Saturday, 30 November 2013

BUJANG LAPOK GAMBARAN SEBENAR JALAN AMPAS...



BARANGKALI ada dalam kalangan kita menganggap segala apa yang dipertontonkan dalam filem Seniman Bujang Lapok hanyalah sebahagian daripada interpretasi seni atau sekadar fiksyen tanpa ada kena mengena dengan dunia nyata.

Namun menurut Datuk Aziz Sattar, segala apa yang dipertontonkan P. Ramlee selaku teraju utama di dalam filem berkenaan sebenarnya amat berkait rapat dengan kehidupan warga Studio Jalan Ampas.
Sebagai contoh katanya, bintang legenda itu cuba memaparkan sikap sebenar pekerja-pekerja di Jalan Ampas melalui filem berkenaan.
"Paling dikenang tentunya adegan 'Bai jaga' yang tidak sudah-sudah memerli orang. Sebenarnya sikap beliau memang begitu sampai kadang-kadang kita pun geram. Tapi apa yang dicakap semuanya betul. Sebab itu kita tak boleh marah.

"Kadang-kadang orang datang, walaupun berpakaian cantik tapi tidak beradab. Datang saja terus tanya 'P. Ramlee ada?'. Jika begitu, biasanya 'Bai Jaga' yang nama sebenarnya Pretam Singh itu akan terus bangun tanpa melayan pertanyaan itu.

"Tapi kalau yang datang itu berbudi bahasa, orang itu akan dilayan bersungguh-sungguh. Gambaran lain, adalah dalam adegan sebelum itu di mana A. Rahim tiba-tiba mendengus dan menendang kerusi. Memang itulah sikapnya yang selalu secara tiba-tiba saja 'kepala angin'," katanya.
Dalam pada ceria bercerita mengenai memori indahnya bersama kawan-kawan di Studio Jalan Ampas, nada Aziz bagaimanapun tiba-tiba berubah apabila ditanya mengenai keadaan ketika studio itu hampir ditutup.

"Saya sudah mengetahuinya lebih awal apabila seorang rakan meminta saya bersedia kerana katanya studio itu akan ditutup dalam tempoh enam bulan lagi. Apabila saya beritahu kawan-kawan lain, mereka tidak percaya tetapi saya tetap mengambil langkah berhati-hati dengan mula membayar hutang sedikit demi sedikit kepada lima kedai kopi yang berada di sekitar studio tersebut.
"Akhirnya perkara itu menjadi kenyataan. Dalam tempoh dua minggu sebelum studio itu ditutup, kami dimaklumkan tentang perkara tersebut oleh pengurus, Kwek Chip Jian. Keadaan menjadi suram dengan masing-masing bimbang mengenai masa depan sehingga sukar untuk kami melelapkan mata pada waktu malam," katanya.

Apabila tiba harinya, bermula pada pukul dua petang, para petugas di Studio Jalan Ampas daripada krew produksi sehinggalah kepada pelakon-pelakon terkenal mula mengambil gratuiti dan sebulan wang gaji sebelum pintu studio berkenaan tertutup rapat buat selama-lamanya.
"Keadaan ketika itu sukar digambarkan. Ada yang menangis, ada pula yang berpelukan. Paling kasihan melihat mereka yang banyak berhutang," katanya.

Dugaan dihadapi tidak terhenti di situ. Keesokan harinya iaitu pada Hari Raya Aidilfitri yang pertama, Jalan Boon Teck yang menjadi tempat tinggal artis dan krew studio berkenaan banjir.
"Habis segala ketupat dan kuih raya hanyut. Apabila banjir surut, kami beramai-ramai membersihkan rumah dalam keadaan bersedih. Memang saya tidak akan lupakan peristiwa itu," ujarnya.

Bagi menyara hidup kata Aziz, kebanyakan artis mula menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan atau kembali kepada pekerjaan lama mereka sebelum bergelar pelakon.
"Salleh Kamil bawa teksi, Kemat Hassan bekerja sebagai pemandu, Shariff Dol menjaga gudang bersama ayahnya sementara Omar Suwita membuka kedai gunting rambut," ujarnya

PIC GOOGLE...
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131130/re_07/Bujang-Lapok-gambaran-sebenar-Jalan-Ampas#ixzz2m5pbp5qv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

4 comments:

  1. Cerita P Ramli memang x jemu tengok...anak2 saya pun suka tengok lebih2 lgi cerita komedi.

    ReplyDelete
  2. betullah sarah...filem2 komedi p.ramli walau tengok berulang kali msh tetap ketawa....tq Sarah Talib.

    ReplyDelete
  3. penuh dengan suka duka rupa-rupanya produksi filem p ramlee di jalan ampas.. setiap filem arahan tan sri p.ramlee pasti ada mesej yang hndak disampaikan.. sangat bermanfaat untuk tontonan seisi keluarga dan ianya sentiasa segar sehingga kini..

    ReplyDelete
  4. kata P Ramlee dia akan hidup seribu tahun lagi bukankah benar sebab karya2 beliau diingati sentiasa n mesej yg dibawanya melampaui masa...tq Mizz Aiza

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”