Sunday, 19 February 2017

CITRA SEORANG OKU..

ASSALAMUALAIKUM....

PENGALAMAN HIDUP SEBAGAI OKU

Ibunya menyebut namanya perlahan sekali dan amat lemah getarannya. Wajahnya tidak senang dan meriak marah. Hatinya mungkin berkata, mengapalah orang yang hodoh ini dan hanya terbujur di tilam ini seringkali memanggil-manggil namanya. Dia langsung tidak kenal siapa orang ini. Dan langsung tidak faham kenapa ramai pula orang turun naik rumah atoknya kemudiannya mengelilingi orang yang terbaring itu.

Setelah beberapa lama di rumah atok, abahnya membawanya dan orang sakit itu pulang ke rumah mereka pula. Sesampai di rumah barulah dia menyedari bahawa orang yang dimarahi kerana sering menyebut namanya itu adalah aku ibunya. Ibunya yang terlantar tidak berdaya akibat kecederaan teruk kemalangan jalanraya. Dia, kakaknya, abangnya dan adiknya yang baru berusia 50 hari turut terlibat sama.

Alhamdulillah kesemua mereka selamat dan cuma mengalami kecederaan kecil. Sebab atoknya terpaksa merawatku, ibunya yang sakit, abahnya terpaksa menyerahkan adiknya kepada makngahnya yang tinggal di KL untuk diasuh.

Kini hanya dia penemanku kala atoknya dan abahnya berkerja. Dia akan berusaha menyuapkan nasi ke mulutku dan memberiku minuman. Lebih banyak makanan yang tumpah daripada yang masuk ke mulutku.

Sikap anak kecil yang baru berusia tiga tahun berusaha menolong ibunya yang sakit berat itu mengait rasa hiba setiap yang memandangnya.

Anak itu sentiasa di sisiku ibunya hingga aku bermaya sedikit dan mengurusinya pula masa demi masa.
"Kalau saya masuk universiti nanti sapalah nak teman mak ya..."
"Mak duk soranglah..."
"Tak takut?"
"Mati pun sorang jugak..."
Akupun  tersengih kegembiraan kerana anakku yang baru bersekolah tahun tiga sudah bercita-cita memasuki menara gading.

Dan anakku yang ketiga  itu berjaya merealitikan impiannya sebagai graduan menyususuli langkah kakak sulungnya yang berjaya menamatkanpengajian sehingga ijazah sarjana .

Sebenarnya tidaklah mudah aku hendak mendidik anak-anak mengikut halatuju yangku ingini kerana kelemahan upaya diri. Selain itu aku juga kehilangan suara sebagai wahana komunikasiku dengan mereka. Mujur anak-anakku itu dapat menerima setiap yang inginku sampaikan hanya melalui nota-nota pendek. Dan aku berserah kepada-Nya akan takdir-Nya.   


KEPERIHATINAN IBU BAPA DAN KELUARGA

"Jomlah kita pergi berubat ke utara sana...dengarnya di sana ada seorang bomoh yang handal." Ajak ibuku.

Selama aku sakit selepas kemalangan jalanraya yang menyebabkan aku koma hampir sebulan dan setelah itu lumpuh terbaring selama tiga tahun, kedua ibu bapaku tidak pernah jemu berusaha untuk mengubati sakitku.

Hampir seluruh semenanjung Malaysia telah dikunjungi setiapkali terdengar khabar ada perawat sakit yang mampu menyembuhkan sakit yangku deritai.  Perbelanjaan kerananya pun tidak sedikit yang habis. 

Akhirnya walau tidak sembuh sepenuhnya dan kurang upaya,  Allah berikanku sedikit kekuatan untuk bangun mengurus diri dan anak-anak. Syukur Alhamdulillah. Rasanya sudah puas mengubat diri sendiri. Untuk sementara waktu terpaksalah diabaikan dulu kerana beberapa sebab.

"Tak boleh lagi...la ni banyak nak guna duit. Kakak kat universiti tu tiap bulan nak kena bagi duit, adiknya lagi sedang buat diploma tu nak duit juga. Tunggulah hingga kakak habis belajar baru boleh pergi berubat."
'Lepas kakak habis belajar nak kahwin pula, tentu nak pakai duit banyak nak buat kenduri kahwin pula..'detak hatiku.

"Kalau nak tunggu habis semua tu, tak berubatlahkau. Duit yang ada semua dihabiskan untuk keperluan anak-anak. Kau tu makin lama makin tua makin lemah. Masa muda sikit ni lah nak berubat sebelum terlambat."

Padaku apa yang dikatakan ibuku itu memang benar. Tapi apakandaya hendak menyetujinya kerana anak-anakku cuma ada aku tempat menyandarkan semua masalah mereka. Tidak mungkin aku mengabaikan anak-anakku demi belanja perubatan untuk diriku.

"Masa ni kau boleh lagi berjalan pelan-pelan walau selalu tersungkur tak mengapalah tak berubat...nantilah bila dah berumur sikit, sakit orang tua pun dah sampai...tanggunglah. Kau tu dah lah sakit tak habis lepas eksiden dulu tu...bertambah-tambah lah sakitnya." Ujar emakku justeru aku menolak saranannya.

                                             
'Entahlah mak...tak tau nak kata apa lagi. Semoga Allah memberiku kekuatan jiwa raga untuk melepasi apa jua ranjau dugaan-Nya yang merintang di laluan hidupku....InsyaAllah...' Suara hatiku  bergemersik halus.

SOSIO KEMASYARAKATAN

Hidup kita ini memang saling bergantungan dan perlu memerlukan di antara satu sama lain. Tidak kira samaada mereka itu jelas hubungannya dengan kita umpamanya ibu ayah, adik beradik, saudara mara terdekat atau sesiapa saja yang berada di sekeliling kita.

Selain itu tentulah jiran-jiran tetangga kita. Jiran-jiran itu adalah saudara kita yang paling akrab sehinggakan mereka dirasakan seolah berhak ke atas harta kita menurut Nabi SAW. Namun tidaklah sampai begitu sekali.

Aku merasa amat bersyukur justeru sepanjang hidupku ini, aku di kelilingi jiran-jiran yang amat baik lagi prihatin terhadap aku dan keluargaku. Mereka ini membantu apa saja kesulitanku tanpa imbalan apa-apa. Bukan senang hendak hidup sebagai OKU sekiranya tiada tangan-tangan yang sudi menghulur pertolongan.

Kak Fauziah dan suaminya abang Din, Darus dan isterinya Hamidah juga anak-anaknya seringkali membantu masalahku. Begitu juga dengan jiranku Imah, suaminya Hassan dan anak-anaknya menjadi tempatku meminta bantuan kala kesusahan. 

Jiranku yang di sisi kanan rumah adalah kak Idah dan suaminya Jusuh serta anak-anaknya. Kak Idah ini pantang melihat laman rumahku diserabuti rumput-rumput atau anak-anak pokok, beliau tidak senang duduk untuk membersihkannya. Aku boleh buat juga. Tapi tentu saja kerja-kerja yang dibuat OKU lambat siapnya. Dengan pertolongannya bertambah mudah kerja-kerja yang perluku buat.

Beliau ini juga gemar sekali menghantar apa saja penganan yang dibuatnya kepadaku. Bersusun pinggan makanannya yang tidak sempatku pulangkan di rumahku. Jikalau aku ditimpah musibah banjir, pokok-pokok tumbang atau apa saja beliaulah yang pertama akan muncul di muka pintu. Sebelum jiranku yang lain tiba.

Terima kasih banyak-banyak kak Idah kerana seringkali membantuku. Dan aku pasti jiranku yang sangat baik ini akan terus membantuku selagi aku hidup dan beliau masih bernafas.

Demikian kisah salah seorang daripada jiran-jiranku yang kesemuanya baik-baik. Baru-baru ini aku mengadakan kenduri akikah cucu bersekali dengan sambut menantu. Kesemua jiran-jiranku berdekatan datang  membantu menguruskan majlisku sehingga selesai segala-galanya.

 Mereka berlenggeng tangan bergotong royong menyiapkan semua keperluannya sedang aku cuma memerhati. Aku amat berterima kasih sungguh kepada semua jiran-jiranku yang
bersusah-payah membantu menyempurnakan majlisku itu.

HOBI SEORANG OKU
Kebiasaannya pada sebelah pagi selesai urusanku di atas rumah, aku membawa diri mengitari halaman rumahku yang agak luas bergantung dengan sebatang cangkul yang dijadikan tongkat.

Dengan tanganku yang kanan saja mampu berfungsi aku akan menanam apa saja benih pokok yangku ingini. Kalau aku terjatuh aku akan berusaha bangun semula meskipun dengan bersusah-payah. Dan matlamat yang hendakku capai akanku laksana jua.

Dengan kesungguhanku penuhlah laman rumahku dengan tebu hitam yang menjadi tambahan rezeki kepadaku kerana dibeli penjual air tebu iaitu jiran-jiranku. Jiranku itu Ita dan suaminya Zaki,Ida dan suaminya Mail  tidak menyusahkan aku untuk menebangnya. Semuanya mereka buat sendiri.

Belakang rumahku dipenuhi dengan tanaman serai dan lain-lain herba dapur. Kalau ada yang mahu membelinya secara banyak, pembeli itulah yang terpaksa mencabutnya. Tapi sekadar kegunaan jiran-jiranku berhampiranku berikan saja. Apalagi sekiranya mereka hendak berkenduri.

Sementara di serambi rumahku tergantung aneka jenis orkid yang sentiasa berbunga silih ganti meriakan hati, mengusir sepiku menikmati keindahannya. Dan di sekeliling pagar yang memisahkan rumahku dan rumah jiran-jiran kutanami pelbagai jenis puding dan bunga raya aneka jenis dan warnanya mengindahi suasananya.

Setelah usai kerja diluar rumah, masuk ke rumah merehatkan diri, baring-baring sambil menulis dan membaca. Menulis dan membaca memang sudah menjadi hobiku semenjak tahu tulis baca.

Pernah menghasilkan tulisan yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia, Dewan Sastera, Majalah Peneroka tika akhir 70-an. Tapi kesukaan menulis ditinggalkan setelah berkahwin dan beranak kecil. Dan selama menjadi OKU banyaklah yang telah ditulis mengisi masa berlalu.

Dengan teknologi computer mudahlah aku menulis semua karyaku menggunakan computer pula. Belajar menggunakan computer dengan computer.  Dahulu aku pernah bekerja sebagai jurutaip, kerani,,guru tapi semua sementara dan tahu sikit-sikit  bahasa Inggeris jadi dapatlah aku mengoperasikannya     

Anakku yang sulung menyedari kesukaanku menulis dan menggalakkanku menyertai sayembara puisi DBP dan beliau sendiri yang menguruskannya. Ekoran itu aku diberi peluang menyertai kursus penulisan cerpen untuk pesara 2007 di hotel Dynasty KL.

Ramai penulis ternama tanah air yang menyertainya, termasuk Mokhtar Rahman, Kursiah Hanum. Baharudin Ismail, Noorlaila Ghafar dan ramai lagi di bawah bimbingan sifu penulisan Zaharah Nawawi.

Penulis/penyair Noorlaila Ghafar hingga kini adalah sahabat akrabku yang sering membantu susahpayahku terutama membimbingku dalam bidang penulisan.

Sejak adikku Pazeli Ishak menolong membuka akaun facebook dan blog dapatlah aku beriteraksi dengan ramai lagi penggiat sastera. Antaranya ustaz Ilhami Hisham penerbit BeTA. Bersama BeTA, empat buah antologi puisi bersama penulis/penyair lain berjaya diterbitkan. Terima kasih ustaz Ilhami Hisyam yang turut memberi ilmu penulisan danpeluang berkarya kepadaku.

Bersama SPTA di bawa bimbingan penerbitnya sifu Tabir Alam telah berjaya menerbitkan tiga antologi puisi bersama.  Terima kasih sifu Tabir Alam.
Bersama KARYAWAN PERAK  diberi peluang Dr. Zabidin menerbitkan 10 antologi puisi bandar bandar di Perak bersama ramai penyair/penulis terpilih.  Terima kasih Dr. Zabidin.


UJIAN HIDUP TIDAK PERNAH HABIS

Aku pernah nasihatkan sahabatku lela (Noorlaila Ghafar) yang menghantar msg mengatakan beliau terjatuh terpijak kulit tembikai di surau asrama sekolahnya agar berhati-hati tika melangkah jangan biarkan diri terjatuh selalu sebab di usia yang telah banyak ini tulang semakin reput dan mudah patah.

Sekali lela tak apa-apa aku pula yang ditimpa ujian-Nya. Itulah pandai-pandai sangat nak menasihat orang sihat sedang awak tu OKU saja dah terima padahnya.

Selepas solat subuh aku bermsg dulu dengan lela memberitahunya hendak ke dapur bersarapan sebelum memulakan rutinku mengemas rumah dan lain-lain maklum esoknya  dah nak raya haji.

Kata lela beliau belum bersarapan dan teringat pula hari ni hari Tasyrik dan sunat berpuasa. Msg lela masuk selepas aku dah tersungkur tepi lemari dapur dengan dahi pecah berdarah dan kaki kiri terus tegang dan  sakit sangat. tak terbangun sendiri dah... macam selalu tu. Memang aku kerap jatuh tapi biasanya aku boleh berusaha bangun.

Anak yang sedang tidur lambat pula bangunnya walau dijerit berkali-kali dengan suaraku yang halus tidak mampu memberi riak apa-apa. jadi tersadailah aku di situ sebelum pertolongan tiba menahan kesakitan teramat.

Adikku Fatimah dan anaknya Soni tiba setelah diberitahu dan Soni mengcempungku ke kereta Ayie anak jiran sebelah rumahku menghantarku ke hospital Jengka. Setelah di x-ray katanya dislocate. Ambulan segera pula menghantarku ke hospital Temerloh.

X-ray lagi. Doktor di sini kata tulang kiri patah. dah tak boleh nak ditolong lagi, kena tunggu sembuh sendiri. Dan selama tiga hari aku beraya di sini bersama ramai doktor-doktor dan misi-misi yang melayaniku sangat ramah dan baik.

Setelah pulang ke rumah, adik dan anak menantuku membawa pula bertemu bomoh patah di Gelanggi. Kata bomoh sendiku terkeluar. Berderak bunyi sendi yang dimasukan ke tempat asalnya. Akupun mengadoi kesakitan...

Terima kasih banyak kepada adikku Saadiah, Ilah, Tan, anak saudaraku Soni, jiran-jiranku petugas hospital Jengka dan Temerloh  yang berusaha membantuku di saat kritikalku...juga Jee/Fauziah Samad adik iparku yang prihatin memberitahu kawan-kawan fb/blog tentang tahap kesihatanku. doa kalian semua bermakna sekali dan sangat-sangat dihargai

Akibat patah tulang pinggul dan kemudiannya tulang kaki, aku sudah tidak boleh bergerak seperti duhulu lagi. Hobiku berkebun terpaksa kutinggal. Yang masih boleh hanyalah menulis. Dan nampaknya aku akan menjadi penulis selagi tanganku berdaya digerakan.




26 comments:

  1. irda membacanya dengan begitu terharu,begitu berat ujian yang diterima kak..tapi akak menerimanya dengan penuh tabah,mengharungi sisa kehidupan dengan kekuatan semangat,hanya orang-orang yang terpilih begitu redha dengan ujian ALLAH ini..sesungguhnya ia adalah orang-orang yang hebat..

    moga hari-hari yang dilalui semakin cekal,setiap dari kita punya cerita sendiri,dan ujian sendiri.kelak akhirnya kita bertemu kembali pada yang mencipta kita...

    salam ukhuwah kak

    ReplyDelete
  2. TKSH IRDA ITULAH REALITI KEHIDUPAN YG SDG DITITI KINI...

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum kak, moga sentiasa diberikan kesihatan yang baik.
    Saya menghadam tulisan ini sehingga ke noktah yang terakhir. Sebak dan terharu di atas ujisn ysng akak hadapi. Tidak semua orang kuat untuk menggalasnya. Dan akak cekal menggalasnya. Andainya saya dapat meminjam sedikit kekuatan yang akak miliki tatkala saya juga ditimpa dengan sedikit ujian. Percayalah ujian dan dugaan-Nya tidaklah sia-sia. Pasti ada hikmah kebaikan yang mungkin kita dapat tafsir kebaikannya, atau mungkin juga tidak. Namun percayalah kebaikannya pasti ada.
    Moga akak sentiasa diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian dan dugaan hidup ini. Akak sentiasa di dalam panjatan doa saya...

    ReplyDelete
    Replies
    1. WSALAM DIK USTAZ TKSH BANYAK DOANYA AMIIN...TERHARU HATI...SESEKALI BERKISAH TNTNG DIRI SEDIRI AGAR KITA SALING MENGENALI...

      Delete
  4. terharu rasanya membaca kisah akak PI. Setiap ujian itu ada hikmahnya. Walaupun ada kekurangan, tapi akak masih ada kelebihan2 yg tiada pada orang lain. semoga akak terus berjaya.

    ReplyDelete
  5. Entah mengapa membaca kisah ini buat airmata kakak menitik. Sayu, sebak dan kakak kagum dengan kekuatan PI mengharungi hidup yg penuh ranjau onak berduri tapi maha pengasihnya Allah diberikan kekuatan dari kanan-kiri, keliling semua memberi sedikit kemudahan utk PI boleh mengukir sedikir senyuman dan akhirnya mampu berkarya cantik berbanding kami yg sempurna anggota.

    Moga Allah terus beri kekuatan buat PI.

    Kakak sayang PI...

    ReplyDelete
  6. Allahu, speechless sebenarnya kak PI. Apa pun saya kagum dengan kak dalam meneruskan kehidupan dengan anak2. Anak2 tentu bangga dengan kak, yang penting sekali kak dah sediakan anak2 untuk mereka meneruskan hidup. Kita pun belum tentu sempurna walaupun fizikal sempurna. Semoga Allah terus pelihara kak PI

    ReplyDelete
  7. Sobs..sobs..sobs... touching Mrs. A baca k. PI.
    Kagum dan speechless dengan semangat K.PI.
    Sangat menginspirasikan diri Mrs. A

    ReplyDelete
  8. Allah..Allah..Allah..sungguh PC sebak..sungguh PC sedar..betapa berat dan peritnya dugaan yang dirasa..ada lagi yang lebih berasa keperitan itu..subhanAllah..PC mohon moga Allah permudahkan setiap urusan kak PI..kak PI bukan orang kelainan upaya...tapi orang keistimewaan upaya...sangat istimewa..

    ReplyDelete
  9. Terharu baca kak PI... smoga Allah jua yg memudahkan segalanya dengan sepenuh kejayaanNya di dunia dan akhirat... aamiin ya Rabbalalaamiin.

    ReplyDelete
  10. sebak baca kisah PI, walau apa pun keadaan kita semamgat jgn sesekali luntur..demi anak2 dan keluarga tersayang..

    ReplyDelete
  11. TKSH KBDOANYA..AMIIN..INSYA ALLAH

    ReplyDelete
  12. TKSH HANA DOANYA AMIIN...INSYAALLAH SEMPAT MENYEDIAKAN ANAK2 DGN KEHIDUPAN SEADANYA SEBELUM TERSUNGKUR LAGI

    ReplyDelete
  13. TKSH MRSA JGN SEDIH...AMBIL KISAH KAK UTK DIJADIKAN TELADAN MENITI HIDUP

    ReplyDelete
  14. Ya Allah, sebak saya baca entry akak ni. Beratnya dugaaan akak, semoga akak terus tabah, saya tak tahu jika saya mampu menjadi sekuat akak atau tak. Semoga Allah sentiasa memudahkan urusan akak. Aminnnn.

    ReplyDelete
  15. TKSH PC DOANYA AMIIN..INSYA ALLAH SUDAH SEBATI MENERIMA KEADAA DIRI SEADANYA

    ReplyDelete
  16. TKSH DIK KK DOANYA AMIIN.........INSYA ALLAH NASIB N TAKDIR KITA BERBEZA-BEZA

    ReplyDelete
  17. TKSH KAKZAKIE...SEDIH YA...LUAHAN HATI SORANG OKU TNTULAH KAKWAKILI MRK YG SENASIB DGN KAK TAPITIADA YG TAHU MSLH MRK N MERASAINYA...SYG KAKZAKIE KWN2, ADIK2, ANAK2 SEMUA YG MENERIMA HADIR PI DI RUANG INI

    ReplyDelete
  18. TKSH KY..BENAR TU..BIASALA KITA YG DH BERUSIA NI SEMANGAT HIDUPJER TINGGI

    ReplyDelete
  19. TKSH SYED DOANYA..AMIININSYAALLAH...DUGAAN APAPUN YG MERINTANG HIDUPKITA CEKALLAH HADAPINYA...NK ELAKPUN DH XBOLEH

    ReplyDelete
  20. Masyaallah, terharu saya kak. smoga jaya. semangat...

    ReplyDelete
  21. TKSH ILHAM SANUSI DOANYA...AMIIN INSYAALLAH

    ReplyDelete
  22. Kekuatan yang bukan calang2 untuk dimiliki.
    teruslah berkarya selagi terdaya
    Pi punya bakat yang besar untuk menghasilkan penulisan yang berkualiti.

    ReplyDelete
  23. TKSH WP...INSYAALLAH...TLS SKDR SUKA2 SAJA PUN ISI MASA BORING HEH..HEH..

    ReplyDelete
  24. setiap ujian adalah tanda kasih sayang-Nya dan bkn semua org mengalaminya... dan akk pula salah seorg yg dipilih-Nya...

    ReplyDelete
  25. TKSH ANIES...PASRAH N REDA SAJA AKAN TAKDIR-NYA

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”