Monday, 19 September 2016

CERPEN ANGGERIK MENANGIS...

ASSALAMUALAIKUM...

Cerpen
Oleh Paridah Ishak

                                                           

 ANGGERIK MENANGIS

LEKA dia membelek orkid-orkidnya yang bergantungan berbunga cantik di rumah orkidnya yang kecil saja setelah pulang melaksanakan tugasnya menoreh getah selazimnya. Hendak membela orkid perlu disediakan tempat yang bersesuaian juga. Perlu ada bumbung yang khas untuk melindungi orkid daripada cuaca panas dan hujan yang keterlaluan lebatnya, Tidak boleh diletak saja ikut suka bimbang akan mati pula.

Benih orkidnya ada yang dibeli. Ada yang diperolehi daripada jiran-jiran yang kebetulan sealiran minat sepertinya yang sukakan orkid. Dan banyak juga yang ditemuinya di hutan apabila dia mencari daun-daun herba atau akar kayu yang diperlukan ibunya seorang pembuat jamu tradisi. Kadangkala ditemuinya di atas pohon getah atau di atas tanah di dalam kebunnya tika sedang menoreh getah. Akan diambilnya dan dibawa pulang. Sudah lama kebiasaannya itu berterusan.

Anggerik hutan ini amat cantik dan mudah dijaga tapi  kehidupannya yang alami perlu disesuaikan. Mesti ditumpangkan pada pohon besar yang redup naungannya. Ketika menoreh getah pagi tadi dia terkesima memandang anggerik  berbunga kuning yang amat cantik. Lebat sekali gugusannya. Menjulai  hingga mencecah tanah daripada celah pohon getah yang tinggi. Harum aromanya menyebar ruang sekitarnya.

Selama ini memang selalu juga dia menoreh getah meliputi pohon getah miliknya seluas seekar lebih itu tapi dia tidak pernah perasan keujudan anggerik itu di situ.
Walau agak tinggi kedudukannya dia akan memanjatnya untuk mengambilnya. Kalau dibiarkan saja tentu ada yang berminat mengambilnya. Rezeki di depan mata rugi sangat jika dibiarkan saja.

“Aku gantung kau di sini hai orkid cantik. Duduk molek-molek. Harap kau suka dengan tempat baru di sini. Berbunga dengan rajin ya.” Ujarnya perlahan. Dia memang gemar bercakap dengan orkid-orkidnya sambil membelai bunga-bunganya yang berkembang. Tumbuhan pun ada rasa dan memahami apa yang dituturkan kepadanya menurut kefahamannya.
Dia menggantungkan anggerik kuning berkelopak besar yang diambilnya di kebun getah itu di sudut rumah orkidnya yang redup yang didirikan bersandar tiangnya dengan pohon manggis. Selesai sudah kerjanya. Harapannya anggerik hutan itu akan hidup subur seperti orkid-orkidnya yang lain itu.

Malam yang menabiri suasana selepas senja gelita sunyi sepi. Cengkerik mulai berbunyi sahut menyahut. Sudah menjelang tengah malam tapi Din masih berjaga menemani ibunya memasukan daun dan akar kayu herba ubatan yang diisi ke dalam kapsul. Ubat-ubat itu akan dijual kepada mereka yang berlanggan denganya.
“Eiik eeik..eiik..eiik..”
“Suara apa tu? Kau dengar tak?”
“Iyalah mak macam suara orang menangis…”
“Siapalah yang menangis tengah malam buta begini…masa ni kan semua orang dah tidur.”
“Aih! Kita pun belum tidur lagi.”
“Kita tu lainlah sebab ada kerja yang nak dibuat.”
“Hmm…betul juga tu…”
“Cuba kau dengar baik-baik, bunyi suara menangis tu datang dari mana? Mak rasa dekat sangat bunyinya. Macam di luar bilikkau saja. Jom kita pergi tengok.”

Emaknya membaca ayat kursi dan beberapa potong ayat suci yang menjadi amalannya sambil meraup ke wajahnya. Nalurinya merasakan dia akan berdepan dengan sesuatu yang singgah mengganggu keharmonian ketenangannya.
Din mengekori emaknya menuju pintu rumah lalu membukanya.
Bunyi tangisan mendayu-dayu semakin jelas kedengaran daripada rumah orkid Din.

“Agaknya ada orang sedang menangis di rumah orkid Din mak..”
Emaknya tidak berkata apa-apa.
“Jom kita gi tenguk mak.”
“Ish! Tiada siapa pun di sini. Siapa yang menangis?”saling berpandangan kedua-dua beranak itu. Bunyi suara esakan menangis terdengar lagi. Din dan emaknya  terpempan memandang anggerik kuning berbunga lebat  itu yang menangis sayu pada anggapan mereka kerana suara tangisan itu jelas daripada anggerik itu.

“Rupanyakau yang menangis ya. Kautidak selesa tinggal di sini ya. Jangan menangis lagi. Esok pagi Din akan hantar kau balik ke tempat asalkau.”

Sebaik emak Din berkata begitu tidak kedengaran lagi esakan tangisan anggerik itu. Senyap sunyi suasana sekitarnya. Bayu malam berhembus halus menyapa kulit yang merasainya keseraman kerana reroma menegak. Namun dirasakan hanya sebagai gangguan yang kecil kepada kedua-duanya yang mengalaminya.
Kedua-duanya melangkah masuk ke rumah dengan rasa lega kerana situasi  luar biasa itu mampu didepani sebaiknya dengan izin-Nya.

“Kaulain kali kalaukau nak ambil orkid hutan baca sikit-sikit ayat suci. Jangan main ambil saja. Kalau nampak cantiknya ganjil jangan di ambil. Takut ada yang menjaganya ikut pulang. Kalau dia mengganggu susah pula kita …” Pesan emaknya.

* * *
Mak Esah melingas sekitarnya. Pandangannya singgah di pondok orkid anaknya. Orkid Din kelihatannya sedang galak mekar. Pelbagai rona dan miliki keharuman yang berbeza. Ada dari jenis vanda yang ungu, dendrobium oren, butterfly putih, cataleya merah muda dan banyak lagi jenis orkid yang tidak begitu diambil tahu tentang idnya yang tepat
.
Anggerik hutan berkelopak besar berwarna kuning yang dibawa Din pulang dari kebun getah semalam sudah tidak ada di tempatnya. Agaknya tentulah anaknya itu telah menghantarnya ke tempat asalnya kembali seperti sarannya malam tadi.
Hatinya teringatkan Din pula. Kelibatnya langsung tidak kelihatan sedang sudah tengahari. Kebiasaannya tika begini Din sudah terpacak di sisi rumah orkidnya. Membelek, membelai dan bersembang dengan orkid-orkid kesayangannya sebelum naik ke rumah untuk mandi, solat dan makan tengahari bersamanya.

“Apa yang kaubuat lagi di kebun getah tu Din, dah tengahari gini tak balik lagi.”
Mak Esah bercakap sendirian. Hatinya diserbu galau dan risau mengenangkan anak kesayangan nan seorang, bimbangkan keselamatan anaknya diganggu musibah yang tidak diingini. 
“Haih! Buat apa menung sorang di tangga ni.” Seseorang menyentuh bahunya. Segera dia menoleh.
“Inilah Imah aku ni duk tunggu Din. Tak balik lagi dia. Sepatutnya masa ni dah lama dia sampai ke rumah.”
“agaknya si Din ke mana-mana dulu kot sebaik selesai menoreh.”
“Entahlah Imah. Tapi masakan hendak kemana-mana dengan baju busuk berbau getah tu. Selalunya kalau hendak kemana-mana tak mahunya dia pakai begitu.”
“sekejap lagi sampailah Din tu. Dia bukan budak kecik kak. Tak sesatnya dia kat kebun getah tu. Tahu dia jalan nak balik.”
“Harapnya gitulah Imah.”
“Eh! Kak dengar tak suara orang menangis malam tadi? Teresak-esak. Sayu bunyinya. Masa tu saya dah tidur dan tiba-tiba terjaga. Rasanya suara orang menangis dari rumah kak. Kak Esah ke yang menangis?”
“Ish tak ada kerja aku nak menangis tengah malam buta. Tak pernah aku buatpun. Perasaan kau saja tu.”
“Tapi betullah kak saya dengar jelas suara orang menangis malam tadi.”
Mak Esah masih menyembunyikan kebenaran kisah kepada jiran sebelah rumahnya itu. Bimbang jirannya itu diselinapi rasa seram jika mengetahui akan misteri anggerik hutan yang menangis di tengah malam itu.
* * *
Din meletakan anggerik kuning yang diambilnya semalam ke celah dahan pohon getah yang dipastikannya dengan berhati-hati.
“Aku kembalikankau ke tempat asalkau ya. Kauselesa tinggal di sini ya. Jangan marahkan aku sebab membawa kaupulang ke rumah semalam. Sebenarnya aku berkenan sangat dengan kecantikankau dan berminat sangat nak milikinya.”
“Eh! Kenapa kau letak semula anggerik kuning tu di tempatnya?”
“Kau ni Zaki mengejutkan aku saja. Tiba-tiba saja kau dah ada di sebelahku. Apa kau buat di sini?”
“Aku macamkau jugalah. Menoreh getah kat kebun aku. Kan kebun kita bersempadan. Aku Nampakkau terbongkok-bongkok kat sini itu yang aku datang.”  Zaki kenalan Din sekampung itu menceritakan duduk perkaranya.
“Cantiknya anggerik ni! Kau tak nak ke? Bukankah kau peminat orkid? Kalau kau taknak beri aku saja. Biar aku jual kat nurseri di pekan. Mesti mahal tu.”
“Anggerik ni tak mau bersama aku, Zaki. Semalam aku ambil dan bawa balik tapi dia menangis pula. Itu yang kuhantar semula ke sini. Dah tak ada rezeki untuk bersama dengan anggerik cantik ni nak diapakan. Kau jangan berani-berani nak ambil bawa balik pula. Nanti kau yang pening tak boleh tidur mendengar suaranya menangis mendayu-dayu.”
“Ish! Kau ni…iyakah ada anggerik yang menangis. Selama aku menjadi pencari orkid hutan dan menjualnya kepada nursery tak pernah aku jumpa anggerik hutan yang menangis minta dihantar pulang. Karutlah semua tu.”
“Sebab kau belum pernah jumpa lagi bolehlah kau kata karut. Bila dah alami baru tahu”
“Hmm… mungkin juga ya!  Tapi tadi aku ada terjumpa satu pokok besar kat tepi hutan simpan sana yang digayut pelbagai jenis anggerik yang sedang berbunga. Jom aku bawa kau ke sana. Aku cadang nak panjat dan ambil jual kat nursery orkid di pekan.”
“Ish! Kau yang jumpa dah jadi rezekikaulah tu. Kenapa nak ajak aku pulak? Nanti kalau aku teringin dan nak juga, kaujuga yang rugi terpaksa berkongsi dengan aku. Lagipun aku rasa hari dah masuk zohor ni. Nanti mak aku tertanya-tanya pula kenapa aku tak balik lagi. ” Din menolak ajakan Zaki dengan alasannya.
“Jomlah ikut aku…sekejap sajapun. Nantikau tak percaya pula apa yang aku cakap tu betul”
“Jauh ke tempatnya? Kalau jauh malaslah aku nak ikut.”
“Dekat jer…kat hujung kebun kau ni. Kita gi tenguk sekejap lepas tu kita baliklah.”
Tiada lagi soal balas antara mereka. Kedua-duanya beriringan menuju ke tempat yang dimaksudkan Zaki.
Melalui denai berumput halus hingga merempuhi semak-samun sendayan di sepanjang perjalanan sebelum kedua-duanya terhenti langkahnya di bawah pohon kesidang yang merimbun.
“Inilah pokoknya yang aku katakan tu. Cuba kau langut tenguk.”
“Wah! Banyaknya anggerik hutan. Macam-macam jenis bunganya. Cantik kesemuanya. Tak pernah aku jumpa anggerik secantik ini Zaki.” Ralit dan terpesona sungguh Din menikmati keindahan anggerik yang menjulai di celah pohon rimbun itu. Din menoleh kepada Zaki yang dipastikan berada di sisinya sebaik tidak mendengar bicaranya dibalas. Tapi Zaki tiada.
“Zaki kemana kau ha?” keras suaranya memanggil nama kawannya itu.
“Kemana pula hilangnya budak ni? Baru tadi dia ada kat sebelah aku. Sekejap saja dah lesap.”
‘Mungkin Zaki di sebalik pokok ni kot. Baik aku cuba tenguk.’ Din mengikut gerak hatinya, melangkah perlahan ke sebalik pohon berpemeluk besar dan rimbun itu.
Langkahnya terhenti bersalut keterkejutan hingga tidak terkata. Di hadapannya ternyata sebuah taman yang luas dipenuhi aneka bunga-bungaan termasuk orkid dan mawar berpancawarna amat indahnya. Hairan dia memikirkan keujudan sebuah taman bunga di tengah hutan rimba. Siapakah pemiliknya? Hatinya tertanya-tanya.
“Assalamualaikum.”
“Wa’alaikumussalam.” Dia membalas salam yang dihulur kepadanya tanpa menyedari siapa yang memberinya. Sebaik terpandang sosok tubuh yang berdiri di hadapannya Din terkedu. Wajah pemiliknya begitu cantik mempesona. Terlalu luar biasa kecantikan wajah yang berseri ayu itu menurut Din walau berpakaian sederhana lagi kumal, menutup kepala dengan kain batik yang diselempang di bahunya.
“Awak ni siapa pula? Saya sedang cari kawan saya Zaki di sini nak ajak dia balik. Ada awak nampak dia.”
“Saya Anggerik Kuning. Selama saya di sini menjaga taman bunga anggerik, saya tidak nampak pula sesiapa.”
‘Anggerik kuning? Macam nama orang dulu-kala saja. Masih ada lagikah di zaman alaf baru ni diguna-pakai nama seperti itu?’ Monolognya dalam diam. Mindanya kecelaruan memikirkan.
“Kemana pula si Zaki ni. Maaflah dah masuk taman bunga awak dan mengganggu kerja awak. Biarlah saya balik dulu. Saya pun dah lambat ni. Mak saya tentu sedang tunggu saya nak bersolat zohor dan makan tengahari.”
“Alang-alang awak dah sampai ke sini jomlah ikut saya melawat taman anggerik saya ni. Saya tau awak memang minat sangat dengan bunga anggerik hutan kan. Nanti awak akan tenguk koleksi anggerik hutan dan orkid-orkid saya yang pelbagai jenis, aneka bentuk dan warna. Pasti awak terpesona takjub.”
“Eh! Awak tau saya suka orkid dan anggerik hutan,” sahut Din berbaur rasa kehairanan.
“Mestilah saya tau. Saya kenal awak Din. Saya selalu perhatikan awak mengambil anggerik hutan yang awak temui kala sedang menoreh. Awak yang tidak perasan saya.”
‘Eh! Dia kenal aku? Pelik juga. Sedang aku tak pernah jumpa dan kenal diapun.’ 
“Maaflah sebab tak perasan awak tinggal berdekatan saja dengan kebun getah saya. Tak apalah lain kali saya datang melawat taman orkid awak. Kali ni nampaknya tak dapatlah.” Din berusaha menolak pelawaan gadis itu dengan baik.
“Jomlah sekejap saja. Dari taman anggerik saya ada jalan pintas untuk sampai ke rumah awak dengan lebih pantas.” Anggerik Kuning masih berusaha mengajak Din memenuhi pelawaannya.
“Kalau saya ikut awak nanti saya tak jumpa Zaki pula. Dia datang bersama saya tadi. Tak baik pula kalau saya tinggalkan kawan saya tu.”
“Zaki mungkin dah balik kot. Dia memang selalu ulang-alik masuk hutan ni mencari anggerik. Tak payah risau tentang dia. Dia dah biasa dengan tempat ni.”
“Baiklah kalau gitu saya ikut awak ke taman bunga awak sekejap. Sambil tu awak tunjukkanlah jalan pintas ke rumah saya ya.”
Bermulalah langkah yang diatur kedua-duanya. Beriringan memasuki taman anggerik yang indah mempesona dengan bunga-bunga mekar yang menyebarkan keharuman semerbak.
Din terlalu asyik menyaksikan fenomena alam semulajadi yang amat mengagumkannya.
“Wah! Cantik sungguh anggerik-anggerik kepunyaan awak. Bolehlah beri saya sedikit benihnya untuk saya bawa balik dan tanam di rumah.”
“Boleh. Tapi saya kena tanya ayah saya dulu. Jom ke rumah saya. Rumah saya tak jauh. Itu!” 
Din tiba-tiba terpandangkan sebuah rumah agam yang diperbuat daripada kayu cengal keseluruhannya menurut selirat urat kayu pada pandangannya terdiri di sisi taman itu. Hairan pula dia bagaimana dia langsung tidak menyedari akan keujudan rumah agam itu di situ selama kehadirannya di sini.
“Singgahlah sekejap ke rumah dan berkenalan dengan ayah saya.”
Anggerik Kuning menuturkan salam dan kedengaran derap langkah menghampiri pintu utama lalu membukanya.
“Ayah!”
“Eh! Anggerik dah balik. Bawa Din masuk ke rumah.”
‘Orang tua ni pun tahu nama aku.’ Din tersengih dalam kebingungannya.
“Tak apalah pak cik. Saya di luar saja. Di serambi ni pun selesa sangat. Angin pun berhembus nyaman. Dapat pula memperhatikan taman bunga anak pak cik yang indah sangat bunga-bunganya ni.” Sahutnya membalas
“Anggerik bawakan makanan dan minuman untuk Din.”
“Eh! Tak payahlah pak cik, menyusahkan Anggerik saja. Saya sekejap di sini.”
“Adat budaya kita meraikan tetamu memang begitu Din. Jangan tak sudi pula.”
Anggerik mengangguk kepada ayahnya, berlalu ke dalam rumah dan segera kembali dengan menatang dulang yang berisi jag air minuman dan pelbagai jenis buah-buahan yang segar lagi masak ranum.  Pemakaian dirinya juga telah bertukar jauh lebih cantik. Kini berkebaya labuh putih kerim dan bertudung sewarna. Kecantikan dirinya seumpama bidadari yang baru turun dari kayangan. Membuat Din tidak terkejip mata memandang keindahan kejadian Allah itu. Terkesima.
“Jemputlah minum dan makan buah-buahan ni Din. Ada pulasan, rambutan, manggis, duku, langsat, rambai. Semuanya ni dari dusun buah-buahan di tepi rumah kami.” Din kembali ke alam sedarnya sebaik mendengar pelawan lirih, lunak itu
“Nampak buah-buah ni segar sungguh dan menyerlah warnanya. Berbeza amat dengan buah-buah kat tempat saya. Begitu juga dengan bunga-bunga orkid, mawar dan lain-lain. Ketara amat kecantikannya. Mesti ada rahsia tani yang pak cik gunakan ni. Mungkin pak cik boleh kongsikan dengan saya.”
“Boleh. Tak jadi masalah kalau nak pelajari cara pak cik bercucuk-tanam sehingga peroleh hasil begini. Tapi kenalah tinggal lebih lama di sini. Atau menetap saja di sini bersama pak cik dan Anggerik Kuning. Anak pak cik ni baru saja kehilangan emaknya yang baru saja meninggal dunia. Dia sepi sendiri tidak berkawan sambil menghabiskan masanya di taman bunganya. Entah esok lusa pak cik pula meninggal dunia. Tinggallah Anggerik Kuning keseorangan.”
“Ish! Ayah ni itu pula yang disebut. Janganlah merisaukan hati Anggerik pula.”
“Ayah cuma memikirkan masa depan kamu. Lagipun ayah akan meninggalkan kamu juga sebab tak lama lagi ayah akan berangkat ke tanah suci menunaikan haji.”
Tersentuh juga hati Din mendengarkan luahan suara ayah Anggerik Kuning memaparkan masalah yang membongkol di hatinya. Tidak tahu pula bagaimana caranya dia harus menolong kedua beranak yang baik budi itu.
“Apakata kalau Din berkahwin dengan Anggerik. Kamu berdua pak cik rasa memang sepadan sebab amat gemarkan bunga-bunga anggerik dan suka memelihara tanaman. Pak cik dan Anggerik juga kenali kamu sebagai pemuda yang baik dan taat kepada mak kamu.” Sebaik mendengar ayahnya berkata begitu, Anggerik Kuning tersipu malu dan segera bergegas meninggalkan serambi itu.
Din juga berubah rona wajahnya sebaik menerima pinangan daripada seorang lelaki untuk anak perempuannya. Dia menjadi tidak tentu arah pula untuk memberi jawapan pasti. Ingatannya kembali ke rumahnya mencari emaknya tiba-tiba.
“Terima kasih pak cik penghargaan pak cik kepada saya hingga sanggup menjodohkan anak pak cik yang cantik itu dengan saya. Tidak layak pula rasanya saya nak jadi menantu pak cik sebab saya ni orang miskin saja berbanding dengan pak cik yang saya tenguk mampu tinggal di rumah seperti istana ini. Mungkin kelak Anggerik tidak selesa tinggal bersama saya dan mak saya di rumah kecil kami di kampung.”
“Anggerik seorang anak yang baik. Dia pasti selesa tinggal bersama kamu dan mak kamu di mana saja.”
Din merasakan lelaki berjubah putih dan berkopiah putih itu bersungguh-sungguh dengan hasrat hati yang dituturkannya.
“Soal perkahwinan ini bukan soal mudah. Nanti saya balik dan berbincang dengan mak saya dulu. Apa keputusannya saya bagi tahu pak cik.” Lelaki di hadapannya mengangguk saja.
“Nampaknya saya dah lama sangat di sini. Biarlah saya mengangsur diri dulu. Bimbang mak saya tercari-cari ketiadaan saya. Pak cik beritahulah Anggerik saya dah nak balik. Tadi dia dah janji nak tunjukan jalan pintas ke rumah saya.”
“Anggerik! Din dah nak balik ni. Tolongkau tunjukan jalannya. Sambil tu berikan mana-mana pokok anggerik yang dia berkenan untuk dibawa balik.”
“Baik ayah.”
“Jom ikut saya. Pilihlah mana-mana anggerik yang awak suka. Dan harapnya anggerik-anggerik tu tak menangis pula nak balik ke sini.” Anggerik Kuning tersenyum manis menuturkannya.
‘Hish! Dia tahu juga kisah anggerik menangis yang aku jumpa.’ Dia menggaru kepala memikirkan keanehan situasi yang dialaminya kini.
“Awak ikut saja jalan depan tu dan awak akan terus sampai ke rumah awak.”
Terbentang di hadapannya jalan lurus beraspal hitam untuk dilaluinya dengan yakin.
“Terima kasih ya Anggerik Kuning, tunjukan saya jalan dan berikan saya bunga-bunga anggerik ni. Insya-Allah kalau ada ketentuan jodoh kita pasti kita bertemu lagi.”
* * *
“Assalamualaikum mak.”
Salam yang diberikannya kedengaran disambut ramai.
“Eh! Din kau dah balik. Kemana kau menghilang Din. Mak kau dah berhari-hari buat majlis bacaan yasin mendoakan kau balik.”
“Apa pulak? Tadikan aku bersama kau kat kebun getah. Kemudian aku ikutkau ke tempat pokok orkid yangkau jumpa. Lepas tu kau tinggalkan aku kat situ. Mujur ada sorang gadis yang tunjukan aku jalan balik.”
Zaki tercengang-cengang mendengar cerita Din yang dirasakan langsung tiada mengena dengan dirinya. Bagai ada sesuatu yang tidak kena.
‘Bila masa pulakla aku berjumpa dengan dia kat kebun getah sedang aku baru saja balik dari Pontianak menguruskan orkid yangku beli dari Kalimantan.’
“Tak apala jom kita masuk ke rumah kau dulu. Emak kau tu dah rindu sangat lama tak jumpa kau.”
“Ish baru sekerat hari tak jumpa dah rindu-rinduan? Macam-macamlah mak aku tu.”
“Mak Esah! Ini Din dah balik.” Mak Esah segera menerpa Din. Meninggalkan tetamu di majlisnya yang baru saja menyelesaikan bacaan yasin. Tetamu-tetamunya turut kehairanan dengan kepulangan Din secara tiba-tiba itu.
“Kau kemana Din? Hampir sebulan mak tunggu kau balik.” Mak Esah memeluk Din erat sambil bercucuran air matanya.  Kegembiraannya terlalu bertemu dengan anak kesayangan yang sekian lama hilang dari sisinya.
Din terkapa-kapa. Tidak tahu mahu menuturkan apa. Terambang pada pandangannya wajah Anggerik Kuning yang jelita bak bidadaribersama ayahnya yang berjubah putih ditemuinya baru saja sebentar tadi. Dia tertanya-tanya akan persoalannya dalam kebingungan.

Tamat


  


17 comments:

  1. Menarik cerpen ni K.PI samapai habis Mrs. A baca :-)
    Anggerik tu orang bunian ke?

    ReplyDelete
  2. Wkmsalam.
    Rajinnya menulis. Teruskan.

    ReplyDelete
  3. Terpaku saya membacanya kak PI..
    Dah lama tak baca cerpen mahu pun novel..
    Bestlah cerpen kak PI ni..

    ReplyDelete
  4. heh..heh..rajin juga MRS Amembacanya sampai habis ya...panjang tu lbh 3,000 words berminggu juga kak nak siapkannya...biasanya kalau dalam alam Melayu ni kisah mistik gini ada sangkut paut dgn org bunian...tksh sudi baca.

    ReplyDelete
  5. terima kasih WP kdg2 saja rajin tulis panjang gini.

    ReplyDelete
  6. tksh yati rajin juga baca cerpen kak yg pnjg ni...sesekali berkarya kreatif merapu-rapu heh..heh..

    ReplyDelete
  7. AGAKNYA LA DEE..MMG ADA ORKID MENANGIS NI DEE KAK TLS PUN BERDASARKAN PENGALAMAN SORNG KWN...TKSH SUDI BACA.

    ReplyDelete
  8. Menarik ni kak PI.. boleh juga dibukukan nanti :)

    ReplyDelete
  9. heh..heh..yeke..tksh dik KK insya=Allah.

    ReplyDelete
  10. mula-mula baca, seram.. dah lah malam, tengah hujan pulak tu.. nyesalll..
    sampai tengah-tengah, apalah Din ni. lurus bendul betul. manalah ada perempuan secantik macam tu duk dalam hutan... huhuhu..
    ending, harap kak PI dapat buat sambungannya nanti ye..
    bestlah cerpen ni, thumbs up!

    ReplyDelete
  11. sangat menarik ..akan klik nak baca dalam keadaan serius..nak pil membaca nanti..

    ReplyDelete
  12. SERAM JUGA RASANYA YA GEE HEH..HEH..WATAK DIN MMG GITU SORANG ANAK BAIK YG JUJUR SUKAKAN KEINDAHAN ORKID...INSYA ALLAH KALAU RAJIN NANTI KAK SAMBUNG LAGI CITERNYA...TKSH GEE SUDI BACA.

    ReplyDelete
  13. TKSH CIKGU..NK BACA ENTRY YG AGAK PANJANG MMG PERLU FOKUS BARU FIL.

    ReplyDelete
  14. Kurang suka baca cerpen sejak dah semakin tua ni hihi.....Sebenarnya mmg kurang suka membaca kot hihi

    ReplyDelete
  15. YEKE..TKKSH HAINOM SUDI SINGGAH SINI..SUKA JUGA BACA CERPEN UTK BAIKI CARA PENULISAN WALAU KAK DH TUA JUGA HEH..HEH.

    ReplyDelete
  16. jumpa bunian pulak.nsib ko la din..haha

    ReplyDelete
  17. HEH..HEH..YELA MAS MMG NASIB DIN TU..TQ

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”