Tuesday, 17 January 2017

MANUSKRIP LAMA SIRI 7

ASSALAMUALAIKUM...

ORETAN PAK ENGKU
SEPANJANG JALAN KENANGAN
BAB 7
DITUNANGKAN DAN BERKAHWIN
Aku bertolak balik ke kampungku dengan menaiki kereta api. Naik kereta api dari setesen Durian Tunggal ke Seremban. Sebaik sahaja aku sampai ke kampung aku terus pergi ke rumah Kak Tehku. Kakakku memberitahu aku bahawa Inchum sudah becerai dengan suaminya. Diceraikan oleh Silong selepas Inchum melahirkan anak. Anak itu telah diambil oleh Silong. Semasa Silong menikahi Inchum dulu itu rupanya dia sudah mempunyai isteri. Isteri pertama. Rupa-rupanya Inchum adalah isteri kedua Silong.
Selepas balik ke kampung ada juga aku bertemu dengan Inchum. Dia menceritakan kepadaku akan nasib malang yang menimpa dirinya. Bagaimana kononnya, dia telah dikenakan ubat guna-guna oleh Silong. Namun selepas seketika hidup bersama, katanya, maka hatinya telah berubah serta-merta terhadap Silong. Hatinya tidak dapat menerima Silong. Tetapi apakan daya sebab dia sudah pun menjadi isterinya, ceritanya lagi. Inchum berkata pada waktu itu, hatinya telah teringat kembali kepada aku. Dia berasa amat bersalah. Bersalah kerana membuatkan aku hidup kecewa. Inchum berharap sangat agar aku dapat datang ke rumahnya. Tetapi aku telah insaf dengan diri aku. Aku telah serik dengan kejadian yang dulu itu. Penanggunganku di masa yang lampau atas perlakuan Inchum. Aku takut benih cinta akan tumbuh subur kembali. Aku sudah tak sanggup menghadapinya lagi.
Oleh sebab aku tidak berperkerjaan, maka aku telah mengikut kawanku Hassan berkerja di Suak Betong, Rantau. Kerja menebas pokok-pokok senduduk. Sebulan lamanya aku berkerja di sana. Pada suatu hari, Hassan telah berkata padaku, "Uda, saya hari ini nak balik ke Bukit Jelutung. Makan kenduri. Kenduri apa Uda tahu tak?"
"Mana pula Uda tahu. Uda kan ada kat sini," jawabku.
"Uda akan ditunangkan hari ini." kata Hassan lagi
 Oleh sebab dia selalu bercakap benar padaku, aku percaya pada cakapnya itu. Perasaanku sudah mula berasa tidak tentu arah. Aku tidak tahu siapakah bakal isteriku itu.
Dua hari kemudian aku pun pulang ke rumahku di Bukit Jelutung. Ayahku pada masa itu sudah mulai sakit-sakit. Sakit batuk-batuk. Setelah aku dudukbersama ayahku, ayahku pun berkata, "Man, sekarang kau telah abah tunangkan. Abah harap kau bersetuju dengan pilihan abah. Abah mahu kau berumah tangga."
“Abah mahu menengok kau berumah tangga semasa abah masih hidup lagi. Lagi pun adik beradik kau semuanya telah berkahwin. Yang sudah itu janganlah kau kenang lagi," sambungnya lagi. Aku hanya berdiam diri. Namun dalam benakku masih terfikir siapakah perempuannya tunangan aku itu. Pada ketika itu aku pun kasihan juga melihatkan ayahku yang sudah mulai sakit. Sakit akibat termakan bisa. Setelah itu aku pun pergi ke rumah Kak Tehku. Di sanalah baru kutahu siapa perempuan tunanganku itu.
Sebulan sahaja aku ditunangkan. Pada hari yang telah ditetapkan, rumahku telah dipenuhi sanak saudaraku dan orang-orang kampung. Almaklumlah ayahku ini adalah seorang dukun pada masa itu. Pada hari itu aku telah pergi ke pekan Seremban untuk membeli beg. Aku telah terlewat sedikit balik. Saudara-maraku semuanya sudah berasa cemas. Sesampai sahaja aku di rumah, aku terus masuk ke dalam bilik untuk mengeluarkan kain bajuku. Maka terjumpalah aku akan kain dan baju Inchum yang diberikannya padaku dulu itu. Perasaanku melayang ke suatu masa yang jauh. Semasa aku mengasihi Inchum dulu. Hiba… hiba hatiku apabila menatap kain dan bajunya itu. Air mataku mula mengalir. Ya, mengalir dengan derasnya. Kenangan indahku semasa bersamanya datang menusuk ke dalam jantungku. Aku menangis.
Abangku Abdul Rahman datang dan masuk ke dalam bilikku. Perlahan-lahan dia menarik kain dan baju Inchum itu dari pegangan tanganku. Perlahan-lahan dia berkata,
"Janganlah buat macam ini, Man. Abah kita sakit. Nanti akan hampalah harapan abah. Akan bertambah pulalah sakitnya. Lupakanlah dia sama sekali Man."
"Man, kau akan dinikahkan malam ini. Ingatlah, Inchum telah dua kali nikah. Sedangkan kau masih ingat lagi padanya. Kalau dia betul-betul sayang dan hendakan kau, tidaklah dibuatnya kau semacam itu", sambung abangku lagi.
Tiba-tiba Kak Ngahku datang menerjah masuk ke dalam bilikku.
"Mana barang-barang tu? Bagi sini. Supaya kujadikan dia abu," ujar Kak Ngahku.
Kakakku itu telah mengambil kain dan baju Inchum dari tangan abangku dan terus membakar barang-barang tersebut. Sedang aku terus merenung sayu pada kain baju yang telah dibakar itu. Air mataku bercucuran di pipi.
Setelah lega hatiku, aku pun pergi mandi. Kemudian bersalin pakaian. Jam 8.00 malam aku pun datang menyembah ayah dan ibu serta saudara-maraku. Lepas itu aku pun turun berjalan diiringi oleh kawan-kawanku. Aku dipayungkan. Seolah-olah aku raja pada malam itu. Sesampai di rumah pengantin perempuan mercun pun berbunyilah. Sehingga tiada kedengaran bunyi yang lain. Hanya bunyi letupan mercun yang dipasang di halaman rumah pengantin perempuan itu sahaja. Bunyi letupan petas ratus dan petas ribu. Sungguh menggamatkan suasana bunyinya pada ketika itu.
Sebaik naik ke atas rumah, aku ditempatkan di hujung serambi. Dengan serba serbi alatannya berkilau-kilau. Tak ubah seperti tempat raja bersemayam. Pada jam 10.00 malam aku pun dinikahkan. Kalau tak silap aku hari itu adalah 18 haribulan Januari 1935. Masa itu orang kahwin, kerja kendurinya sampai sehari dua semalam. Aku dan kawan-kawanku duduk berbual-bual. Orang tua-tua di serambi tengah, sedang terjerit-jerit berdikir maulud atau berzanji. Apabila telah berhenti berdikir maulud, sepasukan dikir rebana pula tampil ke tengah serambi. Berdikir rebana sehingga terbit matahari. Seolah-olahnya mengulit raja sehari hendak beradu. Waktu sudah pagi. Aku bangun dan pergi mandi. Selepas minum pagi, aku pun balik ke rumahku di Bukit Jelutung.
Setelah bersalinkan pakaian, aku pun pergi ke Kuala Sawah. Jari kaki dan tanganku merah oleh inai. Pukul 2.00 petang, aku balik ke rumah tempat bertangguh. Rumah Pak Cikku. Rumah yang terletak berhampiran dengan rumah isteriku.
Setelah dijemput oleh waris pihak perempuan, aku pun dibawalah ke rumah pengantin perempuan. Hari itu adalah hari kedua melangsungkan perkawinanku. Aku pun naik ke atas rumah di pangkal serambi yang berhadapan dengan dapur. Tiba-tiba tanpa diduga aku bertemu pandangan dengan Inchum. Dia yang sedang merenung tepat kepadaku. Aku kaku. Kakiku berat untuk melangkah. Aku terhenti seketika. Inchum tertunduk menghadapkan muka ke lantai di tepi dinding rumah. Badan aku menggigil. Rupanya Wan Hamidah yang mengajar aku mengaji dulu itu berada di belakang aku. Wan Hamidah memegang bahuku dan menyuruh aku berjalan. Tetamu yang datang ramai yang mengarahkan pandangan antara aku dan Inchum. Dengan perlahan-lahan aku melangkah masuk ke tengah rumah. Dari bisikan mulut orang ramai kedengaran olehku akan kata-kata, "Apa nak buat, dah jadi milik orang."
Rupa-rupanya Inchum datang hendak menyaksikan perkahwinan aku. Dia seakan-akan tidak percaya. Tidak percaya aku akan dan sudah berkahwin. Setelah aku masuk, Inchum mengambil kain tudungnya. Cepat-cepat dia turun dan terus balik. Balik ke rumahnya di Kuala Sawah aku kira. Sampai di tengah rumah, di atas pelamin, isteriku sedang duduk. Setelah itu aku disandingkan. Berbagailah acara telah dijalankan. Kemudian itu aku pun dibawa ke ruang bilik tengah rumah bersama isteriku. Kawan-kawan dan sahabat handaiku pun turut serta. Maka istiadat makan berdamai pun dimulakanlah. Berbagailah ragam yang dibuat oleh kedua-dua pihak. Aku dan isteriku hanya membisu. Pada malamnya aku tidur di rumah isteriku bersama kawan-kawanku. Di dalam bilik orang-orang perempuan tidak ada.
Esoknya, jam 2.00 petang, diadakan hari mandi-mandian. Upacara bersiram. Setelah selesai acara tersebut, aku pun bersiap-siaplah untuk bertolak balik ke rumah ayah dan ibuku. Turut serta adalah keluarga dari pihak isteriku. Hari itu juga adalah hari menyalang. Aku disandingkan sekali lagi kerana ayah serta ibuku hendak melihat aku besanding di atas pelamin. Selepas bersanding aku dan isteriku disuruh menyembah ayah, ibu serta saudara-maraku. Sewaktu memegang tangan ibuku, perasaan sedih di hatiku datang tiba-tiba. Aku menangis. Mukaku, aku tekupkan ke tangan ibuku. Menangis terisak-isak. Kedengaranlah suara mengatakan,
"Sudahlah Man. Yang sudah itu sudahlah. Usah dikenang lagi."
Mereka semua menyangka aku teringat kepada Inchum. Tetapi sebenarnya hatiku hiba kerana akan meninggalkan ayah dan ibuku. Serta meninggalkan rumah tempat aku dilahirkan.
Isteriku hanya duduk tunduk dengan tidak berkata sepatah apa pun. Hanya air mata sahaja yang mengalir membasahi pipinya. Sesekali kelihatan air mata yang jatuh di pipinya itu disapu oleh tukang andam. Apa perasaan isteriku pada ketika itu tidaklah aku ketahui. Selesai sahaja upacara menyembah, dijalankanlah pula majlis makan berdamai. Aku dan isteriku hanya makan ala kadar sahaja untuk meraikan tetamu yang ada makan bersama. Setelah selesai majlis, aku pun balik ke rumah isteriku. Selepas mandi dan bersalin pakaian aku balik semula ke rumah ayah dan ibuku. Aku bermalam di sana.
Sesudah aku berkahwin, maka cintaku pada Inchum mulalah hilang. Ini kerana kasihku semuanya telah kucurahkan kepada isteriku yang sah. Aku tidak ada pekerjaan apa-apa selepas berkahwin. Lantaran pula bapa mertuaku tidak membenarkan aku berkerja. Setahun selepas berkahwin, kami pun beroleh seorang cahaya mata. Seorang anak laki-laki. Aku namakan dia Shahri. Mengikut sempena hari dia dilahirkan iaitu pada malam awal Ramadhan. Awal puasa. Keadaanku pada masa itu sederhana sahaja kerana kedua-dua orang tuaku masih ada. Mahu pun dipihakku atau dipihak isteriku. Ada ketikanya aku menoreh getah di kebun ayahku. Apabila aku sudah merasa jemu menoreh, aku pun cuba mencari kerja yang lain. Akhirnya dapatlah aku berkerja di Ulu Ara Estate. Berkerja di setor getah.
Setelah mendapat kerja itu, aku pun membawa isteri dan anakku Shahri, berpindah ke Ulu Ara Estate. Anakku ketika itu baru berumur enam bulan. Isteriku juga berkerja di situ. Kerja menggunting getah. Gaji yang aku terima ialah 35 sen sehari. Berkerja pula selama lapan jam. Selepas lapan jam baru dikira berkerja lebih masa dan dibayar 5 sen setiap jam. Serik juga aku rasa pada masa itu kerana anakku perlukan susu. Enam bulan aku berkerja menjaga mesin, aku memohon untuk berkerja di ladang pula. Ini disebabkan kerja di ladang gajinya 50 sen sehari. Tetapi kena berkerja di dalam panas. Setahun aku berkerja di Ulu Ara Estate, aku pun berhenti. Balik ke rumah isteriku dan menoreh getah semula. Tidak berapa lama selepas itu isteriku telah melahirkan anakku yang kedua. Seorang anak perempuan. Aku beri dia nama Ramlah.

7 comments:

  1. banyak dugaan sebelum bernikah...kerja menggunting getah??..huhu..tak tau, getah keping kot..

    ReplyDelete
  2. Alahai Inchum melepas sudah akhirnya.
    Org zaman dulu tak pernah membantah pilihan org tua tak kira lelaki mahupun perempuan. Bila dah menikah pun semuanya saling hormat-menghormati walau suami tak ada kerja. Bayangkan sehari baru 35 sen sebab 1 sen waktu itu ada nilai.

    ReplyDelete
  3. Orang tua-tua di serambi tengah,


    rumah sekarang dah x de serambi lagi ;-)

    ReplyDelete
  4. cerita majlis kahwin dulu-dulu..hari bersanding baru nampak pengantin perempuannya.hebat

    ReplyDelete
  5. Berakhirnya kisah cinta yang tak kesampaian.
    Anak2 dulu ikut kata orang tua. kalau budak2 sekarang, mungkin dh kahwin lari.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”