Thursday, 16 May 2019

SASTERA DAN POLITIK...SELAMAT HARI GURU

ASSALAMUALAIKUM..

LEKSIKON PEMIKIRAN CIKGU NAZEKA KANASIDENA (Edisi 105)
SASTERA DAN POLITIK - BENARKAH BAGAI MINYAK DAN AIR? Satu interpretasi dua entiti yang mempengaruhi jalannya sejarah manusia.
Beberapa orang kenalan menelefon dan mengSMS saya berkenaan kekerapan saya mengangkat puisi-puisi indah atau sesekali duka. Mereka juga memuji artikel-artikel saya yang kelihatan menurut mereka berharga, sangat membantu, penuh dengan informasi, mengandung banyak fakta sejarah yang sukar ditelusuri kembali dalam kepustakaan biasa. Mereka juga berkata, adalah lebih baik untuk saya berkecimpung dalam bidang penulisan yang bagi mereka kelihatan ‘neurtal’, ‘ilmiah’ dan ‘intelektual’. Bidang itu juga yakni penulisan dan sastera menurut mereka lebih manusiawi, lebih bersahabat, ‘nature friendly’ dan banyak berusaha MEMBUMIKAN HASRAT TUHAN. Saya sendiri merasakan ingin menjadi ‘nabi’ dan ‘malaikat’ dalam maknanya yang sempit sesuai dengan hasrat saya untuk berbuat kebaikan melalui tulisan dan puisi-puisi saya.
Para sahabat juga tidak segan silu menasihatkan:
"JANGANLAH KAU BERPOLITIK DAN MENULIS TENTANG ISU BERBAU POLITIK. POLITIK ITU BUSUK LAGI MEMBUSUKKAN. POLITIK ITU JAHAT LAGI MENJAHATKAN. POLITIK ITU KOTOR LAGI MENGOTORKAN. POLITIK ITU PENUH DENGAN ANJING, BABI DAN SERIGALA BERBADAN MANUSIA!!! " Astagaa, kata saya.
Begitu pun, saya teruja dengan nasihat dan pandangan mereka. Betapa sampai begitu tanggapan segolongan insan terhadap politik dalam dekad yang menurut saya memerlukan PEMIMPIN MUJADDID dan ULIL AMRI yang sebenar-benarnya.
Saya terharu dengan gesaan itu. Saya juga bangga dilihat oleh mereka sebagai ‘public figure’, sebagai individu yang mampu membawa gagasan dan membuka kotak pemikiran mereka hanya melalui tulisan, puisi-puisi dan gambar-gambar. Tapi dalam hati saya memberontak. Jauh di sudut hati, saya tidak bersetuju apabila tanggapan mereka buruk dan terpesong tentang POLITIK.
Saya MENGISYTIHARKAN bahawa manusia tidak boleh lari dari politik kerana ‘MANUSIA ADALAH HAIWAN BERPOLITIK’. Politik itu perlu. Malah politik adalah PANGLIMA dalam semua urusan berkaitan ketamadunan manusia. Sastera pula melalui penulis dan karyanya adalah ‘rahmat’ untuk mengisi harga diri, maruah dan keintelektualan bangsa yang mengenal erti kemerdekaan dan kedaulatannya. Sastera juga melalui tekniknya yang tertentu mampu membumikan hasrat Tuhan khususnya menyeru kepada keadilan, keharmonian, mencintai keindahan dan ciptaan Tuhan. Ia juga perakam peristiwa sekaligus menjadi SEISMOGRAF KEHIDUPAN BANGSA.
Saya menegaskan: POLITIK ADALAH PANGLIMA. Betapa pun haibatnya para sasterawan melawan kekuasaan bejat, dalam diam akhirnya mereka (dalam kebanyakan kes) akan masuk, terlibat dan mengambil peranan gencar dalam politik. Tentu dengan menggunakan PENA dan keintelektualan sebagai senjata utama dalam perang tersebut ideologi itu. Tapi sejarah juga membuktikan mereka tidak akan bertahan lama!
Penulis itu insan yang lembut hatinya, sesekali melankolik dan ada waktunya sukar untuk difahami. Penulis itu jujur. Tapi kejujuran mereka berpihak dan nisbi. Sifat keberpihakan kepada satu-satu ‘isme’ itu tidak dapat ditolak kerana sampai harkat itu sahaja kemampuan mereka untuk mengubah keadaan sebagai manusia. Para penulis akan sampai pada satu kesimpulan bahawa KUASA dan POLITIK itu penting untuk mempengaruhi dan mengubah masyarakat. Hal ini benar di sepanjang sejarah umat manusia. Hasilnya mereka sendiri dalam kebanyakan kes sering terjebak dalam kancah politik. Cumanya keberkesanan pengaruh mereka dan tafsiran ke atas kuasa dan politik itu sama ada membawa kepada kehancuran atau kebahagiaan kepada rakyat adalah berbeza-beza mengikut zaman, tempat dan masyarakatnya.
Dalam sejarah, tidak dapat dinafikan pula kesusasteraan dan politik bagai air dan minyak. Hampir tidak mungkin disatukan. Sastera menciptakan kebahagiaan dan gagasan-gagasan muluk, penuh perlambangan abstrak melalui kisah-kisah dan karya kadang-kadang ‘realisme magis’, sesekali penuh sarkasme, mengkritik dalam lapisan paling terdalam dan berusaha menciptakan kehidupan paling ideal bagi sebuah tatanan sosial sehingga mencapai tahap ‘Utopia’. Kritik sosial terhadap masyarakat dan kekuasaan oleh para sasterwan itu walau berbungkus sastera, masih dapat dihidu oleh golongan penguasa. Akibatnya, bukan tidak pernah para sasterawan bentrokan dengan penguasa.
Manakala politik pula merupakan sarana untuk memperolehi kuasa, merebutnya, mempertahankannya dan mengimplementasikan kuasa itu sama ada untuk kemaslahatan umum atau untuk kepentingan peribadi, keluarga dan kroni-kroni. Kedua-dua - sastera dan politik - adalah sarana untuk mencapai tujuan dan menjadikan masyarakat dalam negara dengan pengalaman-pengalaman mereka yang ‘khas’ untuk dimanipulasi, dieksploitasi dan digunapakai dalam berkarya. Sastera berbicara dalam kondisi seni yang cantik, mulus, suci, indah dan hampir tanpa dosa manakala politik adalah cara, alat dan strategi kadang ‘licik’, penuh muslihat dan agenda serta sarat tatacara dalam perancangan yang rapi demi ‘membahagiakan’ sejumlah entiti.
Kedua-dua sasterawan dan politikus melihat diri mereka sebagai pejuang. Kedua-duanya ingin menjadi wira bangsa biar mungkin tidak didendang. Malah kedua-duanya juga ingin menjadi ‘nabi’ atau juga ‘dewa’. Malah mungkin boleh di’Tuhan’kan dalam status dan kapasiti tertentu. Sasterawan dan politikus adalah produk daripada masyarakat, zaman dan persekitarannya. Sasterawan dan politikus sama-sama menekuni masyarakat dan mengemban tugas menuju maslahat dunia dalam kerangka khas dengan ‘modus operandi’ yang mungkin berbeza-beza pula.
Hasilnya, di sepanjang sejarah umat, sastera dan politik selalu bentrokan dan bukan jarang sastera dipergunakan oleh politik dalam mencapai maksud-maksud POLITIK itu sendiri. Politik melihat sastera sebagai alat untuk mencapai tujuan dan kuasa. Politik melihat sastera itu BAHAYA TERPENDAM dan boleh menggugat kedudukan mereka yang berkuasa. Oleh yang demikian sastera harus dikekang, dimanipulasi dan dikawal sehingga selaras atau ‘neutral’ sejalan dengan maksud-maksud elit politik untuk kepentingan NEGARA. Akibatnya, ramai sasterawan menjadi mangsa, dimangsai dan sesekali menjadi pemangsa juga!!
Kalangan sastera yang masuk dalam politik atas dasar ingin memperbaiki keadaan seringkali mengalami kemalangan dan selalu menjadi ‘seperti tikus membaiki labu’. Ramai politikus yang berasal dan mempunyai latarbelakang seni dan sastera menjadi pikun, bobrok, bodoh dan malah ganas setelah berkecimpung dalam politik. Politik menjadikan sastera binatang buas berwajah nabi! Namun sekali lagi hal ini sebenarnya relatif.
Dalam kes penulisan Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) oleh Tun Sri Lanang misalnya, pengaruh politik dan perkembangan kerajaan pada saat itu mempunyai saham yang tidak sedikit ke atas penghasilannya. Begitu juga karya-karya Raja Ali Haji dari Pulau Penyengat. Hampir dapat dipastikan karya-karya sastera lama banyak berkisar tentang pengaruh dan kekuasaan raja-raja dan golongan bangsawan. Hal ini sama impaknya dengan keberadaan sastera dalam politik negara berideologi Komunis misalnya Rusia, Cuba dan China yang mana sastera haruslah menjadi alat kepada tujuan-tujuan negara bagi menyatukan golongan pekerja agar mengikuti peraturan dan kemahuan elit penguasa. Akibatnya, sastera bertendensi sedemikian terkadang agak baku dan kaku. Bagi yang melawan pemerintah dan aturan sedemikian tentulah akan berhadapan dengan apa yang diistilahkan oleh Pramoedya Ananta Toer sebagai 'Proses Diamankan'.
Nama-nama besar dalam kesusasteraan dunia yang ada hubungan rapat dengan politik tentulah tidak sedikit. Di antara yang boleh dicatatkan ialah ALEXANDER SOLZENITSYN, BORIS PASTERNAK, ALBERT CAMUS, JAMES JOYCE, WILLIAM FAULKNER, MIGUEL ANGEL ASTURIAS, JORGE LUIS BORGES, ALFRED WALESA, EMILE ZOLA, GABRIEL GARCIA MARQUEZ dan ramai lagi. Di Asia Tenggara, nama seperti PRAMOEDYA ANANTA TOER dan JOSE RIZAL sendiri adalah tokoh yang bentrokan dengan golongan penguasa. Karya-karya mereka ada yang terpaksa diseludup keluar untuk diterbitkan dan buku-buku tersebut dilarang beredar oleh kejaksaan agung atas sebab yang kurang dimengerti. Soalnya, adakah pemikiran dan idea golongan sasterawan ini akan berkubur dan hapus dari mukabumi akibat ketegasan dan kejahilan para penguasa politik memberangus karya dan pemikiran mereka?
Jawapannya TIDAK
Malah karya mereka ini akan terus hidup subur dalam minda bangsa yang cintakan kebenaran. Karya para sasterawan ini terus mendunia dan ramai di antara mereka baru dikenang dan dihargai kejeniusan pemikiran mereka sesudah matinya. Dalam masa aman, negara kemudian baharu mengakui dan bangga memiliki tokoh-tokoh sasterawan berkaliber yang mampu menjadikan sesuatu bangsa itu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain. Lihat Leo Tolstoy dan Maxim Gorky di Rusia, lihat Mario Vargas Llosa dan Octavio Paz bagi Amerika Latin, lihat Gunter Grass dan Thomas Mann bagi bangsa Jerman, lihat Emile Zola dan Gustave Flaubert bagi Perancis, Yasunari Kawabata dan Yushio Mishima bagi bangsa Jepun dan lihat HAMKA atau lihat sendiri Whiji Thukul bagi Indonesia.
Dalam diam juga para sasterawan kesan dari tekanan dan kebrutalan pemerintah ke atas kegeniusan sastera mereka telah menghasilkan pula karya-karya ‘masterpiece’. Alexander Solzenitsyn menceritakan sedemikian indah bagaimana penguasa politik berusaha memperbodoh dan menyiksa rakyatnya dari kalangan intelektual dan sasterawan dalam karya monumentalnya ‘Gulag Archipelago’. Begitu juga Boris Pasternak dalam ‘Dr. Zhivago’, Gabriel Garcia Marquez dalam ‘The One Hundred Years of Solitude’ dan ‘The Autumn of Patriarch’, Alejo Carpentier dalam ‘The Kingdom of This World’, Wole Soyinka dalam ‘Nguji’ atau HAMKA yang jika tidak kerana dipenjara oleh Regim Soekarno maka karya agung TAFSIR AL AZHAR 30 juz itu tidak akan lahir!
Sesungguhnya sastera dan politik sama-sama mempunyai pengikut tegar. Hanya masa dan keadaan menjadikan siapa di antara mereka menjadi pemenang. Ketika Indonesia berada dalam zaman Prahara Sastera 1965, tokoh-tokoh sasterawan terpecah kepada beberapa kelompok dan sama-sama menjadikan pena, kegeniusan sastera, kejelian jiwa melalui majalah atau akhbar mereka untuk saling menghentam dan memperlekeh. Kekuasaan dan kapitalis kemudian masuk menyapu bersih golongan MERAH itu, membunuh dan mengisolasi sebahagiannya untuk memenuhi penjara-penjara pengasingan dan menjadikan PEKERJA SENI itu tahanan politik di Nusa Kambangan, Pulau Buru, Ende dan Bukit Duri. Semua catatan pahit itu menjadi indah dan bersejarah bagi sejarah sastera Indonesia di tangan Pramoedya Ananta Toer dalam NYANYI SUNYI SEORANG BISU dan Taufik Ismail dalam Prahara Sastera Indonesia 1965 dan banyak lagi POLEMIK.
Malaysia mungkin belum mencapai tahap sedemikian meski pernah terjadi Polemik Sastera Islam antara dua tokoh besar kesusasteraan iaitu Kassim Ahmad dan Shahon Ahmad. Atau antara Affandi Hassan dan entah siapa lawannya. Namun polemik mereka lebih bersifat nilai sastera dan keislaman dan bukan bersifat politik. Demikian juga ‘Mogok Seni’ oleh A.Samad Said yang lebih bersifat peribadi dan bentrokan dengan pihak pengurusan bahasa dan sastera di beberapa perbadanan kerajaan dan separa kerajaan. Sebelumnya yakni pada zaman pra merdeka, ada usaha penjajah membunuh kreativiti para pemikir Melayu dengan menjebloskan mereka dalam penjara misalnya Said Zahari, A.Samad Ismail, Ahmad Boestamam (Ruhi Hayat), Harun Aminurrashid, Pak Sako dan beberapa orang yang dianggap BERBAHAYA.
Namun yang jelas, di Malaysia, berdasarkan fakta sejarah, belum ada lagi sasterawan dan penulis apa genre pun sehingga tahun 2000 yang disumbat ke dalam penjara, dikucilkan, dihantar ke tapak pembuangan, DIAMANKAN, dihukum bunuh, ditembak mati, dilucutkan kewarganegaraan, disuap dengan segala jenis rasuah dan seumpamanya sebagaimana yang berlaku di negara luar misalnya China, Indonesia, negara-negara Amerika Latin, Afrika dan Asia Tengah. Sasterawan dan golongan penulis di Malaysia masih bernasib baik kerana buku-buku mereka diizin terbit, beredar, jadi buku teks pelajaran sekolah, diberi wang, pesangon dan memperolehi anugerah-anugerah berprestij pula. Apakah ini ini juga meruapakan gula-gula? Atau memang sastera di negara kita tidak setanding dan sehebat sastera belahan dunia lain? Sehingga tak pernah secuit pun nama Malaysia disebut-sebut untuk sekadar calon (Kandidat) Hadiah Nobel Kesusasteraan, Hadiah Pulitzer atau Hadiah Magsaysay untuk Seni Kreatif dan Jurnalistik?
Apa yang pasti, di Malaysia, sastera dan politik bagai dua sahabat besar. Kerajaan dan penguasa memberikan dana yang cukup besar khususnya dalam menyemarakkan dunia kesusasteraan tanahair melalui agensi seperti DBP dan ITBM. Kerajaan dan penguasa politik juga menyediakan peruntukan bagi anugerah berprestij seperti Sasterawan Negara dan memberikan para sasterawan yang berjasa dengan gelaran-gelaran khusus seperti Tan Sri, Dato, Datuk dan sebagainya selain anugerah antarabangsa misalnya Sea Write Award di peringkat serantau. Sistem pendidkan kebangsaan juga masih menjadikan mata pelajaran Kesusasateraan sebagai subjek dalam berPEPERIKSAAN AWAM meski pun sekadar 'elektif' manakala Bahasa Melayu dan Bahasa Malaysia masih menerajui sebarang urusan.
Di Sabah, bagaimanakah pula solah dan tingkahnya para sasterawan ini dan hubungan mereka dengan elit politik yang duduk di tampuk kekuasaan?
Nazeka Kanasidena
Teratak Buruk Kg Bubul Lama, Semporna
13 Mei 2019

16 comments:

  1. selamat hari guru buat semua warga pendidik

    ReplyDelete
  2. Politik itu tidak salah sebenarnya..tapi manusia yang mengemudinya..
    Selamat hari Guru.

    ReplyDelete
  3. politik ada pelbagai cabang... bg dana kadang cara mak atau abah nk amik hati anak2... atau nk kelentong anak2... itu kira politik jgk tu hehehhe

    ReplyDelete
  4. Selamat hari guru buat semua pendidik

    ReplyDelete
  5. Politik tu sepatutnya bagus tapi telah disalahgunakan oleh manusia yang merupakan haiwan tamak yang berpolitik. Yang tak tamak tu pula biasanya tak berminat nak masuk dalam bidang politik pun 😅

    ReplyDelete
  6. SELAMAT HARI GURU TKSH ANIES

    ReplyDelete
  7. TKSH PC POLITIK KHIDMAT KPD MASYARAKAT JIKA BETUL PEMBAWAANNYA BERPAHALA JIKA SEBALIKNYA TANGGUNGLH AKIBATNYA

    ReplyDelete
  8. TKSH DANA YA KENA BIJAK MENGATUR POLITIK HIDUP

    ReplyDelete
  9. TKSH SU POLITIK DITERAJU MRK YG MERASA BIJAK DLM KEPIMPINAN N PENGURUSAN...KALAU RASA XLAYAK USAH DIBUAT HEH..HEH..

    ReplyDelete
  10. TKSH MKL SELAMAT HARI GURU

    ReplyDelete
  11. Guru penyubur ilmu... selamat hari guru buat semua warga pendidik.

    ReplyDelete
  12. TKSH DIK KK SELAMAT HARIGURU

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”