Saturday, 19 October 2013

SELIRATAN CINTA BAB 37/38


Anita membawa dirinya di pantai. Menikmati pemandangan laut yang luas indah nan tidak bertepi. Kakinya menguis-nguis pasir. Butir-butir pasir pun berserakan dan segera disapu ombak yang singgah.
Dia menapak beberapa tapak hendak melarikan kakinya dari di sentuh air laut. Bermain-main dengan ombak yang datang dan pergi persis anak kecil. Sekejap berdiri, kemudian berlari apabila ombak menghampiri kaki.
Dia akan meninggalkan pulau ini keesokannya dan hatinya merasa amat berat sekali. Dia yakin kasih sayangnya telah jatuh di pulau indah ini. Dia sendiri tidak faham dan terkeliru apa yang sebenarnya dialaminya. Samaada dia terpesona dengan indahnya alam maya atau kepada sesaorang yang telah membawa lari hatinya membuatkannya berat hati untuk melangkah pergi. Dia sendiri tidak tahu meneka rona perasaannya.
“Hai Nita.” Sapaan itu mengejutkan lamunannya yang ralit. Dia berpaling ke arah pemunya suara. Kegembiraannya bergelombang menyambut wajah yang tersenyum di hadapannya. Menatap wajah itu dengan asyik. Seakan kamera hatinya sedang memfokuskannya untuk disimpan kemas di dalam memorinya. Terabadi selama-lamanya.
“Fareez sudah dapat berita ke?” pertanyaan yang lirih meluncur dari bibirnya yang mongel setelah terdiam seketika.
“Berita apa?” Rizal bertanyakan kepastiannya. Samaada apa yang diketahuinya ada hubung kaitnya dengan pertanyaan Anita.
“Hari ni hari terakhir shooting. Besok kami semua sudah balik ke KL.”
“Apa?” redup matanya merenung wajah Anita yang sayu memperihalkan gambaran hatinya.
“Nita sayang sangat nak tinggalkan pulau ni. I’m gonna miss you, Fareez.”
Rizal terpana. Mendengarkannya umpama salju putih yang luruh ke kalbunya yang kontang. Dingin dan nyaman. ‘Benarkah begitu? Benarkah kau akan merindukan aku sekiranya berpisah kelak? Ah! Jangan terlebih berangan Rizal. Kadangkala manis mulut berbahasa hanyalah perhiasan bibir.’ Dia melempar jauh-jauh bongkah-bongkah kristal perasaannya ke tengah laut. Terkedu.
“Nita, saya ada kejutan untuk Anita. Sebenarnya sebagai ekskutif di sini saya boleh bawa keluarga saya tinggal di sini selama tiga hari dalam setahun. Macam kerja peramugara jugalah, boleh bawa ibu dan ayah melancung percuma setahun sekali. Saya pun merasa berat hati juga hendak berpisah dengan Anita.” Anita masih tidak berupaya menangkap maksud sebenar Rizal. Direnungnya tepat mata bening itu dengan pertanyaan yang terluncur menjadi sebaris ayat.
“Jadi, apa pula kena mengenanya dengan saya?”
 “Saya rasa...saya nak panjangkan peruntukan ni untuk Nita. Setuju tak?”
“Ya ke…betul ni? Semua percuma.” Anita seakan tidak percaya bahawa tuah telah jatuh ke ribanya. Tetapi merasa serba-salah pula kerana merebut tuah yang sebenarnya milik yang lebih berhak. Bukan miliknya yang total.
“Emm…tak naklah. Kasihan ibu dan ayah Fareez. Peruntukan itu bukan ke untuk dia orang. Senang-senang saja saya hendak mengambilnya. Tak patut betul kan. Lagipun tak elok buat perangai begitu. Mengambil hak orang lain untuk menjadi milik kita.”
“Eh…tak kisahlah. Tahun lepas ibu dan ayah saya telah bercuti ke sini. Tahun depan pun boleh datang lagi.” Rizal berusaha meyakinkan Anita agar tidak menolak ura-uranya yang diuar-uarkannya..
“Betul ni...ibu ayah Fareez tidak kisah kalau saya yang ambil peluang ni?” Rizal mengangguk. Hatinya sangat berharap Anita akan mempersetujuinya.”
“Saya seorang saja?” sinar mata laksana kristal itu jatuh berlabuh kepada pemberi tawaran.
“Anita hendak ajak siapa lagi?” Rizal diserbu kerusuhan dibenaknya. Dia bimbangkan sesaorang yang akan bersama Anita adalah sesaorang yang tidak disukainya. Atau Anita akan memilih sesaorang yang membuatnya terpaksa berperang dengan gelodak cemburu. Itu yang dtakutinya. Dan tidak sanggup hendak mendepaninya.
“Pakej ni untuk dua orang kan?” Anita terdiam sejenak. Berfikir.
How about Datuk Shaari?” Anita tertawa polos bersama kejutan yang dibawanya. Rizal tersentak. Kosong terlopong jiwanya. Hampa.
“Siapa?” balas Rizal dengan penuh kekesalan. Ternyata ketara perubahan di wajahnya. Hilang langsung keceriannya. Dia terdiam. Murai yang sedang berkicau di ranting rhu sudah tidak merdu pada pendengarannya. Sangat bising menggamatkan. Membosankan.
Sepasang murai dengan bilah sayap yang hitam dan sejalur warna putih di belakangnya seakan sedang mengata-ngata kebodohannya mengajukan tawaran yang hanya akan menyiksa perasaannya selama-lamanya.
“Taklah. Saya tu main-main saja hendak melihat reaksi jejaka tampan ini. Saya tidak gila nak buat perkara bodoh begitu.” Anita terdiam sejenak. Barangkali berfikir lagi. Rizal mengurut dadanya yang bergemuruh tetapi telah normal semula.
“Walaupun dia banyak menyinggung hati saya tapi saya tetap sayangkan dia. Saya harap Fareez izinkan dia bercuti bersama-sama saya.” Pandangannya l menatap wajah Rizal, memohon persetujuan.
 Rizal terpana. Bingung. Kecalaruan fikirannya membuat dia bengang dan keliru. Dia tidak tahu bagaimana hendak menafsir sikap Anita. Seakan Anita yang berdiri di hadapannya memiliki dua keperibadian yang berbeza. Dia kembali menggelabah. Serasa hendak lari jauh meninggalkan Anita dengan sikap yang amat menjengkelkannya itu.
“Apalah awak ni cakap tidak serupa bikin, sekejap cakap benci. Sekejap cakap sayang. I’m having second thoughts about you now” Anita terpinga-pinga melihat wajah Rizal menarik muka seakan cencerot makan petang itu.
Tiba-tiba saja perubahan raut wajah itu berlaku dengan tidak semena-mena. Apa pula masalah yang telah ditimbulkannya kali ini, dia tertanya-tanya. Padanya tidak ada salahnya menuturkan perkara benar. Hanya sekadar ingin menyatakan hasrat memohon persetujuan.
“Hey, bertenang. Apa yang tak kena dengan awak ni, tiba-tiba hendak mengaruk. Tidak pasal-pasal hendak marahkan saya. Awak mesti salah faham besar ni. Awak ingat saya hendak ajak siapa? Sarinalah!” Rizal tersengih. Tersenyum manis, menentang anak mata Anita yang bersinar memandangnya.  Malu dan kesal kerana cepat membuat tuduhan menurut perasaan tanpa pertimbangan akal. Tapi bukankah akal lelaki itu adalah nisabnya sembilan per sepuluh berbanding perempuan? Namun kali ini nampaknya dia jauh ketinggalan. Mungkin sebagai lelaki dia mempunyai akli yang lebih dari segi yang lain. Rizal berfikir begitu untuk memenangkan kekalahannya.
Anita tersenyum melihat reaksi Rizal itu. Rizal membalas senyuman itu dengan lega dan lapang dada.

                                                    38.

Amin sedang memandu kereta dengan cermat. Sudah pun melepasi lebuhraya persekutuan. Kini sedang memasuki laluan ke Serdang untuk masuk ke persimpangan yang menuju lapangan terbang KLIA menghantar Datuk Shaari ke destinasi pilihannya.
“Ala...Datuk, bagilah saya ikut. Lagipun sudah lama saya tidak ke resort tu.” Amin masih berusaha memujuk agar Datuk Shaari membenarkannya mengikuti perjalanannya bersama dengan riak muka yang dibuat-buat agar dikasihani..
“Huh! Kau nak ikut buat apa? Jangan hendak kacau daun.” Suara Shaari semakin garau menyanggah. Ikutkan hatinya mahu disekeh saja kepala yang bersuara itu. ‘Tak reti bahasa agaknya. Orang kata tak boleh, tak bolehlah. Nak mengendeng-ngendeng juga.’
“Ala Datuk ni, saya ni bukannya budak-budak nak kacau daun. Saya janji saya akan main jauh-jauh, sampai masa Datuk nak balik baru saya muncul. Lagipun kan dah lama Datuk tidak ajak saya makan angin!” Semakin jemu Datuk Shaari hendak melayan ocehan Amin itu.
“Banyaklah makan angin kau tu...kembung perut nanti. Dah kembung nanti aku juga yang susah, nak kena cari bidan pulak. Sudahlah kau duduk saja di KL. Pergilah dangdut ke, atau lepak di KLCC.” Amin amat kecewa kerana ketegasan keputusan Datuk Shaari yang tidak berupaya dirubahnya.
Wajahnya monyok. Menggambarkan kehampaan hatinya. Tetapi dia sudah mencuba hingga ke saat terakhir perjalanan Datuk Shaari ke RSJ untuk turut membawanya bersama, masih juga tidak berjaya merubah pendirian Datuk Shaari yang tegar itu. Apa lagi hendak dikata. Dia hanya memandu pulang dengan perasaan yang hampa setelah menghantar Shaari memasuki balai berlepas KLIA.

                                             *    *    *

Fareez akan menjemput Datuk Shaari di jeti sebentar lagi. Resah dan rusuh juga perasaannya.
Dia telah diberi gambaran rupa Datuk Shaari yang tidak pernah dikenalnya samasekali berdasakan album foto di dalam pejabat resort. Rizal yang menunjukan album foto keluarga itu kepadanya. 
Dia menghafal rupa itu dalam skrin mindanya. Orangnya memang tampan bergaya. Masih kelihatan kacak dan berwibawa walaupun sudah dewasa dan akan menjejaki usia emas tidak lama lagi. Wajahnya mirip sekali dengan Rizal. Laksana kuah yang tumpah penuh ke nasi. Maklum sajalah anak beranak, getus hati Fareez menyimpulkannya.
“Kau jangan risau, sekali pandang saja kau akan tahu dia tu Datuk Shaari.” Ujar Rizal sambil menepuk-nepuk  bahu teman yang sedang runsing itu.
“Kau cakap senanglah…sebab dia ayah kau. Memanglah sekali pandang dah kenal. Tapi aku ni…hoi gabra sungguh, menyesal pula aku terlibat dengan kerja bodoh ni. Alangkah baiknya kalau aku balik kampung tolong ayah aku. Tiap bulan bila ayah aku dapat hasil sawit, ribu-ribu RM tentu dia hulur pada aku. Ini tidak…cari masalah pula.”
“Kau ni nak tolong aku ke tidak? Kalau tak nak tak mengapa. Biar saja aku yang tanggung seorang masalah aku ni. Tak apalah agaknya kau memang suka Anita tu jadi mak tiri aku.” Rizal segera hendak melangkah pergi meninggalkan Fareez membawa hatinya yang dongkol tetapi tangannya segera disambar temannya.
“Hoi nak ke mana pula tu. Cakap sikitpun dah merajuk macam adik kecik. Kau ni memang layak jadi adik aku tapi aku rasa kau senior dari aku. Aku tu gurau je Zal. Main-main. Nak tengok bagaimana ekspresi wajah kau yang monyok tu. Kau tahu dalam dunia ni, duit ringgit ribu-ribu, juta-juta boleh dicari dengan usaha tetapi sahabat sejati susah nak jumpa beb. Seperti kita ni. Bila kau dah anggap aku sahabat, aku bukan main gembira lagi. Bukankah sahabat itu laksana tangan dan mata. Bila mata menangis tangan akan mengesat air mata.” Rizal tersenyum mendengar ocehan yang panjang berjela temannya itu.
Tiba-tiba dia teringatkan Baharudin Ismail temannya yang pernah mengucapkan ungkapan itu kepadanya katanya sempena hari persahabatan sedunia.
“Sudahlah…kau tu kalau dah mula bercakap susah pula nak berhenti.”
“Aih… siapa sebenarnya yang mulakan tadi?” Rizal menyentuh bahu Fareez. Mulutnya dimuncungkan seolah menunjuk hala ke pintu. Kedengaran bunyi ketukan halus di situ. Fareez segera merapati pintu hendak membukanya.
“Kau Mir…” seorang petugas resort terjengol menjengok wajah.
“Kata Lisa, Encik Fareez suruh saya temankan Encik Rizal ke jeti menyambut Datuk Shaari?” Fareez menjengah wajah Rizal yang tersenyum kepadanya. ‘Bagus. Bergeliga otak kau Rizal.’
“Baiklah. Jomlah kita pergi. Fareez, kami pergi dulu ya. Kau tengoklah apa-apa yang patut. Dan bereskan semua tugasan. Supaya ayah aku puas hati dengan kerja kau dan akan beri kau banyak hadiah sebab ayah aku tu pemurah.” Rizal tersenyum simpul mendengarkan ucapan sinis temannya itu. ‘Berambuslah cepat. Banyak cakap pula dia.’
Rizal sendirian di pejabat. Dia mengangkat tangan menadah dan melafaz doa ke hazdratNya supaya apa yang direncanakan akan lancar sehingga mencapai matlamat. Tiada sebarang aral yang akan mengganggunya. Hanya Dia yang maha berkuasa penentu segala-segalanya. “Kun payakun.” Bila diserukan jadi maka jadilah. Demikian firmanNya di dalam al-quran. ‘Kun payakun’ yang sangat sebati dengan ingatannya tercatat di dalam surah yassin.       
                                             * * *
Fareez menunggu ketibaan Datuk Shaari dengan sabar. Sehingga sebuah bot kecil yang kelihatan mewah peralatannya menghampiri jeti. Dia mengimbas lelaki yang bertopi ala hero filem koboi Amerika dan berbaju T biru berkolar putih.
‘Mungkin inilah Datuk Shaari sebab rupanya saling tak tumpah dengan Rizal.’ Dia mengagak.
“Itu Datuk Shaari dah sampai,” tukas sesaorang. Dia diajak Azmir bersamanya buat membantu membawa barang-barang yang dibawa Datuk Shaari, jika ada.
 Lega hati Fareez. Bertambah mudah kerja pengecaman identiti sesaorang yang berat sungguh tugasnya itu baginya. Dibuatnya tersalah pengecaman orang tentu banyak masalah yang akan timbul kelak.

4 comments:

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”