Thursday, 15 December 2016

SELAMAT PENGANTIN BARU

ASSALAMUALAIKUM...

SELAMAT PENGANTIN BARU



Selamat datang hadirin semua
kawan dan taulan saudara mara
Yang jauh juga yang dekat
sama sepakat mengambil tempat.
Sila, sila menjamu selera.
hidangan yang ada enak semua
Menyediakannya bergotong royong
Sehari semalam duduk berkampung
Bekerjasama mengatur kerja
Menyedia bahan hingga memasaknya.
Hujan panas tidak dipeduli
asal masakan enak dikenduri.
Siap aneka menu segala
penanggah pula menghidangkannya.
Janganlah malu janganlah segan
jemputlah minum jemputlah makan.
Bersama kita makan kenduri
di majlis yang tak sepertinya ini.
Sekelian keluarga amat hargai
Kesudian undangan yang menghadiri
Suria pagi indah ceria
Majlis direncana sedang bermula
Alam cerah seakan merestu
Rombongan membawa pengantin baru
Kompang bertingkah nasyid dialun
Mengiring mempelai penuh santun.
Kipas berenda menutup wajah
Melindung resah bersalut gundah
Menitis peluh segera diseka
Pembawa kipas iangan terleka.
Berbusana songket pengantin bergaya
bertanjak berkeris lagak panglima
Lama dinanti pengantin tiba 
Menghulur salam di muka tangga.
Salam disambut mendoakan kesejahteraan
Tersipu pengantin mengulum perasaan
Rahsia di hati tak siapa tahu
Bertemu  dengan suri dirindu.
Jaga langkah membawa pengantin
Segera dudukkan atas pelamin.
Berbusana sedondon pasangan mempelai
Umpama sepasang merpati di hujung julai
Di atas pelamin dihias indah
Senyumlah pengantin serikan wajah.
Beras kunyit tabur-taburkan
Menepung tawar segera mulakan.
Ayah bunda segera ke hadapan
Adat dimula mendoakan kesejahteraan.
Ambil peluang semua yang ada
melestarikan budaya warisan lama.
Zapin dan inang dipersembahkan
Gadis teruna mengatur tarian
Berpencak silat tidak dilupa
Tanda tersemat jiwa perkasa
Silat pulut silat bunga
Tiupan nafiri indah berima.
Nasi pengantin makan beradab
Raja sehari silakan santap
Berdoa kita menadah tangan
Mengucap basmalah tanda kesyukuran.
Rezeki Allah kita nikmati
Bersama pengantin dimurahkan rezeki.
Ayam golek  daging panggang
Suap ke mulut jangan hanya dipandang
Sayur dan buah digubah cantik
Sekali pandang pasti tertarik.
Kuih-muih dan juga puding
rasa sedikit usah dijeling.
Air berwarna aneka perasa
Dicampur ais penghilang dahaga
Menjamu selera sudah selesai
Legakan diri sambil bersantai.
Mustaid sudah adat kita
Dirai penuh warni warna.
Doakan pengantin sejahtera bersama
Kekal berkasih selama-lama
Aduhai semua para undangan
Insiden ini jadikan kenangan
Apa yang kurang mohon maafkan
Walau tidak sempurna majlisnya
Semoga diterima dengan seadanya.
Semoga Allah merahmati kita semua
Membangun sebuah masjid rerlaksana
Alhamdulillah kita bersykur
Menikmati rahmat-Nya yang gugur.
Kepada pengantin suami isteri
Semoga cinta kekal bersemi
Melayari sebuah bahtera rumah-tangga
Perlu tabah hadapi pancaroba
siang dan malam bermunajat
Dipermudahkan-Nya urusan dunia akhirat
Amiin…amiin ya Robbal alamin
Berakhir gurindam nikah kahwin.
PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA


12 comments:

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”