Saturday, 8 September 2012

SELIRATAN CINTA BAB 17


Rizal masih tercegat. Memandang bangunan Hentian Putra yang akan di masukinya sebentar lagi. Pandangannya merayau merata arah. Merayapi apa saja yang melintasi pandangannya.
Rizal mula melangkah masuk ke dalam bangunan itu tanpa berfikir panjang lagi. Sibuk sekali suasananya dengan kerenah manusia yang mengisinya membawa tujuan hendak meneruskan perjalanan jauh dengan perkhidmatan bas yang disediakan di sini.
Dia melihat ramai yang sedang beratur hendak membeli tiket di sebuah kaunter untuk perjalanan ke timur. Dia turut beratur dan meletakan begnya di tepi kakinya. Rencananya tidak berubah lagi di antara empat arah yang akan di tujuinya.
Samaada ke selatan ke rumah datuk di sebelah ayah, ke utara ke rumah nenek sebelah ibu, ke barat ke rumah seorang kawan rapatnya yang sama-sama belajar dengannya di US. Hatinya menetapkan untuk ke timur.
Seorang lelaki mundar-mandir berdekatan dengannya. Rizal buat tidak peduli saja. Barangkali lelaki itu sedang berfikir untuk menyelesaikan sebuah masalah yang rumit. Sebab itulah lelaki itu mundar-mandir saja sambil wajahnya menunduk ke bawah. Dia tidak menyangka yang lain selain itu. Dia ralit menyaksikan petugas di kaunter menghulurkan tiket bas yang di beli kepada seorang lepas seorang.
Tiba-tiba saja lelaki yang mundar-mandir itu menyambar beg Rizal. Rizal terpana melihat begnya di bawa lari. Seorang lelaki yang kebetulan melihat insiden itu bertindak berani dengan menampan lelaki itu dengan kaki yang diangkatnya tinggi hingga lelaki yang tersadung kakinya itu jatuh tersembam sewaktu dia melewatinya secara terburu-buru ingin melepaskan diri.
Beg itu segera disentaknya dari peragut itu. Lelaki itu terkaku panik. Dia memandang lelaki yang menjatuhkannya itu dengan pandangan gamam dan geram. Tidak menyangka sama-sekali bahawa strategi jenayahnya kali ini tertewas, tidak menjadi.
Ramai yang datang mengerumuninya. Masing-masing hendak melihat rupa sang penyangak yang kecundang itu dan juga rupa wira yang amat jarang boleh ditemui di dalam era kebanyakannya bersikap individualistik masakini. Hanya mementingkan kemaslahatan diri sendiri.
Rizal segera menerpa untuk mendapatkan begnya semula. Pengawal keselamatan yang ditugaskan menjaga keselamatan bangunan dan isinya segera bergegas menghampiri lelaki yang jatuh tersungkur dan kedua-dua tangannya sedang dikilas seorang pemuda. Pengawal keselamatan itu mengambil alih tugas pemuda itu.
Si peragut segera dibawa keluar dari bangunan itu diiring dua orang lagi pengawal keselamatan kawan setugasnya.
“Terima kasih banyak saudara. Saya Rizalsyah. Saudara?” Rizal bersalaman dengan seorang pemuda sebaya dengannya, berwajah manis berbudi perkerti tinggi dan sanggup menolong sesaorang yang tidak dikenalinyapun. Sungguh mulia peri-lakunya. Demikian Rizal meletakan kayu ukuranya di bahu lelaki itu.
“Saya Fareez.” Dia memperkenalkan dirinya dengan gaya lembut bersopan. Senyumnya terorak manis di bibir. 
“Terima kasih banyak Fareez kerana sudi menolong saya. Jikalau beg saya tu hilang tentunya saya akan tersadai di sini dan tidak akan ke mana-mana.” Sekali lagi Rizal mengucapkan penghargaannya kepada kenalan barunya.
“Sama-sama. Saya menolong pun kerana saya berupaya menolong. Jikalau peragut tu lari ke arah lain tentu juga saya tidak terkejar dan berupaya menolong.” Ujar Fareez lembut merendah diri. Dia tidakpun merasa dirinya adalah wira sejati dan perlu menyombongkan diri.
“Jom lah saya belanja awak minum sebagai meraikan perkenalan kita dan sedikit penghargaan dari saya.” Rizal bersuara seperti kata pepatah orang berbudi kita berbahasa. Dan selari dengan kata pantun;
Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga.
Yang baik itu budi.
Yang indah itu bahasa.

“Gitu ke? Boleh saja. Tidak jadi masalah,” sahut Fareez mengatur langkah untuk memenuhi pelawaan Rizal. Mereka berjalan beriringan memasuki sebuah restoran kecil. Kali ini Rizal amat berhati-hati dengan beg yang dibawanya. Dia perlu lebih berwaspada agar kejadian yang berlaku sebentar tadi tidak berulang lagi. Begnya dipegang kemas dalam rangkulannya dan kejap.
Fareez dan Rizal sedang minum di medan selera Hentian Putra. Fareez memberitahu tujuannya berada di sini. Dia ingin pulang ke kampungnya setelah grad dari sebuah universiti awam di KL.
Sudah lama pula menumpang di rumah saudaranya menunggu peluang perkerjaan untuk dijawat tetapi langsung tidak ada. Kebanyakan temuduga yang dihadirinya di firma awam atau swasta menuntut pengalaman yang tiada padanya sebagai syarat utama.
Sekian lama menumpang di rumah saudara tanpa sebarang perkerjaan terasa juga tebal kulit mukanya. Hari ini dia bertekad untuk kembali ke kampungnya. Sungguh tidak diduga suratan hari ini menemukannya dengan sesaorang yang baik budi pada firasat hatinya ekoran insiden itu. Agaknya demikian yang tertulis di loh Mahfuz.
“Bila kau grad?” Rizal bertanya sambil tangannya mengacau air sirap bandung di dalam gelasnya agar sekata semua adunannya.
“Sudah lapan bulan. Aku tinggal dengan makcik aku di sini. Sudah banyak kerja yang dipohon, haram nak dapat. Semua kata aku tiada pengalaman kerja. Macam mana hendak ada pengalaman kerja kalau tidak pernah diberi peluang.” Protes Fareez pada alasan penolakan yang sengaja diada-adakan itu.
Dia pernah mendengar cerita jawatan yang diiklan itu hanya sebagai syarat semata-mata. Tetapi yang sebenarnya memang sudah ada pengganti. Kebanyakannya kroni kerabat staf dalam jabatan itu sendiri.
Dia tidak pasti kebenarannya. Tetapi jika ramai yang berkata demikian, susah juga hendak menyangkal wasangkanya. Memangpun dimaklumi setiap jabatan kerajaan atau swasta kebanyakan penjawatnya mempunyai relasi antara satu sama lain. Jikalau di dalam keluarga itu emak-ayahnya menjadi guru anak-anaknya juga semuanya terdorong ke lorong itu.
Begitu juga dalam bidang ketenteraan, polis atau sebagainya. Sedangkan dia yang dilahirkan sebagai anak petani di sebuah kampung pedalaman ingin mengubah persepsinya. Tidak mahu menjadi petani. Waima moden atau ortodok.
Susah sangat ke dapat kerja?” wajah teman di hadapannya direnung seluruhnya, tidak berkelip. Selama ini dia tidak pernah terfikir sampai begitu sekali keadaannya. Baginya peluang kerja sentiasa ada di syarikat milik bapanya.
Pokoknya samaada dia mahu berkerja dengan tidak saja. Bila-bila masa saja dia boleh menjadi jurutera kanan di syarikat perkapalan ayahnya.
“Sebab susah sangatlah aku nak balik kampung. Malu juga setelah merantau mencari kerja balik pula ke kampung dengan tangan kosong. Habuk pun tarak. Tapi takkan hendak menumpang rumah orang selamanya. Baiklah balik kampung. Boleh juga tolong ayah aku kait buah sawit. Sekarang ni peneroka tanah RKTP (Rancangan Kemajuan Tanah Persekutuan) sedang menuai hasil yang lumayan kerana harga BTS (Buah Tandan Segar) 520 RM bagi satu metrik tan. Jangkaannya harga komuditi itu akan melonjak lebih tinggi lagi. Ayah aku sekarang ni tentu tidak kisah sekiranya aku balik menolongnya di kebun. Ada juga hasil.”
“Lumayan juga hasilnya. Berapa luas kebun ayah kau?”
“Adalah lebih kurang 3.4 hektar atau dekat 10 ekar.”
“Tentu senang-senang boleh dapat 10 metrik tan buah sawit setiap bulankan? Jika 520RM harga BTB satu tan metrik maknanya ayah kau akan dapat 5200 RM untuk sekali tuaian. Wow hebat tu. Kalah gaji pengarah syarikat. Betul kata kau daripada jadi gelandangan di kota baiklah kau balik kampung jadi pengurus kebun sawit ayah kau tu. Tetapi kerjanya tentu sangat berat dan perlukan kudrat yang kuat.” Rizal terangguk-angguk menyetujui saranan kawannya.
Di samping memberi komen sebagai seorang anak yang tidak pernah merasa susah walau sedikit pun semenjak menjengah dunia..
“Kau jangan ingat pokok sawit tu akan sentiasa mengeluarkan hasil 10 metrik tan setiap bulan. Atau kali tuaian.
 Pokok pun ada moodnya. Ada masanya dia malas berbuah. Walau ditabur baja bertan-tan. Melawaslah dia.

 Kena musim buah sawit melawas melongolah peneroka macam ayah aku. Hasil yang ada pun cukup-cukup saja untuk sara-hidup.

 Bagi yang sentiasa beringat menabung semasa mewah tentu tidak akan merasa sebarang masalah sekiranya 

datang masa susah.” Rizal mendapat pengetahuan baru daripada satu sisi kehidupan yang tidak pernah dilaluinya.

2 comments:

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”