Friday, 29 April 2022

SAYEMBARA PUISI NUZUL QURAN

 ASSALAMUALAIKUM



SAYEMBARA PUISI NUZUL QURAN 8/022 GAKSA E-sastera
SALAM RAMADAN JUMAAT MULIA MENJELANG SYAWAL

Semalam Prof Irwan Abu Bakar selaku admin GAKSA e-Sastera telah mengumumkan pemenang sayembara tersebut; Isbedy Stiawan hadiah pertama RM 100, Paridah Ishak hadiah kedua RM 80, Hamimah Ibrahim hadiah ketiga RM 70.
Tahniah semua pemenang n peserta sayembara tersebut.
Eh...tersangkut juga nama PI tu!
Alhamdulillah rezeki Ramadan Kareem melimpah ke ribaan menjelang Syawal.
Terima kasih banyak Prof Irwan dan para juri sudi pilih sajak kakpidah seadanya itu dengan judul MUKJIZAT KASIH.didoakan prof segera pulih kesihatannya sediakala setelah jalani major pembedahan thyroid berisiko tinggi baru-baru ini dan afiah sejahtera menjalani ibadah puasa dll amalan mahmudah...amiin YRBA...selamat menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta kepada Prof dan semua kerabat GAKSA E-sastera Vaganza ASEAN, SAHABAT PENULIS @Akademi SPTA
SAHABAT PENULIS UniKH
SAHABAT PENULIS @PEMUISI
Semua handai taulan kenalan lama dan baru @BLOGGER dan viewers semua
Mohon ampun maaf zahir batin.

SEMOGA BERBAHAGIA MENYAMBUT AIDILFITRI INDAH...INSYA-ALLAH PI AKAN BERAYA DI KAMPUNG HALAMAN..JOM BALIK KAMPUNG

Thursday, 28 April 2022

PUJANGGA HAIKU

 ASSALAMUALAIKUM

.

ULASAN BUKU
.
PUJANGGA HAIKU
Genre : Haiku
Penulis :
Abdullah Abd Rahman/Tabir Alam
Penerbit : Tabir Alam
Nombor ISBN : 978-967-2994-19-0 ( Sastera puisi)
Bilangan mukasurat : 120
Tahun terbitan: 2022
Harga: 20RM
Pengulas : Paridah Ishak
.
Naskhah PUJANGGA HAIKU memaparkan 224 haiku karya Penulis Abdullah Abd Rahman dengan nama pena Tabir Alam yang telah lama bergiat dalam penulisan haiku. Banyak karya haiku nukilan beliau diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera dan majalah luar negara. Juga banyak puisi haiku karya beliau telah diterbitkan dalam buku persendirian dan pelbagai antologi.
Haiku adalah puisi klasik Jepun telah diperkenalkan di Malaysia oleh Allahyarham Puan Azah Aziz 1980. Diksi yang indah unik ditulis dalam tiga baris saja dengan disiplin suku kata iaitu lima pada baris pertama, tujuh suku kata pada baris kedua dan lima suku kata pada baris ketiga. Nampak begitu mudah menukilnya dalam sekelip mata.
Tapi sebenarnya tidak begitu. Untuk menghasilkan serangkap haiku perlu berfikir lama memilih citra, kata musim/kigo dan maksud tersirat/yoin, tanda kata penggalan/kreji justeru puisi ini terikat dengan disiplin yang ketat.
Serangkap haiku yang sempurna sifatnya akan sampai maksud yang dibawa penulis kepada khalayak peminat puisi haiku. Sekiranya ingin mencuba menulis puisi haiku ini boleh mencontohi karya haiku Penulis ini yang sudah teruji kebolehan beliau menulis puisi yang agak rumit bagi pemula dan tidak arif mengenalinya.
Haiku di bawah ini karya penulis telah disiar majalah “World Haiku Review” kategori Neo Classical Haiku pada 2015
.
freezing winter gust –
weekend hunting in the wood
vaporous white breath
Imej tokoh penulis Singapura, Bunda Anie Din, Khaziah Yem, biduan negara Sharifah Aini dan beberapa lagi tokoh terkenal negara dan luar negara turut menjidi pilihan Penulis gambaran peristiwa sekaligus sebagai penghargaan
Serangkap haiku karya Penulis ini mengungkap kisah dalam bilangan kata yang sedikit. Seolah merakam sesuatu peristiwa sebagai kenangan seperti haiku ini;
sejuk November –
“Walk od Fame” di Hollywood
Sophia Loren
Penulis juga tidak lupa menukil haiku penghargaan kepada haijin penggiat haiku dan sastera AKADEMI SPTA antaranya Salmah Amir, Yahti Hayati, Seti Zaleha, Saniah Masri, Issey Miyaki, Ustazah Ana dalam haiku ini;
.
betik sekaki –
rakan penulis maya
seorang satu
Tahniah kepada Penulis kerana telah bersusah payah mengarang puisi ini dan menerbitkannya untuk dinikmati khalayak umum disamping turut merancakkan kegiatan susastera tanah air. Wajar sekali memiliki naskhah PUJANGGA HAIKU ini sebagai khazanah rujukan puisi. Sekiranya ingin memilikinya hubungilah penulisnya @facebook.
Pic sifu TABIR ALAM (C)
Rina Ch


Wednesday, 27 April 2022

AKHIRNYA....

 ASSALAMUALAIKUM



AKHIRNYA

 

Jalan

ini akan

sampai ke penghujung

menaiki kenderaan

hayat

.

Tinta 

surat janji

cetakan abadi

lalu berpisah sebuah

sua

.

Sukar

duga konflik

bagaimana akhir

cerita walau temanya

sedih

.

Tugu

iman pasrah

segala berlaku

justeru dunia ini

fana


PARIDAH ISHAK

DMS

27/04/022


Tuesday, 26 April 2022

AIR BERIAK TANDA TAK DALAM

 ASSALAMUALAIKUM




PERIBAHASA
.
Memandak kurta demang berpada,
berlain cangkuk kain bangsawan;
kehendak kita memang berbeda,
bagai lain mangkuk lain cawan.
.
Pasir diayak jeda semalam,
anduh disambung hanya separa;
air beriak tanda tak dalam,
bodoh sombong sifatnya ketara.
.
Perhati rimau resam ditelah,
bimbang hadirnya siaplah bedil;
seperti limau masam sebelah
pertimbangannya tidaklah adil.
.
Memijak sigai babu bersenam,
leka melompat melambung geri;
lonjak sebagai labu dibenam,
suka bersifat menyombong diri.

Sunday, 24 April 2022

IBRAH KIRMIZI

 

ASSALAMUALAIKUM






#hari buku sedunia

#UniKH

SELAMAT BERHUJUNG MINGGU

 Alhamdulillah PI terima kiriman naskhah puisi; KIRMIZI dan  IBRAH  hadiah hari raya daripada penerbit SPTA, sifu Tabir Alam. Terharu sungguh menerima hadiah daripada seorang sifu sempena meraikan lebaran bakal menjelang. Terima kasih banyak sifu akan baikbudinya. KIRMIZI merupakan antologi puisi pelbagai genre seperti sajak, pantun, syair, gurindam, soneta, limerik, pancalarik, waka dll. Tiga karya PI yang disiar dalam GRAHA KARYA SPTA @FACEBOOK  mengisi halaman ini ialah talibun PERIBAHASA, terza rima PENGUNDI MUDA, waka TANKA.

Antologi IBRAH cenderahati penghargaan sifu TA kepada penulis AKADEMI SPTA yang tiasa aktif menyerlahkan bakat penulisan dalam pelbagai genre sastera @GRAHA KARYA. 21 genre puisi iaitu, Akrostik, Caturlarik, Eksperimen, Gurindam, Haibun, Ikatan Berima, Limerik, Pancalarik, Pantun, Pantun berkait, Pantun Kanak-kanak, Puisi berima, Puisi Grid, Saduka, Sajak, Soneta, Sonian, Syair, Teka Teki, Terza Rima dan Vilanel karya 22 penulis.

IBRAH maksudnya teladan.

Lima puisi kakpidah turut terpilih antara sekian karya yang lulus piawaian siaran ialah saduka BALIK KAMPUNG, limerik PERTANYAAN, pantun PERIBAHASA, soneta CINTA, teka teki APA JAWABNYA?   

Tahniah sifu TA dan semua penukil terlibat!

Sempena hari buku sedunia jom baca buku terbitan penerbit tempatan waima luar juga.

Saturday, 23 April 2022

FAJAR

 ASSALAMUALAIKUM



FAJAR

 

Sidik

dinihari

awal subuh pagi

mentari menyingsing

serlah hari baru catat

tarikh

.

Sujud

solat israk

doakan urusan

dunia akhirat jadi

mudah

.

Asih

dengan tenang

langkahan menuju

destinasi diberkati

Allah  

.

Daya

jana nyata

gapai cita-cita

hadirnya sebagai mimpi

pagi


PARIDAH ISHAK

DMS

23/04/022


Friday, 22 April 2022

ADIL DALAM MENGHUKUM

 ASSALAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA

PERKONGSIAN ILMU: SURAH AN NISA (WANITA)
Muka surat: 96.
Ayat: 106 – 113.


Ayat 106 – 109: Adil Dalam Menghukum.
Ayat 106: Sambungan daripada kisah, kes kecurian yang dibawa kepada Nabi Muhammad saw. Setelah Allah beritahu perkara sebenar, Nabi Muhammad saw beristighfar kepada Allah. Baginda tidak berdosa, kerana itu hanya lintasan hati. Nabi Muhammad saw telah melakukan ijtihad. Kalau ijtihad baginda salah, Allah membetulkannya. Sebagai pemimpin atau hakim, sekiranya menyedari telah membuat keputusan yang salah, dia hendaklah memohon ampun kepada Allah. Allah suruh minta ampun, dan DIA beritahu sifat-Nya GHAFURON, Yang Maha Pengampun dan ROHIMAN, Yang Maha Pengasih. Maka kita selalulah minta ampun kepada Allah.
Ayat 107: Munafik itu melanggar hukum. Dia telah mencuri kemudian bersumpah tidak mencuri, dan tuduh Yahudi mencuri. Allah melarang kita bersubahat dengan orang yang begini. Munafik itu bukan sahaja mengkhianati orang lain, tetapi juga mengkhianati diri sendiri dan menyebabkan dia akan diazab. Allah tidak suka orang yang selalu khianat dan selalu melakukan dosa. Contoh orang yang selalu menipu, dia rasa tidak bersalah untuk menipu. Kita jangan mempertahankan orang yang menipu.
Ayat 108: Munafik boleh menyembunyikan kejahatannya daripada diketahui oleh orang lain. Tetapi mereka tidak dapat bersembunyi daripada Allah. Keluarga Munafik turut bersumpah Munafik itu tidak mencuri. Mereka menyembunyikan kebenaran dan membuat rancangan untuk menutup kesalahan. Mereka bermesyuarat pada malam hari, merancang hendak menipu Nabi Muhammad saw bahawa Munafik itu tidak mencuri, menuduh Yahudi yang mencuri. Allah tidak redha, pakatan jahat mereka. Mereka tidak lepas daripada Allah. Sesungguhnya Allah MUHITHON, Ilmu Allah Sentiasa Meliputi, mengetahui apa yang mereka kerjakan.
Ayat 109: Kadang-kadang kita buat salah dengan mempertahankan orang yang berbuat salah kerana mereka rapat dengan kita. Perbuatan ini adalah salah! Allah sindir: Di dunia kita dapat bantu mereka yang bersalah, di akhirat di depan Allah, siapa berani nak bantu? Siapa yang boleh bantu mereka daripada hukuman Allah? Pasti tidak ada. Oleh itu, kita tidak perlu bantu orang yang bersalah.
Ayat 110 – 113: Jangan Tuduh Orang Lain.
Ayat 110: Allah suruh orang yang bersalah supaya bertaubat. Sesiapa yang melakukan dosa besar Dan sesiapa yang melakukan dosa kecil, semua akan ditimbang dan menjadi berat di akhirat kelak. Sekiranya dia sedar kesalahannya dan memohon ampun serta bertaubat tidak melakukannya lagi. Pasti Allah akan ampunkan dosa-dosanya. Kerana Allah itu GHOFURRAN, Yang Maha Pengampun dan Allah itu ROHIMAN, Yang Maha Pengasih – suka untuk mengampunkan dosa manusia. Jika berdosa dengan orang lain, kena minta maaf kepada orang itu. Jika ambil barang orang, kena pulangkan. Jika dosa itu berkaitan dengan hukum hudud, maka perlu dijalankan hukuman itu.
Ayat 111: Dosa seseorang akan menjadi musibah kepada orang itu sendiri. Ia tidak melibatkan orang lain. Tidak memikul dosa orang lain. Allah itu ALIMAN, Yang Maha Mengetahui apa yang kita lakukan. Dan Allah itu HAKIMAN, Yang Maha Bijaksana dalam menghukum. Kadang kala Allah memberi tangguh kepada pendosa, tidak terus dihukum kerana beri peluang bertaubat.
Ayat 112: Sesiapa yang melakukan sesuatu kesalahan atau dosa, secara tidak sengaja atau sengaja, kemudian dia menuduh orang lain yang melakukan kesalahan itu. Dia telah melakukan dosa berganda! Di akhirat nanti dia akan pikul kesalahan yang besar. Di sana, dosa yang kita lakukan akan menjelma, diperlihatkan oleh Allah dan ada beratnya. Mereka yang jelas melakukan dosa, tetapi mereka tidak kisah, kerana tidak memikirkan hari akhirat.
Ayat 113: Kalau tidak kerana Allah, tentulah golongan Munafik itu berjaya mennyesatkan Nabi Muhammad saw dengan membuat keputusan menyalahi syariat. Golongan Munafik itu memang mahukan baginda buat keputusan yang salah. Tetapi mereka gagal. Mereka sendiri yang menerima kesan buruk. Hakim boleh buat keputusan berdasarkan bukti dan hujah. Sekirannya keputusan hakim silap, dia tidak berdosa. Yang berdosa mereka yang menipu. Golongan Munafik tidak membawa mudarat kepada Nabi kerana Allah jaga baginda daripada melakukan perbuatan yang salah. Allah telah menurunkan kitab al-Quran dan Hikmah, iaitu kefahaman yang mendalam kepada al-Quran. Allah beri ilham kepada Nabi Muhammad saw bagaimana mengamalkan al-Quran. Banyak perkara baginda tidak tahu, melainkan diturunkan wahyu. Allah mengingatkan baginda banyak nikmat yang telah diberikan kepada baginda. Daripada baginda kita turut mendapat nikmat agama Islam.

Wednesday, 20 April 2022

LAGU RAYA

 ASSALAMUALAIKUM


LAGU RAYA

 


Ritma  syahdu

gebu rindu

kenang kisah

mata basah

.

Seni kata

bagai nota

ambang ingat

ilam rengat

.

Ada kisah

rusuh resah

riang girang

sawan perang

.

.

Merdu lagu

dengar lugu

usik jiwa

senyum lewa

 


Tuesday, 19 April 2022

PEMUISI

 ASSALAMUALAIKUM


PEMUISI DAN PEMUISI

 



PEMUISI adalah sebuah persatuan penyair diterajui Dato Radzuan Ibrahim seorang peguam dan penulis mapan, sasterawan aktif dalam arena sastera tanah air.  Tokoh korporat, Tan Sri Dr. Hamad Kama Piah menaungi persatuan ini. Ramai penulis menganggotai persatuan ini. Antaranya Zaleena Ena selaku editor majalah terbitan PEMUISI, Adhyra  AzZahra, Asmira Suhadis, Yuszailan Yunus, Has Yusuf, Norazimah Abu Bakar dll. Kebanyakannya penulis terkenal dan sekian lama bergiat dalam bidang sastera.

            Bagaimana pula aku yang bukan siapa-siapa boleh berada dalam kalangan penulis elit ini. Tiba-tiba saja heh..heh. Sebenarnya semata ehsan penulis Puan Norazimah @GAPENA yang turut menyenaraikan namaku antara penerima zakat asnaf Ramadan 2018 dan 2019. Alhamdulillah rezekiku di situ. Terima kasih banyak Puan Norazimah dan PEMUISI atas budi kesudian berzakat asnaf pemuisi kepadaku dan sahabat pemuisi berkenaan.

            Sejak C19 merajalela mulai 2020 di sini, tiada lagi majlis penyampaian zakat asnaf PEMUISI kepada pemuisi sempena Ramadan. Kalau tidak di dalam majlis inilah aku berpeluang bertemu penulis ternama yang tidak pernah kutemui dan kenali sebelum ini. Sayangnya bertemu berpisah pula. Masa menyurat suratan-Nya. Asmira Suhadis penulis lakon layar TV dan filem terkenal kembali kepada-Nya. Langkahnya dituruti penulis mapan Has Yusof. Dan beberapa hari lalu Yuszailan Yunus seorang pemuzik juga penulis hebat ke alam abadi akibat  serangan C19. Innalillahiwainna ilaihirojiun. Al-fatehah. Amat dukacita kehilangan sahabat pemuisi walau bersua seketika menyapa pandang.

            Kalongan doa dikarang semoga semua sahabat yang melangkah dahulu ke sana berada di sisi-Nya nyaman sejahtera berbahagia amiin YRBA


Sunday, 17 April 2022

KASIH SEPANTUN TULISAN PINGGAN

 ASSALAMUALAIKUM




PERIBAHASA
.
Asih seruntun pesan juragan,
bekal ke huma gulaikan talang;
kasih sepantun tulisan pinggan,
kekal selama tidak kan hilang.
.
Guni berangan terlupa dua,
disidai hendak angkutkan getah;
berani dengan siapa jua,
bagai tidak takut akan antah.
.
Bedak merata gemang meranda,
pelbagai kain cangkuk merawan;
kehendak kita memang berbeda,
bagai lain mangkuk lain cawan.
.
Sida di hutan mengolah santap,
masakkan labu sepantas sanggul;
ada jawatan tidaklah tetap
bagaikan abu di atas tunggul
.
Lonjakan naik lompat dahulu,
terpijak jarum ngilu menyengit;
harapkan baik mendapat malu,
bak hendak harum terlalu hangit.


PIC GOOGLE IMAGES(C)

Saturday, 16 April 2022

BAJU RAYA COP SIRIM

ASSALAMUALAIKUM

Selamat berhujung minggu beribadah puasa dll amalan baik rutin kehidupan selagi bernafas insya-Allah.



kuih tat nenas

susunan mangkuk kertas -

ketuhar lama

 

Hari Lebaran –

tiket pesawat terbang

nawaitu jauh

 

butik pakaian –

baju raya cop ‘SIRIM’

santun famili

 

keladi gajah -

lanskap teduhan laman

carian baru


Thursday, 14 April 2022

PERIBAHASA

 ASSALAMUALAIKUM



PERIBAHASA
.
Diksi
kosa kata
tersusun mengukir
umpama jaring bidalan
maksud
.
Gabung
dalam satu
pepatah simpulan
bahasa Melayu sirat
kias
.
Renung
fikir lama
andai tidak fasih
terjemah jelas kehendak
sinis
.
Bagai
pujangga yang
berpuisi indah
menutur misal tarbiah
murni


PARIDAH ISHAK
DMS
1404022

Wednesday, 13 April 2022

BERGERISEK ADA TAPI TIADA

 ASSALAMUALAIKUM



PERIBAHASA
.
Sejambak bayam, mumbang setalam,
kerisik nenda beri adinda,
lelah merata jeda di panti;
bak ayam hitam terbang malam;
bergerisek ada tapi tiada,
salah ternyata tiada bukti
.
Hilir ke Tenom lama berhari,
mencari akan desa manikam,
manetap cuba redih bidara;
air diminum terasa duri
nasi dimakan terasa sekam
meratap hiba sedih melara.
.
Dia di titi cemas bersunyi,
pualam paut rapat siaga,
kelam bererti diterpa mahu;
rahsia hati kemas sembunyi,
bak dalam laut dapat diduga,
dalam hati siapa tahu.


PARIDAH ISHAK
DMS
1304022

Tuesday, 12 April 2022

LUMRAH HIDUP

 ASSALAMUALAIKUM





LUMRAH HIDUP

 

Nikmat suka

lupa duka

manis masam

sudah resam

.

Senang lenang

jiwa tenang

usah risau

bagai sasau

.

Pening lalat

bawa solat

pasrah reda

senyum senda

.

Fikir mudah

urna indah

kusut-musut

lerai susut



PARIDAH ISHAK

DMS

1104022