Sunday, 3 May 2015

ANDAI BERTALI BOLEH DIHERET, KALAU BERTAMPUK BOLEH DIJINJING.

ASSALAMUALAIKUM...

CORAT-CORET PAK ENGKU.
PANTUN-PANTUN PERBIDALAN PAK ENGKU
JANGAN DISISIH BUNGA SIANTAN,
BEGITU JUGA BUNGA KENANGA,
POKOKNYA RENDAH BAU SEMERBAK;
GELAGAH BOREH RAMBUTAN JANTAN,
ORANG BERBUNGA DIA BERBUNGA,
ORANG BERBUAH DIA TIDAK.

Perbidalan: Gelagah boreh rambutan jantan, orang berbunga dia berbunga, orang
berbuah dia tidak.
Maksudnya: Perihal nasib yang malang seseorang yang berbuat seperti orang lain
tetapi tidak beroleh faedah (seperti orang lain).

PERGI MENDEKUT DI WAKTU PETANG,
DI TEPI PAYA KAWASAN LEMBAH,
PERGI BERTIGA BERSAMA RAKAN;
IBARAT MELUKUT DI TEPI GANTANG,
MASUKNYA IA TIDAK MENAMBAH,
KELUAR JUGA TAK MENGURANGKAN.

Perbidalan: Melukut di tepi gantang.
Maksudnya: Perkara kecil yang tidak mendapat perhatian.

SELUAR DIBERUS AIR DIJIRUS,
DIBASUH ADIK SELUAR PENDEK;
TERLAMPAU LURUS MENJADI KURUS,
TERLAMPAU CERDIK TERKEDEK-KEDEK.

Perbidalan: Terlampau lurus, kurus, terlampau cerdik, terkedek.
Maksudnya: Hendaklah pandai-pandai berlaku atau membawa diri dalam pergaulan
(jangan terlalu jujur dan jangan terlalu cerdik).

KE BATANGKALI BERSAMA PUAN,
MEMBELI SELUAR BERSAMA TUDUNG;
PUTUS TALI PUTUS KELUAN,
PUTUS KELUAN ROMPONG HIDUNG.

Perbidalan: Putus tali putus keluan, putus keluan rompong hidung.
Maksudnya: Perhubungan persaudaraan (kekeluargaan) yang telah putus sama
sekali (kerana perselisihan).

BUAH PERIA RENCAH MASAKAN,
MAKAN BERSILA BERSAMA RAKAN;
KELUAR IA TAK MENGGANJILKAN,
MASUKNYA PULA TAK MENGGENAPKAN.

Perbidalan: Keluar tak mengganjilkan, masuk tak menggenapkan.
Maksudnya: Hal (orang) yang tidak mendapat perhatian dalam masyarakat.

JANGAN DIKAPAK SI POKOK SENTANG,
BERSAMA KEMANG DI TEPI HUTAN;
REZEKI SECUPAK TAK JADI SEGANTANG,
JIKALAU MEMANG SUDAH SURATAN.

Perbidalan: Rezeki secupak tak akan jadi segantang.
Maksudnya: Sesuatu yang tetap dan sukar diubah lagi
.
MAKAN KETUPAT TIDAK BERKUAH,
KUAH DISENDUK PENCECAH ROTI;
SUDAH DAPAT GADING BERTUAH,
TERBUANG TANDUK KERBAU MATI.

Perbidalan: Sudah dapat gading bertuah, terbuang tanduk kerbau mati.
Maksudnya: Sebab mendapat yang baru, yang lama (atau kurang sempurna) terbuang.

TERBANG HELANG KE HUJUNG DESA,
DI DAHAN KERANJI TEMPAT HINGGAPNYA;
KALAU BERBILANG DARILAH ESA,
KALAU MENGAJI ALIF MULANYA.

Perbidalan: Berbilang dari esa mengaji dari alif
Maksudnya: Membuat sesuatu itu hendaklah dimulai dar permulaannya.

APA DIPEGANG JALAN TAK LENGGANG,
BUAH KURMA DI DALAM RAGA;
KALAU DAH ENGGANG SAMA ENGGANG,
PIPIT PUN SAMA PIPIT JUGA.

Perbidalan: Yang enggang sama enggan juga, yang pipit sama pipit juga.
Maksudnya: Berkawan (berkahwin dll) elok dengan yang sama pangkat
(kedudukan, taraf dan lain-lain).

DI HUJUNG BAGAN TERDAPAT PAYA,
TERSADAI PERAHU MERATA-RATA;
KALAU ENGGAN SERIBU DAYA,
KALAU MAHU SEPATAH KATA.

Perbidalan: Enggan, seribu daya, mahu, sepatah kata.
Maksudnya: Jika tidak mahu (suka) selalunya banyaklah jawabnya tetapi kalau
mahu atau suka itu sedikit sahaja jawabnya
.
TIADA KELAPA MASAKLAH SINGGANG,
POKOK KELAPA BERBUAH JARANG;
ENGGANG APA KEPADA ENGGANG,
ORANG APA KEPADA ORANG.

Perbidalan: Enggan apa kepada enggang, orang apa kepada orang.
Maksudnya: Susah senang kita, kita merasakannya, susah senang orang
tinggallah pada orang (masing-masing menjaga sendiri).

DI TEPI KALI POHON BERLERET,
BURUNG JAMPUK DI POHON KERINJING;
ANDAI BERTALI BOLEH DIHERET,
KALAU BERTAMPUK BOLEH DIJINJING.

Perbidalan: Bertali, boleh diheret, bertampuk boleh dijinjing,
Maksudnya: Hal kejahatan yang cukup keterangan dan buktinya.

SEKIAN. 

7 comments:

  1. nice.. banyak yg saya tak pernah dengar lagi..

    ReplyDelete
  2. PERBIDALAN WARISAN LAMA TU..TQ PHA IS.

    ReplyDelete
  3. kalau pantun mmg kalah ni P, begitu sedap di dengar pantun lma ni kan, cuma kalau di suruh berpantun mmg serender tkdak idea lah,mmg hebat siapa yg pandai berpantun secara spontan ni

    ReplyDelete
  4. berpantun secara spontan mmg bakat semulajadi tu..xsenang nk dibuat...tq noor.

    ReplyDelete
  5. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  6. Kalau baca pantun2 lama..memang nampak keaslian dan nilainya yg tinggi.
    Best baca ..thanks Kak Paridah.

    ReplyDelete
  7. INDAH SGT N BERNILAI TINGGI SASTERA LAMA KITA NI...TQ FIDAH.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”