Tuesday, 13 January 2015

SELIRATAN CINTA BAB 9

ASSALAMUALAIKUM...


Datuk Shaari berjalan penuh gaya memasuki opisnya. Kaki-tangan syarikatnya yang berpapasan dengannya menuturkan salam hurmat, assalamualaikum dan selamat pagi. Dia membalas ucapan salam itu dengan sangat mesra. Dan senyuman yang terukir manis tidak lekang dari bibir.
Hubungan baik antara majikan dan pekerja sentiasa dijaga, dipelihara. Agar tidak mendatangkan sebarang masalah yang menggugat organisasi yang dibinanya dengan susah-payah itu.
            Dia lantas masuk ke biliknya. Terkejut sekali melihat Amin siap menanti dengan sengihnya yang lebar.
            “Kenapa Amin. Awal lagi sudah bersidai di bilik saya…tersengih-sengih macam kerang busuk, ada kabar gembira ke?”
            “Dah naik berjanggut tunggu Datuk ni. Kabar gembira tu tak ada la. Tapi kabar ‘gumbira’ memang ada.” Datuk Shaari tidak terlalu memperhatikan Amin yang beriya-iya menggambarkan keajaiban kabar yang dibawanya.
Dia meletakan briefcasenya di atas meja. Membuka kotnya dan menyangkutnya pada kayu penyangkut yang berukir unik. Kemudian menarik kerusi dan duduk. Menyelak pula lembaran kertas yang tersusun di dalam fail di atas mejanya. Amin sedikit kecewa.
Dia tercongok menyuakan wajahnya di hadapan Datuk Shaari. Supaya Datuk itu menyedari keberadaannya di tengah suasana.
            “Banyaklah kau punya ‘gumbira’. Cerita apa?” tanyanya bersahaja. Dia menarik pula sehelai kertas yang tersusun di dalam bekas surat-surat dari luar yang masuk dan perlu ditelitinya.
            “Tengahari nanti datuk ada lunch dengan Nadia.” Wajah Shaari ternyata beriak ceria. Sekelumit senyum mengorak kelopak di bibir.
            “Eh...ye ke? Dah dapat ye. Memang cekap. Cekap sekali. Lepas Nadia nanti, siapa pula ya?” Datuk Shaari teruja sekali dengan hobi baru yang diciptanya buat mengisi ruang lowong waktunya dengan mendampingi artis dan model yang jelita dan ternama.
            “Ala...sabarlah datuk. Serah je pada saya. Taulah saya nanti.”
            “Nah...ambil ni. Pergi main jauh-jauh.” Tangannya menghulur sebuah sampul surat yang kelihatan tebal berisi not RM. Kekecewaan yang dirasakannya terubat sudah. Usahanya ternyata berbaloi dan tidak sesia.
            “Datuk ni...buat susah-susah je. Terima kasih banyak…cewah” namun sepasang tangannya sedang terbuka menadah pemberian yang dihulur. Amin ber’gumbira’ sungguh dengan pemberian itu. Sekurang-kurangnya wang yang diterimanya itu dapat menampung sara hidupnya di musim kering pertengahan bulan ini.
Hidup di tengah kotaraya yang serba mahal ini menuntut pelbagai cara untuk kekal selesa wujud di antara sekian ramai manusia. Amin berfikir begitu. Mudah.             
            “Amin aku ni ada masalah sikit. Kau kena tolong aku.” Datuk Shaari meluahkan rasa yang membungkal di dalam dadanya tiba-tiba. Amin sedia mendengar keluhan masalah yang akan di depaninya. Menadah cupingnya lebar-lebar.
            “Kenapa? Dengan datin ke?” Pertanyaan klise yang sering dijangka sekiranya seorang lelaki itu beristeri. Isteri sentiasa difikir membawa masalah kepada suaminya. Mesti hakikatnya tidak sebegitu. Amin yang mengangapnya begitu.
            “Datin tidak pernah bagi aku masalah,” pintasnya pantas.
            “Datin memang seorang isteri yang baik dan solehah kan Datuk?” wajah Amin diterpa pandangan Datuk Shaari yang polos. ‘Jika isteri yang baik tidak membawa sebarang masalah, apa lagi agaknya yang membuatkannya berserabut kepala otak memikirkannya?’ Amin cuba hendak menebak masalah Datuk Shaari, tetapi dia tidak menemui apa-apa pembayangnya pun. Jadi dia hanya menunggu Datuk itu menghuraikannya untuk difahaminya.
Bukankah penat berfikir menggunakan otak kiri dan kanan sekadar hendak meneka-neka jawapan yang sememangnya tidak betul. Lebih baik mendiamkan diri dan menjadi pendengar yang setia.
            “Aku berharap benarlah kau dapat tolong aku. Kalau tidak aku potong 20 peratus incomenya.” Mencerlang bebola matanya tegak tidak beranjak menatap bentuk mata yang agak kecil seakan malu untuk keluar dari kelopaknya itu. ‘Ini yang tidak sedap didengar ni.’ Desis hati Amin.
            “Apa dia Datuk? Saya ni kalau memang ada kemampuan menolong, saya mesti tolong. Datuk boleh harapkan saya. Apa dia Datuk, cakap je. Tapi adalah bonus ganjaran tambahan kot? Jangan asyik nak potong income yang tidak seberapa tu…” ujar Amin menyeringai seperti selalu. ‘Biasalah ada kerja lebih, bayarannya pun mestilah lebih juga,’ getus hatinya. Bermonolog dalam diam.
            “Kau tolong carikan seorang artis dan kenalkan pada anak aku. Buatlah secara berbetulan bukan sengaja. Bukan ke kau ni pernah jadi artis drama. Berdramalah sikit. Carikan dia kawan supaya dia tidak terlalu sibuk hendak berkerja di luar KL ni. Dah tu pulak Datin pandai-pandai suruh dia uruskan Resort Sri Jelapang sebab Azmi pengurus Resort tu sudah hantar notis nak berhenti. Macamlah sudah tidak ada tempat lain di dalam Malaysia ni. Di situ pula nak diletakannya anak aku.” Datuk Shaari menghuraikan permasalahannya satu persatu.
            ‘Aik! Dah cari untuk bapaknya, kat anaknya pun kena cari juga ke?’ Amin bergumam perlahan tetapi melantasi bibirnya.
            “Apa dia?”
            “Takde apa-apa datuk” sanggahnya pantas.
            “Eloklah kalau dia di sana. Jauh sikit dari Datuk. Tidaklah Datuk terganggu dengan kegiatan terkini Datuk yang mungkin tidak digemarinya.”
            “Eh…dia tu anak lelaki, aku hantar dia belajar di US lagi. Sebuah negara yang bebas segala-galanya. Dia mestilah open minded sikit. Terbuka seperti broad band jalur lebar.” Ujarnya dengan penuh keyakinan bahawa sikap anak lelakinya itu persisnya.
            “Itu pandangan Datuk. Mewakili pandangan generasi Datuk. Tapi mungkin dia tidak begitu. Generasi yang lahir jauh selepas negara merdeka, hidup mewah senang lenang, selesa amat berbeza corak pemikirannya Datuk. Kebanyakannya lebih bijak dan sangat cenderung terhadap agama. Apabila duit ringgit tidak menjadi sebarang masalah hidup, biasanya manusianya akan beralih untuk memenuhi tuntutan jiwa pula.”
            “Ah!..sudahlah jangan nak menyanggah apa yang aku kata. Kau buat saja apa yang aku suruh. Yang penting aku tidak mahu dia tinggalkan KL ni dan pergi ke resort tu. Banyak perojek aku di sana. Kau mana tahu,” anak matanya menyorot tajam melepaskan arahan pada sasarannya. Yang akan sentiasa angguk akur kemudiannya.
            “Nantilah…saya akan cuba usahakan.” Sahut Amin lemah.
            “Jangan cuba saja, lakukan kerjanya hingga berjaya.” Datuk Shaari terus mengasak kemahuannya dituruti hingga jaya. Harapannya digantungkan ke bahu Amin khadamnya yang setia itu.
            “Yalah…yalah. saya akan kerjakan. Bila tu datuk?
            “Secepat mungkin.”
            Tugas ni kira macam mana pula Datuk?”
            “Ish…kau ni nak kena baling dengan buku ni ke?” Amin terkekeh melihat laku Datuk Shaari yang melucukannya itu.
            “Maaf Datuk. Bisa diatur.” Dengan sengihan yang memualkan Datuk Shaari, Amin mengangkat ponggong dari kerusi yang didudukinya. Dia melangkah membawa dirinya keluar dari bilik tuannya.
            “Pergi dulu Datuk.” Dia mengucap pamitan.
            “Pergilah. Buat kerja yang aku suruh.” Balas Datuk Shaari. Tegas sekali.                                                          
                        --------------------------------------------                                                                 

            Di jalan yang tidak berapa lebar di luar dari pagar banglo itu, manusia lain berurusan mencari keperluan yang ingin diisi memenuhi waktu hari ini. Seorang posmen menaiki motorsikal berkuasa ringan, berurna merah lambang warna syarikat pos negara membawa sekarung surat dan beberapa bungkusan yang lain. Tentunya akan diserahkan kepada penerima yang berhak mengikut catatan alamat di sampulnya.
            Posmen dengan bangun tubuhnya agak gempal itu menghentikan motorsikalnya di hadapan sebuah banglo putih. Beberapa pucuk surat dan beberapa bungkusan yang digulung padat, dimasukan ke dalam mulut peti surat pemiliknya yang ternganga.
            Posmen berlalu pergi setelah tugasan dilakukan. Dia tersenyum sekilas membalas senyuman seorang wanita yang sering ditemuinya ketika lewat di banglo ini membawa pesanan. Dia seorang pembantu rumah yang sangat komited dengan tugas yang diletak di bahunya.
            Mak Kiah ketika itu berada di laman yang dihiasi pelbagai tanaman yang cantik Ada yang berbunga dan ada yang hanya  berdaun dan bercorak menarik aneka bentuknya. Di tangannya tergenggam hos paip dari getah yang sedang menyiram air memberi kesegaran kepada tumbuh-tumbuhan itu.
            Seringkalinya Datin Majmin yang melakukannya. Sekiranya Datin itu terlupa dia akan melaksanakannya tanpa sebarang kerenah.  
            Selesai memandikan tumbuh-tumbuhan itu pada awal hari yang masih pagi, Mak Kiah mengatur langkah pendek-pendek dan satu persatu  hala ke kotak surat. Dia membuka tabir yang menutup mukanya.
Dan mengeluarkan semua isinya. Surat khabar yang di langgan setiap hari juga ada terselit di dalamnya. Beberapa majalah yang di langgan terus dari penerbitnya juga ada. Semuanya sudah berada dalam genggamannya. Dibawakan benda-benda itu ke dalam rumah.
            “Nah Datin. Semuanya saya ambil dalam kotak surat di depan tu.” Mak Kiah meletakan semua bebanan yang dibawanya di atas meja di hadapan Datin Majmin yang duduk di kerusi, menatang secawan minuman.
            Datin Majmin mencapai sebuah bungkusan majalah dan mengoyak pembalut luarnya. Bertepatan sekali pilihannya dengan kemahuan di dalam dirinya. Dia menekur dengan khusyuk menatap isi majalah hiburan Jelitawan Era yang tidak serasi dengan namanya kerana isinya tidak sejelita mana. Menurutnya.
            Dia menyelak lembar majalah itu sehelai demi sehelai mencari ruangan gossip yang memaparkan soksek-soksek Nurima yang dikatakan intim berhubungan dengan seorang Datuk.
Terasa melonjak-lonjak keinginannya untuk mengetahuinya. Dia leka sekali membacanya setelah menemuinya, tanpa menyedari tingkahnya diperhatikan sesaorang.
            “Tidak ada bahan bacaan lain ke mama hendak baca?” Majmin tersentak mendengar suara yang menyapa gegendang telinganya lirih sekali. Tatapannya berkalih arah. Anak matanya menikam wajah yang dipenuhi dengan soalan di sisinya.
            “Eh Rizal…ni hah tadi Datin Maimon call.. dia kata ada gossip terbaru pasal pelakon Nurima. Katanya sedang intim berhubungan dengan seorang Datuk.” Rizal tergeleng-geleng kepalanya.
‘Cerita remeh beginikah yang hendak digembar-gemburkan satu Malaysia. Ramai pula yang terbawa mengikuti ceritanya bagaikan menjadi isu yang maha penting. Melebihi pentingnya berita tentang bencana alam yang sering berlaku di serata pelosok dunia kerana kemusnahan alam sekitar akibat kezaliman manusia.
Atau berita tentang masalah sosial yang melibatkan golongan remaja pewaris dunia kerana ibu bapanya terlalai menjaga anak-anak lantaran terlalu sibuk mengumpul kekayaan material untuk keselesaan hidup.’ Anak muda ini memprotes dengan kepala dingin.
Berita tentang perkahwinan seorang artis ternama dengan seorang datuk jutawan siap dengan kronologi peristiwanya sekali di ruangan bersebelahan. Dan bersambung lagi ceritanya di halaman sebaliknya. Kemewahan, kemahalan perstiwa yang digambarkan begitu mengujakan yang memandang.
Amat keterlaluan sungguh dunia seni yang mengangkat pendokongnya ke puncak kemasyhuran ini. Sehingga ada istilah artis hak orang ramai. Jadi jangan terlepas tingkah laku yang menyolok mata dan menongkah arus laluan yang normal.
Sedangkan manusia artis yang segelintir itu hanyalah manusia biasa yang tidak sempurna dan sentiasa banyak kekurangannya.
Sebagai manusia biasa milikNya memang tidak lari dari melakukan kesilapan. Tidak ada idola yang boleh ditunjuk dari kalangan artis untuk menjadi ikutan sesiapapun. Kerana diri masing-masing hanya hak yang empunya diri. Bukan milik sesiapa.
Rizal menerima keputusan pemikirannya sebegitu. Hanya Rasululullah S.A.W layak menjadi idola manusia dulu, kini dan selamanya. 
“Ah…apa pula kena mengenanya dengan mama. Tidak payah dibaca. Gossip ni macam mengumpat juga mama. Mengumpat tu berdosa besar hukumnya. Perbuatan itu ibaratnya sama dengan sesaorang yang memakan daging saudaranya sendiri. Sanggupkah di buat? Iih…meloyakan.” Anak itu menggayakan keadaan tekaknya yang kembang dan mahu termuntah. Memualkan.
Majmin terdiam. Diangkat matanya dari majalah yang sedang ditatapnya. Majalah itu dikais ke tepinya. Rizal mencapainya pula. Ingin pula dicarinya topik yang sangat mengujakan mamanya itu. Melonjak pula rasa hati hendak mengetahuinya juga.
“Datuk mana ni mama?” Majmin menyorot bening kolam mata yang tenang berkaca di hadapannya meminta jawapan pasti. Pertanyaan iu dibiarkannya tergantung di awangan.
“Mama syak ayah ke?”
“Tidaklah. Nama pun gosip. Hanya kabar yang tidak pasti kesahihannya. Entahkan sengaja diada-adakan sebagai bumbu cerita untuk menarik minat pembeli bagi menaikan rating jualan.” Majmin menyanggah dugaan anaknya. Semata-mata hendak mengelak prasangka negatif anak itu terhadap ayahnya.
Tetapi dia tidak boleh menolak hakikat bahawa hatinya cuak dan bermain-main dengan perasaan curiga akan kesetiaan suaminya berdasarkan pada perubahan yang ketara diperlihatkannya mutakhir ini.
Majmin terus membisu. Raut wajah mamanya yang seakan menyimpan sesuatu membuatkan perasaan Rizal lemas dan rimas.
“Kenapalah mama ni baik sangat. Apa yang ayah buat semuanya tidak mengganggu mama. Rizal rasa tentu sudah lama ayah buat perangai tidak mengendahkan mama dan hanya menumpukan pada kerjanya saja. Itu kata ayah. Mama tidak pula pernah mahu bertanya. Tanyalah ayah, supaya hati mama kembali tenang.” Rizal cuba hendak mengusir mendung yang menutupi wajah suram mamanya dengan memberi saranan.
“Mama tidak kata pun ayah Rizal ada hubungan dengan…” ayatnya tergantung di situ.
“Ah...sudahlah mama. Mama hendak ke, Rizal tanya pada ayah? Balas Rizal memintas pantas. Wajah mamanya yang polos diraup anak matanya seluruhnya.
Majmin mulai merasa tidak senang hati dengan tindakan yang hendak dilakukan anak kesayangannya dan juga buah hati ayahnya itu.
“Jangan Rizal. Mama tidak mahu Rizal bersikap kurang ajar pada ayah. Rizal dididik supaya memiliki perkerti yang baik. Hormat dan sayang kepada yang lebih dewasa. Apa lagi mama dan ayah sendiri. Lagipun mama rasa ayah memang tidak ada kaitan langsung dengan gosip tu,” ujar Majmin berusaha menenangkan hati anak yang sangat sayangkan mamanya itu. Dan tidak mahu sesiapa pun mengguris perasaannya. Termasuk ayahnya.
Telefon berdering. Mengoyak kesunyian suasananya. Mak Kiah terkedek-kedek berjalan ke arahnya. Gagangnya di capai.
“Rizal…Datuk talipon.” Laung Mak Kiah keras agar didengari kedua-dua beranak yang dilhatnya sedang bersembang dengan pelbagai gaya raut wajah itu. Dia tidak tahu apa yang sedang dibincangkan kedua-duanya.
Rizal memandang mamanya. Ada pertanyaan yang terkandung di anak matanya.
“Pergi jawab cepat.” Arahan mamanya itu seperti pemangkin yang melonjakkannya agar bergegas bergerak untuk menyambutnya dan mengetahui apa kemahuan ayahnya menalipon di awal pagi begini. 

11 comments:

  1. Alahai Datuk satu hari pasti kantul juga dek kerja tak senonoh tu
    Tak tahu anak dia bukan calang-calang anak.

    ps: Nor Kumalasari tempohari masa anak buah kakak kahwen pun ada dtg tau PI. Dia memang sentiasa berjubah hitam dan bertudung hitam. Tinggi lampai dan cantik lagi walau dah berusia.

    ReplyDelete
  2. dato' tu msh xsedar anaknya sdg mmerhati gelagatnya tu...

    yeke ...noorkumalasari sentiasa jelita bersama jubahnya...tq kakzakie...sebelah noor tu my sil kakzakie...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Eh... sebelahnya tu kakak mestilah kenal Fauziah Samad tak asing lagi mana boleh tak kenal :)

      Delete
  3. heh..heh...biasalh tu...tq zumal.

    ReplyDelete
  4. Salam singgah... wahhh berdrama hari ni yer

    ReplyDelete
  5. TQ NAJIB...HEH..HEH...SESEKALI BERDRAMA PULAK...

    ReplyDelete
  6. aduhai datuk shaari..

    akak ini cerita akak buat ke ? seronoklah

    ReplyDelete
  7. Asa syarikat pinjaman pinjaman bersedia untuk meminjamkan mana-mana jumlah yang anda perlukan untuk memulakan perniagaan peribadi anda. kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%, juga jika anda ingin membeli rumah di atas ansuran bulanan kita juga boleh menjual rumah untuk anda. supaya Sila memohon pinjaman pertanian pertanian. jika anda memerlukan hubungan pinjaman e-mel kami: asaloantransfer@gmail.com, anda juga boleh menghubungi e-mel ini: finance_institute2015@outlook.com, Mungkin ada banyak sebab mengapa anda perlu akses kepada beberapa wang tunai tambahan - daripada yang tidak dijangka pembaikan kereta atau rumah untuk membayar perkahwinan anda atau cuti khas. Tetapi apa sahaja yang anda memerlukannya, apabila anda meminjam antara $ 5,000 USD untuk 100,000 USD di atas.

    pengkhususan Syarikat.
    1) Kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%.
    2) Kami juga boleh membeli sebuah rumah pilihan anda dalam mana-mana lokasi pilihan anda.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”