Monday, 6 February 2017

MANUSKRIP LAMA SIRI 14....

ASSALAMUALAIKUM...



CORETAN PAK ENGKU
SEPANJANG JALAN KENANGAN
BAB 14 – TERTIMPA MUSIBAH

Masih lagi dalam tahun 1938. Sesudah lebih sebulan aku meninggalkan Salak. Pada suatu hari lebih kurang jam 10.00 pagi. Posmen telah datang ke rumahku. Dia menyerahkan sepucuk surat. Dari tulisan pada sampul surat itu aku tahu bahawa surat itu datangnya dari Tengku Normah. Setelah kubuka sampul suratnya lalu kubaca surat Tengku Normah. Suratnya berbunyi……
Kandaku yang diingati,
Sebulan lebih telah berlalu perpisahan kita. Perasaan dinda bagaikan sudah setahun. Setiap petang hari dinda duduk di anjung rumah. Dinda duduk merenung rembang petang. Dinda merasakan seolah-olah kanda lalu seperti biasa di hadapan rumah dinda. Di mana sahaja dinda alihkan pandangan di situ
tetap kelihatan wajah kekanda. Sepatutnya setelah kanda berada jauh dari dinda, ingatan dinda pada kekanda akan hilang. Rupa-rupanya tidak. Salah sama sekali rupanya anggapan dinda.
Rupa-rupanya semakin kanda jauh di mata semakin pula dekat di hati. Rasa-rasanya mahulah adinda mati sahaja dari menanggung penyakit cinta ini. Hinggakan tiada suatu benda atau perkara pun yang boleh menenangkan dan menggembirakan hati dinda lagi. Dinda ratapkan nasib diri dinda yang malang ini. Nasib malang yang akan menghantui hidup dinda hingga ke akhir hayat.
Kandaku,
Datanglah ke Salak ini untuk menemui dinda. Kasihanilah dinda yang saban hari diselubungi derita dan sengara ini. Semuanya kerana merindukan kekanda. Semoga dengan menatap wajah kanda akan terubatlah penyakit rindu adinda ini. Akan berkuranganlah penedritaan yang dinda tanggung.
Kekanda orang lelaki dan bebas untuk ke mana saja. Sedangkan dinda berada dalam lingkungan pagar besi yang maha dahsyat. Terkongkong dan tidak boleh ke mana-mana dengan sesuka hati.
Dinda kirimkan pesanan rindu di angin lalu. Semoga kanda dapat merasakan kedinginan dan kedamaiannya setiap waktu.
Salam rindu dariku.
Dinda Normah.
Sebaik habis kubaca surat itu tiba-tiba isteriku bertanya. “Surat dari siapa tu?”
Dengan berbohong aku menjawab, “Surat dari kawan-kawan”. Isteriku memang tidak tahu menulis dan membaca. Pada masa itu, aku dan isteriku sahaja yang ada di rumah. Ayah dan ibu mertuaku telah pergi ke kebun untuk menoreh getah.
Esok harinya aku pun memberitahu isteriku yang aku hendak pergi ke Sungai Menyala, Port Dickson. Aku hendak pergi menemui abangku Abdul Rahman. Aku kata tujuanku pergi adalah hendak berkerja di Hutan Simpan Sungai Menyala. Isteriku mengizinkan aku pergi kerana pada waktu itu aku tidak mempunyai pekerjaan apa-apa. Sedangkan aku sudah mempunyai dua orang anak. Isteriku pula pada masa itu sedang hamil. Mengandungkan anak kami yang ketiga.
Pada pukul 10.00 pagi aku pun bertolaklah pergi ke Sungai Menyala dengan mengayuh basikalku. Aku mengikuti jalan Siliau. Lebih kurang pukul 12.00 tengah hari akau sampai di sana. Aku dapati abangku tiada di rumah. Masih belum balik dari berkerja. Lalu aku pun berbaring. Tidak sedar rupanya aku sudah terlena. Abangku balik dan melihat aku sedang tidur. Dia membiarkan aku tidur. Abangku telah memasak nasi dan lauk. Setelah siap dia mengejutkan aku supaya bangun untuk makan tengah hari. Setelah makan kami berdua pergi mandi. Selepas berpakaian abangku memberitahu bahawa dia akan balik ke Bemban pada petang itu. Besoknya adalah hari minggu.
Pada petang itu kami berdua pun mengayuh basikal masing-masing untuk balik ke Bemban. Kami balik melalui pekan Port Dickson. Semasa mengayuh basikal itu hatiku berasa tidak sedap. Memang sejak bangun tidur tadi, sewaktu pergi mandi dan semasa hendak memulakan perjalanan tadi aku rasa ada sesuatu yang tidak kena. Seolah-olah aku dapat merasakan bahawa kemalangan akan terjadi pada diriku. Kecederaan akan menimpa di sebelah kanan badanku. Namun aku tidak dapat memastikan apakah kemalangan yang akan menimpa pada diriku.
Aku terfikir, “Apakah mungkin aku akan dipukul orang?” Dalam hati kecilku berkata, “Tak apalah kalau kena pukul aku akan melawan.”
Lebih kurang pukul 5.00 petang aku dan abangku sampai ke pekan Lukut. Kami berhenti di persimpangan jalan Seremban ke Sepang. Aku meminta abangku turun dari basikalnya sebentar. Setelah dia turun aku pun berkata, “Andak, aku akan ke Salak. Tetapi hati aku berasa tidak berapa sedap. Tetapi apalah dayaku, aku mesti akan ke sana juga. Andainya aku tidak balik atau apa-apa pun hal yang terjadi pada diriku, sekiranya lebih dari darah Andak barulah ada aku dan jika aku adal adik Andak datanglah tengok dan cari aku di sana.”
“Kalau sudah tahu akan berlaku sesuatu pada diri kau, kenapa kau mahu juga pergi ke sana? Apa gunanya pergi lagi?” balas abangku.
‘Tidak Andak! Aku tetap akan pergi juga,” balasku.
Setelah bersalaman kami pun berpisah. Aku pun mengayuh basikal Standard Coronationku dengan segala kekuatan tenagaku. Jam tanganku menunjukan pukul 5.15 petang. Dari Simpang Lukut itu ke Sepang lebih kurang 11 batu. Sepang ke Salak pula adalah lebih kurang 9 batu. Keseluruhan perjalananku sejauh lebih kurang 20 batu. Aku terus mengayuh basikalku dengan laju ke arah Sepang.
Pada jam 6.00 petang, lebih kurang 45 minit aku berkayuh basikalku, aku sudah sampai dan berada ke pekan Salak. Tekak aku terasa amat haus. Lalu aku berhenti di sebuah kedai minuman. Aku memesan secawan kopi. Setelah minum aku pun terus mengambil basikalku untuk meneruskan perjalanan. Semasa aku melalui pekan dalam aku berselisih jalan dengan Tengku Ahmad. Dia adalah bapa saudara Tengku Normah. Dia kenal akan aku.
Namun aku teruskan juga perjalananku ke rumah Tengku Normah. Waktu sudah hampir Maghrib apabila aku sampai di belakang dapurnya. Aku memanggil namanya tetapi tiada jawapan. Aku rasa gugup dan memandang ke kiri dan ke kanan. Di atas sehelai kertas rokok aku pun tuliskan, “Normah, kekasihmu Othman Bhutan datang.”
Kertas itu kucampakkan ke dalam rumahnya melalui celah-celah dinding dapurnya. Sebaik surat itu dibacanya, tanpa belengah lagi, Tengku Normah pun keluar. Dia terus mendapatkan aku. Dia bertanya pada, “Kanda apa khabar?” “Dan bila sampai?”
“Khabar baik,”jawabku pendek. “Kanda baru je sampai sebentar tadi.” Tengku Normah memberitahu aku bahawa dia tak dapat membawa aku masuk pada waktu itu. “Orang ramai ada dalam rumah. Malam nanti kanda datang balik ya!” kata Tengku Normah.
“Baiklah,” jawabku.
Setelah berjumpa sekejap aku pun keluar dari kawasan rumahnya. Aku mengayuh basikalku menuju ke pekan Salak Tinggi. Aku terus pergi ke rumah Abdul Rahman kawanku yang dulu itu. Ibu Abdul Rahman terperanjat melihat kedatanganku.
“Bila kau sampai Man?” tanya orang tua itu.
“Baru saja saya sampai dari Seremban,” jawabku.
“Duduklah dulu. Abdul Rahman ke kedai sekejap. Tidakkah engkau terjumpa dia di Salak tadi?” sambung ibu Abdul Rahman lagi.
“Tidak,” jawabku ringkas.
Tidak lama selepas itu Abdul Rahman pun balik. Aku berbual-bual dengannya. Setelah itu aku memberitahunya bahawa aku akan pergi ke rumah Tengku Normah pada malamnya nanti. Kawanku itu memberikan aku sehelai kain batik kepunyaan Tengku Wok yang pernah aku tinggalkan di rumahnya. Abdul Rahman takut kalau-kalau aku kesejukan bila tengah malam itu nanti. Ini kerana aku hanya memakai seluar pendek. Seluar berwarna putih. Pada malam itu telah diadakan persembahan sandiwara. Berita yang aku perolehi pasukan sandiwara tersebut sudah tidak terurus dengan baik. Abdul Rahman yang beritahu. Ahli-ahli telah bercadang untuk memanggil aku balik ke Salak. Balik untuk memimpin pasukan itu semula.
Setelah jam menunjukan waktu 11.00 malam aku pun pergilah balik ke rumah Tengku Normah. Sebelum aku bergerak pergi itu perasaan dapat merasakan bahawa aku akan tercedera di sebelah bahagian kanan badanku juga. Aku teringat akan pesanan ayahku disuatu waktu dulu. Jika sekiranya kita merasakan seolah bahagian kanan badan kita tidak ada kita akan tercedera di sebelah kanan. Andainya sebelah kiri badan kita, kita rasa tidak ada bererti bahagian badan kita di sebelah kiri akan tercedera. Kalau kedua-dua bahagian badan kita rasa seakan-akan tiada maka kita akan mati. Kalau kedua-duanya kita rasa ada maka kita tidak akan ditimpa apa-apa bencana.
Aku menunggu hingga jam 1.00 malam. Keadaan yang aku rasakan tidak juga berubah. Hatiku kuat memaksa aku supaya meneruskan hasratku untuk ke rumah Tengku Normah. Aku berjalan-jalan di bawah rumah Tengku Normah. Di bahagian bawah bilik tidurnya. Aku ke tempat yang sebelum ini ditentukan untuk aku menolak lubang papan lantai yang ada di situ. Apabila aku tolak terasa berat. Terasa ada benda yang menghalang. Tiga empat kali aku tolak kuat-kuat. Benda yang menghalang itu seakan berbunyi. Aku terdengar suara Tengku Normah. Suara dia mula kegelisahan di atas katil. Jelas terdengar dia mendengus-dengus. Pada ketika itu tahulah aku bahawa Tengku Normah sudah dikawal rapi. Sudah tidak bibenarkan lagi tidur berhampiran dengan lubang itu.
Aku pun berjalan keluar dari bawah rumah Tengku Normah. Aku beredar dari situ dengan hasrat untuk balik ke rumah kawanku Abdul Rahman. Tetapi sebaik aku berjalan meninggalkan bawah bilik Tengku Normah itu, lebih kurang 40 kaki jaraknya, aku terdengar satu bunyi letupan yang kuat. Aku merasakan badanku seperti terbakar. Badanku penuh dengan api. Aku cuba melangkah pergi. Tetapi aku merasakn kaki kananku terlalu berat. Tiba-tiba aku terjatuh. Aku meraba-raba betisku. Terasa basah. Barulah aku sedar bahawa aku telah ditembak. Bila aku sudah terjatuh, aku melihat ke kiri dan kanan tubuh badanku. Ianya masih ada. Ini bermakna aku boleh hidup lagi. “Aku tidak akan mati,” kata hatiku.
Dengan kudrat yang masih ada aku merangkaklah pergi mendekati bilik Tengku Normah. Dalam kesakitan itu aku memanggil-manggil nama Tengku Said dan Tengku Ismail untuk meminta tolong. Seorang pun tidak menyahut panggilan aku. Lepas itu aku pun memanggil Tengku Normah. Dari bawah rumah itu aku berkata, “Normah,” kataku, “Dari dahulu lagi aku sudah bertanya padamu apakah kesudahan kasih dan cinta kita ini. Rupanya aku ditembak di hadapan rumahmu.” Apabila Tengku Normah mendengar suaraku tiba-tiba aku terdengar suara Tengku Normah menangis teresk-esak.”
Dari atas rumah itu juga kedengaran olehku suara seorang lelaki berkata, “Engkau pun akan aku bunuh nanti.” Dari suara itu barulah aku tahu bahawa yang menembak aku tadi ialah Tengku Ahmad. Tengku Said dan Tengku Ismail pada masa itu tiada di rumah. Mereka berdua telah pergi ke Kampung Manggis rupanya.

Bersambung…. BAB 15 – TERLANTAR DI RUMAH SAKIT

14 comments:

  1. jauh tu naik basikal ke bemban ;-)

    ReplyDelete
    Replies
    1. TKSH ANIES..ORG DULU BERKAYUH JAUH DHBIASA ANIES

      Delete
  2. cerita lama ni mmg latar tempatnya tempat sebenar ye kak

    ReplyDelete
  3. Dah nak kena tembak pun masih nak dtg lagi
    Tak serik juga dia masya-allah..

    Kesiannya dulu tak tahu menulis/membaca
    Bulat-bulat kena tipu..

    ReplyDelete
  4. Kepercayaan isteri disalah guna,,,diri sendiri tanggung derita..kerana cinta bila salah kemudi padah jadinya..

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum..singgah blogwalking..

    ReplyDelete
  6. Othman.. Othman... tak serik2.
    Betillah orang kata "cinta itu buta"

    ReplyDelete
  7. Satu2 saya baca kali ni... banyak tauladan dan sempadannya...

    ReplyDelete
  8. TKSH SHIELA..YA KISAH BENAR NI

    ReplyDelete
  9. TKSH PC..KDG KITA NI DIKUASAI EMOSI

    ReplyDelete
  10. TKSH WP YA PENANGAN CINTA TU

    ReplyDelete
  11. TKSH DIK KK RAJIN JUGA MEMBACANYA

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”