Sunday, 7 October 2012

SELIRATAN CINTA BAB 18/3


Mahu saja ditutupnya mulut Sarina dengan kedua-dua telapak tangannya. ‘Kau ni menyusahkan aku je Sarina. Becok sangat mulutnya.’ Amin merenung Sarina yang terkapa-kapa tidak faham dengan bahasa matanya.  
“Oh jadi awak telefon Amin beritahu dia  balik sudah boleh datang pulak ya. Hmp..begitu ya Amin.” Ucap Datuk Shaari sinis. ‘Berani kau temberang aku ya Amin. Nanti kau.’ Wajah pucat Amin yang gelabah ditenungnya tidak berkedip.
Amin mengesat peluh dingin yang bermanik di dahinya.
Anita pula semakin resah. Dia tidak menduga sama-sekali Sarina bertekad jua membawanya bertemu dengan Datuk Shaari. Walaupun pelbagai alasan yang diberikan untuk menolaknya. Sarina merayu-rayu agar permintaannya untuk menemankannya bertemu Datuk Shaari dipenuhi. “Hanya untuk kali ini saja.” Kata Sarina.
Demi menjaga hati seorang kawan sekampung, dituruti juga kehendak Sarina walaupun hatinya berat hendak melakukannya. Mungkin sebagai tanda terima kasihnya kerana Sarina yang mencari peluang perkerjaan kepadanya di bidang ini. Tanpa Sarina mungkin dia bukan siapa-siapa. Dia mesti tahu mengenang budi kawan.
“Berapa hari lagi shooting ni?” Tanya Datuk Shaari.
“Tinggal dua hari lagi di KL. Lepas tu kami berpindah sambung shooting di sebuah resort.”
“Resort, dimana tu?” Tanya Shaari tertarik. Sarina menoleh  kepada Anita. Bertanyakan tentangnya. Anita hanya angkat bahu. Dia langsung tidak kisah dengan bualan itu.
Dan dia tidak mahu terlibat sedikitpun. Dia hanya berharap peristiwa yang sedang dilaluinya ini akan cepat selesai.
“Datuk tak nak ikut kami ke sana ke. Sambil bercuti boleh tengok kami shooting.”
“Datuk ni sibuk memanjang Sarina. Maklumlah seorang ahli korporat. Banyak perkara penting yang perlu diuruskannya.” Tingkah Amin.
“Eh. Apa pulak sibuknya. Pandai-pandai saja kau ni Amin. Pasal Sarina dan Anita saya sanggup ketepikan kerja. Cakap saja resort di mana. Banyak lagi resort yang cantik di Malaysia ni, saya belum jejakan kaki.” Tukas Shaari sambil membeliakan matanya memandang Amin.
Amin kehairanan. Selalunya begitulah alasan penolakan pelawaan sesiapa saja yang dirasakannya hendak meningkatkan hubungan yang lebih jauh. Datuk Shaari sentiasa menyetujuinya. Kali ini lain pula jadinya.
Sarina teringat sesuatu. Cepat-cepat begnya dicapai dan dibuka. Isinya diselongkar. Dia mencari-cari di sebalik lambakan isi beg yang tercurah  di atas meja itu.
“Saya ada tulis dalam organizer saya ni. Hah..resort Sri Jelapang!” Mencerlang anak matanya menerima kabar itu. Dia langsung tidak menduga. Hatinya bernyanyi riang.
“Hmm…Sri Jelapang di Pulau Sioman kan. Eloklah tu… Cantik...” Datuk Shaari tersenyum dan mengenyit matanya pada Amin Amin terbangun dari kemuramannya kerana sindiran tuannya yang memedihkan hatinya itu.
Dia turut tumpang merasai kegembiraan Datuk Shaari. Terasa pula kepercayaan tuannya yang sirna kembali sediakala. Lega sungguh perasaannya.
Anita menjeling Sarina. Dia tidak berkenan langsung perbuatan Sarina mempelawa Datuk itu untuk turut bersama ke pulau peranginan itu. Memanglah dia tidak patut menegah kemahuan sesaorang untuk membelanjakan wangnya di mana saja tetapi untuk sewaktu dengannya di lokasi yang sama ia sangat menjelekan. Sungguh menjengkelkan penerimaannya.
‘Pergilah ke tempat lain kalau terasa hendak bercuti sangat. Kenapa di situ pula?’
                                                      
                                 

2 comments:

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”