUSE) Bukalah hijab yang melindungi wajah kamu semua supaya beta dapat mengenali kamu semua. Jasa kamu semua kepada negeri Melaka amat besarnya. (PAUSE) (TERKEJUT) Apa adinda Tun Fatimah? Lelasari ?
T.FATIMAH:          (MERAYU) Ampuni patik tuanku! Patik terpaksa bertindak begini bersama sahabat-sahabat patik demi membongkar pendustaan mereka terhadap ayahanda patik tuanku. Patik tidak ada khasad lain yang  tersembunyi tuanku. Ampunilah kesalahan patik  tuanku!
SULTAN:                Adinda Tun Fatimah! Usahlah bicara begitu. Sebenarnya kandalah yang bersalah kerana menghukum ayahanda bendahara tanpa usul periksa. Hukumlah kanda. Kanda bersedia menerimanya (BERSEDIH MENANGIS)  Ampunilah  perbuatan kekanda duhai dinda. Kanda tidak mentadbir negeri dengan adil dan saksama.
T.FATIMAH:          Tidak mungkin dinda menghukum tuanku suami dinda. Dinda sebatang kara di dunia ini. Hanya kandalah tempat dinda menyandar nasib susah dan senang. Semoga kejadian yang berlaku ini dijadikan iktibar dan pengalaman. Walau amat perih dirasakan.
                                 
SYAIR:           Berakhir sudah syair digubah,
                        Hayati kisah usah gelabah,
                        semangat tegar tidak berubah,
                        musuh sebenar ditolak rebah..

                        Tun Fatimah berjiwa kersani,
                         hadapi ujian dengan berani,
                         srikandi Melaka dulu dan kini,
                         ingatan kekal ke  hari ini
GRAM:                   MUZIK PENUTUP.
JURUHEBAH:        Demikian Purbawara dengan kisah “SRIKANDI MELAKA” karya Paridah Ishak, Serendah, Selangor.
PELAKON:
                            1. ……………………………sebagai SULTAN
                            2. ……………………………sebagai TUN FATIMAH
                            3. ……………………………sebagai LELA SARI
                            4. ……………………………sebagai TUN BUSU
                             5.............................................sebagai L.KHOJA HASAN
.                          
                            PENYAIR: ………………………………………………………….
Purbawara khazanah seni warisan bangsa, diterbitkan oleh ZURAIDAH MOHD NOR.







3 comments:

  1. Pandainya PI buat skrip purbawara.
    Zaman dulu suka dengar purbawara ni.

    ReplyDelete
  2. TKSH WP XLAH PANDAI PUN ..PI BELAJAR DGN TOK GURUNYA CIKGU HAMIDI

    ReplyDelete
  3. It is my first visit to your blog, and I am very impressed with the articles that you serve. Wondering where to go in 2019? Things to do has ranked as the best include a remote, idyllic island, the design capital ...

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”