Thursday, 19 January 2017

MANUSKRIP LAMA SIRI 8...

ASSALAMUALAIKUM...

CORETAN PAK ENGKU
SEPANJANG JALAN KENANGAN
BAB 8
TANPA DISANGKA

Pada suatu hari Pak Itam Sadin telah datang ke rumahku. Pak Itam Sadin adalah abang kepada ibu mertuaku. Dia mengajak aku berkerja di Bhutan Estate. Berkerja sebagai pencuci enjin katanya. Gajinya ialah 25 ringgit sebulan. Sebenarnya sebelum ini pun aku memang sudah dua kali pergi ke Bhutan Estate. Pertama kali semasa pergi menyalang dulu. Dan kali keduanya kerana mengikuti ayah mertuaku berjalan-jalan ke sana. Aku pun bersetuju untuk berkerja di sana. Anak dan isteriku aku bawa bersama. Di sanalah aku belajar bagaimana menjalankan enjin letrik.
Kerjaku bermula diwaktu subuh lagi. Aku berkerja bersama Pak Itam Sadin. Kami berkerja di setor getah. Pada pukul 9.00 pagi aku pergi menghidupkan enjin pam air. Tugasku berlanjutan sehingga jam 2.00 petang. Diwaktu petang, biasanya aku akan pergi berjalan-jalan ke pekan Salak. Pekan yang terletak lebih kurang tiga batu dari Bhutan Estate. Di Salak ini, aku kenal seorang kawan. Dia berkerja sebagai tukang gunting rambut. Namanya Abu. Dahulunya dia pernah berkerja sebagai tukang gunting rambut di pekan Kuala Sawah. Dia telah tinggal menetap di Salak Tinggi. Sebuah kampung yang terletak lebih kurang setengah batu jauhnya dari pekan Salak. Waktu pulang ke rumah dari Pekan Salak aku selalu balik bersama-sama dengannya. Sambil berjalan kami berbual-bual. Di Salak aku punya kawan yang banyak. Pemuda-pemuda kampung telah melantik aku menjadi ketua pasukan bolasepak di tempat mereka. Disamping itu juga, aku adalah ketua bagi melatih anak-anak muda di kampung itu bermain sandiwara. Kami biasanya berlatih pada hari-hari yang telah ditetapkan terlebih dahulu.
Oleh sebab itu aku telah dikenali dengan cepat oleh orang-orang tua dan muda di situ. Mereka memanggil aku dengan gelaran Othman Bhutan kerana aku tinggal di Bhutan Estate. Pasukan bolasepak yang aku ketuai ini pernah mengadakan perlawanan di banyak tempat. Antaranya di Bukit Bangkung, Bangi, Sepang Road dan banyak lagi tempat yang aku sudah tidak ingat. Setiap hari biasanya aku akan pasti berada di pekan Salak dari jam 4.00 hingga 6.00 petang.
Tidak berapa lama aku tinggal di Bhutan Estate, aku telah membeli sebuah basikal. Basikal jenis Philips Coronation Sport. Harganya pada ketika itu ialah 60 ringgit. Pada suatu petang, sewaktu matahari akan terbenam di tabir langit, kelihatanlah cahaya merah bagai emas disepuh. Ia menambahkan seri dipetang hari itu. Aku berjalan bersama-sama Abu dari pekan Salak. Aku hendak balik ke rumahku di Bhutan Estate. Masa itu aku memakai seluar pendek putih, berbaju putih dan kasut pun berwarna putih juga. Sambil berjalan itu macam-macamlah cerita yang terkeluar dari mulut kami berdua.
Sewaktu berjalan itu kami lalu di hadapan sebuah rumah besar. Rumah itu berdekatan dengan sebuah masjid. Rumah itu adalah kepunyaan Tengku Jaafar. Penghulu mukim Salak. Sesampai kami di hadapan rumah besar itu, suatu bunyi yang kuat telah kedengaran di telingaku. Bunyi itu datangnya dari rumah besar tersebut. Aku berdua sama-sama menoleh ke tempat datangnya bunyi itu. Rupa-rupanya ada seorang gadis sedang berdiri di tingkap anjung rumah itu. Dia sengaja menarik daun tingkap itu kuat-kuat. Mungkin ia bertujuan untuk menarik perhatian agar aku memandang ke arahnya. Bila aku dan Abu memandang ke arahnya, gadis itu melambai-lambaikan sehelai sapu tangan berwarna merah jambu. Kawanku Abu tiba-tiba berkata, "Pendek nyawa, Man!"
Hanya itulah kata-kata yang keluar dari mulut Abu. Aku hanya mendiamkan diri sahaja sehinggalah kami berdua sampai di hadapan rumahnya. Berseorangan selepas itu, aku terus berjalan balik ke Bhutan Estate. Di rumah, anakku Shahri dan Ramlah adalah penghibur hatiku. Pada malam itu aku teringat kembali akan peristiwa di siang hari tadi. Aku mengeluh. Isteriku terdengar akan keluhanku itu.
Isteriku bertanya, "Kenapa ?"
"Takda apa-apa," jawabku pendek.
Pada suatu hari malang telah menimpa diriku. Anakku Ramlah telah jatuh sakit. Sesudah seminggu sakit di Bhutan Estate, aku bawa anakku itu keluar dari rumah. Aku menumpang tinggal di rumah seorang kenalan Pak Itam Sadin. Rumahnya itu terletak di Salak Tinggi. Seminggu lamanya aku tinggal di situ. Sakit anakku Ramlah tidak juga sembuh-sembuh. Akhirnya aku telah membawa anakku itu balik ke ke kampung. Pada masa itu ayah dan ibu mertuaku telah berpindah ke Kuala Sawah. Rumah mertuaku itu pula letaknya berdekatan dengan rumah Inchum. Jarak sebuah rumah sahaja. Maka tinggallah aku seorang diri di Bhutan Estate. Keadaan aku masih juga seperti biasa juga. Setiap petang aku akan keluar ke pekan Salak.
Pada masa itu di pekan Salak ada Pekan Sari iaitu pada hari minggu. Ramai juga orang datang ke Pekan Sari tersebut. Ada yang datang dari Nilai, ada yang dari Sepang Road, Kubang dan dari kampung-kampung sekitar pekan Salak itu sendiri. Masa aku berulang alik pergi ke pekan Salak itu sesekali terpandang olehku seorang gadis. Dia sedang duduk di bawah anjung rumah Tengku Jaafar. Keadaannya sugul sahaja. Rambutnya tidak bersikat. Biasanya pada masa aku balik, dia akan berada di atas rumah. Dia berada di tepi tingkap anjung rumah. Dia akan melambai-lambaikan sehelai sapu tangan berwarna merah jambu kepadaku. Diwaktu petang bila aku sudah berlalu, barulah tingkap itu di tutupnya. Aku tidak menyangka sesuatu apa pun yang akan berlaku.
Bersambung ke BAB 9 - BENIH CINTA TUMBUH KEMBALI

12 comments:

  1. Kisah yang mengasyikkan untuk disimak.....

    ReplyDelete
    Replies
    1. TKSH NEDI ARWANDI...MENARIK KISAH LAMA NI

      Delete
  2. akak, sometimes ada entry akak yang saya tak boleh nak drop komen. tak tahu kenapa

    ReplyDelete
  3. TKSH DP INSYAALLAH SAMBUNG ESOK.

    ReplyDelete
  4. TAK TAHULAH DP KENAPA AGAKNYA...MSLH BLOGGER LAHTU KOT

    ReplyDelete
  5. Basikal Philip mesti masa tu dah dikira mewah sangat agaknya kan
    Lagi satu itu agaknya sigadis terpikat tak tahu ke org yg dia lambai dgn sapu tangan itu sudah ada isteri dan anak.

    Eh... nak tahulah kakak kesudahannya:)

    ReplyDelete
  6. TKSH KAZAKIE..BASIKAL IMPOT YG ORI TU...ORG DULU2 KALAU MAMPU MILIKI BASIKAL DH DIKIRA KAYA..TUNGGU SAMBUNGANNYA

    ReplyDelete
  7. Dah nak mencari cerita sebelumnya pula kak PI..
    Menarik cerita pak engku ni kan..

    ReplyDelete
  8. Kena ikuti kisah ni... pastinya menarik..

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”