Saturday, 28 December 2013

SEBUAH VERSI CHINTA....SAMBUNGAN BAB 2.

                                                     Bab 2. 
                                           Zahari yang prihatin.



“Kasihan Aisyah tu…,” desisnya perlahan antara kedengaran dengan tidak.
Anaknya yang sedang membaca akhbar hari ini terpanggung mencari suaranya. Pandangannya meleret jatuh pada wajah emaknya yang tenang, sedang menyusun buku-buku di atas rak lemari.
Sudah berkali-kali rak buku itu dikemaskannya tetapi tetap berserak dengan buku-buku yang tidak teratur dengan susunannya. Dia tidak gemar melihat begitu. Menyemakkan matanya. Anaknya itulah yang menyebabkan susunan buku itu berserak.
Zahari hanya tahu membeli dan membacanya. Mengemas dan menyusunnya elok-elok dia tidak tahu. Jikalau dia tahu sekalipun dia malas hendak melakukannya. Ibunya itulah yang terbongkok-bongkok mengemasinya.  Tidak sesekali pernah merungut kepenatan atau jemu kerana seringkali mengulangi perlakuan yang serupa.
Apabila dilihatnya rak buku itu tidak teratur susunan bukunya dia akan segera mengemaskannya. Matanya tidak selesa melihat keadaan yang berserak, bersepah menyemakkan pandangannya.
“Apa yang mak cakap sorang-sorang tu? Apa pula yang tidak kenanya dengan Aisyah?” Anak lelakinya itu bertanya. Salina meletakan tuala kecil yang digunakan buat mengelap lemari buku itu di suatu sudut. Kerja yang dilakukannya tadi sudah selesai. Dia menghampiri anaknya, melabuhkan punggung di sisi anaknya.
“Mak kasihan tengok Aisyah tu. Kakinya penuh dengan kudis. Hendak pergi ke kelinik neneknya tidak benarkan! Hendak beli ubat di kedai tidak diberi pitihnya! Mak bimbang kalau dibiarkan buruk pula kaki budak tu. Kasihan sungguh dia. Emak ayahnya sudahlah jauh. Tak patut betul cik Munah tu buat begitu pada cucunya.”
Terasa sebak dada Salina menahan sedih yang hendak menjuraikan airmatanya. Sepasang kejora yang berkaca itu dibawa menyapa pohon-pohon nyiur yang melayut tinggi melewati jendela yang terbuka.
Angin lembut menerobos masuk dan menyamankan suasana yang hening seketika.
Zahari merayapi wajah ibunya yang berjiwa luhur, ikhlas dan mudah perasa itu. Ibunya yang mudah empati dengan kesusahan dan penderitaan orang lain.
“Susah-susah sangat biar saya saja yang bawa dia ke klinik!”
“Mak sudah kecek gitu tapi dia tak sir (mahu). Katanya takut neneknya marah,” balas ibunya sambil tangannya menyisipkan anak rambutnya yang terjurai ke sebalik telinga.
“Mak tidak usah risau, saya tahulah apa saya nak buat gak.” Ujar Zahari masih tidak mahu mengalah. Di mindanya tertayang kerangka perancangan yang sedang diaturnya. Dan dia yakin akan kejayaannya.
“Mak, esok kawan saya Faizal hendak datang ke rumah kita. Mak masaklah apa yang patut…” Tajuk perbualan anak beranak itu sudah berubah. Menyimpang dari perbincangan asalnya.
“Baguslah begitu. Mak pun sudah lama tidak berjumpa dengannya. Dia pun sudah lama tidak ke sini. Apahalnya?”
“Entahlah mak. Saya pun tidak tahu mengapa. Mungkin dia sibuk mengulangkaji pelajarannya kot. Dia mengambil peperiksaan HSC ( Sijil Tinggi Persekolahan ) tahun ini. Nanti bila dia datang mak tanyalah padanya.” Zahari menjelaskan serba sedikit apa yang dia tahu tentang kawannya itu. Kawan sekerjanya.
Dia memang tahu Faizal mampu melakukan apa saja kemahuannya kerana dia anak orang berada. Wang ringgit tidak pernah wujud menjadi masalah yang membebankan kepadanya.
      “Mak dah siapkan minuman petang. Mu pergilah minum. Mak sudah minum tadi. Mak hendak sembahyang semetar (sebentar).” Salina membawa sekujur tubuhnya menuruni tangga dari ruang tengah ke ruang dapur dan melangkah pula menuju bilik air.
Sebelum bersolat tentulah dia kena berwuduk terlebih dahulu. Tetapi dia terasa hendak mandi pula. Tubuhnya yang berpeluh membelengas di merata sudut tertentu merimaskannya. Apakala disirami air tentu kerengsaan yang tidak menyelesakan itu akan hapus. Dan kesegaran tubuh akan kembali pulih. Bermaya.
Itu yang didambakannya. Lagipun sebelum bersolat mengadap Yang Maha Esa eloklah membersih dan menyucikan diri daripada segala kekotoran sebaik-baiknya.

                                              ***

Aisyah mengepit separuh daripada buku-bukunya di celah ketiak. Separuh lagi terisi di dalam beg pelastik yang agak tebal dan dijinjingnya. Dia memaksa diri mengatur langkah dengan lebih pantas agar segera cepat tiba di rumah.
Panas terik mentari yang memanggang kulit tubuhnya yang putih bersih langsung tidak dihiraukannya. Tetapi tetap dirasakan bahang yang memijarkan itu. Perut kecilnya pun sudah berkeriut dan bukan sekadar berdondang-sayang atau berkeroncong minta diisi.
Memang pun tidak diisi sejak awal pagi melainkan hanya dialas dengan segelas air sejuk dan sekeping biskut kering. Begitulah kebiasaan yang sering dilaluinya kerana neneknya mengangap sarapan pagi itu tidak penting  Dan tidak pernah menyediakannya untuk dirinya, apa lagi untuk cucunya.
Sepanjang masa di sekolah tidak ada pula duit diberikan kepada cucunya buat berbelanja di kantin. Juga tidak ada bekalan makanan yang dibawanya. Aisyah terpaksa mengikat perut menahan kelaparan yang menyiksakan dan kadang-kadang amat mengganggu penumpuannya terhadap pembelajaran sehingga masa persekolahannya tamat. Tetapi tetap terpaksa dilakukannya demi minatnya yang utuh terhadap pelajaran.
Begitulah dia sehari-harian sehingga dia mangli dengan suasana yang dilaluinya. Dia sudah tidak kisah lagi tentang itu semua. ‘Jika lapar pun tanggunglah, kalau penat pun, penatlah,’ desis hatinya.
Langkah yang diatur semakin laju. Bila sampai di rumah pastinya belum boleh terus menyuap nasi ke mulut. Aisyah perlu memasaknya terlebih dahulu. Dia akan memasak apa saja yang ada di dapur rumah neneknya.
Biasanya dia akan memasak nasi, menggoreng ikan asin, menumbuk sambal belacan dan menumis sayur kangkung, asin-asin atau betik muda. Sayur-sayur kampung itu memang tumbuh subur di sekitar dapur rumah neneknya.
Proses hendak menyediakan masakan yang serba sederhana itu pun tidak terlalu mudah. Api dapur bertungku tiga perlu dinyalakan. Kadangkala tidak ada kayu kering yang telah tersedia.
Terpaksa pula terbongkok-bongkok mengutip kayu yang tersusun di pelenggar dan membawanya naik ke rumah. Hendak menghidupkan api dari kayu pun satu hal juga. Api yang dinyalakan tidak boleh terlalu besar. Takut pula menyambar dinding rumah. Dan menyebabkan kebakaran yang akan memusnahkan segala-galanya. Perlu sangat berhati-hati sekali. Hendak menjamah sepinggan nasi pun Aisyah terpaksa basah berpeluh terlebih dahulu.
 Dia menjamu selera seadanya tanpa banyak tingkah. Tidak peduli langsung dengan kandungan nutrisi makanan yang diambilnya akan memberi impak baik atau sebaliknya terhadap tubuhnya.
Sebuah kereta berhenti di sisinya. Derunya menghambat lamunannya bercempera.
“Hai baru balik sekolah?,” sapa Zahari yang tiba-tiba muncul dari kereta yang berhenti di pinggir jalan di sisi Aisyah. Aisyah kalut pada mulanya. Bimbang juga dia kalau-kalau ada yang berniat tidak baik dan hendak mengganggunya.
Orang-orang di kampungnya selalu bercerita berkenaan budak-budak perempuan yang pulang dari sekolah sendirian sering diperangkap dan dilarikan ke bandar-bandar besar untuk dijual. Dijadikan santapan manusia tahap binatang. Bimbang sungguh hati Aisyah. Bukan begitu nasib yang diingininya. Semoga diselisihkan malaikat 44. 
“Naiklah. Abe (abang) pun hendak balik ke rumah ni. Janganlah segan. Abe pun menumpang kereta orang. Naiklah cepat.” Pelawa Zahari. Lelaki yang berada di belakang stereng kereta itu memandang sekilas wajah Aisyah. Dia tersenyum polos. Pintu kereta dingangakannya luas.
“Tidak mengapalah abang Z. bukannya jauh sangat. Sekejap lagi sampailah.”
“Jauh ko! Dekat ko! Naik…,” balas Z tanpa tolak ansur lagi. Tona suaranya tegas. Alasan Aisyah tidak mahu diterimanya. Dia menarik tangan Aisyah. Memaksanya mengisi perut kereta.
Hendak atau tidak Aisyah akur juga dengan kehendak Zahari walaupun merasa sangat malu dan serba tidak kena terhadap lelaki yang memegang stereng itu yang tidak pernah dikenalinya sebelum ini. Merasa pula gerak-gerinya sentiasa mencuri perhatian lelaki itu.
Meluncur deras kereta yang dipandu anak muda berpakaian kemas dan berkaca-mata hitam itu. Kereta Moris Minor itu lalu melepasi rumah nenek Aisyah tetapi tidak pula berhenti.
“Rumah nenek saya dah lepas tadi. Bakponya (kenapa) tak berhenti?” Aisyah bertanya kalut. Hatinya mulai risau dan menggelabah.
“Mu jangan risau sangat. Kita berdua ni bukannya nak makanmu. Muikut ja,” ujar Zahari separuh berlucu. Namun hati Aisyah tetap dilambung kerisauan yang merusuhkan. Pandangannya dilepasi melewati pohon-pohon nyiur yang tingginya tidak sekata dan rumah-rumah yang aneka bentuknya. Fikirannya bercelaru.
“Tapi kita ni nak gi mana?”
“Tak payahlahmu nak tanya, ikut ja…”Aisyah tambah keliru dengan jawapan Zahari yang membingungkannya itu.
 “Depan klinik Ravi nantimu tolong berhenti ya Faizal. Aku hendak ambil ubat sakit perut...” Zahari mengerutkan dahinya. Wajahnya menjadi herot-petot seakan menanggung kesakitan yang teramat sangat. Faizal memandangnya dengan hairan.
Dia tidak dapat menerima keadaan seorang kawannya yang tadinya sihat walafiat, segar bugar tiba-tiba boleh sakit perut serta-merta. Telatah Zahari membuatnya merasa aneh dan lucu. Dia tersenyum sumbing.
“Lepas pergi klinik nanti, kita baliklah. Tolong temankan abe yang sakit ni. Lambat sikit sampai ke rumah takkan nenekmu nak marah kot. Lagipun nenekmu itu sibuk berjualan di gerainya. Bilamu sampai di rumah sekejap lagi dia belum tentu sudah ada di rumah. Setahu abe selagi hari tidak senja nenekmu itu tidak akan menutup gerainya…”
Zahari menatap wajah Aisyah yang selamba mencuka. Dia sangat bimbang apabila dia pulang nanti ia akan disumpah-seranah neneknya kerana kelewatan yang tidak disengajakan dan bukan olahnya.
Sesuatu yang sedang berlaku kini bukan kehendaknya. Kelak akan berderailah air mata membasahi pipinya entah buat kali keberapa kerana menerima cemuhan dan nista yang menyakiti hatinya hamburan dari mulut neneknya yang garang itu.
“Masam sajamu! Senyumlah sikit.” Usik Zahari. Aisyah hanya mencebek. Tidak pun tersenyum. Kedongkolan hatinya tidak mampu menerbitkan senyuman manis di bibirnya. Hanya renungan polos meniti kewujudan keindahan alam semulajadi yang ditatapi dengan asyik.
Lebih kurang lima belas minit berkereta sampailah sudah kesemuanya ke destinasi yang ditentukan. Klinik Ravi yang dimaksudkan Zahari terletak sebangunan dan sederetan dengan kedai-kedai yang lain.
Faizal mencari-cari tempat meletak kereta yang sesuai dan disenanginya. Dan dia menemuinya sebuah petak kosong bersebelahan dengan Ford Cortina berwarna merah. Enjin keretanya segera dimatikan di situ.
 “Abang Z pergilah. Biar saya tunggu di dalam kereta ja.” Aisyah tidak berganjak daripada duduknya.
“Aisyah tidak boleh duduk seorang diri di sini. Di sini ramai orang yang tidak kita ketahui hati-budinya. Entahkan ada yang berniat jahat. Jika dibawanya lari Aisyah kami juga yang susah.Jom lah kita masuk…”
“Betul tu!” Faizal mengiyakan cakap kawannya dengan pameran wajah yang serius.
Aisyah terdesak dengan kata-kata itu. Hatinya tidak langsung berbelah-bahagi menanggapi kebenarannya. Yang bersarang difikirannya hanya kebenaran yang merungsingkan. Ia bangun perlahan-lahan meninggalkan beg dan buku-buku sekolahnya di atas kusyen kereta. Faizal segera mengunci keretanya.
“Jom lah. Nanti kalau lambat ramai pula orang lain yang mendahului.” Aisyah mengekori langkah Zahari yang berjalan beriringan dengan Faizal.
Tidak ramai yang mengunjungi klinik Ravi untuk mendapatkan rawatan kesihatan daripada doktor Ravi hari ini. Hanya kelihatan seorang lelaki tua Melayu dan dua orang  wanita Cina di ruang menunggu.

10 comments:

  1. sis..dimanakah chapter sbelum ini,,,,takut baca tgantung :)

    ReplyDelete
  2. ada kat sebuah versi chinta bab 1 n bab 1 sambungan....terima kasih sobri minat juga ikutinya...tq Sobri Yaakob.

    ReplyDelete
  3. Wah makin best ni sis. Teruskan lagi

    ReplyDelete
  4. Wah lgi liburan enaknya baca beginian nih :) untung ada versi selanjutnya yah? bab 3 nya hehe

    ReplyDelete
  5. ya sesekali baca karya sastera juga...bunda tulis seminggu sekali saja...jgn lupa ikutinya ya...tq Muhammad Luthfi.

    ReplyDelete
  6. hebat penulisan.. menarik kisah ini kak.. aiza menunggu sambungannya.. :D

    ReplyDelete
  7. yeke..tksh aiza sudi baca n ikuti kisahnya...tq Mizz Aiza.

    ReplyDelete
  8. teringat satu ketika dulu , memasak guna kayu api ...

    ReplyDelete
  9. sempat juga ya alami zaman tu ya.....tq Qaseh Wee.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”