Friday, 27 December 2013

SENYUMAN ACEH...

ASSALAMUALAIKUM...



PADA pagi Ahad 26 Disember 2004, ketika penduduk Banda Aceh sedang menjalani rutin kehidupan seharian, secara tiba-tiba mereka dikejutkan dengan gempa bumi berukuran 9 pada skala Richter. Namun bagi mereka kejadian itu adalah biasa kerana wilayah berkenaan terletak dalam lingkungan Lingkaran Api Pasifik.

Akan tetapi situasi cemas berkenaan tidak berhenti setakat itu sahaja apabila gegaran beserta ombak besar dikatakan setinggi pokok kelapa menuju ke wilayah-wilayah Aceh termasuklah ibu kotanya, Banda Aceh.
Kejadian berkenaan dikenali sebagai Tsunami, berlaku dalam sekelip mata sahaja dan mengorbankan ratusan ribu penduduk Aceh dan termasuk yang masih hilang sehingga kini. Perumpamaan padang jarak, padang terkukur adalah gambaran paling tepat ketika itu.

Suami kehilangan isteri, ibu kematian anak dan kehilangan orang tersayang serta kerugian harta benda sehingga tinggal sehelai sepinggang adalah antara trauma yang tidak boleh dilupakan oleh warga Aceh sehingga kini, walaupun sembilan tahun peristiwa itu telah berlalu.

Bak bait-bait lagu dendangan penyanyi cilik dari seberang, Tegar, "Aceh yang dahulu, bukan lagi Aceh yang sekarang." Mereka kini telah bangkit semula dalam mencari sinar cahaya kehidupan termasuklah mengisi lakaran kehidupan mereka dengan transformasi memajukan diri dalam pelbagai aspek.
Ketika pertama kali berkunjung ke negara yang menerima jolokan Serambi Mekah baru-baru ini, penulis teruja dengan kerancakan pembangunan dan industri pelancongan kota walaupun hampir keseluruhan bandar berkenaan sebelum ini mengalami kemusnahan teruk.

Mungkin inilah yang dinamakan hikmah di sebalik musibah yang melanda mereka. Seolah-olah Allah SWT mahu penduduk Aceh supaya bangkit berdikari untuk lepas bebas daripada belenggu peperangan dan kemiskinan yang dialami sebelum insiden Tsunami. Demikian istimewanya wilayah Aceh yang terletak di Kepulauan Sumatera yang mempunyai keluasan seluas 57,365.57 km per segi atau merangkumi 12.26 peratus pulau Sumatera.


Kuasa autonomi Aceh


Wilayah Aceh terletak di utara Sumatera dan merupakan wilayah yang kaya dengan hasil mineral bumi seperti minyak, emas dan gas asli. Kelebihan ini, sekali gus meletakan segala urusan pentadbiran dan ekonomi wilayah Aceh tertakluk di Jakarta, Indonesia.
Begitu pun, selepas beberapa bulan malapetaka Tsunami berlaku, satu perjanjian perdamaian telah dimeterai iaitu pada 17 Julai 2005 di mana Aceh telah diberikan kuasa autonomi untuk memerintah sendiri.

Menurut bekas pemimpin pemimpin Gerakan Aceh Merdeka (GAM), Kamarudin Abu Bakar, usaha perdamaian itu telah mengakhiri kemelut krisis yang telah berlangsung selama lebih 30 tahun itu.
"Dalam perjanjian tersebut, selain penduduk Aceh diberi kuasa memerintah, sebanyak 70 peratus hasil minyak pula telah dipulangkan kepada kami, manakala selebihnya diserahkan kepada Jakarta dan beberapa lagi syarat yang dilihat sebagai menguntungkan antara dua pihak berkenaan," jelas Kamarudin.
Tegas Timbalan Pengerusi Parti Aceh itu lagi, bencana Tsunami seolah-olah 'membersihkan' krisis berpanjangan antara wilayah Aceh dengan pemerintah Indonesia.

Memetik kata-kata bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla yang mengatakan beberapa ribu nyawa akan terkorban selepas Tsunami jika tiada jalan perdamaian diambil. Menurut Kamarudin, usaha berkenaan telah membuka minda warga Aceh untuk maju ke hadapan dengan kuasa autonomi.
Malah kata beliau, menerusi perkara itu telah membuka peluang kepada pihaknya untuk berpolitik atau mengamalkan demokrasi, sekali gus mencambah minda dalam merencanakan Aceh sebagai kawasan pelancongan dan kaya produk ekonomi.

Kamarudin mengakui bahawa sebelum Tsunami, pihaknya dan Jakarta berusaha untuk berdamai menerusi beberapa siri perjumpaan, akan tetapi usaha itu akhirnya menemui kegagalan.
"Oleh demikian, saya merasakan Tsunami merupakan hikmah untuk kami berdamai agar lebih terbuka dan maju ke hadapan. Jika tidak berlaku Tsunami, tidak mungkin kami mengecapi seperti mana berlaku pada hari ini.

"Jika sepanjang pemberontakan GAM, ramai tidak berani datang ke Aceh malah hampir setiap hari terdengar bunyi senjata dan letupan bom, tetapi menerusi hikmah Tsunami yang membersihkan permusuhan, lalu membuka wilayah ini kepada kepesatan ekonomi seperti berlaku pada hari ini," ujar beliau.

Sebelum mengakhiri temubual, Kamarudin berkata sudah tiba masanya untuk warga Aceh bangkit semula dengan meneruskan kehidupan mereka menerusi kemajuan pembangunan, pendidikan, sosial dan sebagainya.

Dengan hikmah Tsunami, beliau berharap masyarakat wilayah itu dapat membuka minda agar mencontohi kejayaan negara lain seperti Malaysia dalam kemajuan infrastruktur, pelancongan, dan kepesatan ekonomi agar mereka lebih maju walaupun sebelum ini pernah dilanda pelbagai krisis.

Peluang berniaga cerah


Zamzami Ramli, 36, ketika pertama kali ditemui terlebih dahulu mengucapkan syukur kepada Ilahi dan berterima kasih kepada Malaysia kerana diberi peluang untuk berkerja di negara ini sebagai pekerja restoran selama beberapa tahun.

Selama berada di Malaysia, Zamzami telah banyak menimba ilmu dan pengalaman, sekali gus memberi kejayaan terhadap dirinya sebagai seorang ahli perniagaan berjaya seperti mana dikecapi pada hari ini.
Raut wajahnya pada mulanya gembira tetapi kembali suram ketika ditanya apakah alasan yang memaksa pemuda itu pulang ke Aceh pada 2004.

"Saya terpaksa pulang kerana Tsunami," jawapan ringkas Zamzami.
Namun Zamzani bernasib baik kerana tiada seorang ahli keluarganya terkorban akibat bencana alam Tsunami, namun air matanya bergenang kerana terkenangkan ribuan mayat bergelimpangan di setiap kawasan Banda Aceh.

Tetapi keadaan tersebut tidak menghalang dirinya membuka perniagaan gerai roti canai sepanjang tempoh menyelamat mangsa Tsunami demi mencari rezeki demi menampung keperluan hidup beliau sekeluarga.
Berbekalkan pengalaman sebagai pekerja restoran dengan menebar roti canai dan membancuh teh tarik di Kuala Lumpur menyebabkan para sukarelawan Malaysia dan antarabangsa menjadikan gerai kecilnya sebagai lokasi pilihan.

"Mula-mula sedikit sahaja yang datang, tetapi beberapa hari kemudian pelanggan tidak putus berkunjung ke gerainya itu.

"Bermula dari saat itu, saya mula mengembangkan perniagaan daripada gerai kepada restoran, seterusnya menambah bilangan cawangan," ujar pemilik restoran Canai Mamak KL.
Boleh dikatakan hasil pendapatan Zamzani mencecah angka RM65,000 sebulan, lelaki yang masih bujang itu menambah, kejayaan demikian datang daripada Allah kerana menurunkan Tsunami yang tersirat 1001 hikmah dalam perniagaan diceburinya.

Kini Zamzani boleh bernafas lega kerana perniagaannya hampir berjaya, apa lagi berbekalkan pengalaman di Malaysia. Hakikatnya, tragedi Tsunami telah menjadi pemangkin semangat buat dirinya dan warga Aceh lain untuk membina kehidupan baru tanpa menoleh ke belakang.

Untuk mengetahui lebih lanjut jatuh dan bangkit mangsa Tsunami, anda boleh menyaksikan dan mengambil iktibar dengan menyaksikan dokumentari istimewa berjudul Aceh, Hikmah Tsunami yang bakal bersiaran pada hari Khamis, 26 Disember bermula jam 11 malam di Astro Oasis (106) dan Maya HD (135) serta siaran ulangan pada 27 Disember (11 pagi), 28 Disember (2.30 petang) dan 29 Disember (6 petang).

NOTA KECIL...

26 DISEMBER 2004 PI MENGHANTAR ANAK SULUNG KE CHINI PAHANG YANG MENERIMA JAWATAN JURULATIH PLKN DI KEM PLKN DI SITU. BALIK DARI CHINI SINGGAH DI MARAN UNTUK MAKAN MALAM. TERKEJUT SUNGGUH DENGAN PAPARAN DI TV YANG MENAYANGKAN TRAGEDI TSUNAMI YANG BERLAKU DI PANTAI BARAT SEMENANJUNG JUGA BEBERAPA NEGARA ASIA TENGGARA YANG LAIN. TERLALU BANYAK KEHILANGAN NYAWA DAN KEMUSNAHAN HARTA BENDA YANG BERLAKU. TANGISAN DAN KESEDIHATN YANG MENJADI KENANGAN PILU.

BEGITU CEPAT MASA BERLALU SUDAH GENAP 10 TAHUN  PADA DIS...2004 NANTI.
KINI CUCU PI YANG SULUNG DAH MULA SEKOLAH TAHUN SATU HARI INI....

BERSAMA KITA BERDOA SEMOGA TIADA LAGI UJIAN ALLAH YANG MENDATANGI KITA KERANA KEZALIMAN KITA MENGURUSI DIRI DAN DUNIA SEPERTI PENETAPAN HUKUM ALLAH. GENERASI X, GENERASI Y DAN GENERASI SETERUSNYA MASIH BERPELUANG MEWARISI DUNIA INDAH WARISAN NENEK MOYANG DENGAN IZIN ALLAH...SAMBIL TIDAK MELUPAKAN SEJARAHNYA YANG TERCATAT....



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20131226/ba_01/Kebangkitan-Aceh#ixzz2odwMY0kl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

10 comments:

  1. cepatnya masa berlalu .. trajedi itu memberi kesan yang mendalam kepada mangsa

    ReplyDelete
  2. betullah acik, masa pantal berlalu meninggalkan kenangan pahit manis....tq Aku Penghibur.

    ReplyDelete
  3. Suka anime hentai?
    Visit http://fanficthen.blogspot.com

    Thx

    ReplyDelete
    Replies
    1. ok...tksh sudi singgah blog kak ...mushi dama.

      Delete
  4. sedar tak sedar dah hampir 10 tahun kejadian itu berlalu.. kita doakan semoga tiada lagi tragedi buruk yang berlaku selepas ini..

    ReplyDelete
    Replies
    1. ya aiza mohon pada Allah tragedi buruk itu jgn berulang lagi....tq Mizz Aiza

      Delete
  5. sedar x sedar dah 9 tahun peristiwa tu berlaku..
    jom join segmen mudah anjuran pha is..
    http://pening-pala.blogspot.com/2013/12/segmen-azam-blog-2014.html

    ReplyDelete
  6. masa pantas meninggalkan semalam menjadi kenangan...wah anjur segmen ya...nanti kak join kalau reti...tq Pha Is.

    ReplyDelete
  7. begitu cepat masa berlalu..semoga kita mengambil iktibar dan bermuhasabah diri dgn ujian2 dari Allah SWT..

    ReplyDelete
  8. ya ...ujian Allah mesti jadikan iktibar...tq nohas.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”