Saturday, 8 June 2013

SELIRATAN CINTA BAB 23/24

 Shaari berada di sisinya dan menghenyakan ponggongnya di atas sofa. Majmin terkejut melihat suaminya hanya berbaju Melayu Telok Belanga dan berkain pelikat tenun tangan yang dibelinya dari pusat Karyaneka.
Kata gadis yang menjualnya kain pelikat itu hasil tenunan tangan perusahaan orang-orang kampung di Pulau Keladi, Pekan Pahang.
‘Orang tua ni sudah buang tabiat ke?’ getus hatinya. Pena ditangannya diletakan di dalam diari yang berkulit tebal itu. 
“Abang tidak keluar ke malam ni?”
“Tak. Saya tunggu Rizal balik.” Ujarnya bersahaja.
“Tunggu Rizal? Oh ya…baru saja dia telefon beritahu saya tadi, sekarang ni dia berada di resort RSJ.” Wajah Shaari segera terpanggung. Terkejut sungguh. Mencerlang sinar matanya menerjah wajah lembut isterinya.

Majmin sudah bersedia hendak menerima sergahan yang menyakitkan telinganya. Sekaligus menjentik tangkai hatinya. Tapi dia hanya akan bersabar menjadi seorang isteri yang disenangi suami. Isteri mithali.
“Hah! Dia buat apa di sana?” Tanya Shaari dengan tona yang keras.
“Kata Rizal dia hendak uruskan resort tu sebab Azmi pun sudah berhenti.” Dia membalasnya dengan lirih lunak kerana tidak mahu mewujudkan suasana yang tegang dan tidak terkawal.
 Shaari tenggelam dalam kekalutannya. Dia memegang dahinya. Memicit-micitnya. Tentulah tidak wajar sekiranya dia memarahi isterinya kerana perilaku anaknya yang seorang itu.
Dia juga ingin menjadi seorang suami yang sentiasa dianggap baik oleh isterinya. Sentiasa bersopan santun dan menjaga adab sebagai lelaki budiman di dalam keadaan apapun.
“Berapa lama tu?” suaranya lirih lunak perlahan tapi kehampaan.
“Entahlah bang. Kenapa bang? Bukankah elok dia di situ. Senanglah saya kalau hendak bercuti ke sana. Abang pun sentiasa sibuk. Sehari dua lagi kabarnya abang hendak ke Tokyo selama beberapa minggu menguruskan kontrak pengangkutan cip komputer dengan kapal-kapal syarikat kita. Kalau saya rasa bosan di rumah bolehlah saya ke sana.” Tukas isterinya lirih dan jughus. Di benaknya tidak ada maksud yang bersimpang perenang. Lurus dan tulus. Jujur dan ikhlas.
“Kenapalah dia ke sana pula!” dia mendesis perlahan.
“Apa dia bang? Min tak dengar.” Serba salah Shaari menatap wajah polos isterinya dengan anak mata yang bening merenungnya.
“Hah? Oh aku kata kenapalah dia degil sangat hendak pergi berkerja ke pulau terpencil tempat jin bertendang tu. Di sini pun apa kurangnya.” Shaari mengatur rekayasanya dengan teliti dan meyakinkan.
“Dia sudah bosan dengan hiruk-pikuk New York agaknya. Pulang ke sini hendak mencari ketenangan jiwa. Sebab tulah dia ke RSJ.” Majmin menguap beberapa kali. Barangkali seluruh tubuhnya mulai diresapi keletihan kerana petang tadi dia dan Datin Maimon juga beberapa rakannya yang lain berlenggeng tangan bermandi peluh di gelanggang tennis.
 Usianya yang hampir menjejaki 50-an itu barangkali tidak melayakannya untuk beraktiviti lasak seperti bermain tennis. Walaupun itulah sukan kegemaranya suatu ketika dulu. Sukan itu pernah menjulang namanya sebagai pemain terbaik kolejnya. Dan sentiasa mewakili kolej hingga ke peringkat kejohanan tennis antara kolej ternama se Asia. Cerita yang telah berkubur puluhan tahun dahulu.
“Min dah mengantuk ni…Min masuk tidur dulu bang.”
Datuk Shaari tercongok sendirian di ruang yang kelam dan hanya disinari pantulan cahaya TV. Menjadi pengganti Majmin pula melayani kerusuhan hatinya. Dia berteleku memandang skrin TV yang memaparkan berita pergolakan dunia semasa.
Berita tentang kemusnahan dunia angkara kekejaman manusia Israel di Pelastin dan Lebanon hanya berlalu ditatapan matanya. Tidak mencuit jiwa kemanusiaannya. Dia leka memikirkan hatinya yang ralat kerana Rizal.
“Hai…rosak program aku! Dua hari lagi Anita ke sana. Sebulan pulak tu. Aku di sini melopong gigit jarilah nampaknya.” Kesal sungguh hatinya kerana rancangan yang diaturnya untuk menemani Anita membuat penggambaran di Pulau Sioman tergendala.
Dia sibuk memerah mindanya supaya diberi ilham untuk merencana sesuatu yang akan memuaskan hatinya. Nampaknya sia-sia. Tidak ada lorong yang terang dilihat boleh dilaluinya. Tidak ada cahaya di hujung terowong. Dia buntu dan bungkam. Menahan geram.

                                                               




                                                            24.

Anita dan Sarina baru saja selesai mengadapi juadah hidangan makan malam yang disediakan Anita. Anita suka memasak dan memang hobinya memasak seperti kebanyakan anak gadis yang lain.
Tetapi Sarina tidak begitu. Dia hanya tahu memasak mi segera dan menggoreng telor sahaja. Sekiranya hendak menyediakan resepi yang rumit dibiarkan saja Anita seorang yang menyingsing lengan melakukannya. Dia hanya tahu duduk bersila dan menyuapnya ke mulut apabila segalanya sudah siap terhidang di hadapannya..
Sudah kenyang menjamu selera Sarina berlunjur kaki di hadapan TV. Di tangannya tergenggam alat kawalan TV yang mengandungi berbagai saluran pilihan.
Banyak program drama yang disiarkan beberapa rangkaian TV dijayakan teman-teman dramatis yang dikenalinya tapi dia tidak berminat menontonnya kerana tidak ada dirinya berperanan di situ. Jika ada wajahnya terpampang di skrin TV barulah seronok dia hendak menontonnya.
 Ralit  pula dia menikmati siri National Geographic yang memaparkan aktiviti skuba di sebuah pulau yang indah. Dia berharap sangat pulau yang akan dikunjunginya kerana sesi shooting drama terbaru itu secantik pulau yang sedang ditontonnya dan ada aktiviti menyelam ke dasarnya bermain dengan ikan-ikan di celah terumbu karang. Alangkah seronoknya dapat mencuba pengalaman baru yang tidak pernah dirasai selama hidupnya.
Anita sedang mencuci pinggan mangkuk yang telah digunakan tadi. Selesai mencuci, mengelap dan menyusunnya di atas rak pinggan, dia meninggalkan ruang dapur sempit itu menuju ke biliknya.
Dia melihat Sarina menjawab telefon yang baru saja berdengut beberapa saat tika melintas ruang tengah tempat Sarina sedang bersantai..
“Hei…Datuk Shaari. Apa khabar? (Terhenti)  Saya sedang relek menonton TV. Tak buat apa-apa pun. (Terhenti). Esok call time shooting pukul 8 pagi. (Terhenti) Nanti sekejap Datuk ya, saya perlahankan suara TV.”
Anita menghampiri Sarina dan menunjuk isyarat bahawa dia sedang tidur. Dia dapat mengagak Datuk Shaari bertanya tentang dirinya dan ingin bercakap dengannya. Sarina memandang teman dengan wajahnya yang penuh gaya itu. Mouthpiece handphone ditutupnya. Dia ingin memberi tumpuan kepada apa yang akan dituturkan Anita kepadanya.
“Kalau dia tanya aku kau. katakan aku dah tidur. Kalau tidak kau kena penumbuk aku ni.” Anita memberi amaran keras kepada teman yang hanya tersengih kepadanya, melihat genggaman buku limanya yang kecil itu.
‘Hai Nita, Nita ada hati nak tumbuk aku! Setakat buku lima kau yang kecil tu aku tak hairan langsung beb…’ dia kembali leka melayani bualan tetamunya yang menjengah suaranya di hujung talian.
 Anita berlalu menuju biliknya. Telinganya dilekapkan ke dinding untuk mendengar perbualan Sarina dengan Datuk Shaari seterusnya.
“Anita? Dia dah  tidurlah Datuk. Hai Datuk tanyakan dia seorang saja ke? Saya ni kan ada.” Anita tidak lagi mahu mendengar ocehan Sarina bersama Datuk itu yang disertai dengan kekehan yang mengelikik dan manja sesekali kedengarannyanya. Sangat memualkannya sehingga membuatnya mencebik bibir.
“Hai…Sarina…Sarina…orang tua yang sebaya dengan ayah kau pun teringin kau layan.” Getusnya perlahan.
Anita merebahkan dirinya di atas katil. Komputer di mindanya merangka-rangka sesuatu keputusan yang akan diambilnya.
 “Ini drama aku yang terakhir. Lepas ni aku akan cari kerja lain. Lantaklah kalau kerja kilang sekalipun.” Jika tiada sebarang gangguan dari orang-orang yang berwatak seperti Datuk Shaari di dalam kehidupannya, dia pasti amat selesa sebagai seorang dramatis.
Tetapi gangguan yang menggoda dan menggugah keteguhan iman itu menyusutkan keghairahannya bergelar artis. Dia ingin lari jauh dari keserabutan yang merusuh mindanya itu. yang didambakan dalam hidupnya kini hanya rezeki halal yang diperolehi dan memberikannya ketenangan jiwa.
Anita ingin menjadi seorang anak yang baik dan sentiasa patuh dengan pesanan ibunya. Kata ibunya pandai-pandailah menjaga diri jikalau bertekad hendak menjadi seorang artis kerana kehidupannya bukan seperti laut yang tenang tidak bergelombang. Tetapi badai yang menderu tidak disangka-sangka akan menghanyutkan diri sesaorang itu jauh dari daratan dan sasaran yang diharapkan.
Jadilah seorang anak yang berakhlak dan beriman. Tidak tercemar noda yang mengaibkan. Hidup muda ini tidaklah terlalu panjang,  Singkat amat untuk dipertahankan. Jikalau titik noda terpalit ketika usia muda, penyesalan sepanjang hayat langsung tidak berguna. Kerana titik noda yang mengaibkan itu akan kekal selamanya.
 Pesanan ibunya laksana hamburan mutiara-mutiara putih jernih yang terlepas dari kalungan. Sangat berharga dan perlu dikutip dan disisip kemas di lipatan sanubari.
Anita sangat merindukan ibunya yang tinggal di sebuah rumah bertiang tinggi terletak di tengah bendang di sebuah negeri di utara. Sekarang ini ibu sedang buat apa agaknya? Mungkin sedang terbaring keletihan kerana siangnya menabur baja pada anak-anak padi. Atau merumput di dalam petak.
Jikalau mengharapkan pulangan hasil yang lumayan tentulah perlu melakukan semua kerja-kerja itu dengan rajin. Dia kasihankan ibunya kepenatan kerana telah sekian lama melakukan rutin itu dan dia tidak dapat lagi hendak meringankan beban kedua-dua ibu bapanya kerana tidak punya penghasilan yang tetap.
Bapanya pula tentu sedang menyiapkan pukat yang hendak diturunkan ke tengah laut pada awal pagi esoknya untuk menangkap ikan, udang, ketam atau sotong. Kedua-dua ibu-bapanya saling bertolong bantu mencari rezeki mengikut keupayaan masing-masing demi menyara dan mencukupkan keperluan empat orang lagi adik-adik Anita yang masih bersekolah.
Sungguh berat bebanan kedua-dua ibu-bapanya itu dan dia tidak mahu lagi menyusahkan hati ibu-bapanya dengan perbuatan yang akan memalukan kedua-duanya.
Dia tertidur sambil membayangkan wajah ibunya dan bapanya yang tersenyum kepadanya.
                                                

2 comments:

  1. best... lama x baca dah ni

    ReplyDelete
  2. kak dah mula sambung tulis novel ni...tq KA rajin ikutinya..

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”