Tuesday, 18 August 2026

SEBALIK LUKISAN MEGA

 ASSALAMUALAIKUM




 

SEBALIK LUKISAN MEGA

 

Safura  mengamati persekitarannya. Tenang, aman damai. Bayu lembut menyentuh wajahnya. Dia duduk di serambi menjuntaikan kaki di tangga paling bawah.  Terpana memandang binaan rumah di sini dengan bentuk berbeza yang berdekatan antaranya tersergam cantik. Teguh berdiri dengan flora pelbagai jenis menghias lanskap halaman. Nampak kehidupan mereka di sini begitu mewah dan selesa pada anggapannya. Tentulah tiada sebarang masalah menjadi maslahah menggeluti kehidupan  mereka sebagai peserta skim MAJU. Dia mulai membanding-bandingnya. Kak Ziah duduk di sisi Safura. Mereka berbalas senyum. Bermula bual bicara ringan awal pagi.

"Suka saya tengok kawan saya yang dah lama menjanda,  la ni dia dah jadi isteri peneroka. Hidupnya cek  nampak senang-lenang, mewah makan minum, banyak duit, tinggal kat rumah batu besaq...berbanding cek yang tinggal kat rumah buruk tepi laut yang duk kerja  menjemuq ikan setiap hari di pengkalan nelayan. Untungnya nasib hidup dia bertemu jodoh dengan peneroka MAJU. Senang-lenang macam Mak Long juga." Kak Ziah tersengih saja mendengar ocehan anak saudaranya yang baru tiba dari Kuala Muda ke rumahnya semalam dengan menaiki bas. Safura ke situ untuk menziarahi emak saudaranya itu dan keluarganya pada akhir tahun. Emak saudaranya itu telah sekian lama tinggal di sini. Sebuah  skim MAJU yang telah diteroka pada awal tahun 60-an.

"Senangnya sekejap saja tu. Mak Long pun tak senang mana. Hidup seadanya saja." Selamba sahaja Kak Ziah  menuturkannya. Dia tersenyum tawar. Mungkin ada sesuatu terpendam dalam dasar kalbunya. Mengenangkan mutakhir ini beberapa perkara berlaku luar dari kebiasaannya. Jika dahulu dia dan suami tiasa beroleh wang perbelanjaan tiap kali jelang hari raya, kini tiada lagi. Wang deviden saham yang dilabur dalam agensi itu perlu dituntut. Kalau tidak pandai gunakan teknologi  maklumat terkini sepertinya dan ramai peneroka generasi seangkatan dengannya, jawabnya tentu tidak akan merasa faedahnya.  Berputih mata termangu-mangu.

"Apa maksud Mak Long?" Safura keliru pula. Merenung wajah emak saudaranya yang masih jelita walaupun telah berusia.

“Cuba Mak Long bagi tau sat kat Cek supaya Cek faham. Awat Mak Long kata lagu tu.” Safura membahasakan dirinya sebagai ‘Cek’ iaitu sebutan penghormatan pada yang lebih berusia daripada dirinya dalam loghat utara ketika bersembang..
         "Kawan hang tu kahwin dengan peneroka yang duda. Selagi  laki dia tak mati, senanglah dia sikit. Bila laki dia dah mati, anak-anak dia dengan arwah bini dia yang tertulis dalam surat perjanjian masa nak jadi peneroka akan mai ambil balik semua reta laki dia. Apa dia nak tuntut? Kawan hang tu bukan ada reta sepencarian dengan laki dia. Semua reta yang ada diperolehi dengan arwah isteri pertama. Sudahnya kawan hang tu terpaksa balik kampung jugak." Jelas Mak Longnya dengan yakin justeru dia adalah isteri peneroka yang tidak kering peluh bekerja di kebun sawit bersama suaminya. Tentulah dia ada harta sepencarian dengan suaminya. Sekiranya takdir menentukan suaminya meninggal dunia lebih dahulu daripadanya, dia akan beroleh hak mengurus lot tanah kebun sawit sebagai pewaris kerana agensi MAJU telah menetapkan begitu dalam surat perjanjian yang di tandatangani sebelum memasuki skim tanah MAJU.

“Setelah isteri peneroka meninggal dunia, anak-anak pula akan tanda tangani surat perjanjian pengurusan lot kebun dan memilih soghang yang layak di antara depa selaku wakil. Hasilnya kelak menjadi sebagai pusaka yang mesti dibahagikan sesama depa.” Kak Ziah menjelaskannya lagi pada anak saudaranya itu. 

“Bukankah pembahagian reta pusaka ikut faraid?” Celah Safura mempersoalkannya.

“Adalah sedikit reta faraid bahagian balu peneroka. Tapi manusia dengan reta dunia selalunya tak jujoq. Langsung tak boleh percaya sangat. Adalah soghang dua yang amanah. Sanggup depa bagi adil kat emak tiri depa. Selalunya depa bolot semua.” Kak Ziah menjelaskannya sambil berkalih duduk melega lenguh.


"Lagu tu ka Mak Long?" Safura ingin

pastikannya. Kak Ziah tersenyum sedikit.

"Lagu tu la cek oi. Hang tak percaya ka? Selama aku duk sini lama dah, itulah

yang aku  duk tengok berlaku. Hang tak payahlah berangan nak kahwin dengan peneroka walau hang ni janda. Baiklah hang kerja jemuq ikan tu...duit yang dapat  kalau hang tak habis nak makan boleh saja simpan untuk masa depan. Tiap tahun hang boleh berjalan bercuti mai rumah aku.” Berjeda malaikat lalu. Sepi seketika.

         “Banyak  dah yang aku dengaq cerita bini baru terpaksa jaga peneroka yang sakit terlantaq. Lepas  tu mai anak-anak tiri halau dia dari rumah bila ayah depa dah mati...kesian kan." Kak Ziah berkisah. Safura cuba menghadam bicara Mak Long. Merenung ertinya.

         “Awal tahun baru 2023 MAJU dah tetapkan akaun bersama pulak bagi suami isteri yang berpisah tapi masih berhak menuntut hasil lot kebun sawit. Macam-macam masalahnya jadi isteri peneroka ni cek oi. Nampak senang di mata saja. Masing-masing ada kereta, rumah pun besaq. Tapi cabarannya pun besaq jugak cek. Masalahnya pun lagilah besaq cek oi. Tak taulah Mak Long nak habaq kalau tak sabaq. Mula-mula dulu ramai juga yang angkat kaki. Tak sanggup hadap susah hidup kat sini.” Kak Ziah menghuraikan segalanya.
         "Tapi kalau dah jodoh nak buat lagu mana kan Mak Long," balas anak saudaranya itu bersahaja. Tersenyum simpul. Safura masih sembunyikan hasrat rahsia sebelum menyatakannya jelas. Wajah lelaki sebaya emak saudaranya bergentayang di matanya. Lelaki itu suka mengusiknya. Dan mengajaknya berkahwin. Tapi dia masih belum beri keputusan. Dia bercadang minta persetujuan emak saudaranya terlebih dahulu.  Emak saudaranya hanya memandangnya sinis.

         “Ikut suka hanglah kalau duk pikiak lagu tu. Tapi kalau terpaksa mengadap segala masalah yang Mak Long dah habaq kat hang tu jangan pulak nak salahkan takdiaq. Sebagai orang tua Mak Long cuma bagi peringat. Mak Long tak mau hang hadap semua masalah gitu. Hang anak menakan Mak Long. Mak Long tak mau hang susah. Mak ayah hang pun dah takdak.” Kak Ziah kembali ke dapur untuk menyiapkan hidangan makan tengah hari suaminya yang akan pulang dari bekerja di kebun sawit. Meninggalkan Safura di serambi sendirian memikirkan kata pesanannya.

         Sinar mentari melimpahkan bahang di tengah hari. Safura bangkit menjejaki langkah Kak Ziah ke dapur. Turut membantu emak saudaranya menyediakan itu ini. Kedengaran deruman enjin motorsikal di luar rumah. Kak Ziah menjenguk daripada pintu dapur yang dibuka sedikit.

         “Abang dah balik ya!” Suaminya menghulurkan botol air dan bekas bekalan makanan yang dibawanya ke kebun sawit. Dia setiap pagi akan ke kebunnya membantu pekerja yang diberi upah menanam benih sawit kerana telah tiba masa tanam semula. Walau daya upayanya kian lemah kerana faktor usia, dia tetap memilih untuk tidak menyerahkan pada pihak MAJU mengurus tanam semula. Dia mengelak untuk berhutang. Dan tidak mahu hasil kebunnya dipotong untuk membayar hutang pengurusan dan pelbagai lagi yang tidak sedikit jumlahnya. Biarlah dia bersusah-payah sedikit menurutnya tidak mengapa. Lot kebun sawit miliknya bergeran seluas 3.4 hektar diusahakan menanam semula.  Anak benih pokok sawit muda disulam berseli pohon sawit tua sedia ada. Dengan cara begitu dia masih beroleh hasil dari pokok tua sementara menunggu pokok sawit muda membesar dan menghasilkan buah. Semua ongkos pembelian benih, baja dan segala keperluan berkaitan pertanian sawit ditanggung sendiri. Menurutnya tanah itu miliknya. Setiap tahun dia membayar cukainya tanpa bertangguh. Dan dia wajib menjaganya sebaiknya. Kelak akan diwariskan sebagai pusaka pada anak cucunya. Mengapa pula dia wajar menyerahkan pada pihak lain menguruskannya sedangkan dia mampu melakukannya dengan kudratnya. Langkahnya juga diikuti beberapa peneroka yang bersedia menghadapi cabarannya.

Kak Ziah menghidangkan makanan yang sudah disediakannya di atas meja. Dan mengajak Safura menjamu selera. Suaminya menarik kerusi lalu duduk bersebelahannya setelah dia usai tunaikan solat zohor.

         “Tadi Man datang kebun jumpa aku kat kebun nak pinjam duit. Katanya nak buat belanja anaknya masuk universiti.” Kak Ziah mengenali Rahman dan keluarganya yang tinggal di hujung kampung.

         “Abang bagi?”

         “Bagilah sikit setakat yang ada.”

         “Dia kan serah tanam semula pada MAJU PERTANIAN. Tiap bulan kan dapat duit pinjaman sara hidup. Kita ni tak ada pun sebab tanam sendiri.”  

         “Duit sara hidup seribu saja agensi tu bagi, mana nak cukup. Harga barang mahal. Anak-anak ramai nak tanggung. Tiap hari kena guna duit nak buat belanja macam-macam”

         “Jenuh nak pekin belanja kalau duit sikit, rega barang mahai.” Celah Safura.

         “Kat kampung rega barang tak mahai sangat. Boleh lagi nak hidup. Kalau di sini rega barang lebih mahai dari KL.” Tambah Pak Long.

         “Hang duk kampung tak susah kan? Nak makan nasi, tanam padi kat bendang tanah pusaka. Ikan nak buat lauk senang cari dalam bendang, dalam laut. Kat sini semua kena beli walau rega mahai. Tak beli tak makan. Makan kenyang-kenyang Fura. Rezeki kita anak-beranak ada. Allah bagi. Tambah lagi nasi.” Kak Ziah mendekatkan mangkok besar nasi tambah sisi Safura.

 

         Mereka menjamu selera dengan menu kampung biasa. Namun lengkap khasiat seimbang dengan nasi panas berlauk ikan selar kuning goreng, gulai ikan pelaling, sambal belacan berserta pucuk ulam raja.

         Suasana malam hening. Usai solat isyak berjemaah dengan Mak Long dan Pak Long,

Safura duduk bersimpuh di ruang tamu menonton siaran TV. Kak Ziah dan suaminya turut berada bersamanya.

         “Esok cek nak balik dah. Cuti cek hujung tahun sat ja. Cek mai sini nak jumpa Mak Long, Pak Long ja nak tau habak. Sebab lama dah tak balik kampung.”

         “Macam mana la nak balik kampung Fura, Pak Long hang ni duk kalut tanam semula sawit. Tak boleh nak tinggai sebab tanam sikit-sikit. Tak siap-siap lagi.”  

         “Tu yang cek mai nak ajak Pak Long, Mak Long balik kampung makan kenduri cek.”

         Bulat mata Kak Ziah merenung wajah anak saudaranya. Terkejut sungguh.

         “Alhamdulillah dah sampai jodoh hang. Sapalah yang nak jadi menantu Pak Long dan Mak Long ni?” Pak Long tersenyum turut berkongsi kebahagiaan anak saudaranya.

         Kak Ziah masih kebingungan tertanya-tanya. Dia cuma berharap anak saudaranya itu membuat pilihan tepat demi masa depan hidupnya.

         “Awat Mak Long pandang cek lagu tu? Mesti Mak Long sangka cek nak kahwin dengan peneroka kan? Taklah! Cek nak kahwin dengan orang kampung kerja tangkap ikan kat laut ja. Mak Long, Pak Long bukan kenai pun. Kalau Pak Long, Mak Long tak setuju, tak jadilah cek nak buat kenduri kahwin. Hih..hih,”  jelas Safura diakhiri tawa halus.

         “Berkahwin tuntutan sunah. Rezeki dalam perkahwinan amat luas. Pak Long, Mak Long setuju saja. Takkanlah kami tak setuju. Nanti hang talipon bagi tau bila tarikh kenduri nanti Pak Long, Mak Long balik dengan Nani. La ni dia p kursus apa pun tak tau. Kerja cikgu lagu tu la. Bukan lekat kat rumah.” Rahmat memperikan hal anak tunggalnya itu.

         Safura bersyukur kerana Pak Long, Mak Long tidak menentang hasratnya. Dia merasa lega. Tapi masih berat mulutnya memberitahu tentang bakal suaminya pemilik perniagaan tempatnya bekerja menjemur ikan.

.

Tamat

 

Glosari:

Soghang - seorang

Pikiaq - fikir

Mai - datang

La ni – tika ini

Menjemuq - menjemur

Reta - harta

Lagu tu – persis itu

Jujoq – jujur

Pekin - berjimat

Habaq – khabar

Besaq – besar

Takdiaq – takdir

Peringat – mengingatkan

Sabaq – sabar

Depa – mereka

Cek – saya

Hang – awak

MAJU – Maju Ardi Makmur


Sunday, 16 August 2026

FALSAFAH AIR

 ASSAL.AMUALAIKUM


SELAMAT BERHUJUNG MINGGU

grafik sifu TA terima kasih sifu


Alhamdulillah terima kasih banyak Tn Editor DEWAN SASTERA sudi siarkan karya PI puisi talibun seadanya berjudul FALSAFAH AIR dalam JENDELA DBP terharu sungguh sangat terhutang budi.

https://dewansastera.jendeladbp.my/2026/08/14/22426/?fbclid=IwY2xjawTuGKlwZG9mBWV4dG4DYWVtAjExAGJyaWQRMTF5OF



FALSAFAH AIR

.

Pair terhenyak meronda malam,

lugai siakap lada diramu,

berlegar-legar lesung carinya;

air beriak tanda tak dalam,

bagai bercakap tiada ilmu,

berdegar-degar kosong isinya.

.

Meletak pancang lada diretus,

tergedik-gedik galau beranduh,

jeda di pangkin rakan gelisah;

air dicencang tiada putus,

adik beradik walau bergaduh,

tiada mungkin akan berpisah.

.

Mujair legam waspada hiris,

terhenti-henti jila sahaja,

di para ara suar dikuit;

air digenggam tiada tiris,

berhati-hati kala belanja,

berkira-kira keluar duit.

.

Khair meranum markisa cari,

sambil tanamkan benihnya rokam,

redih bercermat gara berulang;

air diminum terasa duri,

nasi dimakan terasa sekam,

sedih teramat selera hilang.

.

Terasa  aneh ciak tersadai,

di sisi kandil terpaku nanar,

padah tatkala meniti sena;

air yang jernih sayak yang landai,

sepantun adil berlaku benar,

mudah segala pasti sempurna.

 



Saturday, 15 August 2026

KISAH AJIAD

 ASSALAMUALAIKUM



KISAH AJIAD

Genre: Novel Kanak-kanak Bergambar
Penulis: Noorlaila Ghafar
Pelukis: Azya Mat Rawi
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
ISBN: 978-983-49-5923-4 (Sastera Kanak-kanak)
Bilangan halaman: 67
Harga: RM25.00
Tahun terbitan: 2026
Pengulas: Paridah Ishak

Naskhah KISAH AJIAD merupakan sebuah novel kanak-kanak bergambar hasil nukilan Noorlaila Ghafar, seorang penulis mapan yang aktif berkarya dalam pelbagai genre sastera sejak tahun 1976. Karya beliau, khususnya dalam bidang novel dan sastera kanak-kanak, banyak diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Selain menghasilkan karya kreatif, beliau turut berpengalaman sebagai penyelenggara beberapa buah antologi. Puisi-puisi beliau juga banyak tersiar dalam penerbitan SPTA serta pelbagai media massa.

Ketekunan dan kesungguhan penulis dalam dunia kesusasteraan tanah air tetap terserlah walaupun beliau telah bersara daripada kerjaya perguruan. Sebagai pesara guru yang masih aktif mengajar kelas agama, menyantuni masyarakat setempat dan menyampaikan ilmu, pengalaman serta keprihatinan beliau terhadap pendidikan turut terpancar melalui karya ini.

Melalui KISAH AJIAD, penulis mengetengahkan kisah beberapa haiwan yang disebut dalam al-Quran dengan menghubungkaitkannya dengan pengalaman dan peristiwa yang dilalui oleh watak utama, Ajiad, seorang kanak-kanak yang masih bersekolah rendah. Cerita ini dikembangkan melalui sepuluh situasi yang berbeza. Setiap tajuk dimulakan dengan kisah Ajiad berhadapan dengan sesuatu peristiwa sebelum penulis menghubungkannya dengan kisah haiwan atau makhluk yang terdapat dalam al-Quran.

Sepuluh tajuk yang diketengahkan adalah seperti berikut:

  1. Lembu Betina – berkaitan dengan Surah al-Baqarah.
  2. Manusia Jadi Monyet – kisah Bani Israel yang menerima hukuman kerana melanggar larangan Allah berkaitan dengan hari Sabtu.
  3. Unta dari Celah Gunung – kisah mukjizat Nabi Saleh a.s.
  4. Kuda Perang – berkaitan dengan Surah al-‘Adiyat.
  5. Sarang Semut – berkaitan dengan Surah al-Naml dan kisah Nabi Sulaiman a.s.
  6. Burung Hud-hud yang Bijak – kisah Nabi Sulaiman a.s.
  7. Tentera Bergajah – berkaitan dengan surah al-Fil.
  8. Burung Gagak – kisah Nabi Adam a.s.
  9. Labah-labah – berkaitan dengan surah al-‘Ankabut.
  10. Tongkat Menjadi Ular – kisah Nabi Musa a.s.

Penyampaian cerita dalam naskhah ini menggunakan ayat yang mudah dan jelas, sesuai dengan tahap pemahaman pembaca kanak-kanak. Pada masa yang sama, kandungannya sarat dengan nilai murni yang boleh membentuk keperibadian pembaca, antaranya kasih sayang, hormat-menghormati, kerajinan, semangat bekerjasama, kecintaan terhadap alam sekitar serta kepentingan menuntut ilmu.

Pendekatan penulis yang menggabungkan pengalaman kehidupan kanak-kanak dengan kisah-kisah yang mempunyai nilai kerohanian menjadikan naskhah ini bukan sekadar bahan bacaan yang menghiburkan, malah turut berfungsi sebagai medium pendidikan. Kanak-kanak diperkenalkan kepada kisah-kisah dalam al-Quran melalui penyampaian yang ringan, dekat dengan dunia mereka dan mudah difahami.

Dari segi fizikal, buku ini diterbitkan menggunakan kertas yang berkualiti dengan ilustrasi berwarna-warni hasil sentuhan pelukis, Azya Mat Rawi. Ilustrasi yang menarik dan mempesona membantu menghidupkan watak serta suasana dalam cerita, sekali gus menjadikan pembacaan lebih menyeronokkan dan sesuai dengan sifat pembaca kanak-kanak yang cenderung kepada bahan visual.

Kesimpulannya, KISAH AJIAD merupakan sebuah karya yang menggabungkan unsur cerita, pendidikan, agama dan nilai murni dalam bentuk yang menarik. Naskhah ini sesuai dijadikan bahan bacaan kanak-kanak di rumah mahupun di sekolah kerana mampu menyemai kecintaan terhadap ilmu, alam sekitar dan kisah-kisah yang terkandung dalam al-Quran sejak usia muda. Lebih penting lagi, karya seperti ini turut membantu memperkenalkan khazanah sastera Melayu yang berteraskan nilai kerohanian Islam kepada generasi baharu

Friday, 14 August 2026

DZATUL IMAD

 ASSALAMUALAIKUM



Imej ini secara simbolik gambaran berdasarkan kisah Kaum 'Ad iaitu kaum Nabi Hud a.s yang dibinasakan  akibat kesombongan mereka.

Firman Allah dalam al-Quran surah al-Fajr ayat 6-8 tentang Iram Dzatul 'Imad (kota bertiang tinggi),

 

 

   "Tidakkah engkau memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap kaum 'Ad? (Iaitu penduduk) Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi, yang belum pernah dibina seperti itu di negeri-negeri lain."

Nabi Hud a.s diutus  Allah SWT kepada kaum 'Ad, yang hidup selepas kaum Nabi Nuh a.s. Mereka menetap di kawasan al-Ahqaf, iaitu wilayah berpasir di selatan Semenanjung Arab.

Kaum 'Ad dikurniakan tubuh besar dan kuat, memiliki kemahiran membina bangunan tinggi. Allah SWT mengurniakan mereka tanah yang subur dan kehidupan yang senang. Mereka  semakin sombong, menyembah berhala dan menindas golongan  lemah. Berbangga  dengan kekuatan dimiliki sehingga merasakan tiada siapa mampu mengalahkan mereka.

Lalu Allah mengutus Nabi Hud a.s daripada kalangan mereka. Baginda menyeru kaumnya agar meninggalkan penyembahan berhala dan mentauhidkan Allah. Dan mengingatkan mereka supaya bersyukur atas nikmat yang dikurniakan.

“ Wahai kaumku! Sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain-Nya.” Surah Hud, ayat 50.

 

Kaum  'Ad menolak dakwah Nabi Hud. Mereka menuduh baginda seorang yang bodoh, pendusta dan gila. Mereka berkata bahawa kekuatan mereka tidak mungkin dapat dikalahkan oleh sesiapa.

 

Nabi Hud berdakwah bertahun-tahun. Tapi kaum ‘Ad menolaknya. Allah SWT menimpakan kemarau yang panjang.

Baginda menyeru kaumnya bertaubat. Nescaya Allah akan menurunkan hujan yang lebat, menambahkan kekuatan mereka serta melimpahkan lagi keberkatan kehidupan mereka.

 

Namun mereka berdegil. Awan  hitam berarak di langit dan mereka menyangka membawa hujan yang dinantikan.

Sebenarnya  membawa azab Allah. Angin  kencang dan sejuk, bertiup selama lapan hari tujuh malam membinasakan kaum’Ad.

Nabi Hud a.s. bersama orang-orang yang beriman diselamatkan oleh Allah daripada bencana tersebut.

 

Kisah Nabi Hud a.s. disebut dalam beberapa surah al-Quran, antaranya surah Hud, Surah al-A'raf, surah al-Ahqaf, surah asy-Syu'ara', surah al-Haqqah dan surah al-Qamar.


Thursday, 13 August 2026

ASYRAF

 ASSALAMUALAIKUM

ASYRAF



Korang nak tahu tak, sekarang aku dalam mood bersedih. Mungkin untuk dua bulan ni, bukan sebab aku putus cinta eh.
Jangan salah faham.
Aku dah kahwin.
Aku sedih sebab staff kesayangan aku, nama dia Asyraf, tengah “cuti” dua bulan.
“Arrr KJ… dia sorang je ke staff kesayangan kau?”
Tak.
Bukan semua staff aku aku sayang dengan cara yang sama. Setiap orang ada kelebihan masing-masing. Tapi Asyraf ni ada satu benda yang aku paling suka.
Dia selalu ingatkan aku solat.
Kadang-kadang bila aku tengah sibuk gila, dia akan datang depan aku.
“Boss… solat jom.”
Aku pun pernah la satu hari tu nak mengelat. Aku cakap,
“Syaf, kau pergi lah solat dulu. Nanti aku solat.”
Korang tahu dia buat apa?
Dia ikut aku, aku pergi mana, dia ikut. Aku masuk tempat lain, dia ikut. Sambil ulang ayat yang sama
“Boss… solat jom.”
Asyraf ni kalu korang nak tahu dia tak berapa pandai cakap Bahasa Melayu. Aku rasa dia cuma hafal tiga perkataan.
Boss.
Solat.
Jom.
Itu je.
Aku rasa ayat tu dia hafal sebab nak hadap aku seorang je. Tapi sebenarnya, benda macam ni yang buat aku sayang dia.
Dia bukan sekadar staff, dia selalu ajak aku kepada benda yang baik.
Asyraf ni geng tabligh.
Setiap minggu kadang-kadang dia akan panggil geng dia datang kandang. Pakistan ada, melayu ada, cina pun ada.
Duduk ramai-ramai, makan sama-sama, sembang pasal agama.
Dan aku baru tahu, geng dia ni bukan calang-calang orang. Ada yang buat bisnes besar. Tapi bila datang kandang aku, semua duduk macam orang biasa.
Satu lagi benda yang aku suka pasal Asyraf, dia rajin baca Al-Quran.
Pagi baca.
Petang baca.
Malam baca.
Kalau ada masa, dia baca lagi. Aku pula nak cakap macam mana, aku ni tak pandai baca Al-Quran. Jadi kadang-kadang bila dia tengah baca, aku duduk sebelah dia.
Kadang-kadang aku baring atas peha dia, sambil dengar dia baca Al-Quran, kadang sambil usap rambut aku.
Best weh.
Korang bayangkan, korang baring atas peha orang, suasana tenang, orang tu baca Al-Quran perlahan-lahan sambil usap kepala kita.
Memang boleh melayang sekejap.
Mula-mula dulu Asyraf tak boleh brain perangai aku. Aku selalu baring atas peha dia sambil suruh dia belai rambut aku.
Dia mungkin dalam hati,
“Ni boss aku ni kenapa?”
Korang jangan fikir bukan-bukan.
Aku normal.
Aku memang dari kecil kalau nak tidur, rambut kena ada orang belai. Itu je perangai pelik aku. Sampai sekarang dan tua pun terbawa-bawa.
Tapi tu lah, sekarang Asyraf dah tak ada. Hari terakhir sebelum dia cuti, aku sempat cakap dekat dia,
“Asyraf, nanti jangan lupa balik semula ya.”
Dia tak jawab, dia cuma senyum. Aku tak tahu dia faham ke tak apa yang aku tanya.
Tapi aku percaya, dia akan balik.
Sekarang ni baru beberapa hari dia tak ada, rasa macam ada satu benda yang hilang. Kadang-kadang bila nak tidur, aku teringat kat dia.
Terbayang suara dia…
“Boss… solat jom.”
Aku senyum sorang-sorang. Dulu ayat tu kadang-kadang buat aku rasa nak lari. Sekarang bila tak dengar, aku pula yang rindu.
Dan aku rasa, antara rezeki terbesar dalam hidup ni bukan semata-mata duit. Kadang-kadang Allah hadirkan seseorang dalam hidup kita untuk ingatkan kita kepada Dia.
Ada orang hadir untuk tolong kita cari rezeki.
Ada orang hadir untuk buat kita ketawa.
Ada orang hadir waktu kita susah.
Dan ada orang macam Asyraf, yang tugas dia cuma tiga perkataan:
“Boss solat jom.”
Tapi tiga perkataan tu mungkin jauh lebih besar nilainya daripada yang dia sendiri sedar. Aku doa Allah jaga Asyraf sepanjang dia “cuti” dua bulan ni.
Mudahkan urusan dia.
Jaga iman dia.
Murahkan rezeki dia.
Dan, baliklah cepat-cepat Syaf. Kandang ni ada orang rindu kau…