Saturday, 20 July 2013

MENITI ZAMAN

  • MENITI ZAMAN.....

    Seimbas Sejarah 'Suku Kelang' ('Suku' nenek moyangku)

    Keluarga datuk aku Kawal bin Ibrahim dan isterinya Saebah
    adalah berasal dari Suku Kelang. Masyarakat Suku Kelang
    yang mengamalkan Adat Perpatih, menurut sejarah, adalah
    sekumpulan peneroka dari daerah Minangkabau, Sumatra
    yang menetap di Kelang, Semenanjung Tanah Melayu.
    Keturunan nenek moyang aku adalah berdarah raja dan
    berketurunan Tengku. Datuk aku asalnya bernama Tengku Kawal
    bin Tengku Ibrahim. Dia ini adalah seorang 'Pawang Besar'.
    Tidak dapat dipastikan kenapa gelaran Tengku itu telah hilang dan
    hanya di pakai oleh segelintir keturunan nenek moyang aku.

    Di dalam Adat Perpatih terdapat 12 suku-suku kaum. Di dalam
    Adat Perpatih juga, 'Suku' bermaksud 'Puak'. Anggota-anggota
    suku atau puak ini, dipercayai berasal dari moyang yang sama,
    cuma terlalu jauh atau susah untuk dikenalpasti lagi.

    Di dalam satu-satu 'Suku' itu, terdapat beberapa 'Perut'. Juraian
    daripa 'Perut-Perut' ini adalah diketuai oleh anggota keluarga
    yang terdiri dari kalangan orang perempuan.

    Kedatangan orang-orang Minangkabau secara beransur-ansur
    ke Semenanjung Tanah Melayu dianggarkan berlaku pada kurun
    Masihi yang ke 14 iaitu pada tahun 1300 hingga 1400 Masihi.
    Selain dari jiwa mereka yang suka merantau, mereka juga telah
    meninggalkan kampung halaman atas sebab keadaan politik semasa di tempat mereka yang tidak aman dan tenteram lagi serta berlakunya keadaan
    huru hara. Umpamanya pada pertengahan kurun ke 14 Masihi, telah
    berlaku peperangan saudara sehinggakan telah memusnahkan daerah
    Minangkabau! Dari peristiwa ini jugalah yang menyebabkan sebahagian
    besar dari mereka berpindah ke tempat lain yang lebih selamat dan
    tenteram seperti di Semenanjung Tanah Melayu, khasnya di sekitar
    daerah-daerah yang dikenali sebagai Negeri Sembilan.

    Keadaan ini diabadikan dalam pantun lama mereka seperti berikut:-

    "Kalau indak di rumput sarut
    Indaklah bakung wa eden jajarkan
    Rumput pahit bajurai-jurai;
    Kalau indak dek susah hidup
    Indaklah kampung wa eden tinggakan
    Satompok indak kito bacarai!"

    Dari Sumatra mereka ini menyeberangi Selat Melaka lalu memudiki
    Sungai Linggi, Sungai Kelang dan Sungai Melaka. Kemudia mereka
    berhijrah ke daerah-daerah pendalaman kerana mereka ini asalnya
    adalah kaum petani yang biasa bersawah dan berladang dan tidak
    tertarik hati untuk menetap di tepi atau persisiran pantai.

    Yang dikatakan Negeri Sembilan itu ianya berasal dari sembilan
    daerah yang terdiri dari Segamat, Johol, Naning, Sungai Ujung,
    Jelebu, Rembau, Kelang, Ulu Pahang dan Jelai. Kawasan yang ramai
    masyarakat Suku Kelang ini ialah di Kampung Seliau, Linsum, Rantau,
    Kuala Sawah, Nyatuh dan Belangkan di daerah Seremban. Terdapat juga masyarakat Suku Kelang ini di Kampung Ulu Kelawang, Jelebu, Negeri
    Sembilan, Kampung Jahang, Gopeng, Perak serta sebuah kampung lagi
    iaitu Kampung Kuala Lukut, di daerah Kota Tinggi, Johor. Mereka telah keluar dari Kelang untuk menerokai kawasan-kawasan ini. Masih ada
    bukti dan tanda-tanda yang Suku Kelang ini adalah berasal dari daerah
    Kelang Ia berdasarkan kepada barang-barang lama yang masih tersimpan
    dengan baik oleh ahli keluarga Suku Kelang ini.
    Tammatul al kalam
    ...

No comments:

Post a Comment

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”