Wednesday, 3 December 2025

TOK DALANG WAYANG KULIT

 ASSALAMUALAIKUM



TOK DALANG WAYANG KULIT
.
Asyik Tok Dalang bermain wayang
sebalik layar bergerak bayang
kulit dilakar
gayanya pakar
skrip ditulis terbang melayang
.
Terkejut pandang bergelut ngeri
watak lukisan menari-nari
meremang roma
terpana lama
membuka langkah laju berlari
.
Lesu dikejar watak direka
apa berlaku tidak terjangka
Rawana garang
Sri Rama serang
monyet Hanuman mencakar muka
.
Sita Dewi iring Laksamana
bersatu kata bersama cakna
membuka pekung
peram bertakung
sesak nafasnya ke sini sana

Tuesday, 2 December 2025

PENULIS MAYA

 ASSALAMUALAIKUM



PENULIS MAYA
.
Aku jarang menulis panjang tentang rutin harianku di Facebook. Tidak larat hendak membongkok lama menghadap komputer sambil mengetik. Namun aku suka membaca hantaran rakan-rakan yang rajin berkongsi info bermanfaat.
Antaranya hantaran Khairil Johari, yang kerap bercerita tentang kegiatan hariannya sebagai penternak kambing komersial, juga kisah keluarganya bersama haiwan peliharaan kesayangan. Beliau sering menulis tentang landak, tupai, musang, buaya, ayam, tiung dan kenari yang dijaga dengan penuh teliti demi kemaslahatan semuanya. Beliau seorang anak muda mandiri. Pernah menjawat jawatan SN KKM setelah graduasi universiti.
Membaca coretannya, aku terbayang betapa sibuknya dia menguruskan kehidupan seharian. Hampir setiap hari ada saja cerita baharu. Dalam sibuk mengurus ternakan, dia masih sempat berada dalam masyarakat, menonjolkan usahawan tani yang berladang jagung, lembu dan kambing tenusu di kawasan sekitar. Semua itu dikongsikan di ruang Facebooknya sehingga ramai tertarik berkunjung untuk membeli hasil tani tersebut. Secara tidak langsung, beliau membantu mempromosikan dan turut menambah rezeki orang lain anugerah-Nya.
Nampaknya dia benar-benar sibuk. Namun yang pelik, dia masih mampu menulis santai, panjang berjela, setiap hari. Kalau aku… memang tidaklah!
.
penulis maya –
penternak kambing daging
langkahan daya

Monday, 1 December 2025

KARI KAMBING ANAK ABAH

 ASSALAMUALAIKUM

KARI KAMBING ANAK ABAH



Awal-awal pagi tadi, anak perempuan aku datang dapur pakai baju princess

Tangan sebelah pegang sudip, muka penuh semangat macam nak masuk rancangan MasterChef Junior Asia Tenggara.

Dia cakap

“Abah, cah nak tolong masak.”

Jujur aku trauma sikit bila dia cakap nak

“Tolong”.

Sebab pengalaman lepas menunjukkan dia bukan nak masak, dia nak masak-masak.

Dua benda tu sangat berbeza.

Kalau “masak”, dia diam, fokus, serious. Kalau “masak-masak”

haaa, itu yang bahaya.

Sebab dalam proses tu, akan ada plot twist, akan ada benda jatuh, akan ada kuah terbang, dan akan ada sound effect.

Tapi pagi ni dia semangat sangat.

Aku tak sampai hati nak kecewakan. Jadi aku bagi dia satu tugas paling selamat

“ecah kacau je ya, kacau perlahan-lahan.”

Dalam hati aku yakin itu tugas paling senang.

Kacau je kan?

Rupanya aku silap. Sangat silap.

Belum sampai 2 minit Chef Kecil tu pegang sudip, dia dah buat gaya macam orang tarik teh tarik.

Kuah kari tu dia cedok tinggi-tinggi, lepas tu dia LEPASKAN balik dalam kuali.

Plopshhh!

Kuah terpercik macam bunga api Tahun Baru Cina.

Aku tengah pegang pisau, beristighfar perlahan. Dia teruja.

Aku trauma.

Lepas tu dia cedok sikit kuah, pi hantar kat aku

“Abah rasa jap!”

Belum sempat aku tiup, belum sempat aku kata “panas tu sayang”

ZUP!

Dia sodok sudu tu terus ke mulut aku.

Mulut aku terus terbakar macam termakan lava Gunung Berapi.

Menjerit aku dalam hati, Dia tengok aku sambil senyum:

“Sedap kan abah?”

Aku jawab

“Sedap, sedap sangat, sedap sampai abah rasa kening abah cair.”

Dia gelak. Gelak yang buat aku lupa semua penat. Gelak yang buat aku lupa kabinet kena kuah. Gelak yang buat aku lupa sudip dia kacau ikut arah orbit bulan.

Masa tu aku sedar, inilah moment yang aku akan rindu bila dia besar nanti.

Moment dapur serabut. Moment kuah terbang.
Moment sudu masuk mulut tanpa warning.

Moment dia berdiri atas bangku kecil, tangan comel kacau kari kambing untuk

“Tunjuk hebat”.

Siap masak, dia tepuk tangan sambil cakap

“Abah! ecah pandai masak kari kambing!”

Dalam hati aku

“Kari kambing ke kari air mata abah tadi ni?”

Tapi aku tak kata. Aku cuma senyum. Sebab hari ni, bukan pasal kari.

Hari ni pasal kenangan. 


cnp khairil johari (c)