Friday, 13 November 2026

SENJA DI BEKOR

 ASSALAMUALAIKUM


SALAM JUMAAAT MULIA

 


 

SENJA DI BEKOR

 

Cuti sekolah baru bermula. Biasanya pada percutian yang agak panjang, ibubapaku akan membawaku dan adikku pulang ke kampung bapaku di Bekor. Sebuah  kampung terpencil berdekatan Manong di Perak. Balik ke kampung memang kesukaanku.

“Kita bertolak petang Jumaat, setelah ayah pulang dari pejabat ya!” Kata ayahku.

Aku dan Aman menolong Ibu menyiapkan semua keperluan yang hendak dibawa pulang ke kampung..

            Bergulir roda kereta dipandu ayahku dengan cermat melintasi bandar, pekan dan kampung menuju destinasi. Aku terbayang-bayang keseronokan bermandi-manda di lata Ulu Kenas dan merendam kaki di air panas Ara Panjang. Lebih teruja lagi aku hendak mengutip durian di dusun arwah Datukku. Lagipun kini durian sedang bermusim. Alangkah nikmatnya makan durian yang baru gugur di dusun,

            Hari meremang senja. Ayah tiba-tiba menghentikan kereta di pinggir jalan. Aku lihat seseorang berada di situ.

            “Yeop hendak ke mana? Mari saya hantarkan.” Tanya ayahku.

            “Saya hendak ke Bekor.” Balas pemuda itu.

            “Oh! Samalah arah kita.” Aku menyalami pemuda yang duduk bersebelahanku. Kurasa tangannya sejuk gedi. Dia tersenyum memandangku.

            “Turunkan saya di gelanggang silat di sana. Kawan-kawan saya belajar silat di sana. Tuk ketua kampung, Haji Amin mengarahkan kami semua pemuda kampung dan penduduk Bekor belajar seni mempertahankan diri.”

            “Oh!” ayahku bersuara sepatah. Perlahan amat. Seakan tersangkut di kerongkongannya.

            Sebaik tiba di gelanggang itu pemuda itu pun turun dari kereta seraya mengucapkan terima kasih. Ayah meneruskan perjalanan ke rumah Opah.

Opah dan Datukku telah kembali pada-Nya lama dahulu. Kini kakaknya yang tinggal di situ. Ayahku memanggil kakaknya “Yong” tanda hormat adik pada kakaknya.

            “Yong sejak bila ada gelanggang silat dekat dengan rumah kita ni. Saya balik tahun lepas tak nampak pun.”

            “Gelanggang silat? Entah. Yong  pun tak tahu sejak bila ada.” Mak Long Pauziah, kakak ayahku terpinga-pinga. Tapi tersenyum sekilas.

            “Mungkin gelanggang silat itu muncul semula setelah hilang dalam perang Bekor 1946 dulu untuk bagi kamu lihat.”

            “Isyh Yong ni!”

            “Kamu tak ingatkah kata Opah dan Atuk kita ada gelanggang silat dibuka hujung jalan dekat rumah kita sebab orang sini berperang mati-matian melawan komunis. Mereka menggunakan parang panjang dan berselempang merah. Ramai juga yang syahid. Dan dikebumikan sekitar tempat ditemui. Ketua kampung masa tu Haji Amin.”

            “Haji Amin?”

Mak Long Fauziah mengangguk.

            “Yong cerita apa Yong ingat ja.”

Sembang antara Ayah dan Mak Long aku dan Aman mengikutinya. Ibu pula sibuk memasak di dapur. Pemuda yang duduk di sebelahku dalam kereta tadi amat misteri. Dia berbaju hitam dan berseluar hitam juga bersongkok hitam. Wajahnya putih. Keharuman tubuhnya semerbak. Terngiang-ngiang dia menyebut Haji Amin

            Ayah memandangku. Tiba-tiba kulihat wajah ayahku seiras pemuda itu.

            “Amir, Aman, kamu dah solat?”

            “Belum!” balasku.

            “Cepat pergi mandi dan solat berjemaah dengan ayah.”

            Aku mengajak Aman menemaniku mandi dan berwuduk.

            “Abang takut ke?” adikku tersenyum sinis.


BEKOR SEJARAH TRAGIS

 

 

Perjuangan warga desa Bekor

Sungai Perak alir hikayat

arus mengusung tragedi sejarah

saksi hayat maujud zahir berpulang sudah

mengadap Kekasih

 

Perang Mac 1946

moyang bertarung nyawa

 enggan kehilangan tanah

milik nan sejengkal

.

Berpadu satu

demi pertahan  warisan pusaka

bermati-matian berpencak silat

berparang panjang mengejar musuh

mengajar penjarah ditelan  belantara

bertumpah darah

 

Al-Quran akidah iman

tawakal pasrah reda

kehendak-Nya jua

berlaku segala

kun faya kun

 

Genggam kemas asa

Bekor  tercinta dibela

Melayu menggempur pencerobohan hak

tinta menukil kenangan perih

 

 

PARIDAH ISHAK

Desa Melor Serendah

12/12/023


2 comments:

  1. kdg2 perkara yg sederhana mcm ni pn boleh buat hati rs tenang...

    ReplyDelete
  2. nenek moyang kita berkorban mempertahankan bumi melayu ini dai dicerobohi oleh pengganas komunis. Semoga roh mereka dicucuri Rahmat. Aamiin...

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”