Saturday, 19 September 2015

KENAPA KAU PILIH DIA?

ASSALAMUALAIKUM....

Cerpen:
Kenapa kau pilih dia?
Karya:
Paridah Ishak.

DIALAH jantung hatiku satu-satunya. Tiada dua tiada tiga. Seluruh keperluanku, keluargaku, anak-anakku hanya tergantung kepadanya. Tidak kasihankah kau kepadaku yang tidak punyai apa-apa sepertimu yang ketara miliki segalanya. Mengapa tidak kau biarkan kehidupanku lancar berterusan tanpa gangguan yang kau timbulkan.
Pilihanmu adalah hakmu menentukannya. Mungkin langsung tidak ada apa salahnya untukku pertikaikan tapi ada sudut-sudutnya yang boleh dipersoalkan kewajarannya. Hakmu pasti kau pertahankan dan begitu juga aku. Selagi termaktub aku berhak terhadap sesuatu itu akanku pertahankan sehabis kudrah.
Suratan pula menentu takdir-Nya. Usahaku sudah bersungguh mempertahankan hakku dan anak-anak agar tidak direnggut daripada genggaman tanganku dan diberikan  sebagai anugerah teristimewa kepadamu pula.  Apalagi yang dapatku kata selain merenung penuh sayu berbaur sesal teramat.
Barangkali kau merasakan tidak pernahpun mengambil apa-apapun yang menjadi milikku kerana jasad yang berjiwa, berhati nurani kadangkala bolak balek hatinya dan keputusan yang diperhitungkan tidak semenggah yang didambakan.
Itulah kemungkinan besarnya yang berlaku kepada diri pilihanku dan kini adalah diri pilihanmu. Pertarungan, pergelutan, pergolakan yang menimbulkan kerusuhan jiwaku angkara olahmu terpaksaku hadapi dengan air mata berlinangan kesedihan. Habis apalagi yang mampu ku buat selain menjuraikan air mata kesedihanku. Sungguh kau tidak berhati perut.  Langsung tidak kasihan kepadaku. Astaghfirullah! Berdosanyalah aku mengadilimu begitu. Hak Allah hendakku ambil pula buat menambah dosa yang sedia ada.
Namun suara hatiku selalu membisik begitu di dalam dunia sedar dan lenaku. Melupakannya, menghambatnya jauh agar tidak berlegar lagi di rongga-rongga kalbuku mengelirukannya dan meninggalkan efek negatif telah berusahaku laku.
Terngiang-ngiang jua masih. Memeningkan, membingungkan. Harus ku ingat danku sedari bahawa diri kesayanganku, kecintaanku itu bukan lagi siapa-siapa denganku dan tidak layak bagiku merasai luhur sucinya seni halus jiwa itu.
Sifat terlalu mencntai itu walau lumrah dan telah ditanam Allah ke dasar sanubari kita tidak seharusnya melebihkan  pula rasa cinta kepada yang berhak sesungguhnya terhadap rasa cinta kepada Allah Azzawajalla. Laluku pujuk hatiku dengan berkata sesuatu yang tersurat takdirnya ada hikmah yang membawa rahmah.
Sendirianlah aku. Walau sepi, walau sunyiku tanggung sendiri. Terlalu berat sangatkah masalah itu bagiku? Rasanya tidakpun. Hidup perlu diteruskan walau ujian-Nya merintang sepanjang perjalanannya. Kesedihan, kedukaan tidaklah selalu membentuk mendung hitam yang menabiri alamnya sehingga sentiasa sangsi dan ragu untuk mengatur apa saja perancangan ke arah kehidupan sebaik mungkin.
Suratanku sejak azali begitu takdir-Nya. Dan kuterima dengan reda. Jikalau telah reda semata tidak perlulah lagi ada sifat iri antara sesama kita. Biarkan perjalanan hidup kita lancar berterusan ke destinasi akhirnya tanpa olah tanpa bantah.
Siang malam bergantian dan kitapun leka menjalani urusan tanpa memikirkan permasalahan antara kita. Tidak langsung mahu mengambil peduli apapun lagi yang bersangkutan dengan masalah yang telah ditinggalkan bersamaku. Justeru ia adalah semata-mata masalahku saja. Tiada kena mengena denganmu dan diri yang telah jadi pilihanmu itu.
Yang diinginkan berlaku sebgitu tidak pula jadi begitu. Jauh pula menyimpang daripada sasaran sebenarnya. Hendak mengalih sasaran kea rah yang betul tidak tahu pula. Pening kepala memikirkannya.
Sudahnya kerisauan yang mengganggu fikiran seakan mengheretku sasau. Kesasauan yang tidak diingini akal sihat normal. Mengenangkan nasib malang anak-anakku menggapai masa depannya laksana anak-anak orang lain seakan kabur sekali jalan yang dilalui mereka merusuhkan hatiku.
Mengapa tidak mahu menafkahkan anak-anak darah dagingnya sendiri sedangkan ayah kepada anak-anakku itu tidak berkurang suatu apa. Tentu tidak akan menjadi miskin kerana menyara kehidupan anak-anaknya yang berempat yang masih kecil itu. Diri yang telah menjadi hakmu kini juga adalah hak anak-anaknya sejak mereka lahir ke dunia. Dulunya mereka dimewahkan dengan kasih sayang, perhatian rapi segenap segi ayah kesayangan mereka sebelum kau hadir kerana ayah mereka orang berada. Kini setelah hadirmu jadi sebaliknya pula.
Membiarkan bekas isteri yang tiada harta sepencarian yang ditinggalkan walau sedikit buat menyara hidup semua zuriat suaminya mampukah dilakukannya. Nescaya langsung tidak. Marah sungguh bekas suamiku yang kini adalah suamimu kepadaku hingga sanggup menganiaya aku dengan tidak menafkahi anak-anaknya lantaran kemahuanku memohon perceraian di mahkammah syariah.
Jikalau marahkan aku janganlah libatkan anak-anak darah daging sendiri menanggung akibat daripada kemarahan itu.

Namun tidak dinafikan memang ada suami yang tahu tanggungjawab mereka, tetapi sengaja
tidak mahu beri nafkah kerana dalam diri mereka telah tertanam sifat mahu balas dendam
terhadap bekas isteri yang telah bertukar jadi musuhnya.
Ada juga beri alasan tidak bekerja ataupun telah berkahwin baru dan mereka tak mampu untuk
beri nafkah anak.
Tapi ayah kepada anak-anakku itu tidak tergolong dalam kalangan mereka yang tidak
berkemampuan yang boleh dijadikan alasan untuk mengelak bebanan tanggungjawab yang
semestinya dipikul.

Apa perlunya suamimu itu memusuhi bekas isterinya yang sudah dibuangnya ini?  
Anak-anak adalah nasabnya yang tidak boleh dipertikai sampai bila-bila. Apakah kau memain
peranan sebagai jarum penyucuk agar diri pilihanmu itu membenci anak-anaknya? Boleh jadi
aku hanya berprasangka tapi kemungkinan itu sentiasa ada. Semoga apa yang kurasakan
hanyalah fitnah bisikan syaitan durjana.

Pengabaian nafkah sara hidup kepada anak-anak suamimu itu amat memenderitakan kehidupan
mereka yang selama ini tidak pernah merasainya sepanjang hidup di samping ayah kesayangan
mereka. Hairan pula dengan perubahan sikapnya yang berlaku dalam masa semalaman itu.

Agaknya kau telah sihirkan diri pilihanmu itu agar membenci anak-anaknya sendiri? Ish! Sekali
lagi hatiku dirunyam sangkaan-sangkaan yang sukar ditebak kebenarannya. Walau segalanya
adalah langsung tidak mustahil lantaran sifat ilmu pun ada dua. Ada hitam ada putih. Sejak
purbakala keujudannya dan firman Allah menegaskannya di dalam lembaran surah-surah alquran
yang suci. 

Paranoia pula aku melebihkan rona situasi yang melengkungiku sehingga fikiranku bercelaru
bersimpang perenang.  Entah kemana halanya destinasi tidaklah pasti. Namun kesulitan corak
kehidupan yang terpaksa didepani anak-anakku membuat fikiranku sering diganggu tanggapan
yang bukan-bukan. Ah! Melayan perasaanpun tidak mendatangkan apa-apa keuntungan. Lebih
baik aku mengerah mindaku berfikir bagaimana aku mahu meneruskan kelangsungan hidup
daripada tiada kepada ada.

Untuk sesuap nasi demi anak-anak tersayang aku terpaksa membuat apa saja perkerjaan yang
mendatangkan imbuhan sesuai dengan apa yang kulakukan. Di subuh hari sudah terbongkok-
bongkok menoreh getah. Sebelum embun jantan yang luruh ke daun beransur kering bersedia
pula dengan timba yang akan mengumpul susunya dan membawanya ke tempat pengumpulan
untuk pemesinan susu getah setelah dibekukan.

Sekerat hari masaku berada di mandala kebun getah yang redup buat mengais sedikit rezeki
Allah. Mujur juga ada tanah getah pusaka yang sekangkang kera diwariskan gemulah kedua
ibapaku. Dapatlah aku mengais rezeki di atasnya. Kelelahan tubuhku tidakku pedulikan dengan
mengupayakan tenaganya yang telah berkurangan itu dengan mencangkul tanah untuk bercucuk
tanaman pula. Hasil tanamanku kelak bolehlah dijual untuk memenuhi sedikit keperluan hidupku
dan anak-anak.

Cili padi, terung, kangkung, keledek, ubi kayu sentiasa ada di batasnya. Tanaman yang mudahku
urus dan agak rentan dengan serangan penyakit tumbuhan. Selain menambah pendapatan dapat
juga menjimatkan belanja sayur di dapur dengan hanya membelinya saja. Ayam dan itik turut diternak untuk dapatkan telurnya. Sesekali atau selalu lebih tepatnya keluargaku berlauk telur pelengkap hidangan santapan.

Pandangan sepasang mata yang keletihan tubuhnya samar dan kabur namun setiap malam
tanganku ini sentiasa bermain bersama jarum, benang dan gunting untuk menjahit pakaian
tempahan mereka yang berhajat. Karya jahitanku tidaklah terlalu kemas dan cantik tapi yakin
sajalah dengan kemahiran diri yang sedikit itu. Mentelah hanya itulah ilmu yang ada untuk
dimenafaatkan sebaiknya demi kelangsungan hidup. Ilmu kemahiran hidup yangku perolehi
darpada kelas Sains Rumah Tangga sewaktu bersekolah dan kelas jahitan di kampong anjuran
pihak berwajib kugunakan sebaik mungkin.
           
Susah payahku tidaklah berpanjangan setelah anak-anakku semakin dewasa walau tidak
mendapat pendidikan hingga ke menara gading melunasi setiap impian ibu bapa terhadap anak-
anak kesayangan mereka. Masing-masing menolak menyambung pelajaran ke peringkat yang
lebih tinggi dan memilih berkerja mencari pendapatan setelah tamat persekolahan menengah.

Agaknya anak-anakku itu kasihan terhadap ibunya yang seorang ini dan tidak mahu lagi
membiarkannya mengais rezeki pagi dan petang bersambung malam bergantian hari.
Aku sudah alah bisa tegal biasa saja. Walau lelah walau letih namun kebiasaan yang telah
menadi diri dan selamanya berada di lengkongan keperitan hidup bukan ruang keselesaan tidak
membawa makna apa-apa. Padaku selagi ada daya kemahuan apa saja akan tertunai.

Melakukan kebiasaan yang melekakan membuatku terlupa dengan cabaran hidup dan
masalahnya yang perlu diselesaikan demi masa yang berlalu. Mendung yang menabiriku
semakin berarak lalu. Sekitar suasananya telah cerah indah, biru lagi mendamaikan. Syukur
Alhamdulillah di atas karunia-Mu ya Allah.

Seseorang berdiri di muka pintu. Ku sambut huluran tangannya sambil tersenyum berbudi
bahasa. Tidak asing padaku wajah yang hadir di sisiku itu. Cuma aku tidak tahu apakah
tujuannya menemuiku. Adakah nawaitunya bermaksud baik atau sebaliknya. Hati perut orang masakan dapat ditebak isi kandungannya. Meneka-neka pun tiadalah gunanya. Biarkanlah dulu pertanyaan tentang itu berladung dalam hatiku menanti jawapannya dengan sabar.

Terkedu seketika. Tidak tahu pula untuk memulakan perbicaraan.
“Kau sihat Iza? Dengar khabar kau hendak ke Mekah. Ini yang aku datang menziarahi kau ni.
Bukankah kau ni sahabat aku.”
Hmm…sahabat aku rupanya diri yang terhenyak di atas sofa ruang tamu rumahku ini. Aku pun
sudah terlupa bahawa dia adalah sahabat lamaku. Sahabat yangku kongsi susah senangku
bersamanya.

Riang bercerita dengan gelak tawa pengalaman apa saja. Sering pula menemaniku menghabiskan
percutianku bersama anak-anak dan mantan suami kecintaanku di mana saja. Jalenan
persahabatan antara kami amat erat dan akrab. Aku merasakan hatiku berkata bahawa dialah
sahabatku dunia dan akhirat. Harapanku terabadi selamanya.

Adakalanya panas tidak sampai ke petang dan hujan menyimbah pula di tengaharinya.
Musnahlah harapan yang dipertaruhkan. Sahabatku dunia akhirat yang dibayar suamiku suatu
ketika dulu sebagai guru tusyen anak-anakku tidak pernah akan kuduga sanggup bermain mata
apatah lagi bermain cinta dengan suami sahabat baiknya sendiri. Setelah permainan cinta
berlangsung dengan jayanya dikejutkan aku dengan berita perkahwinan mereka di sempadan
negara.

Sahabat baikku dunia akhirat ini juga telah memberi kata dua kepadanya supaya memilih antara
dua. Samada memilih isteri pertamanya atau dia. Mendengar itu akupun tidak mahu
menyusahkan lelaki pilihan yang menjadi rebutan itu dengan cepat-cepat mengajukan
permohonan tuntut cerai di mahkamah syariah. Firasatku mengatakan tada guna
mempertahankan perkahwinan yang telah menipis rasa cinta antaranya. Perkahwinanku pun
termansuh dengan izin-Nya.

Gelaran ibu tunggal yang ditinggal dengan penuh kerelaanpun melekat kejap pada diriku.
Relakah diceraikan? Sedihnya hanya hati yang merasainya.
“Bilakah kau hendak bertolak ke Mekah?”
“Tidak lama lagi dengan penerbangan MAS yang keenam.”
“Maafkan semua salah sillapku ya Iza…sampai di sana jangan lupa berdoa supaya sahabatmu ini
juga akan ke sana.”

Berlapang dadakah aku untuk menerima tuntutan maaf hamba Allah ini yang terlalu banyak melukis warna kesedihan di atas kanvas lukisan hidupku ini? Insya Allah! Jesteru perjalananku menemui-Nya tidak mahuku membawa urusan-urusan yang menggendalakan sebarang niatku kelak.

Manis dan molek sungguh susun atur bicara wanita anggun ini. Seolahnya antara kami tiada kisah yang terjadi mengocak rasa. Tenang dan nyamannya hubungan persahabatan bagai air di tasik biru di bawah malam disinari cahaya rembulan.

Yang mendengarnya hanya tersenyum polos.
“Kau bila pula nak ke sana. Duitpun sudah juta-juta.”
“Belum sampai seru lagi kata abang. Dan masih banyak ringgit  yang perlu dicari untuk bekalan masa depan nanti.”
Bersyukur sungguh aku kerana Allah memilihku menyahut seruan-Nya untuk bertamu ke tanah suci-Nya walau aku tidak kaya dan seadanya saja. Alhamdulillah!


24 comments:

  1. wah hebat cerpen ini..dari awal hingga ke tamat cerpen . Pi blogger t=yang antara yang rajin dan ikhlas..terbaik bloglist yg hidup dalam arena blog.

    ReplyDelete
    Replies
    1. heh..heh,, ada2 saja cikgu etuza...kak akan menulis n3 panjang sikit kalau rajin jer..bila dtg angin malas blog diupdate dgn n3 ringkas n pendek jer...tq.

      Delete
  2. semoga bertabah ibu tunggal dlm cerpen mak nih ;p

    ReplyDelete
    Replies
    1. ibu tunggal msti tabah hadapi cabaran hidup kan wak...tq tiga lalat.

      Delete
  3. Semoga terus tabah ibu tunggal.. Menyayat hati baca cerpen PI.. Sesungguhnya Allah ada, bergantunglah pada tali Allah sentiasa..")

    ReplyDelete
    Replies
    1. benar tu wawa bergantung hanya dgn tali Allah...tq wawa.

      Delete
  4. harus tetap sabar ya mbak, meskipun sudah tak sejalan, namanya kalo sudahan pastilah menganggapnya itu sebagai musuh mbak..

    ReplyDelete
    Replies
    1. ya kesabaran di hati perlu tebal n rasa permusuhan perlu dikikis walau sedih...tq hendri hendriyana.

      Delete
  5. Bisa ber haji ke tanah suci
    Bersyukur rasa dihati
    Walau belum kaya materi
    Niat ada pasti terjadi...

    ReplyDelete
    Replies
    1. benar tu anisayu tergantung pada niat n kemahuan di hati..tq

      Delete
  6. Replies
    1. selamat berhujung minggu ejulz,
      ok nanti singgah...tq

      Delete
  7. Semoga segala urusannya di permudahkan

    ReplyDelete
    Replies
    1. insyaAllah fidah...Allah merestui niat baiknya...tq

      Delete
  8. Manusia yang tak bertanggungjawab pasti terima hukuman Allah jua...

    ReplyDelete
  9. takut juga tu kan zumal...moga Allah hindari kita drpd sifat tercela begitu...tq

    ReplyDelete
  10. susunan kata pada postingan kenapa kau pilih Dia ini sangat menyentuh kalbu hingga sesaat setelah selesai membacanya mataku berkunang-kunang..eh berkaca-kaca maksudnya.
    ....keren sangat kak

    ReplyDelete
  11. HEH..HEH..YEKE...TERIMA KASIH BANYAK CHILEMBU THEA...TURUT MERANSANG MINAT KAK UTK TERUS BERKARYA...INSYA ALLAH...WAH PEMINAT SASTERA JUGA NIH...

    ReplyDelete
  12. Subhanallah wallahuakbar... tersentuh hati ni baca...

    ReplyDelete
  13. yeke...lembut hatinya KK ni...
    tq sukakannya.

    ReplyDelete
  14. smoga terus tabahh.. pasti ada hikmah disebalik smua yg terjadi..

    ReplyDelete
  15. PERLU TABAH HADAPI HIDUP NI KAN WAN MULIANI...TQ.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”