Tuesday, 21 October 2014

SEBUAH VERSI CHINTA...BAB 40 SAMBUNGAN...

ASSALAMUALAIKUM.

Merealitikan impian.
PIC GOOGLE UNTUK HIASAN..

Subjek untuk peperiksaan STP (Sijil Tinggi Persekolahan) yang ditetapkan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk aliran sastera adalah Sastera, Bahasa Melayu, Sejarah, Ekonomi, Pengajian Am dan Geografi.
Untuk melayakannya ke universiti dia perlu lulus dengan cemerlang mendapat 3 principal dan 1 subsidiari. Maka untuk memudahkannya agar tidak menyusahkannya mengingat terlalu banyak fakta akademik dia hanya mengambil 4 subjek saja. Iaitu Bahasa Melayu 1 dan 2, Ekonomi, Geografi dan Pengajian am.
 Subjek Bahasa Melayu mengandungi Bahasa Melayu 1 dan 2. Bahasa Melayu 2 merangkumi subjek sastera. Bahasa Melayu 1 mengkhususkan tentang Karangan, Ringkasan Kefahaman, Tata Bahasa dan terjemahan English ke Bahasa Melayu.
Bahasa Melayu 2 yang menekankan pengajian sastera pula mengambil teks Hang Tuah, novel Ranjau Sepanjang Jalan dan pengkajian sejarah sastera Malaysia dan Indonesia.
Mempelajari subjek ini memang tidak pernah menjemukannya. Asyik dan ralit mengkaji watak Jeha dan Lahuma yang dilukiskan penulisnya sasterawan Shahnon Ahmad di dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan dengan sangat bersahaja namun sinis dan kritis tentang permasalahan insan-insan malang di desa yang mundur dan terpinggir.
Subjek sastera ini menenangkan jiwanya yang kacau kerana terpaksa mengingati fakta, formula, angka-angka statistik dan graf-graf yang mendatar dan menegak di dalam subjek Ekonomi dan Pengajian am. Namun terpaksa dirinya tidak mengangapnya sangat merumiti mindanya demi merealisasikan impiannya.
Tentu akan bertambah pening kepalanya jikalau menambahya dengan subjek Sejarah yang memerlukan ketepatan pada setiap fakta yang dikemukakan. Memadailah dengan sekadar 4 subjek utama yang kini sangat menuntut keupayaan mindanya.
Lagipun dengan mengambil cuma empat subjek, dia boleh menjimatkan kos yuran peperiksaan, kos yuran pembelajaran juga kos untuk membeli buku-buku dan bahan-bahan rujukan.
Disamping dapat memberi fokus pembelajaran kepada subjek yang diambilnya. Membuat sesuatu yang mudah namun memberikan hasil yang berbaloi tentulah seronok dilakukan. Mudah-mudahan apa yang diharapkannya akan menjadi kenyataan.
Dia memilih subjek yang diyakini akan lulus dengan cemerlang dan akan melayakannya ke menara gading kelak. Memang dia memberi syarat kepada kedua ibu-bapanya bahawa dia hanya akan berkahwin sekiranya dia telah habis belajar.
Kata persetujuan telah dicapai di antara kedua belah pihak setelah rundingan tidak formal dibuat. Mereka merestui keputusan Aisyah untuk menyambung pelajarannya sehingga takat mana yang mampu dicapainya.
Demi hendak bertolak ansur dengannya juga memberinya masa untuk meredakan gejolak rasanya yang gawat kerana dipaksa menuruti keputusan yang bukan kemahuannya mungkin itulah jalan penyelesaian terbaik. Dan Syamsi terpaksa merelakan tunangan yang amat dicintainya itu berjauhan jarak dan masa dengannya..
Jarak dan masa yang memisahkan mereka tidak akan melunturkan cintanya kepada gadis itu yang semakin mendalam di hatinya hari berganti hari. Dia mengambil sikap membebaskan kenari yang disayangi daripada sangkarnya untuk meneroka alam luas ke mana saja semahunya. Bukan mengurungnya.
Dan berharap kenari kesayangan akan pulang ke sangkarnya setelah jemu berterbangan dan rindu akan sangkar yang ditinggalkannya. Moga-moga begitulah hendaknya.
Namun Aisyah bukanlah kenari yang berminda burung!
“Ini ada surat regista (register) untukmu. Tadi posmen bagi ko nek di gerai. Nak bagi komu di rumah mutakdo…” Maimunah menghulurkan surat berdaftar yang diterimanya pagi tadi kepada cucunya.
“Kitakan gi kija…,” sahutnya sambil lewa.
“Sapo yang kirim tu? Dari makmu ko? Tiap bulan nek tengok mudapat surat regista…(register)”
“Bukan dari mak. Tapi dari Syamsi…,” jawabnya jujur. Tanpa berhasrat menyelindungkan kebenarannya.
“Syamsi? Sapo tu?” Sahutnya dibayangi bauran prasangka yang meragukan. Telahannya mungkin cucunya itu sudah membuat perhubungan dengan lelaki ajnabi yang tidak diketahuinya. ‘ Tak boleh dibiarkan ni…’
“Nek ni buat lupa pulak dia. Kan saya dah royak kat nek tentang tunang saya yang namanya Syamsi tu…”
“Oh…aku ingat sapolah duk selalu kirim surat regista ko mu…”
“Sapo lagi, dialah…”
“Baik juga budak hok jadi tunangmu tu ya. Rajin kirim surat regista komu. Yang nek tahu orang kirim surat guna regista ni sebab nak kirim pitih. Untungmu ada orang kirim duit komu. Aku ni takda sapa nak kirim…,” katanya bermaksud mengenenkan cucunya itu.
“Isyh nek ni tak payah dok mengarut gitu. Pitih nek tu dah bertimbun. Nanti bila saya dapat gaji saya bagi pitih ko nek macam selalu. Tak payah dok harap pitih kiriman orang ko kita.” Tersenyum Maimunah mendengarkan ungkapan kata-kata yang menyenangkan hatinya. Aisyah amat arif akan perangai neneknya sejak dia mengenali neneknya yang gemar menerima pemberian orang namun lokek membalas kembali
‘Aku ni tak pernahku harapkan Syamsi mengirimkan aku wang untuk perbelanjaan aku di sini. Dah orang nak bagi aku terima saja. Apa nak kata lagi. Perbelanjaan untuk menampung pengajianku di sini sehingga ke hari peperiksaan yang ditentukan memang banyak juga. Tidak tertampung dengan  gajiku yang kecil setakat 200 ringgit itu.
Daripada sejumlah yang sedikit itu terpaksa diketepikan pula untuk diberi kepada nenek untuk mengambil hatinya agar tidak berkerut mukanya lantaran terpaksa menumpangkan aku hidup bersamanya. Pandai-pandailah aku nak hidup. Kiriman wang daripada Syamsi setiap bulan melegakan sedikit bebanan masalah kewangan yangku tanggung ini.
Aku tidak pernah minta pun. Sudah rezekiku gamaknya untuk mendapat wang daripada bakal suamiku. Apakah itu bermakna aku reda menerimanya seikhlas hatiku? Masih berat hatiku untuk mengistiharkan Syamsi adalah calon suami terpilih untukku. Belum terbuka hatiku ini untuk mencintainya walau sekelumit rasa.
Yang sangat aku cinta, yang sangat aku rindu adalah Faizal. Kata-kata indah itu hanya miliknya lewat surat-suratku kepadanya yang tidak pernah jemuku tulis. Kudoakan kesihatannya agar pulih dari sakit jantungnya dalam setiap munajatku kala bersolat dinihari.
Dan aku tidak mendoakan apa-apa secara khusus untuk tunangku yang kini sedang memikul senjata di perbatasan negara berjuang untuk mempertahankan nusa dan bangsa demi tugas yang digalasnya sebagai perajurit. Kecuali doaku secara umum untuk kemasylahatan ibu bapaku, kaum kerabatku, jiran-jiranku, kenalan handai taulanku dan Muslimin dan Muslimat sejagat. Doaku itu telah merangkum kesemuanya ke dalamnya termasuk Syamsi seorang hamba Allah yang Muslimin.
Dan  kepada Syamsi aku hanya menulis hambar dan tawar sekadar mengucapkan terima kasih kerana wang yang dikirimnya kepadaku. Aku telah menolak cinta dan kasih sayangnya yang dihulur untukku. Tetapi huluran wang ringgitnyaku sambut demi melunaskan setiap impianku.
Nampaknya aku hanya mengeksploitasi keluhuran hati budinya yang tulus terhadapku.  Bersalahkah aku? Buruk sangatkah perilakuku itu? Siapalah aku untuk menjustifikasi diriku sendiri. Ah! Bukankah dia itu tunangan yang bakal menjadi suamiku; aku berhak juga menerima wang ringgit pemberiannya. Demikian pula yang bermain difikiranku.
Tetapi aku tidak pernah lupa untuk membalas setiap surat kirimannya kepadaku. Tahu juga aku berbudi bahasa. Orang memberi kita menerima, orang berbudi kita berbahasa. Pandai pula aku mengimplementasikan pepatah Melayu itu sesuai dengan citarasaku.
Sesekali benakku ini mengatakan sungguh malang kedua-dua lelaki yang mencintaiku ini. Seorang telah banyak berkorban segala-galanya untukku daripada semenjak aku masih gadis kecil tetapi langsung tidak mengetahui status aku kini yang sangat dicintai itu.
Seorang lagi sedang berusaha hendak merebut hatiku dengan kasih sayangnya berserta wang ringgit yang sering dikirimkannya untukku tika aku sangat memerlukannya. Sedangkan hatiku ini tidak mungkin berpaling kepadanya.
Sampai bilakah aku akan bergelut dalam situasi sebegini?’
             

8 comments:

  1. Salams Kak dah😃

    ️️Bw & membaca Karya Kak dah❤️❤️

    ReplyDelete
  2. wsalam amiiza...terima kasih banyak sudi baca karya kak...

    ReplyDelete
  3. Teringin gak zumal nak buat enovel camni...

    ReplyDelete
  4. kalau teringin mulakan cepat...tq zumal.

    ReplyDelete
  5. saya melalui situasi ini di mana saya disayangi 2 lelaki ... bkn mudah sebenarnya ... ermmm

    ReplyDelete
    Replies
    1. yer mmg susah depani situasi itu...moga qv dpt atasi mslh tu..tq QV.

      Delete
  6. asalam Parida malam ni Etuza akan terjah nak baca ..BW ni sekarang..

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”