Tuesday, 21 July 2015

MANUSKRIP 1930....INDAHNYA PERCINTAAN ANTARA DUA DARJAT.

ASSALAMUALAIKUM...

SEPANJANG JALAN KENANGAN.
BAB 8 - TANPA DISANGKA-SANGKA



pic google images sekadar hiasan.

Kerjaku bermula di waktu pagi-pagi lagi. Aku berkerja bersama Pak Itam Sadin. Kami berkerja di setor getah. Pada pukul 9.00 pagi aku pergi menjalankan enjin pam air. Berlanjutan hingga jam 2.00 petang. Diwaktu
petang aku selalu pergi berjalan-jalan ke pekan Salak. Pekan yang terletak
lebih kurang tiga batu dari Bhutan Estate. Di Salak ini, aku kenal seorang kawan. Dia berkerja sebagai tukang gunting rambut. Namanya Abu. Dia
pernah berkerja sebagai tukang gunting rambut di pekan Kuala Sawah suatu waktu dulu. Dia tinggal di Salak Tinggi. Lebih kurang setengah batu jauhnya dari pekan Salak. Aku selalu balik bersama-sama dengannya. Sambil berjalan kami berbual-bual. Di Salak kawan-kawan aku ramai. Mereka telah melantik aku jadi ketua pasukan bolasepak di tempat itu. Disamping itu, aku juga ketua untuk melatih anak-anak muda di situ bermain sandiwara. Kami berlatih pada hari-hari yang telah ditetapkan.
Oleh sebab itu aku dikenali dengan cepat oleh orang-orang tua
dan muda. Mereka memanggil aku dengan gelaran Othman Bhutan Pasukan bolasepak yang aku pimpin pernah mengadakanperlawanan di banyak tempat. Di Bukit Bangkung, Bangi, Sepang Road dan banyak lagi yang aku sudah.
tidak ingat. Aku pasti akan ada di pekan Salak tiap-tiap hari dari jam 4.00 hingga 6.00 petang.
Tidak berapa lama tinggal di Bhutan Estate, aku pun membeli sebuah basikal. Basikal jenis Philips Coronation Sport. Harganya 60 ringgit. Pada suatu petang, sewaktu matahari akan terbenam di tabir langit, kelihatanlah cahaya merah bak emas disepuh. Ia menambahkan seri petang itu. Aku berjalan bersama-sama Abu dari pekan untuk Salak. Aku hendak
balik ke rumahku di Bhutan Estate. Masa itu aku memakai seluar pendek
putih, berbaju putih dan berkasut pun putih juga. Sambil berjalan itu
macam-macam ceritalah yang terkeluar dari mulut masing-masing.
Kami pun lalu di hadapan sebuah rumah besar. Rumah itu berdekatan dengan masjid. Ianya rumah kepunyaan Tengku Jaafar.
Penghulu mukim Salak. Sesampai kami di hadapan rumah besar itu,
suatu bunyi yang kuat kedengaran. Bunyi yang datangnya dari rumah besar
itu. Aku berdua sama-sama menoleh ke tempat bunyi itu. Rupa-rupanya ada seorang gadis sedang berdiri di tingkap anjung rumah itu. Dia sengaja
menarik daun tingkap itu kuat-kuat. Ia bertujuan untuk menarik perhatian
agar aku memandang ke arahnya. Bila aku dan Abu memandang ke arahnya,
dia melambai-lambaikan sehelai sapu tangan berwarna merah jambu.
Kawanku Abu berkata, "Pendek nyawa, Man!"
Itulah hanya kata-kata yang dikeluarkan oleh Abu. Aku pun diam sahaja sehinggalah Abu sampai di hadapan rumahnya. Aku terus berjalan balik ke Bhutan Estate berseorangan. Di rumah, anakku Sha'ari dan Ramlah adalah
penglipur hatiku. Pada malam itu aku teringat balik akan peristiwa siang tadi. Aku mengeluh. Isteriku terdengar akan keluhanku itu.
"Apa kena?" tanya isteriku.
"Tak ada apa-apa," jawabku.
Malangnya, pada suatu hari, anakku Ramlah telah jatuh sakit. Sudah
seminggu di Bhutan Estate, aku bawa keluar dari rumah. Aku menumpang tinggal di rumah seorang kenalan Pak Itam Sadin. Rumahnya di Salak Tinggi. Seminggu tinggal di situ sakit anakku Ramlah tidak juga sembuh-sembuh. Maka aku pun membawa anakku balik ke ke kampung. Masa itu ayah dan
ibu mertuaku telah berpindah ke Kuala Sawah. Rumah mertuaku adalah berdekatan dengan rumah Inchum. Jarak sebuah rumah. Aku tinggal seorang diri di Bhutan Estate. Aku masih juga seperti biasa. Setiap hari aku akan
keluar ke pekan Salak.
Pada masa itu di pekan Salak ada Pekan Sari iaitu pada hari minggu. Ramai juga orang datang ke Pekan Sari tersebut. Ada yang datang
dari Nilai, ada yang dari Sepang Road, Kubang dan dari kampung-kampung sekitar pekan Salak itu sendiri. Masa aku berulang alik pergi ke pekan Salak
itu sesekali terpandang olehku seorang gadis. Dia sedang duduk di bawah anjung rumah Tengku Jaafar. Keadaannya sugul sahaja. Rambutnya tidak bersikat. Biasanya pada masa aku balik, dia akan berada di atas rumah. Dia berada di tepi tingkap anjung rumah. Bila masa petang aku sudah lalu balik, barulah tingkap itu di tutupnya. Aku tidak menyangka apa-apa pun yang berlaku.
BAB 9 - BENIH CINTA TUMBUH KEMBALI

Dari hari telah ke minggu dan dari minggu hingga ke bulan. Keadaan gadis ini tidak berubah. Disuatu petang, sedang aku lalu di situ, seorang budak telah menahan aku. Dia memberikan
kepadaku sepucuk surat. Hatiku berdebar-debar.
"Surat apakah ini", tiba-tiba mulutku berkata. Sampai di suatu tempat agak lapang, aku berhenti. Kubuka surat itu. Surat itu rupanya datang dari seorang yang bernama Tengku Wok. Surat itu berbunyi...
Encik Othman,
Mahukah Othman menolong aku? Sekiranya mahu,
silalah datang ke rumahku pada malam Ahad ini. Adikku Tengku Normah sangat-sangat ingin menemui Othman. Sebilang hari dia duduk di bawah
rumah di tiang anjung, menunggu Othman lalu. Makan minum tidak dihiraukannya. Apabila Othman telah lalu barulah dia tinggalkan tiang
anjung itu. Kasihanilah pada Tengku Normah, Othman. Untung-untung
dengan kedatangan Othman akan menjadi penawar kepada adikku kelak.

Yang benar,
Tengku Wok.

Telah habis aku baca, aku lipat surat itu. Kemudian aku masukkan ke dalam saku seluarku. Sambil berjalan ke pekan Salak aku berfikir. Apakah anak raja ini rindukan aku? Ah, tak mungkin, kata hatiku. Masakan terbau langit oleh anjing! Waktu petangnya aku pun balik ke rumahku di Bhutan Estate. Sebaik sampai di hadapan rumah Tengku Jaafar, gadis itu melambai-lambaikan lagi sapu tangannya. Dengan
lemah gemalai. Kepalanya disandarkan ke jenang tingkap tempat dia berdiri. Aku berlalu dari situ dengan seribu satu perasaan. Perasaan yang menghantui aku hingga aku sampai ke rumah. Setelah aku berehat pada
waktu malamnya, aku pun mengambil keputusan untuk membalas surat Tengku Wok.
Tengku Wok,
Sesudah aku baca surat Tengku, alangkah belas rasa hati ini. Kasihan bila mengenangkan adik Tengku telah mengidap penyakit. Tetapi kenapakah kepada anak dagang ini Tengku mengadu? Apakah penyakit yang telah menghinggapi adik Tengku itu? Namun untuk datang ke rumah Tengku, berat rasa hatiku kerana jemputan ini bukanlah dari orang yang sebenarnya. Oleh itu bersabarlah! Nantilah, akan kufikirkan habis-habis.
Salam dari aku,
Dagang perantau.
Othman Bhutan.
Surat ini aku masukkan ke dalam sampul. Petangnya aku
pergi ke pekan Salak. Aku melalui jalan di hadapan rumah Tengku Jaafar.
Aku campakkan surat itu ke dalam pagar rumahnya. Kebetulan dia berada
di bawah pohon kelapa di tepi pagar rumah itu. Aku terus ke pekan Salak.
Pada masa aku balik, aku pandang ke arah tingkap yang selalu itu.
Di tingkap itu tiada sesiapa lagi.
Dua hari berselang. Aku sedang duduk di jambatan besi. Jambatan itu terletak di sebelah rumahnya arah ke pekan Salak. Seorang budak datang kepadaku. Dia menghulurkan sekeping surat padaku sambil berkata, "Tengku Normah suruh beri pada abang."
"Baiklah," kataku.
Budak itu pun berlalu dari situ. Surat yang aku pegang itu tersangat harum baunya. Menyeramkan bulu romaku! Surat itu aku bawa balik ke rumah. Sesudah aku mandi dan bersalin pakaian, aku duduklah dekat sebuah meja. Aku ambil surat tadi. Debaran dadaku semakin kuat. Sampul surat itu aku buka. Terdapat di dalamnya sehelai sapu tangan merah jambu. Sapu tangan yang pernah aku lihat. Sapu tangan yang sering dia lambai-lambaikan
kepadaku semasa aku lalu di hadapan rumahnya setiap hari itu. Aku ambil sapu tangan yang harum semerbak itu. Perlahan-lahan aku buka suratnya.
Aku lihat tanda tangan di akhir surat itu ialah Tengku Normah. Suratnya berbunyi...
Kekanda Othman,
Sungguh lama aku memendam rindu yang aku sendiri tidak tahu kenapa. Aku merindui kekanda! Aku telah bertanya kepadabudak-budak di sini siapa nama kanda yang sebenar. Selepas surat kanda kepada kekanda Tengku Wok kubaca, lapanglah rasanya dadaku.Nama kanda ini adalah betul.
Kandaku,
Agak ramai pemuda yang yang lalu berulang-alik di hadapan rumahku. Namun hatiku tetap seperti biasa. Kepada kanda aku
alami perasaan yang lain. Setelah tiga bulan perasaan kupendam, akibat-
nya telah menjadi buruk. Aku merana berterusan. Merana! Merana kerana rindukan kanda. Kepada siapalah akan kuperkhabarkan. Kepada siapa
hendak kuceritakan! Sedangkan kanda tetap berulang-alik lalu di hadapan rumahku. Sekali-sekala melemparkan pandangan ke rumahku.
Aduh bisanya penyakit ini. Hanya Tuhan sajalah yang mengetahuinya. Setelah tidak terdaya lagi menahannya, aku khabarkan
kepada kakakku. Mereka memberi nasihat supaya aku melupakan kanda. Namun ianya tidak memberi kesan sedikit pun.
Kandaku,
Tolonglah siramkan setitik embun kasih agar derita
yang bersemarak dalam hatiku ini dapat berkurangan. Curahkan sedikit
titisan kasih sayang agar pohon yang layu akan segar kembali. Sekian lama aku menanggung perasaan. Untukku hilangkan susah sekali. Hendakku biarkan, mungkin akan meranalah hidupku ini. Kanda, temuilah dinda pada malam minggu nanti. Aku akan menunggumu di belakang rumahku. Aku berharap rinduku yang selama ini pada kanda dapat berkurangan.
Akhir sekali, tunaikanlah harapan dariku ini. Kuharap kanda tidak akan menghampakannya. Kalau tidak, aku akan terus tenggelam
di lautan rindu. Rindukan kanda.
Dari dinda,
Normah.

Sehabis sahaja suratnya kubaca, perasaan kasihan di hatiku serta-merta datang. Aku mengeluh! Hatiku berkata, "Kenapalah anak raja ini jatuh hati padaku?" "Tak apalah..," kata hatiku.
"Akan kucuba menyelami lubuk hatinya. Hingga ke mana kasih sayangnya padaku. Atau pun dia hanya berpura-pura." bisik kata hatiku. Lalu aku mengambil sehelai kertas. Aku pun mula menulis. Menulis jawapan
kepada surat yang telah diberikan oleh Tengku Normah.
Tengku Normah,
Mengapakah harus jadi begini? Sudahkah Tengku
befikir habis-habis. Renungkanlah Tengku agar agar penyesalan tidak akan mengikat jiwa Tengku nanti. Tidakkah Tengku mengetahui, Tengku anak
orang berada dan berdarah raja? Sedangkan saya adalah orang kebanyakan. Apalah indahnya bunga idaman Tengku Rupa tiada dan wang ringgit pun
tidak mencukupi. Kalau budi bahasa pula, belum pernah saya berkan pada Tengku. Ya, sekali lagi saya berharap renungkanlah nasib Tengku pada
masa yang akan datang jika hidup bersama saya. Sesudah itu, hilangkanlah
perasaan yang Tengku pendam selama ini Mudah-mudahan Tengku akan berada seperti biasa.
Buah duku selasih dani,
Jual serbat di tepi jalan;
Tengku berkasih dengan kami,
Menjatuhkan darjat dirimu tuan.
Tengku Normah, saya harap Tengku tidak berkecil hati. Lupakanlah saya yang buruk ini. Semoga Tengku berada di dalam kesejahteraan setiap masa.

Dari saya,
O. B.
(Othman Bhutan).
Pada petang esoknya aku ke pekan Salak sperti biasa.
Sampai di hadapan rumahnya aku berikan surat itu pada seorang budak
untuk disampaikan kepada Tengku Normah. Aku terus ke pekan Salak.
Pada petangnya, waktu aku akan balik, aku lihat dianya menyandarkan
bahu ke jenang tingkap. wajahnya begitu sayu. Sedih juga hatiku melihat-
nya. Aku meneruskan perjalananku balik ke rumah.
Selepas makan malam, aku terbaring seorang diri. Isteri dan anakku masih di kampung lagi. Anakku Ramlah masih belum-belum sembuh sakitnya lagi. Mataku tak mahu dilelapkan. Fikiranku melayang ke rumah Tengku Normah. Dan bila mataku hampir hendak terlena, terbayanglah wajah yang lesu dan tangan yang melambai-lambaikan tuala merah jambu. Aku terjaga kembali. Hatiku berkata, "Apakah aku akan menanggung rindu
sekali lagi?"
Entah bila aku mataku lelap aku pun tak pasti. Tahu-tahu,
Pak Itam Sadin sudah mengejutkan aku. Waktu sudah jam 6.00 pagi. Aku tergesa-gesa pergi ke tempat enjin. Aku hidupkan enjin itu. Setelah
enjin berjalan, barulah aku mandi dan bersalin pakaian kerja. Sepanjang-panjangan hari itu hatiku diselubungi oleh bermacam-macam perasaan.
Hatiku sangat kasihan mengenangkan penanggungan Tengku Normah. Ini kerana aku dahulu pernah mengalaminya. Perasaan hati yang sering merindu pada orang yang dikasihi. Dua hari kemudian, aku keluar ke pekan lagi. Aku nampak seorang budak meletakkan surat di tepi jalan. Dekat jambatan berhampiran dengan rumah Tengku Normah. Budak itu memberikan isyarat tangan. Dia menyuruh aku mengambil surat itu.
Aku berpura-pura berhenti melihat basikalku dan mengambil surat itu. Rupa-rupanya Tengku Normah ada memerhatikan dari hujung
jendela anjung rumahnya. Aku naiki basikalku kembali dan pergi ke pekan. Tidak lama berada di pekan aku balik ke rumahku. Aku lekas balik ke
Bhutan Estate kerana hatiku sangat ingin mengetahui apakah isi surat
Tengku Normah kali ini. Sebaik sampai di rumah suratnya aku buka. Bau harum suratnya menusuk ke dalam hidungku. Menikam ke kepalaku.
Dengan perasaan yang tidak tentu arah aku baca surat Tengku Normah
itu.

Kandaku yang kukasihi,
Dinda berharap janganlah kanda menulis dengan menggunakan panggilan Tengku lagi. Gunakanlah Normah sahaja. tiadalah indahnya gelaran dan darjat jikalau kehidupan tidak seberapa.
Oh kandaku!
Sampainya hati kanda menyuruh dinda melupakannya saja. Melupakan rindu dendam yang selama ini dinda tanggung. Kasih tidak
memilih pangkat, kanda. Cinta tidak memilih rupa, kanda! Walaupun telah dinda cuba untuk melupakannya, air mata ini terus menitis di pipi. Kutatap pantun kanda. Semakin bertambah rindu hati ini. Kanda seakan-akan tidak percaya penanggungan dinda selama ini. Sekiranya boleh dinda menahan-nya masakan Kak Wok akan mengirimkan surat kepada kanda.
Wahai kanda, berikanlah sedikit masa untuk dinda berjumpa denga kanda. Kalau tidak pun, dapat bertemu barang sesaat pun jadilah. Akan dinda jadikan cermin kenangan selama hidup dinda nanti. Berilah
dinda kesempatan menyampaikan hasrat rindu dinda di hadapan kanda Akan terlipurlah segala rindu dinda selama ini. Dan kalau dinda mati pun selepas itu, relalah dinda.
Mungkin kanda takut akan keselmatan diri kanda. Dinda berjanj kalau kanda diapa-apakan dan tercedera, akan kugalangkanlah badanku ini. Lagi pun kakak-kakakku telah berjanji untuk melindungi kanda. Mereka telah sepakat kerana kasihankan dinda yang menanggung lara. Sudah tiga bulan lebih dinda tak tentu makan dan minum. Setiap masa hati ini ingin melihat wajah kanda dari dekat. Sebab itulah dinda sentiasa berada di bawa anjung rumah menunggu kanda lalu. Apabila telah terlihat wajah kanda barulah terhibur sedikit hati dinda.
Kanda tentu tahu di mana dinda berada setiap petang. Sewaktu kanda lalu pergi ke pekan Salak dan semasa kanda balik. Dua hari berlalu. Dinda tidak dapat melelapkan mata. Badan dinda tidak sesihat dulu. Mungkink kesihatan dinda akan terus terganggu? Janganlah biarkan dinda merana kerana dihinggapi oleh penyakit ini. kasihanilah dinda wahai kanda.. Tunaikanlah hasrat dinda ini walaupun untuk sekejap masa. Jam 9.00 malam, hari Khamis ini adinda kan menunggu kedatangan kanda.
Serangkap pantun buat renungan kanda...
Selasih muda atas permatang,
Petik mari dipagi minggu;
Kalau kasihan silalah datang,
Agar terubat hatiku yang rindu.
Yang menanggung rindu,
Normah.
Selesai kubaca surat dari Tengku Normah itu, terbayanglah kisah sedih diriku yang pernah kualami. Penaggungan aku di masa yang lampau. Masa aku berpisah dengan kekasihku Inchum duhulu. Perasaan kasihan menjalar ke dalam ingatanku. Aku pu mengambil keputusan akan menemui Tengku Normah. Lalu aku tuliskan jawapan kepada suratnya.
Semoga dia berasa riang untuk menemui aku.
Normah,
Setelah kanda habis membaca surat dinda, merambahlah kasihan ke dalam dada kanda Adinda telah dibakar api membara. Api cinta! Sejenak kanda memikirkan terasa berat di kepala. Dinda dan kanda adalah berbeza. Namun kalau gayung yang dihulur tidakku sambut dengan apakah akan kubasuh kaki. Kalau kasih tidak kubalas kelak dinda akan merana diri!
Oleh sebab itu kanda menambil keputusan. Kanda akan
datang menemui dinda pada masa yang telah dinda katakankan itu. Kuatkan hati dan tetapkanlah perasaan dinda untuk menunggu masa itu. Masa untuk bertemu kanda. Malam itu nanti pasti kanda akan datang menemui dinda.
Kandamu,
O. B.
(Othman Bhutan)
Bersambung...........

sumber...pak engku.

7 comments:

  1. sedap cerita ini jika dibukukan..

    ReplyDelete
  2. manuskrip lama ni cikgu abe kie...tq

    ReplyDelete
  3. Adakah ini dikatakan cinta pandang pertama??? Mencintai hanya dengan melihat dari jauh...

    ReplyDelete
  4. entahlah zumal boleh jadi juga kot...cinta orang lama ni biasanya cinta mati sejati tau...tq zumal.

    ReplyDelete
  5. Pangkat dan darjat bukan ukuran, bila hati sudah terpaut.

    ReplyDelete
  6. YG KITA FIKIR BEGITULAH KAN....TQ FIDAH.

    ReplyDelete
  7. Memang ada bab-bab sebelumnya ke memang ini cerpen yang berdiri sendiri?

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”