Wednesday, 5 August 2015

LAMBAIAN IDILFITRI...

ASSALAMUALAIKUM...

CERPEN LAMBAIAN IDIL FITRI.
OLEH PARIDAH ISHAK.


Setelah usai pembedahan ini dia bercadang pulang ke kampung halamannya nun jauh di utara. Terletak di kaki gunung Jerai yang tinggi mengawan. Seakan sedang menggamitnya mengajaknya berlarian pulang melangkahi permatang sawah bendang yang hijau terbentang. Tidak sabar hatinya menjengah suasana lama yang ditinggalkan. Kenangan lalu di daerah tenang, nyaman lagi indah itu terimbau satu persatu.
Kenapa pula kali ini hatinya teringin sangat hendak pulang menyambut idilfitri di tanah tumpah darah kelahirannya sedangkan selama ini tidak pernah dilakukannya lantaran tiada sesiapa lagi yang penting di dalam kehidupannya lagi di sana. Yang ada hanya adik kakaknya dan sepupu sepapat juga kenalan-kenalan lama yang ramai dan tidak dikenali kerana perubahan wajah dan faktor usia.
Apalagi yang penting kepadanya jikalau daerah itu hanya mengukirkan sebak di hatinya setelah kehilangan ayah ibu tercinta yang telah berpulang kepada-Nya. Adik beradiknya pula dirasakan seolah mengabaikannya lantaran pembahagian pusaka yang tidak adil pada perkiraannya.
Tanah sawah pusaka peninggalan arwah ayahnya sudah diberi samarata tidak mengira penerimanya anak lelaki atau perempuan. Itu dipersetujuinya walau tidak menurut hukum faraid. Namun arwah ayahnya yang menghibahkan begitu semasa hidupnya. Tiada masalah soal itu. Kemusykilan yang menyesakkan mindanya adalah persoalan kemana hilangnya barang emas arwah maknya yang bermayam-mayam banyaknya itu? Kalau mengikut kiraan gram hampir 300 gram. Masakan Seurat emas walau sesaga berupa rantai, gelang, cincin milik arwah ibu tidak dilantingkan kepadanya.
Siapa yang menyoroknya? Siapa yang menyimpannya? Kenapa dia tidak berhak mendapatnya disebabkan dia tinggal jauh dan ibunya jarang dapat bersamanya walau sesekali ibunya itu berjalan jauh juga hingga ke selatan tempat tinggalnya sejak berumah tangga.
Berjauh hati sungguh dia dengan kejadian itu membuatnya menetapkan hatinya tidak mahu pulang ke kampung halamannya lagi.
“Tak usahlah fikirkan sangat tentang emas mak awak tu. Harta dunia semuanya. Tak miskin pun kita sebab tak dapat barang emas arwah mak tu. Barang emas awak yang abang belikan pun dah sekerat lengan gelangnya. Awak pun jarang pakai. Mujur saya ni jenis tak lupa berzakat bila cukup haul dan nisab.”
“Saya tu tak kisah sangat bang tapi sikap kakak adik saya yang tidak adil tu yang menyusahkan hati saya bang. Soal harta pusaka jangan buat main-main bang. Nanti ditanya Allah bagaimana nak menjawabnya?”
“Bersangka baik sajalah maknya. Mungkin arwah dan hibahkan semua barang emasnya kepada adik kakak awak tu.”
“Mungkin benar juga kata abang tu. Tapi saya rasa tak kan mak buat begitu. Abang kan tau mak kan rapat sangat dengan saya.”
“Sudahlah tu jangan susahkan hati awak tu. Tumpukan perhatian kepada pengajian haji kita. Tak lama lagi kan kita nak berangkat ke Mekah. Berdoa banyak-banyak agar kita diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan urusan kita di sana. Jikalau mereka tersilap maafkan saja. Halalkan semua hutang apa saja mereka dengan kita samada kita tahu atau tidak dan mereka juga ikhlas di hati memaafkan kesilapan kita. Semoga kita tak berhutang apa-apa dengan mereka dan begitu juga mereka. ”
Apa yang dituturkan suaminya berbekas di hatinya justeru sangat memahami keutamaan perhatiannya kini adalah menunaikan ibadah haji. Apacara sekalipun hasrat yang dipendamnya sejak lama ingin ditunaikannya. Harapannya tiada gendala yang akan menyurutkan niat. Dan Allah azzawajalla mengizinkan kehadirannya bersama jemaah seantero dunia berhaji di tanah haram-Nya yang suci mulia.
Ujian kesihatan perlu dijalani terlebih dahulu sebelum pihak imigrasi meluluskan visanya ke luar negara. Itu yang amat membimbangkannya lantaran mutakhir ini dia sering demam dan sakit kepala. Apa saja ubat yang meredakan biarpun seketika  akan ditelannya. Sudahnya doktor yang ditemui di klinik berbayar mencadangkannya membuat pemeriksaan kesihatan yang lebih teliti di hospital kerajaan.
“Doktor dah sahkan maknya mengidap kenser payudara tahap 3 dan perlu jalani pembedahan segera.” Riak kesayuan tertera di wajahnya seiring ucapannya. 
Dia juga sudah dimaklumi doktor yang merawatnya dan tidak mengejutkannya pengulangan khabar itu. Diterima ketentuan takdirnya dengan reda. Namun hendak mengikutkan saranan doktor agar menangguhkan pemergiannya ke Mekah setelah pembedahan berat hatinya untuk menyetujuinya.
“Sakit ini saya yang tanggung, saya yang rasa, saya yang tahu,  saya faham diri saya dan setakat mana kekuatan saya. Saya rasa saya mampu buat haji walau sedang sakit. Bila dah selesai tunai haji boleh balik sini dan buat pembedahan membuang semua penyakit tu.” Yakin dan tegas sekali keputusan yang dibuatnya.
‘Doktor pun bukan Tuhan yang dapat memastikan ajal maut seseorang berlaku kerana sebab musabab yang dijangka. Berserah dan bertawakal saja kepada-Nya. Bergantung kekuatan kepada-Nya. Hanya dia maha melindungi hamba-hamba-Nya.
Dan Allah mengizinkan niatnya yang suci murni beribadah haji dan lain-lain ibadah mensuci dosa-dosa dirinya seumpama kelahiran semula seorang bayi yang putih bersih tanpa cela. Terasa beruntung pula nasib diri kerana berupaya merealitikan impian di hati di kala sakit begini.
Segalanya dipermudahkan Allah tanpa sebarang masalah yang menyukarkannya dan suaminya menunaikan ibadah haji sehingga selamat berangkat pulang ke tanah air.
Hari yang ditetapkannya untuk dirinya masuk ke bilik pembedahan di sebuah hospital terkemuka tidak menggusarkannya. Malah tidak sabar lagi dirinya hendak membuang ketumbuhan di payudara sekaligus berserta payudaranya  yang bengkak merening dan menyebabkan kesakitan teramat.
Tidak terdaya lagi dia hendak menahan kesakitan yang menyebabkan sekujur dirinya terbujur di perbaringan.  Moga-moga setelah pembedahan dilakukan segala kekuatan, kegembiraan, kecerian dirinya akan pulih kembali.  Ketika seseorang itu sakit Allah akan mengambil keserian wajahnya dan segala-gala yang membangggakan dirinya termasuk dosa-dosanya. Setelah hamba-Nya itu sihat Allah mengembalikan semula kepada hamba-Nya itu kecuali dosa-dosanya. Mahasuci Allah. Pesan ulama yang arif begitu.
Doktor yang ditugaskan mengendalikan kesnya sering bertutur manis menaikan semangatnya dan meningkatkan motivasi diri agar tabah menempuhi pengalaman yang langsung tidak pernah diingininya ini.  Kalau sudah terpaksa akan dilaluinya juga.
“Sudah bersedia untuk pembedahan?” Doktor Hidayah yang bertudung cantik bertanya manis.
“Insya-Allah ….”  Perlahan getar suaranya menahan debaran di dada yang mengombak tiba-tiba.
‘Y a Allah ya Tuhanku sesungguhnya Engkau yang menciptakanku. Engkau yang memberiku nyawa. Engkau yang memberiku kehidupan. Aku bermohon kepada-Mu ya Allah ya Tuhanku jika hidupku ini bernoktah di sini maka ambillah aku dalam keadaan aku mengakui keesaan-Mu. Sesungguhnya tiada Tuhan yangku sembah melainkan-Mu ya  Allah dan Muhammad itu pesuruh-Mu ya Allah.
Namun jika aku masih ada rezeki di bumi-Mu ini ya Allah maka jayakanlah pembedahanku ini. Berilah aku ihsan-Mu, angkatlah penyakitku ini, berilah aku kesembuhan, berikanlah aku kesihatan.
Sesungguh-nya segala yang aku miliki ini adalah milik-Mu yang Engkau pinjamkan kepadaku. Maka hari ini aku pulangkan kembali hak-Mu ya Allah. Sesungguhnya aku reda dan bersyukur.’
Lalu segalanya gelap gelita.
Suaminya memapahnya turun daripada kereta sambil berpesan. “Jalan pelan-pelan maknya. Takut terjatuh pula. Awak tu bukan kuat sangat lagi.”
Sikap prihatin dan kasih sayang suaminya  dirasakannya begitu kental dan tidak berbelah bahagi terhadap dirinya seorang. Walau apa saja keadaan dirinya suaminya itu menerimanya dan sentiasa berada di sisinya kala senang dan susahnya. Tidak pernah melantarkan dirinya sendirian mengharungi penderitaan.
Suaminya itu melayaninya bak menatang minyak yang penuh. Bagai membawa barangan yg rapuh dan mudah pecah. Sungguh sangat berhati-hati sekali.
Dan dia pasti akan membalas  baik budi suami kesayangan itu seperti yang dilakukannya selama ini sebagai isteri mithali. Akan kembali bergelut dengan rutin sehariannya sebagai suri rumah tangga sepenuh masa sesuai dengan keupayaannya. Walau kesakitan akibat pisau pembedahan masih dirasai dirinya  kengiluan di sana sini namun diabaikannya. Alah bias tegal biasa.
“Mak ni baru saja balik tapi sudah nak menjenguk ayam-ayam di reban. Ingat sikit mak tu baru dibedah. Tidak boleh terdedah dengan hawa kotor dan tempat kotor. Bahaya pada diri mak.”
“Mak kau ni memang degil Suria. Puas dah bapa pesan, tak dipedulikannya. Ikut suka hati dia saja. Tengoklah lepas ni apalagi nak dibuatnya.” Suaminya menggelengkan kepala pula. Tandanya dia tidak menggemari tingkah isteri yang dirisaukan akan menjejaskan tahap kesihatannya yang diketahui tidak berapa baik itu.
Keesokannya kelihatannya  bersibuk pula di dapur menyediakan masakan suaminya dan anak-anaknya yang cuma dua itu. Hendak tunggu anak-anaknya pulang daripada pejabat untuk memasak alamatnya kelaparanlah suami isteri itu menunggu waktunya.
Keesokannya pula dia bersibuk dengan bunga-bunga plastik hasil kreativitinya dan menjadi sumber pendapatannya dulu justeru sering ditempah mereka yang berkenaan untuk pelbagai kegunaannya. Ada yang membelinya untuk perhiasan rumah atau buat menggantung bunga telor  di acara perkahwinan, pertunangan, khatam quran, berendoi atau berkhatan.  Dan semenjak ia jatuh sakit, asyik berulang alek saja ke hospital terabailah segalanya, Kini bunga-bunga hasil kerja tangannya yang cantik berseni  itu semakin berdebu kerana tiada siapa yang membersihkannya.
‘Agaknya kalau aku dah tiada, semua hasil kerjaku ini akan lusuh dan dibuang saja hmm…’
“Ish! Buat apa pulak ni? Maknya jangan nak buat bunga lagi dan bermain dengan spray cat tu. Spray cat tu ada bahan kimia, terhidu saja pun tak baik untuk kesihatan. Berehat sajalah. Tak payah nak buat apa-apa. Biar Suria dan Mira yang mengemaskan semuanya.”
Mengharapkan kedua-dua anak gadisnya yang sentiasa sibuk dengan tugas pejabat itu baginya nampaknya akan menyebabkannya runsing saja memperhati keadaan rumah yang berselerak tidak terurus. Tapi suaminya menegah pula hasratnya itu. Itu tak boleh. Ini tak boleh. Bosan pula terasa hidupnya  kini.
Menghadapi situasi sebegini merusuhkan hatinya amat. Ketenangan jiwa raganya perlu dicari. Tiba-tiba saja hatinya diselubungi kerinduan terhadap almarhumah ibunya. Ibunya yang sangat menyenangi  keahliannya dalam kraftangan. Pandai menganyam tikar, membuat bakul, menjalin bilah-bilah rotan, membuat lekar, mencipta aneka bunga kraft daripada aneka bahan terbuang seperti daun getah amat mengagumkan ibunya. Soal masak memasak apatah lagi semuanya serba jadi. Dan si ibu sering memuji kepandaiannya, kerajinannya.
Wajah ibu yang telah berpulang ke Rahmatullah itu bergentayangan di mata. Hatinya sebak dan ada air mata yang menitis panas di pipinya.
“Kita balik kampung ya raya ni!”
Terkejut juga suaminya mendengar isterinya bicara begitu. Selalunya suaminya yang mengajaknya pulang beraya tapi isterinya itu tidak pernah mahu.
“Ish! Puasa  Ramadan pun belum masuk sudah kalut nak balik raya?”
“Ialah tu! Ramadan pun esok lusa saja, perlulah kita merancang lebih awal.”
“Ikut suka maknyalah. Saya ikut saja.”
Suami yang tidak pernah membantah apa saja kehendaknya itu amat dicintainya sepenuh hati.  Beruntung dirinya membina perkahwinan yang kekal berbahagia daripada dahulu hingga kini. Saling berpengertian dan memahami antara satu sama lain. Doanya semoga kekal bahagia selamanya. Sekiranya boleh mati pun bersama.  Suaminya itu adalah kaum kerabatnya juga dan ada jalenan persaudaraan yang tidak diketahui jalurannya celah mana dan sekampung pula.
Maknanya sekiranya dia pulang ke kampungnya tentulah suaminya itu turut berpeluang menemui saudara maranya juga di kampung yang sama.  Kelak dapatlah menziarahi pusara Almarhum emak ayahnya dan  emak ayah isterinya. Dan saudara maranya yang mendahului diinya berpulang ke sisi-Nya.
Tidak sabar pula dirinya menanti tibanya idilfitri. Lambat pula dirasa hari yang mengangsur pergi. Terlalu rindu ingin berada di kampung halaman yang sekian lama ditinggalkan. Zaman gadis pingitannya yang indah bersama ibu tercinta menyediakan aneka kuih menjengah layar mindanya.  Menolong ibu tanpa jemu menggoreng karas di dapur kayu yang perlu dijaga agar apinya tidak terlalu marak hingga menyambar dinding rumah.
Berpeluh bergantian bersama ibu dan  kakak adiknya mengacau  dodol daripada bancuhan tepong pulut bersama santan, gula putih, gula Melaka yang awalnya putih cair sehingga pekat, likat kehitaman. Bukan main lama proses mengacaunya. Menggunakan tenaga yang tidak sedikit. Alang-alang rajin memang tidak menjadi. Walau dodol hitam rupanya namun keenakannya tiada tandingannya. Sesuai dengan cara menghasilkannya yang memerlukan tenaga yang bukan calang-calang.
Membakar bahulu memang menjadi kemestian ibu tercinta menjelang raya. Kuih bahulu adalah kegemaran ayahnya dan seisi keluarganya.  Menjadi tugas yang disukai menimbuk  telor dengan gula di dalam pasu menggunakan penimbuk telor yang diwarisi keluarganya sejak lama sehingga elok naiknya dan boleh dicampur tepung yang sudah disangai terlebih dahulu sebelum boleh dibakar di dalam periuk yang ditutup dengan penutup tin berbara api.
Api yang berbara di bawahdan atas periuk perlu dijaga agar elok masak bahulunya dan tidak hangus. Tugas ibunyalah berpanas, berpeluh di tepi dapur sedang dia setia menemani ibunya menolong  apa yang patut menurut perintah ibunya. Susahnyalah ibunya itu hendak membuat kuih bahulu cermai dan bahulu ikan yang cantik molek dan enak untuk hidangan raya kala dulu-dulu.
Selain bahulu masih juga mahu membuat kuih bakar, bangkit dan tidak ketinggalan putu beras juga putu kacang. Pulut wajik yang amat manis itupun tidak ketinggalan. Semua kuih-kuih raya yang teramat digemarinya. Dan kini dia mewarisi ilmu membuat kuih tradisi itu daripada ibunya dan meneruskan  kegiatan membuat kuih lama menjelang raya dengan bantuan alatan masakan moden yang semakin memudahkan ianya dilakukan. Pengalaman berpanas dengan peluh merambu menunggu kuih masak di dapur kayu tidak dialami lagi. Ligat sungguh zaman berputar membawa perubahan demi perubahan seiring masa.
“Sebelum balik kampung maknya perlu jalani rawatan kimo dulu. Lepas tu kita terus balik kampung ya!” tersenyum  tawar isterinya itu mendengarnya. Tentang balik kampong itu sangatlah menyukakan hatinya. Tentang bab kimo itu yang dirasa tidak sanggup  untuk menjalaninya. Sudahlah menyebabkan keperihan dan keletihan sehingga tidak bermaya dan lemah longlai hilang daya.
Demi kebaikan diri untuk bertahan menghembus nafas hidup hanya jalan itu yang dianjurkan sebagai pilihannya.
“Mira dan Suria tak ajak balik sekali?”
“Kata Mira dan Suriia akan balik sehari sebelum raya. Kedua beradik tu kan kerja. Tak boleh nak ikut sekali balik dengan kita. Jadi kita balik dulu ke sana. Balik awal bolehlah tolong kak Long dan adik Cik buat ketupat rendang.”
“Maknya tak payah sibuk nak menolong buat semua tu. Awak tak sihat. Mereka pun faham keadaan awak. Anak-anak Cik dan Long pun ramai. Dah besar panjang semuanya dan boleh menolong.”
Sampai dengan selamatnya pasangan suami isteri itu ke destinasi yang ditujui. Iaitu kampung halaman yang dirindui.
Telefon rumah berdering nyaring. Mira dan Suria kebetulan sedang bersiap sedia dengan beg pakaian masing-masing yang akan disumbat ke boot kereta sebentar saja lagi. Kedua beradik itu sudah usai berbuka puasa di hari terakhir Ramadan ini.
“Siapalah yang sibuk talipon ni. Orang dah nak keluar rumah nak balik kampung ni…”
“Jawab Mira! Kak nak hantar beg dan barang kita ni ke kereta.”
Suara yang sayup-sayup di gagang menggoncang dadanya dengan debaran kencang.
“Mak dan bapa kau dah tak ada Mira.” Suara Aciknya berulang-ulang menendang gegendang deria dengarnya.
“Petang tadi mak dan bapa Mira menziarahi pusara atok Mira dan tiba-tiba terjatuh tika menyiram air mawar ke pusara. Bapa Mira membawaya pulang ke rumah dan menghembuskan nafas terakhir di ribaan abang Ngah. Setelah itu abang Ngah kelihatan tunduk sayu. Acik dan Along menyentuh bahunya dan memintanya bersabar dan meninggalkan jenazah Angah untuk kami merapikan apa yang patut sebelum memandikannya. Tapi terkejut sungguh pabila bang Ngah tak pedulikannya pun dan menyembamkan wajahnya  terus. Acik mula rasa tak sedap hati dan minta adik pupu kau yang kerja misi tu memeriksanya. Rupanya angah dan abang Ngah telah berganding seiring mengadap Ilahi. Innalillah.”
Amira terduduk longlai.  Suria terpinga-pinga.  Daripada masjid yang sepelaung jauh jaraknya kedengaran suara takbir raya merdu sayu. Allahuakbar! Allahuakbar! Allahhuakbar!

Tamat.







 CREDIT CIKGU SHAM..MEMINJAM DOANYA...
http://shamdisini.blogspot.com/

4 comments:

  1. Sayu hati baca cerpennya, Kak Paridah.
    Nasib baik tertunai juga hajat nak balik kampung :(

    ReplyDelete
  2. YEKE..Kita ni setiap kali raya akan sebak pilu dihati terkenangkan saudara2 kita yg telah tinggalkan kita..tq fidah.

    ReplyDelete
  3. Asslamualaikum kak, pilu je baca.. Sabar na kak..😊

    Wawa ade buat segmen, jemput join jika berkesempatan kak ye..")
    http://vitaminwawa.blogspot.com/2015/08/saya-nak-masuk-bloglist-vitamin-wawa.html?m=1

    ReplyDelete
  4. wsalam dik wawa..tq rajin juga baca.
    nanti kak join segmen wawa tu...tksh pelawa kak.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”