Sunday, 21 June 2015

MANUSKRIP LAMA 1930....SAYANG-SAYANG BUAH KEPAYANG DITELAN PAHIT DIBUANG SAYANG...

ASSALAMUALAIKUM...

SAMBUNGAN CORETAN PAK ENGKU


Pic google images sekadar hiasan.
CORAT-CORET PAK ENGKU
Sambungan kisah perjalanan hidup ayahku Othman Kawal.
SEPANJANG JALAN KENANGAN.
BAB 4 : BERPINDAH AKIBAT PERSELISIHAN
Selama tiga bulan aku tinggal di rumah kanda Tajaludin kerjaku adalah menjadi tukang masak di rumahnya. Pada suatu hari, pertengkaran kecil telah berlaku antara aku dengan kanda Tajaludin. Aku telah menangis. Aku siapkan kain bajuku masa itu. gelap rasanya dunia ini aku pandang. Wang di tangan tidak ada. kain baju yang aku bawa dahulu semua telah lusuh kerana dipakai oleh kanda Tajaludin. Hendak pun aku pulang berjalan kaki, tidak tergamak olehku. Beratus-ratus batu jauhnya.
Lalu aku pun keluar ke pekan Johor Baharu dengan tujuan mencari kerja. Walaupun untuk dapat makan, jadilah. Pada pukul tiga petang aku sampai di hadapan pasar. Aku terlihat seorang tua menjual ubat. Aku pun menghampirinya dan berkata, "Bapak beri saya kerja apalah."
Orang tua itu menoleh padaku lalu berkata, "Apa ada kerja di sini?"
Aku menjawab, "Tolonglah Pak. Saya tak ada keluarga."
Orang tua itu pun bertanya kepadaku, "Mana kampung kamu? Dan siapa emak dan ayah kamu?"
Aku menjawab, "Saya orang Seremban. Emak dan ayah sudah tida lagi."
Orang tua itu berkata, "Berkerja di sini adalah menyusun botol-botol ubat. Gajinya cuma 50 sen."
Aku lekas-lekas menjawab, "Tak apalah Pak. Biarlah. Asal saya dapat makan pun jadilah."
"Baiklah..", kata orang tua itu. "Nanti engkau datang ke sini pada jam 6.00 petang."
Aku pun pulang ke Bukit Chagar untuk mengambil kain bajuku. Pada petangnya aku telah berada dekat orang tua yang menjual ubat itu. Setelah jam 10.00 malam, botol-botol ubat ini aku susun ke dalam bag. Sesudah itu aku pun pulang ke rumah tumpangannya, pada masa itu di Jalan Ibrahim. Tiga bulan aku mengikuti orang tua ini, yang aku panggil Pak Mat, berjual ubat.
Pada suatu hari Pak Mat bertanya padaku, "Mahukah kamu mengikut aku balik ke Siam?"
Pak Mat mahu balik ke Siam kerana hendak mencari bahan untuk membuat ubat-ubatnya. Aku bersetuju untuk mengikutnya. Pak Mat pun pergilah ke Singapura kerana urusan surat kebenaran di Pejabat Imigresen.
Hal aku akan pergi mengikuti Pak Mat ke Siam telah dapat diketahui oleh Alias. Dia telah menulis surat kepada abangku Abdul Rahman. Abangku pada ketika itu berkerja sebagai peon di Pejabat Urusan Orang-Orang Cina di Seremban. Alias telah memberitahu abangku bahawa aku akan pergi ke Siam. Sekiranya hendak berjumpa dengan aku lekas-lekaslah datang ke Johor Baharu katanya kepada abngku.
Pada suatu pagi, sedang aku berjalan-jalan di setesen kereta api, datang seorang kawan yang tinggal serumah dengan kanda Tajaludin dulu. Dia memberitahu aku yang abang dan ibuku ada datang dari Seremban. Sekarang ada di rumah kanda Tajaludin. Mulanya aku tidak percaya. Tetapi dengan desakannya, aku pergilah ke sana. Memang betul abang dan ibuku ada di situ. Aku bersalaman dengan abang dan ibuku. Ibuku menangis. Aku bertanya pada abangku, "Bila sampai?".
Abangku menjawab, "Jam 6.30 pagi tadi."
Ibuku sambil mengesat air mata berkata, "Awak yang ingat kepada anak, awaklah datang." Aku hanya mendiamkan diri.
Selepas minum pagi, aku bersama abang dan ibuku telah keluar ke pekan Johor Baharu kerana hendak menemui Pak Mat. Setelah sampai di rumah Pak Mat, Pak Mat bertanya padaku, "Siapa ni?"
Aku bisu tak dapat berkata apa-apa. Dengan pantas abangku memperkenalkan dirinya. "Saya adalah abang kepada Othman. Dan ini adalah ibu Othman." Abangku terus berceita dengan orang tua itu dan sesekali disampuk ole ibuku. Aku duduk di luar semasa mereka sedang berunding.
Kemudian aku terdengar Pak Mat memanggil aku. "Man, masuk", katanya. Aku pun masuk ke dalam. Pak Mat berkata padaku, "Sekarang ibu dan abangmu telah datang untuk menjemput Othman balik. bapak rasa eloklah Othman balik."
"Saya tak mahu balik", jawabku.
Pak Mat memujuk aku, "Othman, bila bapak sampai ke seremban besok, bapak ambil balik Othman berkerja dengan bapak. sekarang baliklah dulu. Kasihan pada ibumu yang datang sekian jauhnya."
Akhirnya aku terpaksa menurut kehendaknya. Pak Mat pun memberikan aku dua botol ubat dan sedikit wang untuk belanja aku di dalam kereta api nanti. Setelah bersalam-salaman, aku, abang dan ibuku pergilah menemui kanda Tajaludin. Ibuku ingin ke Singapura untuk berjalan-jalan.
Jadi kami pun bertolaklah kami berempat ke Singapura dengan menaiki sebuah kereta. Kami berjalan- jalan dan melihat setesen kereta api Tanjung Pagar yang kebetulan baru sahaja dipindahkan ke situ. Lebih kurang dua jam kami di Singapura, baliklah semula ke Johor Baharu. Balik ke rumah kanda Tajaludin.
Pada jam 9.00 malam, aku bertiga sudah berada di Setesen Kereta Api, Johor Baharu. Kami akan menaiki kereta api mel dari Singapura. Jam 9.30 malam bertolaklah aku dari setesen Johor Baharu menuju ke Seremban. Sepanjang perjalanan aku tidak tidur-tidur. Berjalan ke hujung ke pangkal kereta api itu. Hatiku tersangat riang kerana akan dapat bertemu saudara maraku terutama sekali kekasihku. Kekasihku Inchum yang telah lama aku tinggalkan.
Pukul 5.30 pagi, kereta api berhenti di setesen Seremban. Aku bertiga pun turun. Kebetulan ayahku ada menunggu. Ibuku yang telah memberitahu bahawa kami akan sampai balik pada pagi itu.
"Mana dia?", tanya ayah pada ibuku. Kedengaran olehku suaranya kerana aku masih berada di belakang. Aku terus pergi mendapatkan ayahku. Aku memohon maaf padanya. Ayahku masa itu tidak berapa sihat.
Aku lihat badannya kurus.
Sesudah minum di kedai mamak dekat setesen itu, aku, ayah ibuku serta abangku, berjalan kaki pergi ke perhentian bas. jam 8.00 pagi aku sudah berada di rumahku di Bukit Jelutung. Aku pergi menemui kakakku Lembik. Kak Tehku inilah kakak yang paling aku kasihi. Selepas waktu Zohor
aku pergilah ke Kampung Belangkan untuk menemui kekasihku Inchum. Setelah aku berhadapan dengannya, dia terdiam. Matanya merenung ke lantai. Aku bertanya padanya, "Apa khabar Chum?"
Ia bangkit dari duduknya dan terus lari ke dalam. Kedengaran suara dia menangis. Dengan segera aku masuk ke dalam mendapatkannya dan berkata, "Apa sebab kamu menangis Chum?"
Ia tidak dapat menjawab. sedu sedan masih menyelubunginya lagi. emak dan ayahnya pada waktu itu belum balik dari menoreh getah lagi. Sekejap lepas itu Inchum pun berkata, "Uda, sampai hati Uda pergi
sekian lama tak mahu memberi khabar berita sedikit pun. Chum tunggulah berita dari Uda, habis hari berganti hari, namun berita tidak juga ada. Chum jatuh sakit. Oleh sakit rindukan Uda! Chum rasa tidak ada gunanya Chum hidup."
Sambungnya lagi, " Tambahan pula bila Chum diberitahu oleh abang Lakin yang Uda sentiasa
berendam air mata di Johor Baharu itu. Abang Lakin kata badan Uda bertambah kurus. Alangkah hibanya
rasa hati Chum. Tetapi kupendam juga. Apakan daya!"
Inchum berkata padaku lagi, "Sekarang Uda dah balik. Uda tak akan pergi ke mana-mana lagikan?"
"Tidak Chum", jawabku pendek. "Uda balik ke kampung keranamu Chum. Kasihku padamu tidak
dapat hendakku hilangkan".
Dari semenjak kupulang ke kampung, aku selalu memberi makan kerbauku dan kerbaunya di sepanjang sungai di belakang rumahnya. Bersama-sama Inchum dan ibunya. Sambil itu kami memancing
ikan di lombong berhampiran untuk dibuat lauk. Kasihku pada Inchum terus hidup subur.
Pada suatu masa pernah Pak Cikku memujuk ayahku supaya aku dikahwinkan dengan Inchum. Kesudahannya ayahku mengalah dan bersetuju tetapi dengan syarat. Majlis perkahwinan dibuat di rumah
Pak Cikku. Malangnya ayah Inchum berkehendakan mas kahwin dan hantaran yang tinggi. Ini tidak dipersetujui oleh ayahku. Pada masa ini pula, ayah Inchum tidak lagi berkerja menoreh getah ayahku. Dia menoreh kebun getah orang lain. Dengan penolakan itu yang menjadi mangsa ialah aku berdua..
SEPANJANG JALAN KENANGAN.

BAB 5 - KAHWIN PAKSA

Pada suatu petang, awal tahun 1930, Inchum telah lari dari rumah kerana dipukul oleh ibunya. Dia datang ke rumahku. Selama lima hari aku letakkan dia di rumah kakakku Kak Teh Lembik. Aku letakkan dia di situ kerana aku tahu ibuku tidak setuju Inchum menikah denganku. Pada hari kelima ayah Inchum telah datang mengajak Inchum pulang. Inchum tak mahu pulang. Katanya, jikalau tak dinikahkan dengan aku, dia tak mahu pulang.
Aku pujuk dia dengan berkata, "Telah lima hari kau di sini Chum. Marilah Uda hantarkan kau pulang. Soal kahwin kita selesaikan di belakang."
Pada waktu yang sama ibuku menjerit-jerit menyuruh Inchum balik. Pada hari itu, jam 8.00 malam aku bawalah dia balik ke rumahnya. Dan soal kahwin terhenti di situ.
Dua minggu kemudian, sedang aku menaiki basikal, Inchum telah menunggu aku di tepi jalan. Dia menyuruh aku berhenti dan turun. Aku pun turun dan datang dekat padanya. Aku lihat air mukanya berubah pucat. Dia membelek-belek hujung bajunya. Sekali-sekali Inchum menyapu air matanya yang telah mula minitis.
Lalu aku bertanya, "Kenapa Chum?" "Engkau dimarah atau dipukul?"
"Tidak!" jawabnya pendek. "Uda," katanya lagi "Sejak umurku 13 tahun telah sekian lamanya kasihku kutumpahkan kepada Uda. Dengan harapan dapat mendirikan rumah tangga dengan Uda. Rupa-rupanya
harapanku itu telah hancur." Inchum mengesat air matanya lagi.
"Chum akan dikahwinkan malam esok, Uda," sambungnya.
Ia tunduk lalu berjalan pergi. Lesu dan longlai kelihatannya dia. Aku bingung apabila mendengar berita ini. Tidak tahu apa yang hendakku buat.
Setelah dia berjalan beberapa langkah, Inchum datang balik kepadaku dan berkata, "Uda jangan ke mana-mana ya! Chum akan pulang balik ke rumah malam besok. Uda datang ke rumah ya?"
Ia pun berjalan meninggalkan aku dalam keadaan termangu-mangu.
Selepas dia hilang dari pandanganku, aku pun pulang ke rumah Kak Teh aku. Untuk bertanya dengan siapa Inchum akan kahwin. Dari keterangan Kak Tehku, Inchum akan dikahwinkan dengan Mat Ramin.
Seorang mata-mata yang tinggal di Setesen Polis Mambau. Aku kenal mata-mata ini kerana dia selalu datang ke rumahku. Masa mengubatkan isterinya yang rabun selepas bersalin dengan ayahku.. Mat Ramin sendiri tahu
bahawa Inchum adalah kekasihku.
Perasaan geram dan bengis di hatiku mulalah timbul. Sambil aku memikirkan elok kubunuh sahaja mata-mata ini. Kak Tehku tahu akan perasaanku masa itu.
Ia pun berkata, "Biarlah Man. Kau anak jantan, dik! Jangan buat bodoh. Perempuan banyak di dunia ni dik"
Aku pulang ke rumah. Ayah dan ibuku masih di sawah. Hanya adikku yang bongsu bernama Kalthum sahaja ada di rumah. Aku masuk ke dalam bilik untuk mengambil senapang ayahku. Senapang
laras dua. Aku buka. Aku acu-acukan dan arahkan ke luar rumah. Aku akan menunggunya masa dia lalu untuk ke rumah pengntin perempuan pada hari perkahwinannya nanti. Rumah tempat dia akan kahwin itu di Ulu Belangkan. Melalui hutan! Di rumah emak saudaraku!
Adiku terdengar senapang itu aku main-mainkan. Ia pun berkata,
"Apa buat tu Uda. Jangan buat tak tentu. Mati orang, mati awak."
Iya, setelah sejam aku berfikir, fikiranku datang.
Aku berkata di dalam hati, "Kalau aku
bunuh orang ini aku akan ditangkap dan diseksa. Kekasih aku tinggal juga. Apalah faedahnya."
Selepas itu aku pun bersalin pakaian. aku memberi tahu Kak Tehku, aku hendak ke rumah abangku di Kampung Bemban. Sampai aku di Kampung Bemban, abangku ada di rumah. Setelah duduk berbual,
aku pun memberi tahu padanya yang Inchum akan dikahwinkan. Niat hatiku hendak menuntut bela pun aku ceritakan padanya. Abangku memberi nasihat supaya aku bersabar.
"Malam esok kau datang ke mari. Kita pergi ke Port Dickson", katanya.
Lapanglah fikiranku sedikit.
Pada petang esoknya, dengan basikal seorang satu, aku berdua bertolak ke Port Dickson. Pada jam 5.00 petang, setelah minum secawan kopi di pekan Port Dickson, aku bertolak ke pantai Batu 4. Di bawah sepohon pokok ru aku sandarkan basikalku. Aku berjalan-jalan di atas pasir yang terbentang putih. Berkilat-kilat apabila disinari oleh cahaya bulan. Cuaca sangat elok pada malam itu. Aku duduk merenung bulan. Hatiku melayang ke rumah dan peristiwa yang berlaku. Air mataku mulai
menitis di pipiku.
Hatiku berkata, "Inilah penderitaan hidup jikalau tidak mempunyai harta!"
Abangku duduk jauh dariku. Dia tahu perasaanku pada masa itu. Angin malam bertiup tak henti-hent. Badanku terasa sejuk. Tanpa disedari, rupa-rupanya jam di tangan abangku telah menunjukkan pukul satu malam.
Tiba-tiba abangku memanggilku, "Man, hari sudah pukul satu. Kita balik ya!"
Abangku tahu aku dilambung oleh perasaan sedih. Suatu penanggungan yang amat berat. Dengan badan yang letih lesu, aku bangkit mendapatkan basikalku. Kami keluar ke jalan raya dan terus menaiki basikal
pulang ke rumah abangku di Kampung Bemban. Sampai ke rumah jam 4.00 pagi. Aku pun tidur. Esoknya aku balik ke di Bukit Jelutung. Aku tidak singgah di rumahku. Sebaliknya terus ke Kuala Sawah untuk
menghiburkan hatiku.
Setelah petang aku pun balik kerana hendak melihat Inchum. Betulkah dia sudah pulang balik ke rumahnya atau tidak menepati janjinya? Sebaik aku sampai di hadapan rumahnya, Inchum sudah sedia menunggu aku. Setelah aku dekat dia memberi isyarat meminta aku datang pada malam hari nanti. Aku tidak pulang ke rumah tetapi singgah di rumah Kak Tehku untuk menanti hari malam. Lepas makan aku pun turun dari rumah kakakku itu menuju ke rumah Inchum. Ada orang di serambi rumahnya. Aku terus ke belakang rumah. Aku dapati Inchum sudah duduk di pelantar menunggu aku.
Sebaik aku dekat, aku pun bertanya pada Inchum. "Di mana suamimu?"
"Dia berkerja", jawabnya.
"Siapa di serambi tu?" soalku lagi.
"Ia Pak Andak Harun", katanya.
Sekejap-sekejap kami dijenguk oleh adiknya Noriah. Noriah yang aku panggil dengan nama Ainon atau Non saja. Aku berbual-bual dengannya hingga jam 11.00 malam dengan tidak menyentuh hal perkahwinannya
yang baru sahaja berlalu satu malam. Sesudah aku memberi tahu aku hendak pulang, dia berkata,
"Tidur sinilah. Mat Ramin kata dia tak balik."
Permintaan ini tidak dapat aku tunaikan kerana dia telah menjadi isteri orang. Setelah aku menolak permintaannya itu ia pun berkata, "Uda, tunggulah tak lama lagi Chum cerai, ya?"
Bila aku mendengar kata-kata itu aku pun bertanya, "Mengapa? Apa sebabnya baru sehari kahwin dah cari hal?"
"Uda fahamlah kerana aku isteri yang ke tiga", jawabnya.
Sungguh kasihan aku mendengarnya. Aku beri nasihat padanya.
"Chum, bersabarlah kau. Nanti apa kata orang. Ia akan membabitkan nama Uda pula kerana kerana perceraian ini. Dan kalau Chum nak kahwin dengan Uda, belum tentu juga. Ini suamimu, orang berkerja. Untung-untung Chum akan senang nanti."
Dalam aku bercakap-cakap itu, kulihat air mata membasahi pipinya. Berkilat-kilat disinari cahaya bulan. Aku bertanya padanya, "Kau menangis Chum?" Ia diam.
"Sudahlah..", pujukku, "Jagalah diri baik-baik sebagai seorang isteri."
Tiba-tiba dia berkata. "Uda..", katanya, "Uda kasih tak lagi pada Chum?"
"Kasih..", kataku. "Tuhan sahajalah yang mengetahuinya. Chum, kau kucintai sejak dari kecil lagi. Namun kerana wang kita tidak dapat hidup bersama. Ayahmu berkehendakan wang. Sedangkan ayahku tidak dapat mengadakannya. Dan aku pun tidak mempunyai pekerjaan."
"Ayahku sanggup memberi seberapa yang terdapat. Tetapi ayahmu menolak."
Inchum memotong percakapanku.
"Tak apalah Uda. Seminggu lagi Chum akan bercerai. Percayalah!" katanya.
Selepas itu aku pun meminta diri untuk pulang kerana hari telah larut malam. Dia membenarkan. Aku melangkah untuk balik ke rumah Kak Tehku.
Seminggu telah berlalu. Pada suatu petang, aku berjumpa Inchum di tepi jalan. Dia balik dari kedai. Dia tersenyum-senyum.
"Sekarang Chum dah bebas", katanya.
Aku berpaling kepadanya dan berkata, "Apa?"
"Aku telah bercerai semalam dengan talak satu. Sekarang aku bebas. Tak ada siapa-siapa boleh ganggu," balasnya. "Jangan lupa malam nanti datang ke rumah, ya? sambungnya lagi.
"Baiklah..", jawabku rengkas.
Pada malam itu aku pergi bersama abang Lakin ke rumah Inchum. Setibanya aku di rumah Inchum, ayah dan ibunya menyuruh aku berdua naik. Mereka suami isteri tidak menunjukkan perubahan apa-apa. Walaupun aku tidak berkahwin dengan Inchum. Keadaan seperti biasa juga.
Ayahnya mula memecahkan kesunyian dengan berkata, "Man, bapak sekeluarga akan berpindah
nampaknya. Lebih kurang seminggu lagi."
Dengan pantas aku bertanya, "Ke mana bapak nak pergi?"
"Bapak telah meminta tanah lesen di Kuala Sawah. Di Batu Sembilan. Kalau duduk di sini pun menompang di tanah orang. Lebih baiklah tanah milik sendiri, kan?", katanya.
Aku menjawab, "Ia. Betul!" Jadi bilakah hari yang bapak akan berangkat?", sambungku lagi.
"Boleh jadi pada minggu hadapan", katanya. "Hendak menyiapkan tempat di Kuala Sawah dulu."
Pada hari yang ditetapkan kucarilah sebuah kereta lembu untuk memuatkan barang-barangnya. Pada tengah hari itu bertolaklah mereka dari Kampung Belangkan. Aku mengikutinya dari belakang. Inchum telah menjadi janda. Hasrat hatiku untuk beristerikan dia masih ada. Aku
cuba menemui ibuku untuk meminta izin padanya.
Aku berkata pada ibuku, "Bu, izinkan saya berkahwin dengan Inchum. "Biarlah dianya janda."
Ibuku menjawab dengan pendek saja, "Kalau kau kahwin juga dengan betina itu aku tak mengaku kau anak."
Apalah dayaku. Ibarat memakan buah kepayang. Ditelan mabuk dibuang sayang! Oleh kerana cita-
citaku tak kesampaian akibat halangan dari ibu yang kukasihi, aku pun berhasrat untuk meninggalkan rumahku.
Aku mahu pergi jauh membawa nasibku!
(Bersambung.... BAB 6 - TAKDIR MALANG MENIMPA LAGI

6 comments:

  1. wah satu cerita nostalgia lama-lama ni.... bestnya tapi tak sempat nak baca lah... skip dulu

    ReplyDelete
    Replies
    1. BULAN RAMADAN NI KITA MMG SUKA MENGIMBAU KEMBALI NOSTALGIA LAMA KAN...SYAHDU RASANYA....TQ NOTIE.

      Delete
  2. ni betul sayang-sayang buah kepayang ni....antara ibu dan Inchum
    Suspen lak....

    ReplyDelete
  3. YELA FIDAH...KISAHNYA PUN SGT MENARIK...BERLATARKAN SUASANA YG AMAT LAMA...RASANYA DH 100 TAHUN NI USIA MANUSKRIP NI...TQ FIDAH.

    ReplyDelete
  4. Kisah2 lama spt ini mmg mendalam klu dihayati.. bnyk maksud2 tersirat yg baik sbg nasihat dan teladan.

    ReplyDelete
  5. budak2 skrg x minat daa cerita2 mcm ni... sedih sggh..

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”