Thursday, 29 October 2026

PENYUNTING BUKU

 ASSALAMUALAIKUM


 


 

PENYUNTING BUKU

.

Sebuah  karya perlu disunting

nampak padanya begitu penting

kerjanya lambat

masa dihambat

banyak salahnya mula melenting

.

Satu  persatu diksi teliti

ayat disusun bersilih ganti

tetap bersabar

meski berdebar

jantung berdegup mahu berhenti

.

Penulis  mahu kongsi kisahnya

nyata menarik pengalamannya

naratif sedih

jiwanya pedih

penyunting baca gugur tangisnya

.

Suatu  sisi kepala pening

suasananya walaupun hening

tatabahasa

galau terasa

mengunyah kangkung bagaikan baning

 

PENGULAS BUKU

.

Ketika  rajin mengulas buku

hilang segala rasa terbuku

ralit teliti

berhati-hati

sukar fahami menung di bangku

.

Berjeda  dulu fikir saksama

gelora debar melanda sukma

mula mengulas

meminggir culas

runsing mengganggu tiba menggema

.

Ulasan  akhir siaplah sudah

berpuas hati susunan madah

segera hantar

walaupun gentar

editor tolak silu menggundah

.

Masihlah  jua cekal semangat

pesanan Sifu mengimbau ingat

isi kandungan

jadi renungan

silap ditegur bisa tersengat

.

PENJERAT UNGGAS

.

Di  celah awan terbanglah unggas

melayang-layang lagaknya langgas

penjerat pandang

sedia sundang

hendak menjerat diserang agas

.

Masihlah  cuba pelbagai cara

hadap risiko tanpa mengira

asalkan dapat

dipanah tepat

menyisi pula terkena kera

.

Terasa  amat terlalu kesal

memasang umpan pucuknya sisal

menanti-nanti

berhati-hati

ular menyelit mencari fasal

.

Tegar  usaha daya menjerat

walau dibelit pantas dikerat

disengat kala

bisa menggila

mengerang sakit dibingkas jerat


6 comments:

  1. Menarik rangkaian puisi ini, terutama kisah penyunting dan pengulas buku yang menuntut kesabaran serta ketelitian. 🌿 Bahagian penjerat unggas pula penuh cabaran dan kejutan. Terserlah bahawa setiap usaha ada dugaan tersendiri, bukan semudah yang disangka.

    ReplyDelete
    Replies
    1. tksh syaz ulasan puisi menarik n bertepatan

      Delete
  2. satu kerjaya yg memerlukan ketelitian ialah penyunting buku. Sy pula sbg guru Bahasa Inggeris kena membaca n menyemak skrip jawapan murid2 sy... cuma skop je berbeza..

    ReplyDelete
    Replies
    1. tksh cikgu kerja menyunting n menyemak perlu penilitian

      Delete
  3. Pakar bahasa dan penulisan yang sesuai menyunting buku

    ReplyDelete
  4. nak jd penyunting buku ni bukan senang
    sabar kena banyakkkkkkkkkk

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”