Sunday, 14 June 2015

MANUSKRIP LAMA ORIGINAL...

ASSALAMUALAIKUM...


PIC GOOGLE IMAGES SEKADAR HIASAN

KALI INI PAK ENGKU BERKONGSI DENGAN KITA SEBUAH CATATAN LAMA AYAHANDANYA. TERNYATA AYAHANDA PAK ENGKU JUGA ADALAH PENGARANG SASTERA DI ZAMANNYA LAMA DAHULU. KARYANYA AMAT INDAH BERSENI DAN TERSERLAH NILAI SASTERA MELAYU LAMA...

CORAT-CORET PAK ENGKU..
Assalammualaikum wbt. Seperti yang aku janjikan, aku akan tuliskan
kembali kisah perjalanan hidup dan kisah cinta arwah ayahku
yang beliau tuliskan dalam buku catatan kisah hidupnya. Bagi
aku perjuangan hidup dan kisah cintanya begitu hebat. Terlalu unik.
Kegigihannya untuk mengubah penghidupan begitu kuat. Dan beliau juga
seorang yang berbakat besar dalam lakunan drama, sandiwara dan
bangsawan. Beliau pandai berpantun dan bersyair. Ikutilah kisahnya
yang telah aku tuliskan semula tanpa banyak mengubah lenggok karangan
asal beliau itu. Manuskrip asal adalah dalam tulisan jawi.
Semoga kisah ini menjadi kenangan terindah buat adik beradikku, anak-
anakku, cucu-cucuku dan kaum keluarga serta kawan-kawanku. Aku
berikan tajuk karangan arwah ayahku ini.... "SEPANJANG JALAN KENANGAN".
Ikutilah kisahnya.
SEPANJANG JALAN KENANGAN

BAB 1 : PENGENALAN

Aku dilahirkan pada tahun 1913. Tarikh yang tepat, hari dan bulannya aku tidak tahu.
Aku anak yang kelima dari enam orang adik beradik, dua lelaki dan empat perempuan. Dari sebuah
keluarga yang tidak berada. Selepas aku dilahirkan, perang dunia pertama berlaku. Peperangan itu
bermula dari tahun 1914 dan tamat pada tahun 1918. Dalam tahun 1918 itu aku berumur lebih kurang
lima tahun. Aku masih ingat lagi waktu itu, bekalan barang makanan dicatu. Setiap keluarga hanya
dibenarkan membeli segantang beras dan dua kati tepung sahaja.
Ayahku berkerja sebagai Mandur di Ladang Getah Bukit Jelutung. Sebuah ladang yang terletak
di antara jalan Seremban ke Rantau. Ayahku mendapat beras India dari pihak ladang ini. Ibuku tidak
mahu makan beras India ini kerana katanya berbau busuk. Jadi aku dan adik beradik akulah yang
memakannya. Sedangkan ibuku makanlah beras yang dicatu itu.
Pada tahun 1919 aku pun bersekolah, mengikut abangku yang bernama Abdul Rahman. Dia masa
itu di dalam Darjah Tiga. Kerjaku apabila balik dari sekolah adalah menjaga kambing. Pada waktu
petangnya aku pergi mengaji Quran di Kampung Belangkan yang jauhnya setengah batu dari rumahku.
Aku mengaji di rumah Haji Othman Datuk Muda Linggi yang isterinya bernama Hamidah. Semua murid
yang mengaji di situ memanggil isterinya itu, wan.
Dari kecil lagi aku sangat suka bermain bolasepak. Apabila umur aku meningkat 12 tahun
semakin asyik aku bermain bola. Bercampur dengan orang-orang yang lebih dewasa dari aku. Aku
memang pandai bermain bola. Pada masa itu di mana sahaja ada perlawanan aku tetap akan bermain.
Kawan-kawan aku menggelarkan aku 'Dol Fatah', nama seorang pemain bolasepak yang handal dalam
pasukan Singapura pada masa itu.
Ayahku tidak suka aku bermain bolasepak. Ayahku berkata, awal permainan bola sepak adalah
menyepak kepala cucu Nabi. Kepala cucu Rasulallah yang dipenggal oleh orang kafir dalam peperangan
menegakkan agama Islam. Namun kata-katanya itu cuma untuk pendengaranku sahaja sedangkan aku tidak
dapat meninggalkannya. Dengan cara menyorok-nyorok aku terus bermain. Ayahku sering ke pekan Kuala
Sawah. Kalau aku sedang bermain ayahku lalu, kawan-kawanku akan lekas-lekas memberitahu aku, "Man,
ayah kau lalu." Dan aku akan cepat-cepat lari meyorok di dalam semak di tepi padang bola itu. Selepas
ayahku berlalu, aku akan sambung semula bermain. Begitulah yang seringkali terjadi!
Dalam pasukan bolasepak di kampungku, akulah yang paling muda. Namun oleh kerana aku pandai
bermain, kawan-kawanku semua mengangkat aku menjadi ketua pasukan. Sebagai penyerang utama, akulah
yang banyak menjaringkan gol untuk pasukan aku. Dan di dalam banyak perlawanan, pasukan akulah yang
selalunya menang. Begitulah penghidupanku sehari-hari dizaman awal remajaku.
BAB 2 : MENINGKAT REMAJA
Sesudah aku tamat Darjah Lima, aku bersekolah lagi hingga ketahun 1924. Pada tahun itu aku
dalam Darjah Enam. Aku telah menduduki peperiksaan untuk menjadi guru. Sayangnya aku gagal. Aku
mendapat tempat kelapan belas dalam peperiksaan ini. Sedangkan kerajaan berkehendakan 16 orang sahaja.
Maka hampalah harapanku untuk menjadi seorang guru.
Tidak lama selepas itu ayahku telah menyuruh aku menuntut ilmu agama. Dia tidak mahu masukkan aku
ke sekolah 'orang puteh' atau sekolah Inggeris. Alasannya kalau masuk sekolah Inggeris, mati besok tak tahu
mengucap. Kebetulan pula, pada masa itu ada seorang murid yang bersekolah di Government English School,
Seremban, berasal dari Rantau baru sahaja meninggal dunia. Dalam keadaan dia nazak, saudara dan keluarga
yang berada di sisinya pada masa itu menyuruhnya mengucap dua kalimah syahadah. Dia hanya menjawab dengan
bercakap bahasa Inggeris atau'orang putih', "No, no, no!". Demikianlah jawabnya sehinggalah dia menghembuskan
nafasnya yang terakhir. Kejadian ini telah dijadikan satu senjata atau alasan oleh ibu bapa pada waktu itu
untuk tidak menghantar anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke sekolah Inggeris atau pada masa itu
disebut sekolah 'orang putih'.
Pada awal tahun 1925 aku pun bertolaklah pergi ke Malim Nawar, Perak. Aku pergi bersama dengan
seorang saudaraku juga bernama Omar bin Haji Yunus. Aku belajar di kampung Tualang Sekah, Malim Nawar
dengan Tuan Guru Haji Mohd Yunus. Murid-murid yang belajar di situ ramai juga. Hampir 100 orang pada
masa itu. Di Tualang Sekah pun aku selalu diajak oleh anak Tuk Guru ini pergi bermain bolasepak di
padang sekolah. Jauhnya lebih kurang satu batu dari pondok tempat aku belajar. Lebih kurang setahun
aku di sana, harga getah telah jatuh. Aku telah merasa bosan di sana kerana hingga dua bulan barulah
wang sampai dari kampung. Itu pun tidak mencukupi untuk perbelanjaanku. Aku sering kesempitan wang.
Oleh sebab itu aku pun teringatlah akan balik ke kampungku. Jadi pada bulan dua tahun 1927
aku pun bertolaklah balik dari Malim Nawar. Apabila aku sampai ke rumahku di Bukit Jelutung, aku
dapati ada satu keluarga yang baru datang dari Beranang telah menetap di kampungku. Mereka berkerja
dengan ayahku sebagai penoreh getah. Mereka enam beranak. Tiga dari anaknya perempuan dan tiga lagi yang
masih kecil, lelaki. Anaknya yang tua bernama Inchum. Umur Inchum masa itu lebih kurang 13 tahun.
Dalam perjumpaan hari ke hari itu, telah membuatkan hatiku terpikat dengan gadis ini. Aku
bercita-cita mahu berkahwin dengannya. Tetapi aku tidak mempunyai pekerjaan. Aku hanya bekerja
sebagai penoreh getah tanah ayahku iaitu di satu tempat lagi yang tidak jauh dari ladang tempat
mereka menoreh.
Anak-anak keluarga yang baru berpindah ini semuanya memanggil aku Uda. Ianya menurut panggilan
adik beradik aku. Dalam adik beradikku, aku berkedudukan Uda mengikut panggilan susunan keluargaku. Tiga
bulan selepas aku balik menetap di rumah, Inchum dan keluarganya telah berpindah dari rumah kedai ayahku
ke Kampung Belangkan. Lebih kurang setengah batu dari rumahku. Dari kerana itu, aku selalu sajalah
pergi ke rumahnya. Terutama bila aku keseorangan. Dan kalau di malam hari, aku selalu juga ke sana.
Ini kerana ayah Inchum suka bercerita. Cerita hikayat. Satu cerita hikayat itu sampai tiga malam baru
habis diceritakannya. Antara hikayat yang aku ingat benar ialah Hikayat Cenderamata. Kisah Pagar Ruyung.
Kadang-kadang aku berada di rumah Inchum sampai larut malam baru balik ke rumahku.
Dari hari meningkat bulan, dari bulan ketahun, kasihku kepada Inchum semakin menebal. Ia
menebal kerana disirami titis kasih sayang dari Inchum padaku juga. Kasih sejati aku rasa. Pada masa
itu tidak ada barang yang lain yang aku kasihi di dunia ini melainkan dialah. Sebaliknya Inchum
pun begitu juga. Kalau aku tidak datang ke rumahnya, dia akan menyuruh adiknya mencari aku. Apa-
bila adiknya berjumpa aku, adiknya pun berkata, "Uda, Kak Long suruh datang rumah". Dan pada malam-
nya aku akan pasti pergi ke rumah Inchum bertemu dengannya..
Cintaku pada Inchum telah hidup dengan subur. Dan tidak ada satu benda pun yang akan
dapat memisahkan aku dengan dia. Orang-orang kampung juga beranggapan aku pasti akan berkahwin
dengan Incum.
BAB 3 : MERAJUK MEMBAWA DIRI

Pada suatu pagi aku telah mengikut Inchum pergi mengangkat susu getah di ladang. Ayahku
telah datang dan terserempak dengan kami. Apabila telah dekat dia pun bertanya, "Apa buat ni?"
Aku menjawab, "Tak ada apa-apa."
Ayahku sangat marah. Dengan wajah marahnya ayahku telah berkata, "Sampai mati pun tak
akan aku nikahkan engkau."
Inilah kata-kata yang terdengar olehku. Setelah itu ayahku pun berlalu dari situ. Dari
kata-kata ayahku itu, hatiku telah terasa bahawa harapan aku untuk mengahwini Inchum adalah tipis.
Inchum bersandar pada sebatang pokok getah. Baldi di tangannya diletakkannya perlahan-lahan
dengan wajah yang sayu. Air mata yang mengalir di pipinya jatuh ke tanah. Ia berkata, "Manalah orang
hendak dengan Inchum ini. Kita orang miskin."
Aku pergi dekat padanya dan aku berkata, "Sudahlah Chum, kita lupakan sahaja hal ayahku
itu kerana ini soal kita. Aku tetap kasih padamu." Aku tahu hati Inchum terluka dengan kata-kata
ayahku itu. Aku cuba menenangkannya.
Setelah itu, aku balik ke rumahku seperti biasa tetapi setiap hari ayahku sentiasa memarahi
aku. Keadaan diriku pun jadi tidak tenteram lagi. Pada suatu petang aku telah pergi berjumpa dengan
Inchum untuk memberi tahu dia bahawa aku hendak ke Johor Baharu. Aku hendak pergi ke rumah abang
sepupuku, Tajaludin bin Sutan yangbekerja sebagai penggunting tiket kereta api di setesen kereta
api Johor Baharu.
Agak berat juga lidah Inchum untuk melepaskan aku pergi. Tetapi aku berkata, "Izinkanlah Uda
pergi Chum kerana di sana nanti Uda akan cari kerja. Apalah jadinya kita kelak jikalau sudah berumah
tangga Uda tidak berkerja"
Dengan suara yang terputus-putus Inchum menjawab, "Pergilah Uda. Tapi Chum amat berharap,
janganlah nanti jauh di mata jauh pula di hati. Meranalah hidup Chum kelak kerana tidak ada tempat
lain Chum hendak bergantung hidup. Hanyalah kepada Uda." Selepas itu aku pun berpisah dengannya
dan balik ke rumahku. Sesampai di rumah aku pun bersiap-siap baju dan pakaianku yang akan kubawa.
Pada hari yang aku akan bertolak pergi, Inchum telah memberikan aku sehelai kain batik dan sehelai
baju bekas tubuhnya, baju pakaian basahannya untuk menjadi tanda kasihnya padaku.
Pada bulan Mac 1929, jam 9.30 malam aku telah berada di setesen kereta api Seremban.
Aku ditemani oleh kawan karibku yang bernama Ahmad bin Mohd Zain. Dia menghantar aku menaiki
kereta api mel ke Singapura. Jam 10.00 malam aku pun bertolak dengan kereta api ke Johor Baharu.
Mula-mula tidak ada perasaan apa-apa yang ada padaku. Tetapi apabila telah melalui setesen kereta
api Gemas, bulan bertambah terang. Aku memandang ke luar tingkap kereta api ke arah cahaya bulan.
Suatu perasaan kepadaku telah datang iaitu perasaan yang amat hiba. Semakin kurenung bulan di angkasa
semakin hatiku hiba kerana pemandangan aku itu bukanlah pada bulan lagi. Aku terpandang akan wajah
kekasihku Inchum. Aku mengeluh. "Apalah akan jadi ini."
Air mata mula mengenangi kelopak mataku. Akhirnya aku menangis. Aku ke Johor Baharu cuma membawa wang
sebanyak sepuluh ringgit. Dalam aku dilambung oleh seribu perasaan itu, aku pun terlena.
Tiba-tiba kedengaran ketukan 'guard' kereta api pada tempat duduk di dalam kereta api
sambil mengatakan, "Johor, Johor." Aku terbangun dan memberikan tiket dan bersiap-siap untuk turun.
Jam 6.30 pagi kereta api mel itu berhenti di setesen Johor Baharu. Aku pun turun. Kebetulan kanda
Tajaludin berada di situ kerana dia bertugas sebelah pagi. Setelah berbual-bual, kanda Tajaludin mengajak
aku ke rumah tumpangannya di Bukit Chagar iaitu berhadapan dengan Polis Depoh masa itu. Seminggu aku
berada di rumah kanda Tajaludin, hatiku semakin sehari semakin teringat hendak balik ke kampung.
Aku selalu termenung seorang diri.
Rupa-rupanya hal aku ini telah diperhatikan oleh seorang kawan abang sepupuku yang tinggal
bersama di rumah itu. Dia berkerja sama seperti kanda Tajaludin juga. Namanya Alias. Sebulan aku di
Johor Baharu, badanku mula beransur susut. Pada suatu petang aku duduk seorang diri di serambi rumah
menghadap ke matahari masuk. Lebih kurang pukul 6.00. Warna yang menerangi langit masa itu adalah kemerah-
merahan. Sedang aku merenung cuaca yang indah itu perasaanku melayang. Terbayanglah wajah Inchum
di situ. Aku menangis teresak-esak. Tanpa sedarku, rupa-rupanya Alias ada di belakangku.
"Man!", katanya sambil memegang bahuku. "Sudahlah. Janganlah dikenang sangat, nanti
kau juga yang binasa."
Aku tunduk lalu menyapu air mataku dengan kain dan baju yang ada di tanganku. Kain
pemberian Inchum semasa aku akan bertolak dulu. Barulah aku sedar dan tahu aku kini telah
dihinggapi penyakit rindu. Rindu kepada kekasihku Inchum. Mujurlah ada kain dan baju bekas tubuh-
nya itu. Pada malamnya waktu aku akan tidur, aku letakkan kainnya di mukaku. Dengan ini terlipurlah
sedikit hatiku.
Alias pula selalu membawa aku bersiar-siar ke pekan Johor Baharu pada waktu malam.
Terutama di hari beliau menerima gaji. Semua yang dia lakukan hanyalah untuk menghiburkan hatiku.
Semoga dapat meredakan derita hidupku. Namun begitu hatiku sentiasa teringat kepada Inchum.
Pernah aku mengirimkan surat kepadanya melalui abang sepupuku Lakin Bahrin bertanyakan khabar.
Jawapan yang kuterima menyatakan, Inchum selama aku tinggalkan semacam ayam kehilangan ibu.
Hatiku menjadi sedih dan pilu bila mendengar khabarnya begitu. Namun apalah dayaku. Aku tidak
berkemampuan untuk pulang ke kampungku pada masa itu.
(Bersambung.......}

8 comments:

  1. Saya membacanya sambil membayangkan menonton filem hitam putih zaman dahulu....
    Apakah kisah Inchum sterusnya ya Kak..

    ReplyDelete
    Replies
    1. YELA FIDAH ..NAMPAKNYA KELUARGA PAK ENGKU NI KALANGAN TERPANDANG N BERADA JUGA...TIDAKLAH KEHIDUPAN DULU2 TU SESUSAH YANG KITA BAYANGKAN...MENUNTUT ILMU SGT DIPENTINGKAN N ANAK2 MENDAPAT PENDIDIKAN YG SEPATUTNYA...TQ FIDAH.

      Delete
  2. Nampak memang lama betul catatan manuskrip tu..
    Salam Ramadhan Al Mubarak

    ReplyDelete
    Replies
    1. YELAH BUNDA CATATAN LAMA WARISAN KELUARGA PAK ENGKU TU...
      SALAM RAMADAN ALMUBARAK BUNDA...TQ.

      Delete
  3. kisah yg menarik tapi yg xbest ada sambungannya..hihi...

    ReplyDelete
  4. KISAH ORG DULU YG MENARIK KAN MCM MEMBACA CATATAN SEJARAH LAMA...TQ JIE.

    ReplyDelete
  5. Menarik ni.. tak rugi ikuti.. Thanks sharing kak..

    ReplyDelete
  6. ya khir khalid catatan lama yg ada nilai sejarahnya...tq

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”