ASSALAMUALAIKUM
Wednesday, 30 September 2026
KEHILANGAN CINTA
Tuesday, 29 September 2026
SEKUNTUM MAWAR PUTIH
ASSALAMUALAIKUM
BELASUNGKAWA TUN SITI HASMAH
.
SEKUNTUM MAWAR PUTIH
.
cahaya pagi
sekuntum mawar putih
kelopak suci
seri ruangan hening
wajah harum sempurna
.
Tun Siti Hasmah
sekuntum mawar putih
gubahan indah
sanggar alam negara
puspa kenangan syahdu
.
lukisan cinta
sekuntum mawar putih
senyuman luruh
ribaan Tun Mahathir
berpisah sementara
PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
29/9/026
Monday, 28 September 2026
ARTIS BLOGGER FAUZIAH SAMAD
ASSALAMUALAIKUM
Sunday, 27 September 2026
TERLEKA
ASSALAMUALAIKUM
.
Kalau terleka mencari ilmu,
lerai
masalah sukar bertemu.
.
Andainya leka dengan hiburan,
lupa
segala jiwa kasmaran.
.
Jika terleka tersalah pilih,
sesal
terasa datang bersilih.
.
Justeru leka bermain sukan,
hilang
upaya derita sakan.
.
Terleka tidak berhati-hati,
nescaya
langkah sukar meniti
.
Akibat leka mengejar maju,
tentu
tersasar arah dituju.
.
Asbab terleka pegang kuasa,
kehilangannya
perih terasa.
.
Terleka
dengar puji-pujian,
sebalik
nyata ngilu kejian.
PRINSIP
.
Jikalau prinsip selalu goyah,
ujian rintang merasa payah.
.
Jadikan prinsip umpama lalang,
segala impi aral menghalang.
.
Andainya prinsip dipegang teguh,
tegak berdiri hasrat bersungguh.
.
Jikalau prinsip diambil mudah,
akhir segala tiada sudah.
.
Jikalau prinsip benar terjaga,
cekal menghadap apa menduga.
.
Jikalau prinsip serta iktikad,
akan sempurna selari tekad.
.
Biarkan prinsip diambil ringan,
ketara telah hilang pegangan.
.
Jikalau hidup tiada prinsip,
kelemahannya nyata tersisip.
Friday, 25 September 2026
GAJAH TERBANG
ASSALAMUALAIKUM
APA JAWABNYA
.
Galau merajah dingin bersembang,
gerangan sanggah kemahuannya;
jikalau gajah teringin terbang,
dengan apakah keperluannya?
.
Tersalah bijan tergesa arun,
merayang kini diusik durja;
hanyalah hujan tiasa turun,
namun yang ini naik sahaja.
.
Terasuk diri telah berjangkit,
ngeri begini ratib digesa;
tertusuk duri memanglah sakit,
duri yang ini wajib merasa.
.
Langkah menghala adi ke pekan,
belikan andak buah mertajam;
apakah pula yang dipulangkan,
sedangkan tidak pernah diipinjam.
.
Galah direntang meradak banar,
sulam segerah serata nangka;
sejumlah bintang tidak bersinar,
dalam sejarah mencipta luka.
.
Thursday, 24 September 2026
LORONG TAKDIR
ASSALAMUALAIKUM
LORONG TAKDIR
Takdir
janji Allah
yakin reda pasrah
tawakal amal ibadah
iman
.
Denai
simpang-siur
lorong hidup lalu
cuaca berubah musim
gusar
.
Leka
sukacita
tangis sedih pedih
rawat pulih muram durja
rasa
.
Rahmat
nikmat hikmat
rahsia sembunyi
diam dalam bijaksana
fikir
LUPA
.
Detak
saat lalu
kau telah lupakan
egala tentang diriku
pilu
.
Biar
deru rindu
serbu ulik buram
hadirmu kunanti tiba
tabah
.
Waktu
gulir hari
minggu ganti bulan
tahun jelma dasawarsa
rindu
,
Reda
lupa cekam
hilang sudah ingat
bahawa daku sisimu
sinis
Wednesday, 23 September 2026
LUKISAN LAMA
ASSALAMUALAIKUM
LUKISAN LAMA
CITRA LUKISAN LAMA KELIHATAN KABUR WARNANYA DALAM RUANGAN MAYA...PI PUN CUBA SURUH GOOGLE DAN CHATGPT JELASKAN WARNANYA...BEGINILAH HASILNYA
Tuesday, 22 September 2026
KENANGAN YANG TERKESAN
ASSALAMUALAIKUM
KENANGAN YANG TERKESAN
.
Genre: Antologi Anekdot & Travelog
Penyelenggara: Nurimas SN, Sarimah Abu Bakar
Penulis: 34 orang
Penerbit: Akademi Sanggar Nurimas
ISBN: 978-6299-600985 (Sastera Kehidupan)
Bilangan halaman: 240 halaman
Harga: RM30.00
Tahun terbitan: 2026
Pengulas: Paridah Ishak
.
Antologi KENANGAN YANG TERKESAN terbitan Akademi Sanggar Nurimas merupakan himpunan karya 34 orang penulis tanah air dalam dua genre pilihan, iaitu anekdot dan travelog. Karya-karya yang dimuatkan merakamkan pengalaman, kenangan, peristiwa serta kisah kembara para penulis, sama ada di dalam mahupun di luar negara. Naskhah ini diselenggarakan oleh dua penulis, iaitu Nurimas SN dan Sarimah Abu Bakar.
Sebanyak 20 penulis, iaitu Almas Kirana, Daud Abd. Razak, Eiza Nashwa, Farah Izati, Fateh Rais, Fauziah Mohd. Yusuf, Hidayah Azhar, Jaime Kangoi, Laila M, Murley Giman, Noor Rafidzilliah, Norina Mohd. Nor, Rajawali, Sal Omar, Serikandi Medikasi, Syarifah Fariah, Tinta Kencana Dewi, YG Yusri, Zir Iman dan Nurimas SN, menampilkan karya berbentuk anekdot. Ada yang mengetengahkan tiga tajuk, manakala sebahagian yang lain memilih satu atau dua tajuk berdasarkan pengalaman yang ingin dikongsikan.
Anekdot yang dipersembahkan cukup pelbagai dan menghiburkan. Setiap penulis mempunyai cara tersendiri dalam mengolah pengalaman menjadi cerita yang menarik untuk ditelusuri pembaca. Unsur kelucuan, kejutan, pengalaman peribadi dan pengajaran menjadikan karya-karya tersebut lebih dekat dengan kehidupan.
Antaranya ialah anekdot Syarifah Fariah yang mengetengahkan pengalaman bersama anak cucunya menaiki roller coaster di Kuala Lumpur. Pengalaman yang mendebarkan itu bukan sahaja menggambarkan rasa takut dan cemas, malah diselitkan dengan unsur kelucuan yang mencuit hati. Pengalaman sebegini memperlihatkan bahawa sesuatu peristiwa yang mencemaskan pada ketika berlaku boleh bertukar menjadi kenangan manis untuk dikenang dan dikongsikan.
Bahagian kedua pula menghimpunkan catatan pengalaman kembara yang ditulis oleh Asyifa Syauqina, Bunga Melor, Hakimah Maziah, Jamilah Rejab, Jenny Omar, Mohd. Khairudin Lim, Noorlaila Ghafar, Noridah Shaari, Noris61, Rosnani Mat, Siti Aminah Mohamad, Timura Hamid, Wardah Chili, Sarimah Abu Bakar dan Sabariah Eyda Yaakob.
Catatan-catatan ini membawa pembaca menyusuri pelbagai destinasi di dalam dan luar negara, antaranya Thailand, Vietnam, Indonesia, Perancis, Korea, China, Iran dan Mekah. Setiap perjalanan mempunyai cerita serta pengalaman tersendiri yang memberikan warna kepada antologi ini.
Sabariah Eyda Yaakob, misalnya, memilih Kuala Lipis sebagai destinasi kembaranya. Bunga Melor pula merakamkan kenangan indah di Melaka, manakala Noorlaila Ghafar berkongsi pengalaman menunaikan ibadah haji bersama suaminya. Beliau turut merakamkan peristiwa kebakaran khemah jemaah haji di Mina yang menjadi sebahagian daripada pengalaman perjalanan tersebut.
Jamilah Rejab pula mengetengahkan pengalaman kembaranya di Iran, sebuah negara yang mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang tersendiri. Catatan seperti ini memberikan peluang kepada pembaca mengenali sesebuah tempat bukan sahaja melalui gambaran alam dan destinasi pelancongan, tetapi juga melalui pengalaman peribadi penulis.
Antologi ini menjadi lebih menarik kerana setiap penulis membawa perspektif yang berbeza. Ada yang menekankan keindahan tempat yang dikunjungi, ada yang merakamkan pengalaman lucu dan mencemaskan, manakala ada pula yang mengangkat nilai kekeluargaan, persahabatan, keinsafan dan pengalaman kerohanian.
Kenangan yang dilalui ketika berkelana, walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran, merupakan pengalaman yang amat mahal harganya. Pengalaman tersebut tidak dapat diulang dengan cara yang sama, tetapi dapat diabadikan melalui tulisan untuk dikongsi bersama pembaca.
Selain catatan berbentuk naratif, antologi ini turut dilengkapi gambar-gambar berwarna yang berkaitan dengan peristiwa dan destinasi yang dirakamkan. Kehadiran gambar tersebut membantu pembaca membayangkan suasana serta menghidupkan lagi pengalaman yang diceritakan.
Secara keseluruhannya, KENANGAN YANG TERKESAN merupakan sebuah antologi yang menghimpunkan pelbagai pengalaman penulis dalam bentuk anekdot dan catatan kembara. Kepelbagaian gaya, pengalaman dan destinasi menjadikan naskhah ini sebuah himpunan kenangan yang bukan sahaja menghiburkan, malah memberikan ruang kepada pembaca untuk melihat kehidupan melalui pengalaman orang lain.
Monday, 21 September 2026
DIARI
ASSALAMUALAIKUM
DIARI
Waktu dahulu telah berlalu
pena menulis pengalamannya
bersilih rasa ceria pilu
lembaran buku penuh kisahnya
.
Setiap hari tiada jemu
berganti minggu jelma purnama
niat menaruh segala ramu
hajat diselak helaian lama
.
Di susun tinggi dalam lemari
antara jilid tiada ruang
ketara lusuh dimamah hari
hasrat mencapai kala terluang
.
Semakin usang tintanya pudar
diselak baca jenuh merenung
mengenang dasawarsa beredar
wajah menunduk lama bermenung
.
Menitis berderai air mata
atma umpama kaca meretak
mengulang baca bayang derita
dituris luka perih disentak
Sunday, 20 September 2026
ZIKIR MUNAJAT
ASSALAMUALAIKUM
ZIKIR MUNAJAT
Bermula Isnin hingga Jumaat
penghulu hari penuh
berkat
berzikir bertasbih
bermunajat
Awal Muharram hingga
Zulkaedah
tiada sudah tawakal reda
mengulit pasrah
menanti musim bunga Ramadan
melimpah-ruah hasil di
jannah
Segalanya terpulang kepada-Nya
takdir-Nya tiada daya
menolaknya.
dengan restu-Mu
dengan rahmat-Mu berkah
selalu
Bertamu ke rumah-Mu
Mekah al-Mukaramah beribadah
haji
Madinatul munawarah
menziarahi makam jejak Nabi
resah usir gundah di
taman Raudah
tangan menadah doa
Subhanallah!
Alhamdulillah! Lailahaillallah!
Allahu Akbar!
Bersujud dalam tawadduk
kusyuk
nawaitu kalbu luhur
abadi bersemi kasih
sejati
dakap cinta-Mu melerai sendu
dini hari
berkeluh-kesah
menyerah nasib menyerah resah
.
PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
17/9/026
HUJAN MALAM
.
Hujan rintik-rintik
basah tanah gersang
mersik lanting gugur
ritma lagu sekata
masih belum seriyat
dingin cengkam malam
selimut membungkus diri
.
Limpah keruh genang rata
lupus ruang lembah
bangkit langkah langgas
angkut capai semampu harung pantas
banjir kilat
Saturday, 19 September 2026
SAHABAT SASTERA
ASSALAMUALAIKUM
SAHABAT SASTERA
.
Lafaz bismillah demi Yang Esa,
mohon diampun segala dosa,
di dalam aman nyaman senosa,
syair dikarang meluah rasa.
.
Kisah sahabat kenalan maya,
jarak usia bukan sebaya,
bersatu minat menulis karya,
meninta ilham upaya daya.
Berkenal mesra sudah takdir-Nya,
graha sastera sambung talinya,
lama bersama faham ragamnya,
berkongsi rasa susah senangnya.
.
Ketawa ria bersulam duka,
jadi penawar merawat luka.
gumpal masalah usaha buka,
manfaat ilmu cuba teroka.
.
Dunia fana akhirat jaga,
saling membantu durjana duga,
bersama-sama siap siaga,
seiring jalan menuju syurga,
.

Berakhir syair irama syahdu,
jauh berpisah menanggung rindu,
pahit terasa bagai hempedu,
gerimis tangis berurai sendu,
Friday, 18 September 2026
SAYEMBARA PUISI HARI MALAYSIA
ASSALAMUALAIKUM

























.jpg)