Friday, 14 June 2019

HIKMAT BASMALAH

ASSALAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA


HIKMAT BASMALAH
Cerita rakyat olahan;
Paridah Ishak


Pada zaman dahulu di dalam sebuah hutan tinggal sepasang suami isteri keturunan Orang Asal. Kerja mereka setap hari adalah bertani dan memburu hidupan liar. Walau mereka bekerja dengan rajin tetapi mereka tetap juga berada di dakam kemiskinan. Kehidupan mereka yang sukar membuat Agam menjadi malas untuk melakukan suruhan agama yang wajib. Mereka baru saja memeluk agama Islam
            Sementara Adah isterinya pula sentiasa tabah menghadapi keadaan hidup begitu. Beliau amat rajin menunaikan solat  apabila sahaja masuk waktunya. Menjadi amalannya, Setiap kali hendak melakukan sesuatu pasti akan dimulakannya dengan  ucapan kalimah” basmalah”.
            Amalan isterinya itu diperhatikan suaminya. Agam  memperlekehkan perbuatan isterinya itu.
            “Kenapalah awak ini masih rajin bersolat? Awak ini membuang masa sahaja. Tak payahlah bersolat. Bukan dapat faedahnya pun.” Kata Agam kepada isterinya
            “Kenapa pula awak berkata begitu? Solat itu tiang ugama. Kalau tiada tiangnya bagaimana akan tegak agamanya. Bukankah kita ini orang beragama Islam. Islam agama yang baru kita anut itu akan membawa kesejahteraan kepada kita.” Balas isterinya mempertahankan kebenarannya.
            “Pandailah awak bercakap. Tapi setelah menganut Islam, hidup kita masih miskin juga. Tidak ada perubahannya. Kita masih tinggal di pondok buruk. Hendak makan pun mesti dipilih yang halal . Hanya makan ubi kayu sahaja. Aku hendak menyumpit lotong,kera untuk dibuat lauk pun sudah tidak boleh. Babi hutan pun banyak berkeliaran tapi sudah tidak boleh disumpit. Semua itu lauk yang sedap dan mudah diperolehi.” Kata Agam memberitahu kekesalan hatinya.
            “Selain lotong, kera, babi hutan, bukankah banyak lagi hidupan hutan yang boleh disumpit dan boleh dijadikan lauk kita seperti kijang, rusa, pelanduk, landak? Hanya awak sahaja yang malas hendak menyumpitnya.” Tambah isterinya bersuara lembut dan perlahan.
            “Menyumpit semua hidupan itu tidak semudah yang awak sangka. Mereka itu sangat pantas larinya. Aku tak terkejar hendak menangkap mereka.” Agam menyatakan alasannya dengan tegas.
            “Sebelum memulakan sesuatu kerja, ucaplah “ basmalah” terlebih dulu. Pasti Allah akan menolong kita. Maka kerja kita akan menjadi lebih mudah..” Isterinya cuba memberi sedikit panduan. Ilmu itu diperolehinya ketika menghadiri kelas agama yang diberikan seorang alim yang berdakwah kepada kaum mereka.
            “Awak ini hanya itu saja yang awak tahu cakap. Asyik “basmalah” saja. Apakah kata-kata itu ada hikmatnya? Sudahlah awak jangan bersolat dan sebut “basmalah” lagi. Aku tidak suka. ”  kata Agam dengan jengkel. Isterinya hanya mendiamkan diri.
            “Saya hendak ke sungai menangkap ikan untuk makanan kita.” Beritahu isterinya selaku meminta izin kepada suaminya.
            “Pergilah. Mudah-mudahan awak akan mendapat ikan yang banyak”
            “Sebelum itu saya hendak bersolat dulu, memohon kepada Allah melimpahkan rezeki-Nya kepada kita.”
“Ikut suka hati awaklah. Saya hendak tidur saja.”
“Itulah kerja yang awak tau. Cuma tidur saja. Sebelum awak tidur ucap “basmalah” dulu agar awak tidak bermimpi dikejar harimau seperti selalu.”
“Huh. Tak payahlah awak nak mengajar aku pulak macam ustaz itu. Pergi sajalah ke sungai menangkap ikan. Moga awak dapat menangkap ikan dengan banyak.”
Setelah selesai menunaikan solat sunat dhuha dua rakaat, Adah menuruni tangga pondoknya membawa raga kecil dan penangguk ikan. Raga kecil itu untuk mengisi  ikan yang berjaya ditangkapnya mengggunakan penangguk ikan yang diperbuat dari  rotan itu  di sungai kelak.  
Adah turun ke gigi sungai kecil itu, memulakan langkahnya dengan membaca kalimah “basmalah.” Kelihatan banyak ikan-ikan yang berenang di sungai berbatu halus di dasarnya dan sangat jernih airnya itu.
Adah menangguk ikan-ikan itu dengan mudah setelah mengumpannya dengan buah sawit yang ditemuinya di pinggir sungai itu. Hampir penuh raga yang dibawanya terisi ikan-ikan yang telah ditangguknya..
Dia berpuas hati dengan apa yang diperolehinya
“Alhamdulillah. Dapatlah ikan-ikan ini dijadikan lauk dan dimakan bersama ubi kayu” katanya perlahan. Dia dan suaminya sudah lama tidak makan nasi kerana bekalan beras sukar hendak diperolehi kata suaminya. Dia mempercayai sahaja apa yang dikatakan suaminya itu.
“Awak, saya sudah balik! Tenguklah apa yang kita bawa balik ni. Tolonglah bawakan ke dapur. kita hendak ke belakang pondok mencabut ubi kayu.”
Suaminya tidak mempedulikan panggilannya . Dia meneruskan tidur yang telah terganggu dengan suara isterinya sebentar tadi.
“Wah banyak juga ikan yang dapat awak tangguk ya?” tegur Agam tatkala melihat isterinya menyiang ikan.
“Alhamdulillah. Mungkin berkat saya membaca “basmalah” sebelum memulakan kerja. Tuhan memberi kita rezeki yang banyak. Selain dibuat lauk,boleh saya buat ikan kering  dan ikan pekasam untuk makanan kita.” Agam menceberkan bibirnya, seolah tidak suka mendengar kata-kata isterinya itu.
“Suka hati awaklah!” sahutnya sambil meninggalkan lokasi kerja isterinya itu.
Dia bertanya kepada dirinya, adakah perkataan ‘basmalah’ itu memang benar mempunyai hikmat kepada yang menuturnya. Dia termenung dan berfikir. Akhirnya dia mendapat idea untuk mengujinya
            “Aku hendak ke kampung di tepi hutan ini mencari sedikit beras. Guri yang mengisi beras pun sudah kosong.  Sudah lama kita tidak makan nasi.” Dicapainya guni yang sering di isi beras di atas para.
            “Ialah. Pergilah. Jangan lupa menyebut “basmalah” sebelum memulakan kerja.”  Pesan isterinya itu tidak dipedulikannya. .Di dalam fikirannya dia sedang merancang sebaliknya.
            Langkahnya menuju ke dalam hutan. Matanya melingas seakan mencari sesuatu.  Dia  menemui apa yang dicarinya. Pantas ditangkapnya haiwan berbisa itu. Lalu dimasukan ke dalam guni yang dibawanya.  
            Sampai di rumah dimasukan haiwan berbisa itu ke dalam guri pengisi beras. Perbuatannya tidak disedari isterinya yang sedang menjemur ikan ketika itu.
            “Awak dah pulang. Cepatnya. Sudah dapat beras yang dicari?” Agam angguk.
            “Pergilah tanak nasi. Sudah ada beras di dalam guri.” Ujar suaminya.
            “Jangan lupa baca “basmalah’ ” Katanya dengan nada mengejek.
             Adah gembira kerana suaminya kelihatan berubah. Dan tidak lagi memarahinya menyebut “basmalah.”
            “Bismilahirohmanirrohim,” ucap Adah sebelum membuka penutup guri. Sebaik penutup guri dibuka terpancarlah cahaya kuing keemasan dari dalam guri tersebut. Adah sangat terkejut hingga terpekik-pekik memanggil suaminya.  Agam mengesyaki isterinya yang dibencinya kerana suka menyebut “basmalah” sedang kesakitan dipatuk ular berbisa yang diletakkannya ke dalam guri itu.
            “Sudah aku duga “basmalah” itu tiada hikmatnya. Sekarang merasalah akibatnya.” Ujarnya.
            “Awak kenapa tidak datang lagi? Tidak mahukah melihat emas di dalam guri ini.”
“Emas?”  Agam terkejut kebingungan. Bagaimana ular berbisa yang diletaknya di dalam guri bertukar mejadi emas pula. Dia segera mendapatkan isterinya.
“Banyaknya emas. Aku  kaya!” Agam teruja.
“Sebelum awak mengambil emas itu baca basmalah dulu.” Agam tidak pedulikan pesanan isterinya. Tangannya dihulurkan ke dalam guri untuk mengambil emas. Tiba-tiba saja Agam menggelupur kesakitan kerana telah dipatuk ular.

TAMAT

7 comments:

  1. Besar hikmah Basmalah..Dengan nama Allah..Allahu.

    ReplyDelete
  2. TKSH PC YA AMAT BESAR SEKALI

    ReplyDelete
  3. Allahu... peringatan buat diri ini juga agar sentiasa mengutamakan Bismillah dalam setiap perkara, in shaa Allah. Terima kasih atas pengisian bermanfaat ini.

    ReplyDelete
  4. TKSH DIK KK ALHAMDULILLAH..MUDAH SAJA MENYEBUT BISMILAN N MEMPEROLEHI BERKAT-NYA

    ReplyDelete
  5. sebuah cerita yang memberikan pengajaran, terima kasih PI

    ReplyDelete
  6. TKSH YAN..ALHAMDULILLAH MOGA BERMANFAAT.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”