Thursday, 26 September 2013

MAHABBAH RABIATUL ADAWIYAH....



WACANA mahabbatullah dalam dunia tasawuf dipopularkan oleh seorang wanita suci yang menjadi kekasih Allah (Waliyyullah), Rabiah al-Adawiyah atau Rabiatul Adawiyah. Tampilnya Rabiah dalam sejarah tasawuf Islam, memberikan cinta tersendiri dalam menyetarakan gender pada dataran spiritual Islam.
Bahkan dengan kemampuannya dalam menempuh perjuangan 'melawan diri sendiri' dan seterusnya tenggelam dalam 'telaga cinta Ilahi', dinilai oleh kalangan sufi telah melampau 100 darjat orang soleh daripada kalangan lelaki.

Rabiah al-Adawiyyah termasyhur kerana pengalaman spiritualnya, iaitu mahabah atau penyerahan diri total kepada Allah SWT. Pengalaman ini diperoleh bukan melalui guru tetapi daripada dirinya sendiri.

Jika sebelumnya ahli hadis dan fikh, Hasan al-Basri telah merintis kehidupan zuhud berdasarkan rasa takut dan harapan, maka Rabiah melengkapinya dengan cinta kepada Tuhan. Cintanya kepada Allah SWT telah memenuhi seluruh jiwa raganya. Tidak menyisakan tempat di hatinya untuk mencintai sesuatu selain Allah.

Bagi Rabiatul Adawiyah, dorongan mahabah berasal daripada dirinya sendiri dan juga kerana hak Allah SWT untuk dipuja dan dicintai. Puncak pertemuan mahabah antara hamba dan cinta kasih Allah SWT yang menjadi akhir keinginan Rabiah.
Rabiah yang berparas cantik, memiliki suara merdu dan pandai menari ini ditugaskan oleh tuannya sebagai penghibur. Setelah belasan tahun menjadi penghibur, suatu hari ketika menyanyi, Rabiah merasakan kedekatannya dengan Allah SWT yang seolah-olah memanggilnya.

Sejak itu, dia menolak semua perintah tuannya untuk menyanyi dan menari sehingga tuannya marah. Bahkan menyeksanya. Namun, Rabiah tetap berdoa kepada Allah.
Maka Rabiah telah dijual kepada seorang sufi yang kemudian mengajaknya bernikah. Rabiah menolaknya kerana cintanya hanya kepada Allah SWT. Setelah dibebaskan, Rabiah memutuskan untuk hidup menyendiri.

Cinta Rabiah kepada Allah SWT merupakan cinta suci, murni, dan sempurna seperti disenandungkan dalam syair ini: Aku mencintaimu dengan dua cinta; cinta kerana diriku, dan cinta kerana diri-Mu. Cinta kerana diriku adalah keadaanku yang sentiasa mengingat-Mu yang mengungkapkan tabir, sehingga Engkau kulihat. Baik untuk ini, mahupun untuk itu, pujianku bukanlah bagiku; bagi-Mulah pujian untuk semuanya. Buah hatiku, hanya Engkaulah yang kukasihi, berilah keampunan pembuat dosa yang datang ke hadrat-Mu. Engkaulah harapanku, kebahagiaanku, dan kesenanganku, hatiku enggan mencintai selain Engkau.

Rabiah mencurahkan seluruh hidupnya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kerana itu, dia memilih hidup zuhud agar bebas daripada segala rintangan dalam perjalanan menuju Tuhan. Dalam pandangannya, kenikmatan duniawi adalah hambatan menuju Tuhan.

Dia pernah memanjatkan doa: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada segala perkara yang menyibukkanku sehingga aku tidak sempat menyembah-Mu dan daripada segala rintangan yang merenggangkan hubunganku dengan-Mu."
Perkahwinan baginya adalah rintangan. Dia menerima banyak lamaran untuk bernikah tetapi menolak kesemuanya. Mengenai cinta kepada Nabi Muhammad SAW, dia berkata: "Aku cinta kepada Nabi SAW tetapi cintaku kepada Khalik (Maha Pencipta) memalingkan perhatianku daripada cinta kepada makhluk (segala ciptaan)."

Rabiah sang pencinta agung itu, mencintai Tuhan bukan kerana naluri kewanitaannya. Dia mencintai Tuhan dengan sepenuh jiwanya. Dia mencintai zat-Nya, sifat-sifat-Nya. Ia bertafakur, berzikir, juga suntuk memaknai segala sesuatu tentang Kekuasaan dan Kebesaran-Nya sehingga tidak ada ruang sedikit pun dalam dirinya untuk berfikir selain Dia.

Rabiah merelakan dirinya menjadi 'gadis abadi'. Dia tidak ingin bernikah bukan lantaran tidak ada yang meminangnya, dia memilih 'kegadisan abadi' kerana tidak tertarik dengan kenikmatan hidup duniawi.
Ketika Rabiah ditanya: "Kenapa engkau tidak bernikah, wahai Rabi'ah?" Dia menjawab: "Tidak ada tempat di hatiku kecuali untuk Kekasih Sejati."

Rabiah menyembah Tuhan dengan penuh cinta dan kerinduan, yang sulit untuk dijabarkan melalui pena, diungkapkan melalui pemahaman.
Dalam pandangan Rabiah, cinta pada galibnya adalah kehidupan spiritual, cinta berasal daripada Allah dan untuk Allah.
Terilham rasa kasih yang dalam akan nasib kaumnya, Rabiah cuba meluruskan pandangan 'ubudiyyah mereka dengan bait syair:

"Mereka menyembah-Mu hanya kerana takut akan neraka-Mu
Kemenangan dan keselamatan bagi mereka
Adalah apabila terbebas daripada (niat seperti) itu.
Bagiku, masalahnya bukanlah pada syurga atau neraka-Mu
Aku tidak rela (Kau) Tuhanku diganti sembahan yang lain."

Apa yang ingin ditegaskan Rabiah di sini adalah (bahawa) perilaku cintanya kepada Allah adalah tulus, jujur dan murni, demi dan untuk-Nya semata-mata tanpa kepentingan apa pun kecuali mengharap reda-Nya.
Rabiah tidak ingin seperti yang lain, yang meniatkan sembahannya untuk tujuan dan keinginan tertentu, terlebih menghindarkan diri daripada sesuatu.
Cinta Rabiah adalah cinta kepada zat-Nya, dan kerinduannya adalah rindu pada sifat-sifat-Nya.

Dalam hal ini Rabiah telah jauh keluar orbit, menembus dimensi ruang dan waktu, dari epos sembahan kaumnya. Dia telah memfokuskan kepada satu titik Ilah (sembahan yang satu) yang patut dicintai.
Apa yang ia sosialisasikan dengan ritual ibadah murni adalah sebuah perilaku cinta dengan penyerahan dan kepasrahan yang tulus, jauh daripada rasa takut.
Allah berfirman yang bermaksud: …Barang siapa mengharapkan perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang solih, dan janganlah mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya. (al-Kahfi: 110)
Makna sufistik ayat di atas bagi Rabiah adalah, (bahawa) hendaknya seseorang jangan menyekutukan Allah dalam ibadahnya dengan berharap syurga-Nya atau agar terselamat dari neraka-Nya.

Seorang penulis riwayat hidup Rabiah yang berasal dari Parsi mengisahkan kematiannya sebagai berikut: "Pada masa menjelang akhir hayatnya, banyak sekali orang alim duduk mengelilinginya. Rabiah meminta kepada mereka, "Bangkit dan keluarlah, berikan jalan kepada pesuruh-pesuruh Allah Yang Maha Agung!"

Maka semua orang bangkit dan keluar dan pada saat mereka menutup pintu, mereka mendengar suara Rabiah mengucapkan kalimat syahadat dan mereka mendengar sebuah suara, "… Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu, berpuas-puaslah dengan-Nya. Maka masuklah bersama golongan hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam Syurga-Ku." (al-Fajr: 27-30)

Sesudah itu, tidak terdengar lagi suara apa pun. Pada ketika orang itu masuk kembali ke bilik itu, Rabiah sudah meninggalkan dunia fana. Sesudah Rabiah menghembuskan nafas terakhir, segera para doktor yang berdiri di hadapannya meminta agar jasad wanita sufi ini segera dimandikan. Setelah jenazah wanita sufi itu dimandi dan dikafankan, mereka bersama-sama melaksanakan solat jenazah dan mengkebumikan jasad itu di tempat yang dia akan berada di sana selama-lamanya


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130924/ba_02/Mahabah-Rabiatul-Adawiyah#ixzz2frroszde
© Utusan Melayu (M) Bhd 

4 comments:

  1. zuhudnya Rabiatul Adawiyah..tak tertanding oleh kita...

    ReplyDelete
    Replies
    1. zuhud wanita jelita yg mengkesampingkan kemewahan n keindahan dunia demi cintanya yg satu...hanya cintakan Allah....tq nohas.

      Delete
  2. KAGUM DGN WANITA INI, lela ada tulis sajak NYANYIAN ADAWIYAH... wanita zuhud, abid taqwa.. masih dalam simpanan dah hampir setahun ...
    belum hantar ke mana2 krn masih dimurnikan dan dimurnikan lagi...

    ReplyDelete
    Replies
    1. lela pernah ceritakan tentang sajak NYANYIAN ADAWIYAH...sy teruja ingin mengetahui wanita artis hebat sehingga dilamar seorang khalifah tapi menolaknya sbb kisah2 Rabiatul Adawiyah xpernah sy tahu selama ini...lela yg menyebabkn sy ingin menyelidiki sedikit betapa zuhud abid wanita yang sejarahnya di zaman Rasullullah dahulu...n sy yakin sajak lela NYANYIAN ADAWIYAH itu mmg indah berkualiti tinggi, mudah diterima mana2 penerbit media.....tq Noorlaila Ghafar.

      Delete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”