Tuesday, 10 December 2013

ANTARA CURI TABUNG MASJID DAN JENAYAH KOLAR PUTIH.

ADAKAH sesetengah daripada kita sudah hilang perikemanusiaan dan sanggup membelasah orang yang lemah hingga menemui ajal? Adakah ini cara rejim Taliban yang kejam mempengaruhi kita dalam menangani masalah sosial?

Inilah yang barangkali bermain di fikiran kita apabila seorang remaja lelaki berusia 20 tahun maut dipukul Selasa lalu. Dia dibunuh kerana didakwa hendak mencuri duit tabung masjid di Pandan Indah, Kuala Lumpur.

Walaupun dia didakwa hendak mencuri duit tabung masjid tetapi ini memberikan imej buruk kepada Islam.
Perbuatan menghukum membabi buta bukan menunjukkan Islam tegas melarang umatnya mencuri, sebaliknya memberi gambaran salah seolah-olah Islam kejam dan tidak ada perikemanusiaan.
Seolah-olah dalam Islam tiada ruang budi bicara dan menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa oleh sesiapa sahaja atas nama membela kesucian Islam kerana mencuri duit masjid.

Sebenarnya ini tidak ada kena mengena dengan Islam walaupun dipukul hingga mati dalam kawasan masjid, tempat ibadat orang Islam. Sebaliknya mencalarkan imej Islam yang membuka luas ruang budi bicara dalam menangani kes-kes seperti ini.

Tulisan ini bukanlah membela orang yang mencuri. Tetapi pada masa sama kita kena melihat juga sudut lain terutama dari kompas kemanusiaan dan faktor yang mendorong perbuatan itu. Salah tetap salah tetapi salah juga ada tinggi dan rendahnya.

Tentulah suatu yang sangat kejam apabila seorang dipayung oleh undang-undang dibunuh sesuka hati oleh orang yang tidak ada kuasa untuk berbuat demikian.

Adakah kerana remaja ini bukan "siapa-siapa", maka dia menjadi tempat rakyat "psiko" melepaskan kemarahan terhadap sekian banyak "kecurian" yang tidak diambil tindakan sewajarnya oleh pihak tertentu?

Memang benar remaja itu bukan "siapa-siapa", dia bukan anak orang berpengaruh yang barangkali boleh digunakan untuk menyelamatkan daripada dihukum.

Mengikut laporan, mangsa adalah anak yatim piatu yang telah lama kehilangan ayah dan lima bulan lalu ibunya pula meninggal dunia. Pada usia semuda itu dia kehilangan penunjuk arah dan kasih sayang daripada ibu dan ayah. Rakan mangsa memberitahu media, mangsa kemurungan selepas ibunya meninggal dunia.

Dia mungkin tercicir dari alam persekolahan, menjadi liar apa lagi tidak ada ayah dan ibu yang boleh membendung dirinya. Orang begini berhak mendapat bantuan tidak kira sama ada moral atau material daripada pihak tertentu, bukan dihukum mati.

Dalam sistem sosial di negara ini, kita mempunyai organisasi dan agensi untuk mengeluarkan rakyat daripada belenggu masalah sosial. Tentulah tidak adil untuk mempersoalkan sejauh manakah berkesannya agensi tertentu dalam menangani krisis sosial seperti remaja ini.
Walaupun negara ini khususnya Kuala Lumpur telah menjadi bandar raya maju yang dihuni oleh masyarakat moden tetapi nampaknya masih ada yang primitif, mengunakan undang-undang rimba siapa kuat dialah berkuasa.

Memanglah mencuri itu satu kesalahan. Tetapi kesan daripada perbuatan remaja ini sekiranya dia mencuri semua duit dalam tabung masjid itu sekalipun tidaklah memberi mudarat yang besar kepada orang ramai berbanding perbuatan yang sama tetapi saiz berbeza yang dilakukan oleh sesetengah golongan kolar putih.

Perbuatan "mencuri" oleh kolar putih termasuk yang beragama Islam, bukan sahaja memberi kerosakan kepada jiwanya malah menjejaskan seluruh sistem yang mempunyai hubungan dengan rakyat. Misalnya kerajaan menyediakan banyak peruntukkan bagi membantu rakyat tetapi kerana tiris di sana sini, tidak semua sampai kepada rakyat. Itu juga "mencuri" wang yang sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat. Tetapi caranya mungkin kelihatan mulia walaupun perbuatannya hina.
Tidak lama dulu sebuah video di Youtube memaparkan sengsara seekor kucing yang dipotong kedua-dua kakinya kerana mencuri ikan. Nampaknya remaja yang dibunuh ini senasib dengan kucing kerana dihukum oleh manusia yang hilang kemanusiaannya.

pic google...hiasan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131208/re_14/Antara-curi-tabung-masjid-dan-jenayah-kolar-putih#ixzz2mqfpUTjF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

4 comments:

  1. Saya pun malu bila boss saya bangsa Cina bercakap tentang hal ni....bila perasaan menguasai fikiran, beginilah jadinya..tiba2 jd pembunuh tanpa niat..

    ReplyDelete
  2. niat asalnya mungkin hendak mengajar saja tp disebabkan marah yg terlalu terjadi apa yg xdiingini...mudah2an apa yg berlaku diambill jd iktibar kpd penguasa masjid r sesiapa saja sbb bukan hak kita menjatuhkan hukumn begitu berat....tq nohas

    ReplyDelete
  3. semoga apa yang berlaku ini menjadi pengajaran kepada kita semua agar tidak bertindak terburu-buru di dalam membuat keputusan dan menghukum sesuatu perkara.. jangan biarkan kemarahan menguasai diri..

    ReplyDelete
  4. betul tu kadang kita tak terdaya mengawal emosi kemarahan n Allah mengingatkan kita tntg kezaliman kita dgn peristiwa demi peristiwa...

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”