Saturday, 25 February 2017

SKETSA CINTA

ASSALAMUALAIKUM...

Cerpen;
Sketsa Cinta
Oleh;
Paridah Ishak.
                                                             SKETSA CINTA

Aku terlalu mencintainya. Sungguh-sungguh. Namun ada yang lebih mencintainya, mengasehinya. Dan seruan cinta itu diturutinya. Kini tinggallah aku melayani kesendirian yang sunyi lantaran tiada lagi kekasihku itu di sisiku. Kehilangannya dari sisiku sangatku rasai.

Sepanjang perjalanan hidupku mutakhir ini hanya imbauan-imbauan yang terimbas di skrin kenangan. Pastinya tidak mahuku hapuskan. Aku bersedia melayani kenangan yang membahagiakanku sambil bermain dengan kambing dan lembu ternakanku di kebun.

Pagi dan petang bertemankan kambing dan lembu.  Apabila terasa bosan aku akan mengenderai Saga biruku dan memacunya keluar daripada kebun pisang yang menempatkan kandang ternakanku; entah ke mana hala tujuanku. Langsung tiada dalam perancangan yang ditetapkan minda kecilku.

Kadang tanpa sedar aku sudah sampai ke Segamat, Kuantan atau Kuala Terengganu hanya dengan memandu santai melayan hiba hati sunyi. Jauh dari kampung halamanku. Jikalau dia bersamaku tentu tidak begini lakuku.

Seusai kerja-kerjaku di kebun mengurus tanaman dan ternakan akan segera pulang menemui suri kekasihku itu. Akan bersamanya menjamu selera di tengahari penuh gembira. Momen itu telah berlalu bersama detik waktu.

Namun kehilangannya amat  menyiksa jiwaku meski aku merelakan kepergiannya. Reda dengan suratan-Nya yang tertulis di lorong hidupku.bertemu untuk berpisah akhirnya.

Barangkali perpisahan kami seusai mengerjakan ibadah haji di Baitullah adalah takdir Allah. Kekasihku itu telah menyucikan diri dan rohaninya sebelum menyahut seruan cinta-Nya yang agung. Kembali ke sisi Pencipta dengan kemurnian nurani syumul.

Kekasihku itu tetap berusaha beribadah haji bersamaku walau dirinya terpaksa menahan sakit tika tawaf, sai, melontar jamrah, wukuf di Arafah dan setelah itu melakukan ziarah ke tempat bersejarah, jejak Rasulullah.

Melambai Baitullah dengan ucapan selamat tinggal dengan air mata mengalir deras di pipi dengan berharap dapat ke sini lagi sebelum pulang ke tanah air. Pulang untuk memenuhi appointment doctor yang telah menetapkan jadual pembedahan membuang ketulan kenser di dadanya.

Tapi aku merasa sangat ralat melihatnya terkulai di dalam pangkuanku lantaran kelelahan menjalani kimo untuk membunuh kenser payudara yang dideritainya setelah pembedahan itu. Air mataku bercucuran  membasahi pipi cengkung kekasihku. Hancur luluh hatiku meratapi pemergiannya.

Walau aku sentiasa mengharapkan doa yangku apungkan ke hadrat-Nya dimakbulkan-Nya. Doaku yang bersungguh memohon keampunan dan belas kasih-Nya agar menyembuhkan sakit yang dideritai kekasihku itu.

Mengalir airmataku  deras melihat kekasihku itu menahan kesakitan di dadanya yang akhirnya menyeluruhi tubuhnya hingga menyebabkan tubuh kekasihku itu terkulai tidak bermaya. Laksana sehelai kain buruk yang terjelepuk.

Segeraku papah dirinya ke perbaringan yang lebih menyelesakan dirinya yang semakin kurus cekeding itu. Dia cuma tersenyum kepadaku seraya menujah anak mataku dengan pandangan sayu.

Mungkin kekasihku itu merasa kesal kerana telah menyusahkan  aku dengan keadaan dirinya yang tidak bermaya sebegini mutakhir ini. Sedang dahulunya kekasihku itu amat cergas mengurusi apa sahaja keperluanku dengan sebaiknya.

Dan aku amat bertuah sekali justeru Allah mempertemukan diriya denganku dan menjadikanya  kekasih setiaku. Budinya kepadaku tidak sedikit.  Bertabur sepanjang batas kehidupanku. Dan kami telah berkongsi susahpayah, asam garam kehidupan sepanjang kebersamaan kami.

Sekiranya aku dalam keadaan sepertinya juga tentu dia akan menatang kesusahanku sedaya upayaya. Kitakan adalah pasangan yang saling mengasehi dan penuh  pengertian  sejak perkenalan yang diikat dengan ijab dan kabul semata persetujuan keluarga.

“Sakit sangat ya?”  kekasihku itu cuma angguk lemah.
“Esok setelah dioperasi dan ketulan daging yang sakit ini dibuang tentu sakit ni pun terbuang sama.tidaklah terasa sakit lagi.” Ujarnya yakin berharap. Moga ianya akan jadi kenyataan.

“Terasa nak makan mi udang pula, boleh tolong belikan?” tanganku dipegang erat dan sepasang mata yang sirna sinarnya memohon pengertian.
Mi udang adalah makanan kesukaan kami berdua.

Tidak pernah pun dibeli kerana kekasih hatiku itu yang akan memasaknya sesuai citarasa yang kami sukai.
“Bukan mi udang tu kena pantang makanke? Kalau tak pantang makan nanti melarat pula sakitnya.” Ujarku keserbasalahan untuk menunaikan hajat kekasihku itu.

“Malas dah rasanya nak berpantang sangat. Nak makan saja apa yang terasa nak makan. Pantangpun sakit juga. Sakit kita ni bukan sakit biasa tapi kenser. Kenser tahap empat.” Bibirnya yang pucat lesi itu menuturkan begitu pula.

“Walau apapun sakit kita, tahap apa saja kata doctor, kalau kita makan ubat, jaga kesihatan, elak makan yang kena pantang, hidup saja kita macam biasa. Macam orang lain juga.” Ujarku lunak. Berusaha menaikan semangatnya yangku rasa semakin merudum.

“Iyalah tu. Tapi malam ni terasa sangat nak makan mi udang. Tolonglah belikan. Nanti setelah operasi akan berpantang semula.” Kaupujuk diriku agar menuruti kehendakmu. Memang tidak berdaya hendakku tolak apa sahaja mahumu. Selama inipun sejak kita bersama segala hajatmu akanku laksana tanpa bantahan..

Malam itu keinginanmu untuk menikmati keenakan mi udangku tunaikan. Berselera sungguhkau menyuapya ke mulut sambil mempelawaku makan bersama.
“Marilah makan! Sedap sangat rasa mi udang ni.”

“Makanlah dulu. Biarku ambil air miuman dulu.” Aku segera bingkas bangun menuju dapur.
“Malam ni terasa panas sangat pula. Jadi tak mahu air panas tapi nak air batu.”
“Kan pantang minum air batu?” tukasku cuba menghalang kemahuan yang akan memudaratkan kesihatan dirinya.

“Soal pantang larang tu kita lupakan dulu malam ni.” Senyummu terorak hambar mengiring lafazmu membuat aku terkedu. Dan setelahkau menikmati makan malammu, aku menyelimutimu keranakau merasa kesejukan tiba-tiba.

Memori makan malam bersamamu menjengah mindaku selalu. Kali terakhir aku dan kekasihku itu mengecapi suasananya.

“Kau tak nak kahwin lagi Lem? Teh pun dah lama meninggal. Kalaukau berhajat boleh aku tolong kirakan. Nak orang dekat atau orang jauh kaucakap saja.”
“Entahlah Dan. Rasanya tak nak dah kot. Lagipun mana ada duit nak kahwin lagi. Hasil kebun pun melawas. Lembu kambing pun asyik hilang dicuri orang saja.” Ujarku berserta alasannya.

Perbicaraanku dan Rushdan tidak bersambung lagi setelah aku memasuki keretaku dan memandunya keluar daripada kebun ke destinasi halaku seperti selalu.

“Ayah tu nampak sunyi dan selalu hilang entah ke mana sejak mak tak ada.” Kata abang kepada adiknya.
“Biarlah ayah jalan-jalan hiburkan hati sunyinya.” Sahut adiknya.
“Mungkin ayah tu risau fikirkan lembu kambingnya yang banyak hilang kot.”
“Jangan sibuk fikirkan nak cari ganti mak kita dah. Itu adik tak setuju.”

“Kenapa pula adik tak setuju? Mak kita bukan meninggal semalam. Tapi dah bertahun-tahun. Elok sangatlah kalau ayah nak cari pengganti.”
“Jadi abang sukalah kalau dapat mak tiri?” tapi adik tetap dengan keputusan adik. Tak setuju kalau ayah nak kahwin lagi.”

“Terpulang pada adiklah. Tapi kita kena fikirkan juga keperluan dan kebajikan ayah.”
“Abang jangan risau tentang tu. Adik akan jaga ayah macam mana mak jaga ayah dulu.   Adik tengok ayah sangat sayangkan mak. Masakan ayah sanggup menduakan mak.”

“Ish adik ni! Kalau ayah kahwin lagi setelah mak tiada itu bukannya menduakan. Tapi keperluan seorang lelaki untuk beristeri lagi. Adik kena faham tu.”
“Yang adik faham adik tak mau ayah kahwin lagi.” Pengucapan adik tegas sekali.

Perbualan kedua-dua orang anakku itu  lantas ke deria dengarku tanpa mereka menyedari keberadaanku di situ.
“Apa keputusankau Lem?“
“Keputusan apa?”

“Yelah! Mungkin kau dah jumpa calon yang sesuai pengganti Teh di Kuantan, Segamat atau Kuala Terengganu tempatkau selalu berulang-alik tu.”
“Aku tu berjalan-jalan saja Dan. Bukannya dengan niat mencari calon isteri. Lagipun aku rasa tiada wanita lain yang dapat mengganti Teh dalam hatiku.”

“Aku memang tahu tu. Kau berdua memang pasangan serasi yang saling sayang menyayangi. Kau berduakan kawan baik aku.” Rusdan terhenti bicaranya. Nafasnya dihela lega.

“Tapi sebagai seorang kawan baik aku cuma nak nasihatkankau eloklah kau berkahwin lagi sementara badankau masih sihat.  Nanti apabila kau dah uzur dan sakit ada isteri yang akan menjagakau. Hidup kita di masa depan kita tidak tahu takdir-Nya bagaimana rupa. Kau tak boleh nak bergantung hidup dengan anak-anak. Sebab merekapun ada kehidupan mereka sendiri. Lagipun berkahwin itu kan sunnah Rasullullah. ”

Kata-kata Rusdan itu ada benarnya;  terngiang-ngiang pula di telingaku bicara adik dengan abangnya. Wajah Teh tersenyum manis padaku. Hidup ni singkat saja bagiku. Apa yang dirancang belum tentu terlaksana. Berserahlah aku kepada takdir-Nya.

TAMAT




13 comments:

  1. "Di mana kan ku cari ganti, serupa dengan mu"...kata Allahyarham P.Ramlee
    Salam hujung minggu Kak PI

    ReplyDelete
  2. Kisah sedih seorang petani.
    Cintanya telah pergi.

    ReplyDelete
  3. nk tanya awak seorg penulis novel...bagus2 ceritanya..

    ReplyDelete
  4. Assalaamu'alaikum wr.wb, Kak Paridah Ishak....

    Alhamdulillah, dapat menyapa akak dalam kesibukan tugas. Didoakan akak sekeluarga dalam keadaan sihat dalam rahmat Allah SWT.

    Membaca sketsa cinta di atas, terasa benarnya apabila cinta sudah menumbuh kukuh di dalam hati, tidak ada siapa yang mampu menggantikannya walau hati mempunyai keinginan tersebut. Namun saya tidak setuju kalau ada anak-anak yang menghalang ayah atau ibu mereka berkahwin lagi. Seorang isteri atau suami dapat menjadi penghibur dikala suka dan duka. Kasih isteri/suami tidak sama dengan kasih anak-anak.

    Salam manis dari Sarikei, Sarawak. :)

    ReplyDelete
  5. TKSH FIDAH..CINTA KALAU DH MULA TUMBUH AKAN SEGAR DI HATI SELAMANYA.

    ReplyDelete
  6. TKSH ANNA..HEH..HEH..BUKAN NOVELIS TAPI SUKA2 MENULIS JE

    ReplyDelete
  7. TKSH CT FATIMAHDLM KESIBUKAN MSH JG SINGGAH DI SINI...BENARTU KASIH SYG ANAK2 TIDAK SAMA DGN CINTA ISTERI R SUAMI

    ReplyDelete
  8. bla da pantang mkn ni mula laa tekak nk rs mcm2 mknn kannn hehe

    ReplyDelete
  9. Subhanallah walhamdulillah... kesucian cinta tulus murni adalah kekuatan anugerahNya buat kekuatan insani...

    ReplyDelete
  10. TKSH DIK KK YA KEKUATAN CINTA INSANI ANUGERAH-NYA

    ReplyDelete
  11. seperti cinta zumal yang telah pergi jua

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”