Sunday, 31 May 2015

SELIRATAN CINTA BAB 31

ASSALAMUALAIKUM...



Angin malam berhembus lembut. Mengusik pipi mulusnya dan menjatuhkan anak rambut yang terjurai di pipinya. Dia menyekanya beberapa kali ke sipi telinga. Setiap kali mengusirnya ia datang lagi ke wajahnya bila angin meniupnya. Namun dia tidak pernah merasa terganggu. Dia leka, tenang dan aman meneruskan pembacaan skrip drama di bawah sinaran lampu jalan yang beraspal, diulit malam sepi dengan ditemani deburan suara ombak mencecah pantai.
Dia mencapai sehelai kertas yang melayang-layang jatuh di kakinya dibawa hembusan angin yang menderu entah dari mana. Ada bait-bait puisi indah yang tertulis di dadanya. Dia menatapinya baris demi baris.

Sebelum kita berangkat pulang

Atur langkah kita sudah jauh.
Sudah banyak keringat yang jatuh.
Sudah penat menyeka peluh.
Jauhnya perjalanan kita kemana lagi halanya.
Belum puaskah meredah ranjau sedang kaki sudah luka tertusuk duri.
Meski semangat menongkat dada
 pelbagai memeta minda lagu perjuangan mesti terus  dinyanyi.
Tetapi sebelum kita berangkat pulang laluilah lorong ini.
Lorong kehidupan roh kita.
Hidulah harum bebunga aneka warna.
 Lihatlah wajah langit sudah semakin senja.
Angkatlah kedua-dua tangan menadah doa.
Bersyukur atas nikmat dan kurnia.
Kita ini hanya hamba.              

‘Benar katamu hai penyair bahawa kita ini hanya hamba dan tidak harus terlalu leka dengan nikmat yang dianugerahkanNya. Tiba masanya kita akan berangkat pulang menemuinya.’ Anita menghurai sedikit prosa tentang puisi itu. Dia menyelak manuskrip drama yang ada di tangannya dan meletakan kertas bersajak itu ke celahnya.
           
                                                         *  *  *

Fareez sedang terbaring menonton TV. Tangannya berada di dahinya. Rizal baru saja keluar dari bilik air mengambil air sembahyang untuk menunaikan solat isyak yang terlambat hendak dilaksanakannya. Cuma kali ini dia tersasar dari kebiasaannya. Barangkali badannya menanggung keletihan yang amat sangat kerana melakukan berbagai tugasan di resort.
“Kau sudah solat Fareez?” teman itu bertanya seakan hendak mengingatkan.
“Sudah! Di surau resort ni. Jangan kau tak tahu, aku yang jadi imam tau.”
“Baguslah tu. Mudah-mudahan kau akan terus menjadi imam di surau tu setelah latihan percubaan kau sebagai pengurus di sini tamat dengan jayanya.”
“Insyaallah.” Balas Fareez dengan sengihnya. Dia terpaksa berfikir banyak kali dahulu sebelum ingin memutuskan pekerjaan ini sebagai kerjaya tetapnya.
Hatinya berat hendak kembali ke kampung menguruskan kebun sawit dan lembu ternak ayahnya kerana ayahnya juga adalah warga emas yang punya upaya yang sedikit. Dan dia sebagai anak bujang yang bongsu mesti tahu membantu. Tidak boleh memandang dan berlepas tangan sahaja. Dia mesti ada rasa tanggung-jawab sebagai seorang anak.
“Kau ni lewat sangat hendak solat isyak kenapa? Tadi aku ajak ke surau tak mahu, penat konon.”
“Memang aku penat sungguh. Apa hendak dikata lagi. Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang, Dia tidak memaksa hambanya semahuNya saja. Masa solat untuk isyak itu panjang waktunya. Jadi bolehlah berehat sekejap kalau keletihan. Dahlah aku masuk solat dulu. Asyik melayan kau tidak selesai solat aku ni.”
“Pergilah…jangan lama sangat berwirid tu aku ada hal hendak dibincang dengan kau.” Fareez menatap siaran TV saluran 50 yang memaparkan tentang pembinaan struktur mega diseluruh dunia.
Dia kagum sekali dengan keupayaan manusia ciptaanNya yang bertubuh kerdil tetapi punya iltizam dan ide hebat untuk mendirikan bangunan tinggi sesayup mata memandang.
Jikalau Rizal yang membuat pilihan saluran TV dia hanya akan tekan remot untuk saluran 51 yang memaparkan keindahan flora dan fauna di alam maya yang indah di serata pelosok dunia. Bersesuaian sekali dengan jiwanya yang lembut dan mencintai keindahan alam sekitar.
Berbeza pula dengan Fareez yang mengambil Kejuruteraan Alam Sekitar sebagai ijazah pengajiannya tetapi lebih meminati senibina. Tetapi menurutnya senibina apa sekalipun tetap ada kait-mengaitnya dengan alam sekitar. Tidak boleh lari jauh.
“Hai asyik-mahsyuk nampak. Sampai tidak sedar aku datang. Aku dah siap solat, tadi kata ada sesuatu yang penting hendak dibincangkan.” Fareez memanggung kepalanya mengadap Rizal yang tercokoh di sisinya. Merasa tidak selesa pula berbuat begitu kerana urat lehernya seakan terseliuh dan lenguh. Akhirnya dia duduk bersila mengadap wajah temannya.
“Aku ada idea ni Rizal. Kau nak dengar tak?”
Sepasang matanya berkaca merenung temannya. Rizal tidak sabar lagi hendak mengetahui buah fikiran temannya itu. mungkin boleh diterimanya dan diadaptasikan di dalam kehidupan rencam yang dilakuinya kini.
“Cakaplah… apa dia. Aku dengar ni.”
“ Kenapa kau tidak tanya saja kepada Anita.” Rizal melongo. Tidak disangkanya ide bernas sebegitu yang diberikan temannya itu.
“Ah itu bukan urusan aku! Buat menyakitkan hati aku lagi adalah…” Rizal menolak usulan yang tidak diketahui dengan jelas maksud penganjurnya.
 “Maksud aku bukanlah aku hendak kau pergi serang Anita. Cuba jalinkan hubungan yang baik dengan dia. Kemudian bolehlah bertanya atau korek rahsia.” Fareez mereka strategi yang bermain-main di komputer mindanya dan mengharapkan Rizal menyetujuinya. Tidak salahnya mencuba sesuatu ide. Belum cuba tentulah belum tahu hasilnya. Demikian maksud pandangannya.
“Kenapa kau saja yang tidak buat. Aku pula yang kena.” Sanggahan itu melengkapi maksud penolakannya.
“Kalau boleh memang aku hendak buat. Aku ni memang suka tolong kawan. Apa lagi kawan aku yang bermasalah berat macam kau ni. Mentelah pula aku sekarang ni berkerja di bawah kau. Tapi kau tahu sajalah, dia nampak macam anti sangat dengan aku sejak kali pertama dia jumpa aku. Aku rasa dia biasa saja dengan kau. Kau pun memang ada bakat semula jadi untuk memujuk dan menenangkan hati orang. Tengoklah macam mana kau boleh pujuk aku datang ke seberang laut ni. Tak kena gaya PRnya, tidak ada siapa yang sanggup bertunggu-tangga di pulau ni. Baiklah aku balik kampung relek dan tidur baring saja di rumah.” Rizal terkedu. Sejenak berfikir.
“Hendak mula macam mana?” Rizal terpengaruh juga dengan apa yang dikatakan Fareez. Dia bertanyakan pendapat temannya itu kerana baginya hendak memulakan sesuatu tindakan itu memang sangat sukar.
 Tiba-tiba suara Sarina yang gemersik manja itu kedengaran memanggil Rizal berkali-kali.
“Alamak…Sarinalah…Aku pergi menyorok dulu, kau tanya apa dia hendak.”
Rizal hilang dari sebalik pintu yang dibuka di bahagian belakang.
Fareez membuka pintu hadapan.
“Hai Sarina...” sapa Fareez dengan se garis senyuman manis terlorek di bibir.
“Tak nak ajak saya masuk ke?” Fareez menggelabah. Reputasi dan maruah diri perlu dijaga. Dia tidak mahu mencemarkannya. Apa lagi sekarang ini dia sedang membawa nama Rizal sebagai pengurus RSJ ke mana-mana. Sebarang tindakan yang silap hanya akan menyusahkannya. Bukan itu yang dimahukannya berlaku.
“Maaflah. Sekarang ni saya seorang diri saja. Tidak manis kalau saya berdua-duaan dengan gadis cantik seperti Sarina.” Dia lunak beralasan wajar agar tidak ketara dia tidak menyenangi perlakuan sebegitu. Imannya memperteguhkan jati diri lelaki muslim yang solih.
“Ala Rizal bukankah bos dan pemilik pulau ni?”
“Iya...ya...ya memang gitu. Tapi orang-orang di pulau ni lain pesen sikit. Maklumlah pulau ni kecik je, orang-orangnya pun tidak ramai jadi gerak-geri penduduknya sentiasa diperhati. Saya tidak berani melanggar adat budaya orang sini yang tidak membenarkan gadis bersama bukan muhrimnya di bilik. Beginilah jom kita pergi ambil angin di tepi pantai.”
“Tepi pantai? Tak naklah..Anita ada di sana. Dia sedang baca dan hafal skrip. Lagi pun kalau dia tengok kita berdua-duaan nanti dia cemburu. Maklumlah buah hati dia kan jauh…” Sarina langsung tidak berminat dengan pelawaan Fareez itu.
“Baiklah saya bawa Sarina ke tempat lain. Sarina tunggu di luar sekejap, saya hendak salin pakaian.” Fareez menutup pintu dan membiarkan Sarina duduk di serambi luar. Rizal muncul dari sebalik pintu belakang.
“Aku keluar sekejap ya.” Beritahunya kepada temannya yang asyik memperhatikannya menukar pakaian. Dia termangu memikirkan samaada akan menemui Anita di pantai. Sebagai mengikuti ide temannya itu. Sekarang dia sudah tahu lokasi di mana Anita berada melalui perbualan Fareez dan Sarina sebentar lalu.

                                                                               ***

            Malam beransur lewat. Matanya mulai terasa mengantuk dan berat hendak diangkat kelopaknya. Dia mengemas skrip drama yang dibawanya dan bangun dari duduknya yang lama di atas bangku batu.. Mengibas-ngibas ponggongnya dan membetulkan pakaian yang melekat di tubuhnya.
Dari jauh dia melihat sesaorang berjalan ke arahnya. Barangkali Johan? Fikirnya. Dia ingin memastikannya dan menunggu sehingga ‘Johan’ yang disangkanya itu mendekatinya.
            “Apa yang Encik Fareez buat di sini?” sapanya dengan tona yang berbaur kehairanan. Ternyata anggapan Anita meleset. Dia terkejut sedikit dengan kehadiran Rizal di situ.
            “Sepatutnya saya yang tanyakan Cik Anita soalan tu.” Anita tersenyum. Manis dan ayu sekali pada pandangan Rizal. ‘Tidaklah sesombong mana seperti yang digambarkan Sarina dan Fareez. Mahu juga dia bertegur sapa denganku.’ Desis hatinya menyimpulkan kenyataan.
            “Saya sedang hafal skrip ni…supaya tidaklah pengarahnya terjerit-jerit...cut..cut…bila saya terlupa dialog. Suasana yang aman dan tenang begitu mendamaikan sehingga skrip yang dihafal mudah melekat di kepala. ” Ujarnya lirih memberitahu lelaki yang berada di hadapannya. Sehinggakan Rizal terkedu menghayati setiap patah-patah katanya.
            “Begitu. Susah juga hendak berlakon ya. Terpaksa menghafal skrip lagi. Tapi rasanya dah lewat ni, tidak elok malam hari seorang diri di sini. Bimbang juga kan berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap orang cantik macam cik Anita ni.”
            “Saya tahu. Terima kasih kerana mengingatkan. Saya pun sudah hendak balik ni. Tapi Encik Fareez buat apa di sini? Malam, tidak ada tugasan ke?” Wajah polos lelaki yang hanya dikenalinya sambil lewa itu ditatapinya.
            “Nak ikutkan kerja memang tidak pernah habis. Saja-saja. Keluar sekejap dari tempat kerja, jalan-jalan sambil sedut udara malam yang segar. Cik Anita sudah makan?” Rizal tidak tahu lagi apa yang hendak disebutkannya. Hanya pertanyaan klise itu yang terpacul dari bibirnya.
            “Sudah. Tidak usahlah bercik-cik dengan saya. Panggil Anita saja. Tidak perlu terlalu formal dengan tetamu biasa macam saya ni.”
‘Baiknya budi bahasa buah hati ayah aku ini. Mungkin sebab itulah ayah aku mabuk kepayang terhadapnya kut.’ Rizal memberi nilai yang sepadan dengan keperibadian Anita.
Namun prasangka negatifnya terhadap gadis itu masih membulat padu. Belum lagi dapat menerima bahawa gadis di hadapannya itu seorang yang baik kerana menurutnya hendak menilai seseorang tidak hanya dengan pandangan pertama. Perlu ditelusuri hati budinya dalam jangka masa yang lama.
Anita ini tentu tidak sama nilai baik budinya dengan Fareez, hatinya berkata begitu. Sekali pandang saja dia sudah kenal Fareez seorang yang inosen dan berbudi luhur, bagai ‘sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya.’
            “Kalau begitu sama juga dengan saya. Panggil Fareez saja. Saya pun bukan siapa-siapa. Hanya perkerja biasa di sini. Oh ya. Terlupa pulak. Tadi saya ada terima panggilan dari Datuk Shaari. Dia suruh Anita telefon dia balik. Segera katanya.” Anita panik. Merenung sepasang mata bundar yang layu di hadapannya dengan tajam. Dia tidak menggemari berita yang sampai kepadanya itu.
Wajahnya murung serta-merta. Dia tunduk. Dadanya turun naik berombak-ombak Tiada lagi ketenangan yang dirasakan. Hilang terbang berpuing-puing bersama pesanan yang disampaikan Rizal kepadanya.
            “Masyaallah. Oh tidak. Dia buat panggilan ke sini? Ada dia kata dia hendak datang ke sini?” Rizal terkeliru dengan kenyataan yang terbentang di hadapan matanya. Dia tidak tahu hendak menafsirnya bagaimana. Dia tidak melihat kegembiraan tertera di wajah Anita sepertimana seseorang menerima kabar dari orang yang tersayang.
            “Tidak pulak. Kenapa dia kata dia hendak datang ke sini ke?” Pertanyaan Rizal tambah mengeruhkan urna rona wajahnya.
            “Ya Allah…minta-mintalah dia jangan datang ke sini. Hilanglah mood saya nanti.” Bertambah-tambah besar bentuk pertanyaan yang menggeluti kotak fikirnya. Rizal  kehairanan.
            “Kenapa pula mesti hilang mood? Bukankah dia itu buah hati Anita?” Anita semakin bengang dan terpana. Ikutkan hatinya mahu ditonyoh saja mulut celupar yang berkata begitu kepadanya. Tapi hatinya segera meredap api marahnya yang hendak membara bila perasaannya semakin terkawal.
Masakan hendak ditonyohnya mulut Rizal yang tidak tahu menahu apa-apa perkara yang disebutnya itu. Dia hanya seorang pembawa pesanan yang menjalankan amanah yang diberi kepadanya. Kemarahannya yang meluap-luap itu tidak tahu kepada siapa hendak dilepaskan. Dia mendengus geram. Beristigfar berkali-kali buat menyabarkan hati gundahnya.
            “Ini mesti mulut si Sarina yang ‘macam murai tercabut ekor’ beritahu Fareezkan. Kalau macam ni saya sudah nekad, this is really gonna be my last drama.” Rizal pula yang kebingungan.
Terkulat-kulat matanya merenungi anak mata yang bening berkaca memohon penjelasan yang melegakan. ‘Apa pula masalahnya ni?’ Dia meneka-neka jawapannya. Hatinya direnggut sayu melihatkan kemurungan yang menggeluti Anita.
            “Saya langsung tidak faham.” Rizal terkesima. Anak mata Anita yang bersinar direnungnya polos. Bertambah-tambah keliru fikirannya.
            “Fareez…Datuk Shaari tu bukan buah hati saya. Bukan! Bukan! Bukan! Saya langsung tidak kenal dia secara peribadi. Tidak ada kena mengena dan sangkut-paut sikit pun. Dia yang terkejar-kejarkan saya. Semuanya gara-gara Sarina.” Anita berpaling dari tatapan mata Rizal.
Dia mengadap laut yang diliputi malam yang kelam. Namun di kejauhan ada cahaya yang bersinar di tengah samudera. Seolahnya dia mahu ombak laut yang sentiasa berulang-alik mencecah pantai membawa pergi semua kerunsingan hatinya.
            “Jadi..?” hatinya melonjak-lonjak teruja hendak mengetahui perihal sebenarnya. Anita kembali berpaling mendepani pemuda yang setia di sisinya yang mengharapkan buah kata Anita yang sangat berharga buatnya pada tafsiran nubarinya. Bagai ubat mujarab yang akan mengubati rusuh, resah dan runsing yang teradun menyarati benaknya selama ini.
            “Apa yang dikatakan Sarina itu semuanya beda’ah. Bohong. Karut. Saya sikit pun tidak menyangka Sarina sanggup lakukan begini kepada saya. Dia memang tahu saya memang bencikan Datuk tu. Sarina ni memang tidak boleh dibuat kawan. Nanti kau Sarina...” Anita menggumam geram. Bibirnya dikulum dalam. Barisan giginya diketap kejap. Barisan gigi atas dan bawahnya yang berlaga berkeriut bunyinya.     
Rizal termangu. Terkedu. Samasekali tidak menduga bahawa begitu pula riaksi Anita yang akan dihadapnya. Dia kalut dan serba salah pula. Namun dia amat bersyukur kepadaNya. Nampaknya keadaan memang memihak kepadanya. Dia tidak perlu khuatir apa-apa lagi. ‘Hebat sungguh idemu Fareez. Brilliant.’        
“Tenang Anita. Relek. Maafkan saya. Saya tidak mahu Sarina dan Anita bergaduh kerana apa yang saya katakan tadi.” Tukasnya. Mula berperanan sebagai lelaki budiman yang bertanggung-jawab terhadap kerumitan yang dicetuskannya.
            “She’s just too much Fareez. Saya jadi pelakon bukan kerana hendak kahwin dengan orang kaya. Tidak adapun niat saya yang begitu. Sebenarnya sudah enam bulan saya menganggur selepas graduat. Kalau balik kampung hanya menyusahkan keluarga saja. Sarina syorkan saya jadi pelakon macam dia.
Saya fikir daripada duduk saja membuang masa, apa salahnya kalau saya mencuba. Lagipun bakat berlakon tu adalah sikit sebab selalu ambil bahagian dalam pementasan drama di sekolah dulu. Tapi tak sangka begini pula yang jadi. Menyesal sungguh saya dengarkan cakap Sarina tu.”
            “Begitu rupanya. Sudah berapa lama Anita berlakon?”
            “Baru dua drama. Sarina tu se kampung dengan saya. Sama-sama bersekolah dulu. Hanya nasib saya baik sikit dapat sambung belajar di universiti. Dia pula memang sudah cita-citanya hendak jadi artis, ada pula rezekinya. Dia pun jadi pelakon.”
Sudah terentang dengan jelas fakta sebenar yang teringin diketahuinya selama ini. Rizal rasa dia tidak perlu mengoreknya lebih dalam lagi. Dan dia telah tertipu dengan fakta auta yang diperolehi dari sumber yang diyakini kebenarannya. Berdosa pula dirasakannya kerana mengutuk gadis itu dengan prasangka dan tuduhan yang membuta-tuli.
            “Berat ni!” Desisnya perlahan. Rizal menimbang-nimbang perkiraannya tentang fakta yang menyimpang dari realiti pengetahuannya. Benarlah kata pepatah tidak bertanya sesat jalan. Malas berkayuh perahu hanyut. Tidak pasal-pasal menambun dosa yang hendak di elak. Seluruh hatinya didera rasa bersalah.
            “Astagfirullahhalazim…ha ka natauwaba.” ‘Ampuni hambamu ya Allah, hanya kau yang menerima taubat.’ Rizal beristigfar pula perlahan.
            “Apa dia?” Anita meneliti raut wajah tampan yang berkerut-merut itu.
            “Tidak ada apa-apa. Patutlah saya perhatikan perangai Anita berbeza dengan Sarina.” Balasnya kalut. Dia berusaha menuturkan jawapan yang relevan. Tidak mahu Anita menyedari keserbasalahannya.
            “Tolong Fareez. Jangan samakan saya dengan Sarina. Kali ini saya sudah nekad. Saya tidak sanggup lagi hendak rosakan masa depan saya dengan perkara mengarut macam ni. Saya sanggup cari apa saja kerja selepas ni. Asalkan tiada gangguan lagi dan yang penting halal. Nampaknya bidang ni bukan dikhususkan buat saya. Saya perlu cepat undur diri. Jika tidak tentu lintang-pukang hidup saya.”
            “Ya…saya faham.” Balas Rizal kagum metah dengan pendirian gadis cantik itu. Bukan setakat prinsip gadis itu yang dikagumi. Malah sekaligus seluruh dirinya mulai mencuri-curi perasaan halus yang berdetak sejak lama nun jauh disimpan kemas di lubuk kalbunya. Apakah perasaan aneh itu? Dia yang merasainya tentu dia lebih arif mengenainya.
            “Fareez… saya takut sangat Datuk tu datang ke sini.” Rizal tersenyum sedikit merenung wajah ayu yang kemuraman itu. Kejelitaannya terserlah dibawah sinaran cahaya lampu di pinggir pantai itu.
Hati Anita sangat rusuh kerana memikirkan akan berhadapan dengan Datuk Shaari yang akan memporak-perandakan situasi jiwanya yang tenang. Tetapi hati Rizal yang menemaninya berjalan pulang ke chalet bukan kepalang gembiranya.
Deburan ombak yang memukul pantai seakan rima indah yang membelah sunyi malam. Amat membahagiakannya. Dia membayang wajah mamanya yang berseri tersenyum manis kepadanya.
 ‘Oh ibu kau umpama bayu pagi…’ hanya lirik lagu nyanyian kumpulan Exist yang bergaung di benaknya. Sayup dan syahdu.
  Dia melihat sekeping kertas yang berada di dalam skrip yang berada di genggaman Anita luruh ke bawah. Dia mengutipnya. Mengimbas tulisannya dan tersenyum. Menghulurkan pula kepada Anita tanpa bertanya apa-apa.
“Saya terjumpa sajak ini di pantai tadi. Datang melayang-layang dibawa angin kepada saya entah dari mana. Saya ambil dan simpan. Sayang kalau dibiarkan sajak indah itu hanyut dibawa ombak laut. Entah siapa pemiliknya. Mungkin penyair ini sangat halus jiwanya dan boleh dibuat kawan teman bicara. Ingin pula hendak menemuinya.”
“Saya ni tidak berapa pandai hendak komen tentang sajak orang lain. Tapi kalau Nita rasa ianya bernilai dan perlu disimpan, simpanlah. Mungkin hajat Nita hendak bertemu dengan penyairnya akan termakbul kelak. Siapa tahu.” Balas Rizal bersahaja.

                                                       *    *    *


Hati Rizal amat lega dan tenang. Setenang laut China Selatan dibawah sinar bulan mengambang sewaktu cuaca tiada catatan skala ribut taufan dan ombak menggelora dari Jabatan meteorologi. 

10 comments:

  1. yeke..insya Allah..tq ratna sari.

    ReplyDelete
  2. Semakin menuju sebuah realiti buat anak dan bapa
    Kakak tunggu next episode apa jadi datuk miang tu bila tahu anak bujangnya baik dgn buah hati idamannya...

    ReplyDelete
  3. heh..heh..semakin klimak cerita ni...tq kak zakie.

    ReplyDelete
  4. kak pi, sy ada hntr emel nnt check ya..

    ReplyDelete
  5. OK..TQ ANIES NANTI KAK CEK.

    ReplyDelete
  6. Sambung baca ni Kak Paridah...

    ReplyDelete
  7. Klu ada waktu.. seronok baca dari awal ni.. best.. :)

    ReplyDelete
  8. YEKE..BACALAH BILA KELAPANGAN...TQ KHIR KHALID.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”