Friday, 13 January 2017

MANUSKRIP LAMA...SIRI 4

ASSALAMUALAIKUM...

SALAM JUMAAT MULIA


CORETAN PAK ENGKU
SEPANJANG JALAN KENANGAN
BAB 4
BERPINDAH AKIBAT SELISIH FAHAM
Selama tiga bulan aku tinggal di rumah kanda Tajaludin kerjaku adalah menjadi tukang masak di rumahnya. Pada suatu hari, pertengkaran kecil telah berlaku antara aku dengan kanda Tajaludin. Aku telah menangis. Aku siapkan kain bajuku masa itu. Gelap rasanya dunia ini aku pandang. Wang di tanganku tidak ada. Kain baju yang aku bawa dahulu semuanya sudah lusuh kerana sering dipakai oleh kanda Tajaludin. Hendak pun aku pulang ke kampung dengan berjalan kaki, aku tidak tergamak. Beratus-ratus batu jauhnya.
Tidak lama selepas itu aku pun keluar ke pekan Johor Baharu. Tujuanku adalah untuk mencari kerja. Walaupun hanya dapat makan sebagai upah kerjanya, pun jadilah. Pada pukul tiga petang aku telah sampai di hadapan pasar. Aku terlihat seorang tua sedang menjual ubat. Aku pun menghampirinya dan berkata, "Bapak beri saya kerja apalah kiranya."
Orang tua itu menoleh padaku lalu berkata, "Apa ada kerja di sini?"
Aku merayu padanya lagi, “Tolonglah Pak. Saya tak ada keluarga."
Orang tua itu pun bertanya kepadaku, "Mana kampung kamu? Dan siapa emak dan ayah kamu?"
Aku menjawab, "Saya orang Seremban. Emak dan ayah sudah tiada lagi."
Orang tua itu berkata lagi, "Kerja di sini hanya susun botol-botol ubat. Gajinya 50 sen."
Aku lekas-lekas menjawab, "Tak apalah Pak. Biarlah. Asalkan saya dapat makan pun jadilah."
"Baiklah..", kata orang tua itu. "Nanti engkau datang ke sini pada jam 6.00 petang."
Selepas orang tua itu berkata begitu aku pun terus pulang ke rumah tumpangan ku di Bukit Chagar untuk mengambil kain bajuku. Pada petangnya aku telah berada bersama orang tua yang menjual ubat itu. Setelah jam 10.00 malam, sebaik habis berniaga, aku pun menyusun botol-botol ubat jualannya ke dalam sebuah bag. Sesudah itu aku pun pulang ke rumah tumpangannya di Jalan Ibrahim. Tiga bulan lamanya aku mengikuti dan berkerja dengan orang tua ini yang aku panggil Pak Mat. Dia berniaga menjual ubat.
Pada suatu hari Pak Mat bertanya padaku, "Mahukah kamu mengikut aku balik ke Siam?" Pak Mat mahu balik ke Siam kerana hendak mencari bahan-bahan untuk membuat ubat-ubatannya. Aku terus bersetuju untuk mengikutnya. Setelah aku bersetuju Pak Mat pun pergilah ke Singapura untuk urusan surat kebenaran di Pejabat Imigresen.
Hal aku akan pergi mengikuti Pak Mat ke Siam telah dapat diketahui oleh Alias. Dia telah menulis surat kepada abangku Abdul Rahman. Abangku pada ketika itu berkerja sebagai peon di Pejabat Urusan Orang-Orang Cina di Seremban. Alias telah memberitahu abangku bahawa aku akan pergi ke Siam. Sekiranya hendak berjumpa dengan aku lekas-lekaslah datang ke Johor Baharu.
Pada suatu pagi, sedang aku berjalan-jalan di setesen kereta api, datang seorang kawan yang tinggal serumah dengan kanda Tajaludin dulu. Dia memberitahu aku yang abang dan ibuku ada datang dari Seremban. Sekarang ada di rumah kanda Tajaludin. Mulanya aku tidak percaya. Tetapi dengan desakannya, aku pergilah ke sana. Memang betul abang dan ibuku ada di situ. Aku bersalaman dengan abang dan ibuku. Ibuku menangis. Aku bertanya pada abangku, "Bila sampai?".
Abangku menjawab, "Jam 6.30 pagi tadi."
Ibuku sambil mengesat air mata berkata, "Awak yang ingat kepada anak, awaklah datang." Aku hanya mendiamkan diri.
Selepas minum pagi, aku bersama abang dan ibuku telah keluar ke pekan Johor Baharu kerana hendak menemui Pak Mat. Setelah sampai di rumah Pak Mat, Pak Mat bertanya pada aku, "Siapa ni?"
Aku bungkam. Terdiam. Bisu tak dapat berkata apa-apa. Lalu dengan pantas abangku memperkenalkan dirinya. Abangku berkata, "Saya adalah abang kepada Othman. Dan ini adalah ibu Othman."
Abangku terus berceita dengan orang tua itu dan sesekali terdengar olehku suara ibuku menyampuk. Aku hanya duduk di luar semasa mereka sedang berunding. Kemudian aku terdengar Pak Mat memanggil namaku. "Man, masuk", katanya. Aku pun masuk ke dalam. Pak Mat berkata padaku, "Sekarang ibu dan abang Othman telah datang untuk menjemput Othman balik. Bapak rasa eloklah Othman balik."
"Saya tak mahu balik", jawabku pendek.
Mendengar jawapanku Pak Mat cuba memujuk aku, "Othman, bila bapak sampai ke Seremban besok, bapak akan ambil Othman semula untuk berkerja dengan bapak. Buat masa sekarang ini baiklah Othman balik dulu. Kasihanilah akan ibumu yang datang sekian jauhnya ini."
Akhirnya aku terpaksa menurut kehendaknya. Pak Mat pun memberikan aku dua botol ubat dan sedikit wang untuk belanja aku di dalam kereta api nanti. Setelah bersalam-salaman, aku, abang dan ibuku pergilah menemui kanda Tajaludin pula. Ibuku ingin ke Singapura untuk berjalan-jalan. Jadi kami berempat pun bertolaklah ke Singapura dengan menaiki sebuah kereta. Kami berjalan- jalan dan melihat setesen kereta api Tangjung Pagar yang kebetulan baru sahaja dipindahkan ke situ. Lebih kurang dua jam kami di Singapura, baliklah semula ke Johor Baharu. Balik ke rumah kanda Tajaludin.
Pada jam 9.00 malam hari yang sama, aku, abangku serta ibuku sudah berada di Setesen Kereta Api Johor Baru. Kami bertiga akan menaiki Keretapi Mel dari Singapura untuk ke Seremban. Jam 9.30 malam bertolaklah kami dari Setesen Keretapi Johor Baru menuju ke Seremban. Sepanjangan perjalanan itu aku tidak tidur-tidur. Aku berjalan ke hujung dan ke pangkal kereta api. Hati aku terasa amat riang kerana akan dapat bertemu semula dengan saudara-maraku. Namun apa yang paling menggembirakan hatiku adalah aku akan dapat bertemu kekasih hatiku Inchum. Kekasih hatiku Inchum yang telah terlalu lama aku tinggalkan.
Pada jam 5.30 pagi, kereta api berhenti di setesen Seremban. Aku bertiga pun turun. Kebetulan ayahku sudah ada menunggu. Ibuku yang telah memberitahu ayahku bahawa kami akan sampai balik pada pagi itu.
"Mana dia?", tanya ayahku pada ibuku. Kedengaran olehku akan suaranya kerana aku masih berada di belakang lagi. Aku pun terus pergi mendapatkan ayahku. Aku memohon maaf padanya. Aku lihat ayahku pada masa itu tidak berapa sihat. Badannya tampak kurus.
Sesudah minum pagi di kedai mamak berhampiran Setesen Keretapi itu kami berempat pun berjalan kakilah menuju ke perhentian bas. Jam 8.00 pagi aku sudah berada di rumahku di Bukit Jelutung. Aku terus pergi menemui kakakku Lembik. Lembik, Kak Tehku inilah kakak yang paling aku sayang dan kasihi. Selepas waktu Zohor aku pun pergilah ke Kampung Belangkan untuk menemui kekasihku Inchum. Apabila aku berhadapan dengannya, Inchum terdiam. Matanya merenung arah ke lantai. Aku bertanya padanya, "Apa khabar Chum?"
Incum bangun dari tempat duduknya dan terus lari ke dalam biliknya. Kedengaran olehku suara dia menangis teresak-esak. Dengan segera pula aku masuk ke dalam untuk mendapatkannya. Lalu aku pun berkata, "Kenapa kau menangis Chum?"
Dia tidak menjawab pertanyaanku. Sedu-sedan Incum masih kedengaran lagi. Sedih dan pilu mungkin menyelubungi hatinya. Waktu itu emak dan ayah Incum belum balik dari menoreh lagi. Selepas reda esak tangisnya dia lantas bersuara, "Uda, sampai hati Uda pergi sekian lama tanpa mahu memberi khabar berita sedikit pun. Chum tertunggu-tunggu berita dari Uda. Habis hari berganti hari, habis bulan berganti bulan. Namun berita yang Chum harapkan tidak juga sampai. Chum jatuh sakit. Chum sakit rindukan Uda! Chum rasa tidak ada gunanya Chum hidup lagi."
" Tambahan pula bila Chum diberitahu oleh abang Lakin yang Uda sentiasa berendam air mata selama di Johor Baru itu” sambungnya lagi. “Abang Lakin kata badan Uda telah menjadi bertambah kurus. Alangkah hibanya rasa hati Chum pada ketika itu. Tetapi Chum pendamkan juga. Apakan daya Chum!"
Inchum terus lagi berkata padaku, "Sekarang Uda dah balik. Uda tak akan pergi ke mana-mana lagikan?"
"Tidak Chum", jawabku pendek. "Uda balik ke kampung kerana Chum. Kasih Uda pada Chum tidak dapat hendak Uda hilangkan".
Bermula dari kepulanganku ke kampung, aku selalulah memberi makan kerbauku dan kerbau ayah Inchum di sepanjang sungai di belakang rumahnya. Sentiasa bersama-sama Inchum dan ibunya. Sambil memberi makan kerbau kami memancing ikan di sebuah lombong berhampiran. Ikan-ikan yang dapat dipancing kami jadikan lauk. Dari situ kasihku pada Inchum terus hidup subur.
Pada suatu ketika pernah Pak Cikku memujuk ayahku supaya mengahwinkan aku dengan Inchum. Kesudahannya ayahku mengalah dengan pujukan Pak Cikku. Ayahku bersetuju untuk mengahwinkan aku dengan Inchum. Tetapi dengan syarat kata ayahku. Syaratnya majlis perkahwinan hendaklah dibuat di rumah Pak Cikku. Malangnya apabila lamaran di pihak keluargaku dibuat, ayah Inchum pula berkehendakan mas kahwin dan hantaran yang tinggi. Ayahku tidak bersetuju. Lalu pinanganku itu ditolak. Pada masa itu, ayah Inchum sudah tidak lagi berkerja menoreh getah dengan ayahku. Dia menoreh getah di kebun orang lain. Dengan penolakan itu yang menjadi mangsa adalah kami berdua. Harapan kami untuk hidup bahagia bersama sudah jadi hancur berkecai.

(Bersambung BAB 5 - KAHWIN PAKSA)

5 comments:

  1. sedap cerita ini jika dibawa ke layar perak!

    ReplyDelete
  2. Cerita tahun bila ni Kak Paridah. Saya terbayang-bayang suatu zaman yang lama mungkin zaman 40-an. Hehe.

    Selamat berkarya, kak. Cemburu saya. Teringin sekali nak menulis. Tetapi ideanya sering tersekat-sekat sahaja.

    ReplyDelete
  3. CERITA TAHUN 30-AN DULU NI FAARIHIN ZAMAN NENEK MOYANG KITA DULU MSKRIP WARISAN KELUARGA PAK ENGKU...TQ

    ReplyDelete
  4. org dulu2 kaya. beli lembu kerbau kambing..org skrg da jarang yg bela kerbau ;-)

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”