Friday, 17 February 2017

MANUSKRIP LAMA SIRI 17...

ASSALAMUALAIKUM...

CORETAN PAK ENGKU
SEPANJANG JALAN KENANGAN
BAB 17 – MALANG MENIMPA LAGI

Setelah tiga bulan lebih aku tidak balik ke rumah mertuaku, pada suatu hari anakku Ramlah telah jatuh sakit. Sakitnya semakin hari semakin teruk. Oleh itu aku pun membawa anakku itu balik ke rumah ayahku di Bukit Jelutung untuk berubat. Memandangkan keadaan sakit anakku ini telah bertambah teruk, ayahku telah memberitahu mertuaku. Setelah diberitahu, pada waktu Zohor, sampailah mereka ke rumah ayahku. Ibu mertuaku telah menangis sambil berkata,”Inilah anak awak. Ingat di hati boleh ditegur sebab anak menantu. Rupa-rupanya sampai hati dia meninggalkan anak-anaknya. Sehinggakan budak ini sudah jatuh sakit tenat pun dia tidak mahu memberitahu kita”
Aku hanya mendiamkan diri. Tidak menjawab walau sepatah perkataan pun. Selepas itu ibu mertuaku berkata bahawa dia mahu membawa anakku yang sakit ini balik ke rumahnya di Kuala Sawah. Pada awalnya aku tidak setuju dan tidak membenarkannya membawa balik anak itu ke Kuala Sawah. Namun setelah ayahku telah berkata,”Man baliklah kau. Ayah dan ibumu telah datang menjemput kau pulang. Janganlah diikutkan perasaan. Yang sudah-sudah itu, sudahlah.”
Ayahku pada ketika itu sedang duduk di atas buaian. Dia bercakap sambil terbatuk-batuk. Mendengarkan kata-kata ayahku itu dan memandangkan dia pun telah mula sakit-sakit maka timbullah rasa kasihan di hatiku terhadap ayahku. Isteriku juga memujuk aku,”Uda, emak ajak kita pulang. Kita pulang ya!”
“Baiklah,” jawab ku ringkas.
Sesudah itu isteriku pun bersiap-siaplah untuk balik ke rumah ibu bapanya di Kuala Sawah. Pada petang harinya itu dibuatkanlah ubat untuk anakku itu. Pada hari berikutnya sakit anakku Ramlah sudah bertambah tenat. Isteriku tidak beralih duduk menghadapkan anaknya yang sedang bertarung nyawa itu. Aku melihat dia menangis. Air mata jatuh berlinangan di pipinya. Pada malam itu isteriku sering sahaja bertanya kepada aku, “Bagaimana sakitnya anak kita ini Uda?”
“Anak kita ini hanya sakit kuat,” aku berbohong. Pada hal pada pandangan aku anakku Ramlah ini sudah tidak punya harapan lagi untuk hidup. Lebih kurang jam 5.00 pagi aku lihat keadaan mata anakku sudah berubah. Sudah tidak bercahaya dan bersinar lagi. Maka terus aku ambil dan pangkulah anakku itu. Sedangkan isteriku terus duduk di sisiku. Apabila fajar mula menyinsing dan cahaya mulai menjadi terang maka tingkap di rumahku pun dibuka. Sebaik tingkap rumah terbuka, anakku pun menarik nafasnya yang penghabisan. Dia telah kembali ke alam baqa semasa di atas pangkuanku. Isteriku meraung dengan sekuat-kuat hatinya. Jiran-jiran segera bergegas datang. Ibu mertuaku berkata kepada mereka, “Ramlah dah tiada lagi.”
Pada petang harinya itu selamatlah jenazah anakku Ramlah dikebumikan di Tanah Perkuburan Ulu Nyatuh. Setelah balik ke rumah, aku dan isteriku duduk termenung Badanku terasa lesu dan tidak bermaya. Aku rasakan bumi yang aku pijak ini, lembut. Ini kerana Ramlah adalah anak perempuanku yang pertama. Seorang anak yang cukup petah bercakap. Pernah sewaktu hari perkahwinan anak saudaraku Banun, anakku ini telah kusuruh menyanyi. Dia menyanyi di hadapan pelamin pengantin. Dia menyanyikan lagu, ketika kedua-dua pengantin sedang bersanding. Dengan di kelilingi oleh sanak-saudara, aku suruhlah dia menyanyikan serangkap pantun. Menyanyi mengikut irama lagu Terang Bulan. Pantunnya berbunyi:-
Dari Segamat ke Tampinlah Keru,
Singgah bermalam di pekanlah Lendu;
Memberi selamat pengantin baru,
Selamat sampai ke anak cucu.
Setelah habis anakku menyanyi, sanak-saudaraku semuanya bertepuk tangan dan bersorak-sorai. Mereka terpegun melihat telatah anakku itu. Sedang aku duduk di bawah selepas itu, datanglah emak saudaraku yang aku panggil Mak Ngah Biah. Dia tiba-tiba berkata kepadaku, “Man, benci aku melihat anak kau yang betina tu. Petah sangat. Mungkin budak ini tidak panjang umurnya.”
Rupa-rupanya kata-kata Mak Ngah Biah telah terbukti jelas. Sudah menjadi kenyataan. Ramlah anakku telah pergi untuk selama-lamanya. Pergi meninggalkan aku dan isteriku dan tidak akan kembali lagi. Lama juga selepas anakku meninggal dunia isteriku menjadi tidak tentu arah fikiran dan perasaannya. Apabila isteriku terjumpa sahaja kain baju anakku ini dia akan menangis. Terutamanya jika dia terlihat sepasang baju potongan Shanghai serta sepasang kasut anaknya itu. Disebabkan itu terpaksalah semua pakaian arwah anakku itu disorokkan dari penglihatan isteriku oleh ibu mertuaku.
Perkara aku di tembak dahulu telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Ia sudah menjadi kes polis. Sudah tiga kali perbicaraan dijalankan namun aku tidak dapat menghadirkan diri. Akhirnya pihak mahkamah telah meneruskan perbicaraan tanpa kehadiranku. Aku mendapat tahu dalam perbicaraan itu Tengku Jaafar telah memberi pengakuan bohong dengan mengatakan bahawa dialah yang telah menembak aku. Padahal yang menembak aku pada malam itu ialah adik iparnya Tengku Ahmad iaitu adik kepada isteri keduanya. Sedangkan doktor yang menjadi saksi pendakwa juga telah mengatakan bahawa Tengku Jaafar tidak boleh melihat dengan jelas pada waktu malam. Mana mungkin dia boleh nampak aku. Tidak mungkin dia dapat menghalakan tembakannya ke arah aku dalam kegelapan malam itu.
Di akhir perbicaraan Tengku Jaafar telah didapati bersalah oleh pihak mahkamah. Tuan Hakim telah menjatuhkan hukuman denda 100 Ringgit dan senapangnya pula dirampas. Pernah juga disuatu ketika aku menyuruh ayahku membuka semula kes tersebut. Meminta ayahku membuat tuntutan saman kerugian, penderitaan dan lain-lain. Tetapi ayahku tidak bersetuju.
Ayahku pernah memberitahu aku, ” Sudahlah Man. Kecelakaan dan musibah itu terjadi kerana ketidak-percayaan kau pada dirimu sendiri. Ianya juga sebagai balasan Tuhan kepada kau di atas sifat ketidak-jujuran kau terhadap isterimu yang halal.” Kalau sudah begitu kata ayahku apakah yang boleh aku lakukan lagi. Aku akur dengan keputusan ayahku.
Dalam bulan Jun tahun 1939 anakku yang keempat dilahirkan. Seorang anak lelaki yang aku beri nama Idrus. Namun ketika anakku ini berusia 3 bulan dia telah jatuh sakit. Oleh kerana di Kuala Sawah sukar untuk mendapatkan dukun, maka aku bawalah anak ini balik ke rumah ayah dan ibuku di Bukit Jelutung supaya mudah untuk diubati. Setelah seminggu berada di rumah ayah dan ibuku, anak ini masih sakit lagi. Semakin hari semakin kuat sakitnya. Ayahku telah memberitahu ayah dan ibu mertuaku. Pada suatu malam, lebih kurang jam 3.00 pagi anakku pun menghembuskanlah nafasnya yang terakhir. Anakku telah kembali ke Rahmatullah! Setelah diberitahu akan kepergian anakku Idrus, ayah dan ibu mertuaku pun datanglah ke Bukit Jelutung. Jenazah anakku telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Ulu Nyatuh. Dia disemadikan di atas kubur emak saudaranya iaitu kakak kembar kepada isteriku. Kakak kembarnya ini telah meninggal dunia sewaktu masih anak dara lagi.
Bersambung ke BAB 17 - KEHIDUPAN DI ZAMAN JEPUN

6 comments:

  1. Dugaan demi dugaan menguji...begitulah kehidupan.

    ReplyDelete
  2. TKSH PC HIDUP KITA DI MASA LALU R KINI SARAT DUGAANNYA

    ReplyDelete
  3. Sedih baca Kak.. teringat masa arwah abang dan adik saya meninggal beza kurang setahun.. Mak saya orang paling sedih ketika itu.. Sebenarnya itulah antara ujian Allah tanda sayang hambaNya..

    Pasti ada hikmah di sebalik setiap yang berlaku..

    ReplyDelete
  4. TKSH LZ..MMG SDH KEHILANGA YG TERSAYANG...

    ReplyDelete
  5. Wkmsalam.
    Tunggu kisah Othman selanjutnya.

    ReplyDelete
  6. Tampinlah Keru?

    kat mana tu? x penah dgr..

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”