Thursday, 26 May 2016

MENGENANG SILAM LALU..

ASSALAMUALAIKUM...


HIDUP TERKINI DAN DULU-DULU.



Adakah bezanya? Mestilah ada. Sebab dulu tidak sama dengan sekarang. Kalau nak dibuat perbandingan bagai langit dengan bumi. Zaman yang sempat PI lalui adalah akhir tahun 60-an. Berada di kampung halaman di Kedah Darulaman yang indah permai dikelilingi sawah padi penyejuk jiwa seluas mata memandang. Cara hidup bergantung seluruhnya kepada kemampuan diri tanpa ada kemudahan yang menyenangkan.
Kebanyakannya masih mendiami rumah-rumah kecil beratap nipah dan berdinding nipah yang disemat. Ada juga rumah agam yang tersergam di tengah kelompok rumah-rumah kecil seakan pondok menunjukan kemajuan kehidupan mereka atau telah diwarisi daripada keturunan mereka sejak lama.

PI tinggal dengan tok PI setelah ibubapa PI berhijrah ke Pahang menyertai skim FELDA. Rumah tok PI sederhana saja buat menampung keluarga. Semua keperluan untuk kehidupan diadakan sendiri. Maksudnya kalau hendak makan nasi kenalah tanam pokok padi. Bendangkan ada. Tanamlah padi jawi atau padi pulut. Setelah masak dituai secara berderau. Padi ini dipukul di tong pemukul padi untuk memisahkan padi dari jeraminya, kemudian dijemur, dianginkan, ditampi pula untuk memisahkan padi hampa dengan yang bernas.
Setelah itu ditumbuk pula untuk dapatkan beras yang putih. Ketika menjemur padi kerja PI adalah menghambat ayam daripada makan padi. Kalau dibiarkan alamatnya habis padi dan tak dapat dijadikan beras lagi. Ketika padi sedang ditumbuk kerjanya pula menyapu lesung pula agar padi tidak tumpah dari lesung.

Hendak makan sepinggan nasi pun beberapa fasa perlu dilalui. Takkan nak makan nasi putih saja kan. Mestilah seimbang nilai pemakanannya. Lengkap dengan lauk, sayur, buah-buahan yang diperlukan tubuh. Nak makan sayur kenalah rajin menanamnya di sekitar rumah.  Tentang lauk/ikan/sotong/udang/ketam/ kerang/siput tak perlu dibeli untuk dapatkannya. Rajinkan juga mengtur langkah kaki ke tepi laut atau ke laut. Banyak sekali sumber protin itu di sana. Malas nak ke tepi laut boleh pancing saja ikan di bendang. Ikan haruan, keli, puyu cepat saja makan umpan di ujung mata pancing.

Sudah dapat ikannya bolehlah digulai atau dimasak asam pedas. Tapi terasa nak menggoreng pula. Mana pula minyaknya. Sebelum berfikir nak menggoreng segala makanan proses menyediakan minyak masak mulakan lebih awal. Kelapa matang dikoyak kulit dan disagat isinya. Santannya diperah dan dibiarkan semalaman sebelum dikaut santan yang beku lalu dimasakan dalam kuali atas dapur kayu. Sekian lama diatas api terhasillah minyak daripada santan kelapa.

Minyak kelapa buatan sendiri bukan main harum aromanya dan amat sedap digunakan dalam pelbagai jenis makanan. Boleh juga digunakan sebagai minyak rambut dengan terlebih dahulu dicampur bunga melur, tanjung atau cempaka. Selain itu dibuat minyak urut untuk mengurut tubuh yang lenguh membetulkan simpulan urat dengan campuran aneka herba.

Untuk memasinkan makanan garamnya tidaklah dibuat. Harganya sekupang saja dan tahan lama penggunaannya jadi beli saja di kedai. Tapi untuk dapatkan rasa manis dalam kuih-muih yang dibuat tok PI akan membuat nisan/manisan daripada buah nipah. Buah nipah ini dibiarkan hingga tua sambil mayangnya diurut agar elok tunduknya dan senang disadap menggunakan pisau potong padi yang tajam. Daripada mayang nipah akan mengalir nira ke dalam tuke buluh yang digantung di ujungnya.

Hasil pengumpulan nira yang hampir seperiuk besar dimasak pula diatas api sehingga kuning keemasan dan likat. Bukan main sedap lagi rasanya dimakan dengan lempeng kelapa, cendol atau apom kukus.

Untuk mengalas tidur anyamlah tikar daripada tumbuhan mengkuang dan bantal yang dibuat meletak kepala berisi kekabu putih yang dkutip untuk dijadikan bantal.


Begitulah cara kehidupan dulu dulu yang  sederhana tetapi amat perlukan kerajinan tahap tinggi dalam mengendalikannya. Jikalau asyik berpangku tangan alamatnya susah hidup. Nasib tak baik kebuluran

PI terkenangkan kata-kata arwah tok PI bahawa hidup orang sekarang terlalu mudah kerana negara kita sudah kaya raya dan maju. Benarkah? Entahlah...

.

9 comments:

  1. Saya rasa lebih mendamaikan hidup begitu kan kak PI..
    Rindu pulak saya dengan suasana kampung begitu..
    Hijau terbentang..

    ReplyDelete
  2. menariknya baca kak PI..tu sebab orang dulu-dulu sihat walaupn dah tua..dah merasa susah, lebih hargai nikmat senang tu

    ReplyDelete
  3. Bestnya jika mengenang masa lalu...hidup di desa yang damai
    Masa kecik2 dulu, saya selalu bayangkan, bestnya rumah kat tepi sawah...(sebab kat Johor tak nampak sawah padi...hihi)

    ReplyDelete
  4. dulu2 walaupun hidup susah tapi hati gembira...
    seronoknya rumah tepi sawah...mendamaikn jiwa

    ReplyDelete
  5. ya ampun, beza sgt cara hidup dulu dan sekarang kan..

    ReplyDelete
  6. ya amat jauh bezanya...tq Mizz erma.

    ReplyDelete
  7. Subhanallah... saya tiada pengalaman mcm tu... membesar pun di pekan kecil dan berhijrah ke jb dan kl.. cuma merasa mandi parit dan masuk hutan2 je. Namun pengalaman lalu mmg tiada gantinya dan sgt berharga kak kak PI... menarik.

    ReplyDelete
  8. DULU N KINI AMAT JAUH BEZANYA KAN DIK KK...KINI HANYA TINGGAL KENANGAN...TKSH

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”