Monday, 16 March 2015

SELIRATAN CINTA BAB 18.

ASSALAMUALAIKUM.


Kancil berurna oren itu memasuki garaj yang tersedia untuknya. Majmin menjuntaikan kakinya ke jubin kasar sebaik saja pintu keretanya ternganga. Dia baru saja pulang dari pasaraya membeli beberapa keperluan seharian untuk kegunaan rumahnya.
Mak Kiah menolong memunggah barang-barang yang dibelinya dari boot kereta.
“Hati-hati Mak Kiah dengan telor tu. Jangan macam hari tu, saya bukan main jaga lagi semasa dalam kereta, sampai saja di rumah berderai satu sarang.” Mak kiah tersengih apabila Majmin mengingatkannya tentang kesilapannya memecahkan sesarang telor kerana  kainnya terkait duri pokok bunga kertas yang menyebabkan imbangan badannya menjadi tidak stabil kerana berat membawa banyak barang-barang lain termasuk se sarang telor. Apa yang ada di tangan jatuh bertaburan. Telor se sarang pecah berderai.
‘Benda nak terjadi, terjadi juga. Bukan disengajapun. ‘Kun payakun.’ firmanNya. Semuanya ada rahsia yang tersirat. Mana boleh hendak menidakkannya.’ getus hatinya.
“Lama Datin ke supermarket hari ni?”
 “Saya singgah di rumah kawan saya sekejap. Anak dia hendak kahwin. Dia minta cadangan saya bagaimana nak buat perhiasan bilik pengantin.”
“Oh patutlah lambat.” Mak Kiah bersuara perlahan. Kakinya mulai mengatur langkah penuh berhati-hati. Tentulah tidak mahu cerita dia memecahkan sesarang telor berulang kembali. Cukuplah sekali tersalah langkah. Kali yang kedua kenalah beringat.
“Kenapa Mak Kiah? Ada masalah ke sebab saya balik lambat?” wajah pembantu rumahnya itu dijengahnya dengan kilatan matanya. Menuntut penjelasan yang segera.
“Datuk bising tadi, bila dia turun Datin dan Rizal tidak ada. Hinggakan tidak menjamah sarapan. Katanya tidak berselera makan seorang.” Mak Kiah pantas menuturkan jawapan yang dinantikan. Majmin merenung kosong.
“Masa saya keluar tadi dia sedang nyenyak tidur… bila masa pula pandai hendak marah macam tu…kalau dia tiada saya tidak pernah bising pun,” wajah Mak Kiah ditenungnya. Ada kegawatan di dalam matanya yang merusuhkannya. Mudahan ianya tidak bertukar menjadi masalah yang merungsingkannya. Begitu harapannya.
“Mak Kiah bagi tau dia pasal Rizal? Pertanyaan itu dipasakan ke dalam gegendang pembantu rumahnya yang setia menadah kuping lebarnya itu.
“Tidak Datin. Bila Datuk tanya saya jawab saya tidak tahu.” Jawapan yang jujur tulus itu menyenangkan hati yang bertanya.
“Bagus.” Ada senyum puas meniti di bibir. Yang terpancar di takungan kelopak anak matanya adalah sinar kelegaan yang mendamaikan perasaan kerana rahsia anak yang menjadi amanah masih tersimpan kemas. Belum bocor.
Majmin dan Mak Kiah bersama-sama bergerak membawa semua barang-barang yang dibeli dengan banyak sebagai peruntukan kegunaan selama seminggu itu  hingga ke dapur untuk menyusunnya pula di tempat yang sepatutnya.
Datin Majmin tidak membiarkan Mak Kiah yang menyusun atur barang-barang itu bersendirian. Dia turut sama turun tangan membantu. Kerja yang berat akan menjadi ringan kerana sikap saling berkerjasama antara kedua-duanya.

                                                                   * * *.

Pelanggan-pelanggan Mewah Café memenuhi setiap meja. Kesibukan yang ketara kerana pelanggan-pelanggan yang terdiri dari kaki-tangan kerajaan dan swasta sedang turun dari pejabat masing-masing untuk menjamu selera tengahari. Kelumrahan yang berlaku kecuali pada hari Sabtu yang agak lengang dan Ahad pula perniagaannya ditutup seperti kebanyakan premis perniagaan yang lain.
Fadillah meneliti gerak kerja yang dilakukan pekerja-pekerjanya. Dua orang pelanggan yang duduk di set meja paling tepi di suatu serokan mencuri perhatiannya. Dia mengamatinya untuk memastikannya.
‘Datuk Shaari sedang tunggu siapalah agaknya? Nadia kut..’ hatinya menggumam. ‘Agh… lantaklah dia hendak tunggu siapa pun. Yang aku sibuk hendak ambil tahu hal orang lain, apa ke jadahnya,’ dengusnya mengkritik sikapnya sendiri.
Demi kelancaran perniagaannya dia perlu mengambil sikap ada mata pandang ada telinga dengar. Tanpa mengambil kisah perihal peribadi sesaorang sekiranya tidak bersangkut-paut dengan periuk nasinya.
Suatu kejadian yang amat mendatangkan masalah kepadanya apabila demonstrasi penunjuk-penunjuk perasaan di jalan raya berdekatan dengan premisnya yang berlaku pada akhir tahun 90-an kerana ketaksuban pengikut terhadap pemimpinnya yang marah metah kerana pemimpin kesayangan itu dicantas dari kedudukan utamanya. Tentang itu dia perlu ambil kisah kerana melibatkan kelancaran bisnisnya.
Dia tidak ingin momok yang menakutkan itu menjelma kembali menjadi peristiwa yang mengerikan kerana ramai orang ketika itu menjauhi premis perniagaannya. Ramai juga yang menyangka bahawa dia adalah salah seorang penyokong pemimpin yang tersingkir itu kerana membiarkan lokasi premisnya menjadi tempat pedemonstrator berdemonstrasi.
Jangankan di depan premisnya yang dijadikan tempat bahang marah sakit hati pengikut pemimpin itu mengeluarkan api marahnya malah di masjid Negara juga ada yang sanggup menjadikannya gelanggang percaturan politik.
Sungguh berani orang orang itu meledakan kemarahannya. Hanya kerana telah hilang kuasa dan ingin berkuasa kembali. Masjid adalah tempat ibadat yang suci dan penguasa yang amanah tidak sepatutnya membiarkan kemunafikan mencemari ruangnya walau seinci.
Bila ramai yang menuding kepadanya pula dia mulai gelabah. Bukan begitu sifatnya. Dia hanya seorang pemerhati politik bukan pemain politik. Hanya seorang peniaga yang ingin hidup dalam suasana aman damai dan iklim ekonominya stabil.
Dan dia boleh meraih keuntungan perniagaannya juta-juta RM lagi tahun demi tahun. Bagaimana perniagaan hendak berkembang maju sekiranya suasananya huru-hara setiap hari? Orang baik dan lemah lembut sepertinya tidak akan mengkucar-kacirkan alam yang aman dan menghuru-harakanya.
Bukankah DEB (Dasar Ekonomi Baru) yang diperkenalkan almarhum Tun Razak Perdana Menteri kedua Malaysia menyasarkan tahap 30 peratus pencapaian bumiputera di dalam perniagaan sekali gus menambah besarkan kek ekonomi yang selama ini dimonopoli non-bumiputera.
Dia ingin turut menjadi pemain yang aktif di bidang itu, kerana itu orang bisnis sepertinya perlukan kedamaian dan kententeraman suasananya untuk kelancaran kegiatannya.
The economics must sustain as was creat by the creator’ kata seorang penganalisis ekonomi yang terlupa hendak diingat namanya. Dia hanya peka kepada situasi yang menyangkut bisnisnya semata. Bukan hal-hal kecil yang remeh-temeh. 
Tangannya dibawa menyapu muka. Di hadapannya terbentang realiti. Langkahnya dibawa ke ruangan dapur. Ketika itu tukang-tukang masak sedang sibuk memasak pelbagai jenis lauk-pauk.
Dia hanya meninjau sepintas lalu. Dan kembali membawa dirinya memasuki ruang pejabatnya. Tidak lagi mahu memikirkan siapa yang akan menemani Datuk Shaari tengahari ini. Samaada Nadia atau bidadari dari kayangan.
“Mentang-mentanglah dia tengah meletup sekarang, kita ajak dia makan pun sambil lewa saja hendak datang.” Datuk Shaari meluahkan rasa tidak senang hatinya kerana kelibat seseorang yang di tunggu belum juga menjelma.
Amin kelihatan resah. Sering berdiri meninjau-ninjau persekitaran dan tumpuannya melekat di pintu masuk Mewah Café.
“Kenapa lambat sangat ni?” desisnya perlahan.
“Mula-mula tadi Sarina beritahu saya, tidak dapat datang sebab ada shooting  tapi..Datuk tahukan kecekapan saya. Akhirnya dia lantas setuju. Serta-merta.” Ujar Amin dengan lagak dan bangga diri memperihalkannya. Tersengih-sengih mempamerkan barisan giginya yang tidak sekata.
“Itu yang buat aku sayang sangat pada kau. Memang susah hendak cari pekerja yang cekap macam kau.” Amin terlambung tinggi mendengar pujian Datuk Shaari. Dia menyeringai dengan sengihnya yang lebar.
“Tetapi di dalam kecekapan kau ada juga bangangnya.” Intonasi suara Datuk Shaari ketara perubahannya. Matanya dijegilkan menujah  pandangan Amin yang tersentak dan terkapa-kapa buntu. Tidak memahami apa yang dimaksudkan Datuk Shaari, tuannya itu.
“Eh apa pulak Datuk?” panahan anak matanya yang lughu menyorot wajah tegang di hadapannya.
“Lain kali biar dia orang yang tunggu aku. Bukan aku yang tercongok menunggu dia orang datang, macam menunggu buah yang tidak gugur.” Amin terkedu menerima penangan bahasa Datuk Shaari.
Seakan jatuh terduduk setelah dilambung tinggi. Sakit sekali. Peritnya seakan terjatuh dari pohon rambutan di kampung. Dia pernah mengalaminya sekali sewaktu zaman anak-anaknya yang ligat meredah segenap rimba dan dusun, melastik burung dan memanjat pokok buah-buahan kegemarannya.
Ada ketikanya terimbau semula nostalgia tanpa dipanggilnya. Meskipun setelah lama di kota. Dan jarang-jarang pulang menjengok kampung halamannya kerana sudah tidak ada sesiapa yang menunggunya di sana.
Kecuali sebuah rumah pusaka. Ibu bapanya yang dikasihi telah berpulang kepadaNya. Sayu dan hiba hatinya tiba-tiba mengenangkan nasibnya yang sebatang kara di tengah kotaraya. Mencari rezeki dengan memberi khidmat kepada tuannya yang banyak tingkah ini. 
“Ya lah Datuk, lain kali saya akan usahakan begitu. Janganlah marah sangat Datuk. Lagi pun bukannya panas lagi bontot Datuk di kerusi …tu ha…tengok dia orang dah pun sampai.” Amin menuding jarinya ke arah dua orang gadis cantik yang sedang mengatur langkah menghalanya.
Dia melambai-lambai Sarina yang manis tersenyum itu. Wajahnya segar kembali dari kelayuannya. Umpama bunga raya yang merah menyala disiram embun pagi. Cantik berseri.
Sarina memaut tangan Anita mengatur langkah menghampiri meja Datuk Shaari. Shaari terpana. Begitu kagum menatap kecantikan asli semula jadi gadis di hadapannya. Tidak berkedip matanya merenung setiap inci wajah Anita. Hampir terlupa hendak mempersilakannya duduk.
Amin menyedarkan lamunan Datuk itu dengan menyigungnya lembut. Segera dilepaskan tangan Anita yang lama di dalam genggaman tangannya.
“Maafkan saya. Silakan duduk. Saya ni terlampau seronok dapat berjumpa dan berkenalan dengan artis pujaan ramai hinggakan terlupa apa yang hendak dibuat.” Jantungnya mula berdegup kencang kerana wajah gadis itu seakan aliran listrik yang merenjat minda sedarnya.
‘Apa yang sedangku alami ini.’ Dia bertanya kepada dirinya.
Tetapi dia tidak dapat menolak hakikat bahawa kecantikan Anita benar-benar menggoda hatinya. Begitu memukau. Pantas saja keputusan yang dibuat hatinya bahawa dia sudah jatuh cinta dengan gadis ayu ini. Hanya dengan sekali pandangan mata terus jatuh meresap ke hulu hatinya. Dan ingin memilikinya. Mesti.
“Ini sedikit hadiah dari saya untuk Sarina dan Anita.” Datuk Shaari meletakan dua bungkusan kecil di atas meja dan diambilnya satu dihulurkan kepada Sarina. Sarina tersenyum menyambutnya. Dia begitu gembira kerana menyangka pemberian itu tentu tidak ternilai harganya.
“Terima kasih Datuk.” Segera dimasukan ke dalam tas tangannya..
“Ini untuk Anita.” Anita memandang Sarina. Tidak tergamak dia hendak menerimanya. Hatinya keberatan hendak mengambilnya. Secebis senyum tawar tertera di bibir tanpa sepatah kata yang mengiringinya.
Sarina yang menyambutnya dari huluran tangan Datuk Shaari. Diletakannya di hadapan Anita. Anita tidak menjelingnya pun.
“Dia ni memang pemalu sikit Datuk.”  Anita merasa tidak senang duduk kerana dirinya sentiasa diperhatikan lelaki di hadapannya. Dia tunduk memandang meja. ‘Kenapalah Datuk ni asyik pandang aku saja. Kenapa? Aku ni ada tanduk ke…’
“Maaf kami lambat sikit Datuk. Kali pertama abang Amin telefon, memang kami tidak boleh datang sebab sedang shooting. Tiba-tiba saja pengarah naik angin dan batalkan shooting. Saya apa lagilah, terus telefon Abang Amin beritahu kami tiada halangan lagi.”
Datuk Shaari merenung Amin dengan tajam. Amin serba salah dan kelam kabut. Dia sedar kini bahawa cerita yang digembar-gemburkannya hanya dusta. Kepalsuan yang terbongkar gara-gara Sarina yang terlalu ramah bercerita itu.
Mahu saja ditutupnya mulut Sarina dengan kedua-dua telapak tangannya. ‘Kau ni menyusahkan aku je Sarina. Becok sangat mulutnya.’ Amin merenung Sarina yang terkapa-kapa tidak faham dengan bahasa matanya. 
“Oh jadi awak telefon Amin beritahu dia  balik sudah boleh datang pulak ya. Hmp..begitu ya Amin.” Ucap Datuk Shaari sinis. ‘Berani kau temberang aku ya Amin. Nanti kau.’ Wajah pucat Amin yang gelabah ditenungnya tidak berkedip.
Amin mengesat peluh dingin yang bermanik di dahinya.
Anita pula semakin resah. Dia tidak menduga sama-sekali Sarina bertekad jua membawanya bertemu dengan Datuk Shaari. Walaupun berbagai alasan yang diberikan untuk menolaknya. Sarina merayu-rayu agar permintaannya untuk menemankannya bertemu Datuk Shaari dipenuhi. “Hanya untuk kali ini saja.” Kata Sarina.
Demi menjaga hati seorang kawan sekampung, dituruti juga kehendak Sarina walaupun hatinya berat hendak melakukannya. Mungkin sebagai tanda terima kasihnya kerana Sarina yang mencari peluang perkerjaan kepadanya di bidang ini. Tanpa Sarina mungkin dia bukan siapa-siapa. Dia mesti tahu mengenang budi kawan.
“Berapa hari lagi shooting ni?” Tanya Datuk Shaari.
“Tinggal dua hari lagi di KL. Lepas tu kami berpindah sambung shooting di sebuah resort.”
“Resort, dimana tu?” Tanya Shaari tertarik. Sarina menoleh  kepada Anita. Bertanyakan tentangnya. Anita hanya angkat bahu. Dia langsung tidak kisah dengan bualan itu.
Dan dia tidak mahu terlibat sedikitpun. Dia hanya berharap peristiwa yang sedang dilaluinya ini akan cepat selesai.
“Datuk tak nak ikut kami ke sana ke. Sambil bercuti boleh tengok kami shooting.”
“Datuk ni sibuk memanjang Sarina. Maklumlah seorang ahli korporat. Banyak perkara penting yang perlu diuruskannya.” Tingkah Amin.
“Eh. Apa pulak sibuknya. Pandai-pandai saja kau ni Amin. Pasal Sarina dan Anita saya sanggup ketepikan kerja. Cakap saja resort di mana. Banyak lagi resort yang cantik di Malaysia ni, saya belum jejakan kaki.” Tukas Shaari sambil membeliakan matanya memandang Amin.
Amin kehairanan. Selalunya begitulah alasan penolakan pelawaan sesiapa saja yang dirasakannya hendak meningkatkan hubungan yang lebih jauh. Datuk Shaari sentiasa menyetujuinya. Kali ini lain pula jadinya.
Sarina teringat sesuatu. Cepat-cepat begnya dicapai dan dibuka. Isinya diselongkar. Dia mencari-cari di sebalik lambakan isi beg yang tercurah  di atas meja itu.
“Saya ada tulis dalam organizer saya ni. Hah..resort Sri Jelapang!” Mencerlang anak matanya menerima kabar itu. Dia langsung tidak menduga. Hatinya bernyanyi riang.
“Hmm…Sri Jelapang di Pulau Sioman kan. Eloklah tu… Cantik...” Datuk Shaari tersenyum dan mengenyit matanya pada Amin Amin terbangun dari kemuramannya kerana sindiran tuannya yang memedihkan hatinya itu.
Dia turut tumpang merasai kegembiraan Datuk Shaari. Terasa pula kepercayaan tuannya yang sirna kembali sediakala. Lega sungguh perasaannya.
Anita menjeling Sarina. Dia tidak berkenan langsung perbuatan Sarina mempelawa Datuk itu untuk turut bersama ke pulau peranginan itu. Memanglah dia tidak patut menegah kemahuan sesaorang untuk membelanjakan wangnya di mana saja tetapi untuk sewaktu dengannya di lokasi yang sama ia sangat menjelekan. Sungguh menjengkelkan penerimaannya.
‘Pergilah ke tempat lain kalau terasa hendak bercuti sangat. Kenapa di situ pula?’
                                                      
                                            

4 comments:

  1. HEH..HEH..TUNGGU ISNIN DEPAN SUE BEE TQ.

    ReplyDelete
  2. Alahai Datuk. Satu hari mesti terkantoi punyalah...
    Kakak nak tengok kalau dia terserempak dgn anak bujangnya baru padan muka.

    ReplyDelete
  3. jumpa lagi dgn kakzakie di sini...tq kakzakie sudi ikutinya selalu..

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”