Wednesday, 19 June 2013

SELIRATAN CINTA BAB 25...

                                                      


Rizal mengeluarkan beberapa helai pakaiannya dari begnya dan diletakannya di atas katil di sisi Fareez.
“Kau pakai ni besok.” Rizal menerima pandangan polos temannya.
“Maaf!! Aku nak tarik diri. Surrender. Bahaya buat kerja menyamar macam ni. Buatnya ayah dan mak kau datang, tidak ke naya aku.” Fareez menolak gesaan temannya.
“Ah itu semua kau serahkan pada aku. Bila tiba masanya tahulah aku apa yang hendak aku buat.” Ujar Rizal masih mendesak dan meyakinkan Fareez agar melaksanakan saja rencananya tanpa ragu-ragu..
“Aku tidak sukalah buat kerja macam ni. Mana biasa aku jadi anak orang kaya. Bapak aku peneroka je. Bukannya kaya raya macam bapa kau.aku ni orang biasa je Rizal. Tidak kaya dan tidak juga miskin. ”
“Kita ni sama je Fareez. Kau fikir aku tidak tahu ramai peneroka yang telah jadi jutawan sekarang ni dan menjalankan perniagaan yang tidak semenggah pada mata kasar orang ramai tetapi memberi pulangan yang lumayan. Kau pun pernah cakap ayah kau sekarang mampu meraih pendapatan 5,000RM - + sebulan hanya dengan jualan sawit saja. Itu belum lagi dikira dengan hasil dari projek lembu ternak lagi. Sudahlah Fareez, jangan kau hendak merendah diri pulak. Sekarang ni bukan soal siapa kaya siapa miskin. Tapi soal siapa lagi yang hendak menolong kawan kalau tidak kawannya sendiri.” Rizal terdiam menatap wajah kawannya yang bungkam.
  ‘Aku sangat mengharapkan pertolongan kau Fareez…hanya seorang sahabat yang baik mahu menolong kawannya. Aku mengangap kau adalah sahabat yang sanggup berkongsi susah-senang yangku rasa. Seorang kawan aku yang kini menjadi Pensyarah Phsykologi di sebuah maktab perguruan di Ipoh mengatakan ‘persahabatan ibarat tangan dan mata. Apabila mata menangis tangan akan menyapu air mata.’
Entah dari mana Baharudin Ismail mengutip pepatah yang indah berseni itu. Barangkali dari sumber bacaan yang banyak. Bukan senang seorang pensyarah hendak berinteraksi dengan siswa-siswa yang bergeliga otaknya untuk memberi konsul dan bimbingan sekiranya ilmu di dada hanya ‘setampuk pinang.’
“Tolonglah Fareez. Aku sudah terdesak ni. Aku tidak mahu orang hormat aku sebab aku anak Datuk Shaari. Aku rimas. Aku hendak rasa hidup macam orang-orang lain juga...macam orang biasa.”Lirih anak matanya yang bening merenung temannya itu.
“Hairan sungguh aku. Orang macam kau ni pun ada juga ya. Aku ingatkan hanya fiksyen rekaan penulis saja. Selama ini aku ingatkan…” Rizal tidak memberi peluang Fareez meneruskan dialognya, dicelahinya dengan pantas.
“Apa? Seronok dengan kemewahan bapak dia orang? Kau silap Fareez. Sejak zaman dulukala lagi ada anak orang kaya yang tidak suka dilahirkan di tengah-tengah keluarga kaya.”
“Susah…susah nak percaya.” Sahut Fareez tergeleng-geleng menolak hakikat.
“Aku rasa kau pernah baca buku The Prince and The Pauper. Filem dia pun ada. Sudah banyak kali aku tengok filem tu…sejak aku sekolah menengah lagi. Ataupun Filem Musang Berjanggut lakonan P. Ramlee. Aku selalu bayangkan akulah watak yang dibawakan P Ramlee tu.” Fareez tersengih memandang wajah Rizal yang bercerita dengan penuh perasaan.
“Oh kau berangan hendak jumpa awek cun macam watak yang dibawakan Seniwati Saadiah tu ke?” Fareez tertawa sebelum menyambung cakapnya semula.
“Nama je belajar di New York tapi khayalan kau masih di Bollywood! sah pemuda Melayu sejati, sentimental habis.” Fareez berterusan tertawa. Lucu sungguh hatinya menilik perwatakan Rizal itu.
Sungguh pun begitu dia mengagangap Rizal seorang yang berbudi mulia, unik sifatnya dan berkeperibadian tinggi. Boleh jadi manusia sepertinya hanya satu dalam berjuta-juta.
Memang segar bunga yang mekar
Seroja kecil banyak kelopak
Memang sukar teramat sukar
Memilih yang baik antara banyak.

“Ah! Sudahlah. Aku dah mengantuk ni. Jangan lupa pakai baju aku tu besok. First impression is so very important. Besok kau akan dikenalkan sebagai anak Datuk Shaari. Lepas tu tak kisahlah kalau kau nak pakai baju ala anak peneroka tu!”
“Opps…jangan menghina…aku tarik diri…haa… melopong kau. Kau jangan tak tahu ramai peneroka yang dah jadi jutawan tau…tapi mereka tak adalah nak berlagak. Hidup selamba je macam biasa. Cuma aku je anak peneroka yang bapanya belum jadi jutawan.” Rizal memeluk bahu temannya dengan senyum yang lebar.
“Aikk...merajuk pula hero kita ni. Maaflah! aku tu gurau je. Tidak bermaksud sampai ke situ.”
Fareez membaling bantalnya ke arah Rizal seraya berkata. “Banyaklah kau punya maaf.” Rizal tertawa melihat reaksi temannya itu.
“Tapi aku rasa seorang pengurus tentu perlukan seorang pembantu kan. Nampaknya kau akan jadi assistant manager aku... er…kalau kau tidak hendak aku pun…haa…”
“Oklah bos. Kau ni macam budak-budak. Semua kerja perlu dibantu. Kuatlah sikit semangat tu. Berdikari. Berminda glokal ikut TPM (Timbalan Perdana Menteri) cakap. Global dan lokal. Ini tidak..” Lega hati Fareez mendengar pengakuan Rizal. Maknanya dia tidak berseorangan melakukan tugasan yang amat asing baginya.
Dia mencapai bantal dan meletakan kepalanya. Angin laut berhembus halus dan dingin. Kain selimutnya ditarik sehingga berkelumbung menutupi kepalanya hingga ke hujung kaki. Namun kedinginannya tetap terasa. 
Malam semakin berensut membawa pergi bersamanya catatan kisah manusia yang akan ditulis malaikat pencatit Rakib dan Atib ke dalam kitab laporannya yang akan dibentangkan di Padang Mahsyar di hadapan Allah Azzawajalla kelak.
Rizal dan Fareez beradu dengan nyenyak dan hilang dari dunia fana menembusi dimensi baru. Mimpi.

                                                       *    *    *

Azmi sedang memperkenal Fareez sebagai Rizal anak Datuk Shaari yang akan mengambil tugasnya sebagai Pengurus Resort Sri Jelapang, menggantikannya. Dan Rizal akan dibantu Fareez temannya. Fareez berbisik begitu kepada Azmi. Azmi memandang Rizal dan Fareez silih berganti dan akhirnya dia terangguk-angguk.
Fareez berdebar dan kekok dilayani sebagai seorang terhormat. Rizal memandangnya selamba. Ada desas-desus yang berbisik di kalangan gadis-gadis petugas yang membandingkan kedua-dua lelaki muda yang berada di hadapan mereka.
Kedua-duanya memang sama tampan bergaya dan berpesonaliti yang menawan. Seorangnya nampak sangat berkarisma sebagai seorang ketua sementara seorang lagi hanya selamba bersahaja namun kelihatan berwibawa..
‘Kalaulah si jejaka tampan itu jatuh hati kepadaku alangkah bertuahnya badan, seorang gadis yang bertugas sebagai penyambut tetamu itu memasang angan-angan. Dimatanya terbayangkan di saat-saat melewati waktu indah bersama jejaka idaman yang menjadi pujaan.
‘Hoi...jangan beranganlah. Sergah mindanya sedarnya. Dia kembali ke dunia fana dengan sabar menunggu gilirannya untuk di perkenalkan kepada kedua-dua jejaka itu. Matanya bersinar memberi fokus kepada keadaan yang melengkunginya.
Membuang masa sahaja membayangkan perkara yang bukan-bukan dan sukar hendak dijadikan kenyataan kata hatinya.
                                                  

2 comments:

  1. baca sampai habis kak hehehe terbaik !

    ReplyDelete
  2. tq KA...suka kak dipuji heh..heh..

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”