Tuesday, 13 November 2012

BUNGA-BUNGA SEPI.MELINGKARI HATI...


Hatinya menyendiri lagi
sepi melingkari hati
jiwanya masih sudi berkongsi fikiran
hatinya masih sudi berkongsi rindu
rindunya masih sudi berkongsi resah
puas disoalnya hati dan perasaan
penuh gambaran kenangan-kenangan silam
apakah kesudahan sang nasib diri
kalau boleh tidak mahu lagi
menjadi mangsa janji-janji manis
bagai habis madu sepah di buang
bunga-bunga sepinya
cuba merongkai untuk bangun sendiri
gelaran demi gelaran diterimanya
sangat menyakitkan hati
mujurlah perasaannya masih terkawal
sabar memagari marahnya
dia berfikir dan berdoa
akhirnya dia pasrah dengan takdir.
Muhd Adnan Bahari
Selayang Baru
8 November 2012

Monday, 12 November 2012

SELIRATAN CINTA BAB 21....


Anita dan Sarina baru saja selesai mengadapi juadah hidangan makan malam yang disediakan Anita. Anita suka memasak dan memang hobinya memasak seperti kebanyakan anak gadis yang lain.
Tetapi Sarina tidak begitu. Dia hanya tahu memasak mi segera dan menggoreng telor sahaja. Sekiranya hendak menyediakan resepi yang rumit dibiarkan saja Anita seorang yang menyingsing lengan melakukannya. Dia hanya tahu duduk bersila dan menyuapnya ke mulut apabila segalanya sudah siap terhidang di hadapannya..
Sudah kenyang menjamu selera Sarina berlunjur kaki di hadapan TV. Di tangannya tergenggam alat kawalan TV yang mengandungi berbagai saluran pilihan.
Banyak program drama yang disiarkan beberapa rangkaian TV dijayakan teman-teman dramatis yang dikenalinya tapi dia tidak berminat menontonnya kerana tidak ada dirinya berperanan di situ. Jika ada wajahnya terpampang di skrin TV barulah seronok dia hendak menontonnya.
 Ralit  pula dia menikmati siri National Geographic yang memaparkan aktiviti skuba di sebuah pulau yang indah. Dia berharap sangat pulau yang akan dikunjunginya kerana sesi shooting drama terbaru itu secantik pulau yang sedang ditontonnya dan ada aktiviti menyelam ke dasarnya bermain dengan ikan-ikan di celah terumbu karang. Alangkah seronoknya dapat mencuba pengalaman baru yang tidak pernah dirasai selama hidupnya.
Anita sedang mencuci pinggan mangkuk yang telah digunakan tadi. Selesai mencuci, mengelap dan menyusunnya di atas rak pinggan, dia meninggalkan ruang dapur sempit itu menuju ke biliknya.
Dia melihat Sarina menjawab telefon yang baru saja berdengut beberapa saat tika melintas ruang tengah tempat Sarina sedang bersantai..
“Hei…Datuk Shaari. Apa khabar? (Terhenti)  Saya sedang relek menonton TV. Tak buat apa-apa pun. (Terhenti). Esok call time shooting pukul 8 pagi. (Terhenti) Nanti sekejap Datuk ya, saya perlahankan suara TV.”
Anita menghampiri Sarina dan menunjuk isyarat bahawa dia sedang tidur. Dia dapat mengagak Datuk Shaari bertanya tentang dirinya dan ingin bercakap dengannya. Sarina memandang teman dengan wajahnya yang penuh gaya itu. Mouthpiece handphone ditutupnya. Dia ingin memberi tumpuan kepada apa yang akan dituturkan Anita kepadanya.
“Kalau dia tanya aku kau. katakan aku dah tidur. Kalau tidak kau kena penumbuk aku ni.” Anita memberi amaran keras kepada teman yang hanya tersengih kepadanya, melihat genggaman buku limanya yang kecil itu.
‘Hai Nita, Nita ada hati nak tumbuk aku! Setakat buku lima kau yang kecil tu aku tak hairan langsung beb…’ dia kembali leka melayani bualan tetamunya yang menjengah suaranya di hujung talian.
 Anita berlalu menuju biliknya. Telinganya dilekapkan ke dinding untuk mendengar perbualan Sarina dengan Datuk Shaari seterusnya.
“Anita? Dia dah  tidurlah Datuk. Hai Datuk tanyakan dia seorang saja ke? Saya ni kan ada.” Anita tidak lagi mahu mendengar ocehan Sarina bersama Datuk itu yang disertai dengan kekehan yang mengelikik dan manja sesekali kedengarannyanya. Sangat memualkannya sehingga membuatnya mencebik bibir.
“Hai…Sarina…Sarina…orang tua yang sebaya dengan ayah kau pun teringin kau layan.” Getusnya perlahan.
Anita merebahkan dirinya di atas katil. Komputer di mindanya merangka-rangka sesuatu keputusan yang akan diambilnya.
 “Ini drama aku yang terakhir. Lepas ni aku akan cari kerja lain. Lantaklah kalau kerja kilang sekalipun.” Jika tiada sebarang gangguan dari orang-orang yang berwatak seperti Datuk Shaari di dalam kehidupannya, dia pasti amat selesa sebagai seorang dramatis.
Tetapi gangguan yang menggoda dan menggugah keteguhan iman itu menyusutkan keghairahannya bergelar artis. Dia ingin lari jauh dari keserabutan yang merusuh mindanya itu. yang didambakan dalam hidupnya kini hanya rezeki halal yang diperolehi dan memberikannya ketenangan jiwa.
Anita ingin menjadi seorang anak yang baik dan sentiasa patuh dengan pesanan ibunya. Kata ibunya pandai-pandailah menjaga diri jikalau bertekad hendak menjadi seorang artis kerana kehidupannya bukan seperti laut yang tenang tidak bergelombang. Tetapi badai yang menderu tidak disangka-sangka akan menghanyutkan diri sesaorang itu jauh dari daratan dan sasaran yang diharapkan.
Jadilah seorang anak yang berakhlak dan beriman. Tidak tercemar noda yang mengaibkan. Hidup muda ini tidaklah terlalu panjang,  Singkat amat untuk dipertahankan. Jikalau titik noda terpalit ketika usia muda, penyesalan sepanjang hayat langsung tidak berguna. Kerana titik noda yang mengaibkan itu akan kekal selamanya.
 Pesanan ibunya laksana hamburan mutiara-mutiara putih jernih yang terlepas dari kalungan. Sangat berharga dan perlu dikutip dan disisip kemas di lipatan sanubari.
Anita sangat merindukan ibunya yang tinggal di sebuah rumah bertiang tinggi terletak di tengah bendang di sebuah negeri di utara. Sekarang ini ibu sedang buat apa agaknya? Mungkin sedang terbaring keletihan kerana siangnya menabur baja pada anak-anak padi. Atau merumput di dalam petak.
Jikalau mengharapkan pulangan hasil yang lumayan tentulah perlu melakukan semua kerja-kerja itu dengan rajin. Dia kasihankan ibunya kepenatan kerana telah sekian lama melakukan rutin itu dan dia tidak dapat lagi hendak meringankan beban kedua-dua ibu bapanya kerana tidak punya penghasilan yang tetap.
Bapanya pula tentu sedang menyiapkan pukat yang hendak diturunkan ke tengah laut pada awal pagi esoknya untuk menangkap ikan, udang, ketam atau sotong. Kedua-dua ibu-bapanya saling bertolong bantu mencari rezeki mengikut keupayaan masing-masing demi menyara dan mencukupkan keperluan empat orang lagi adik-adik Anita yang masih bersekolah.
Sungguh berat bebanan kedua-dua ibu-bapanya itu dan dia tidak mahu lagi menyusahkan hati ibu-bapanya dengan perbuatan yang akan memalukan kedua-duanya.
Dia tertidur sambil membayangkan wajah ibunya dan bapanya yang tersenyum kepadanya.
                                    

Tuesday, 6 November 2012

ORKID-ORKID YANG DITINGGALKAN...

SUDAH HAMPIR DUA MINGGU MENUMPANG TINGGAL DI RUMAH ANAK/MENANTU DI PINGGIR BANDARAYA KL DENGAN HARAPAN KESIHATAN YANG MEROSOT KEMBALI PULIH SEDIKIT. ADA JUGA PERUBAHANNYA INSYAALLAH....

DAN HATI PUN MULA TERKENANGKAN ORKID-ORKID YANG BERGANTUNGAN DI SERAMBI RUMAH...APALAH KABARNYA. TIKA DITINGGALKAN BANYAK YANG SEDANG BERKUDUP...

JIRAN BAIKKU KAK IDAH TELAH BERJANJI HENDAK MENOLONG MENYIRAMKANNYA.
KASIHAN ORKID-ORKIDKU PABILA TUANNYA SAKIT ORKID-ORKIDNYA PUN TURUT SAKIT...

Sunday, 4 November 2012

HARTA YANG HILANG....

HARTAKU TERLALU SEDIKIT BERBANDING MEREKA YANG MEWAH KAYARAYA. TAPI AKU SANGAT-SANGAT MEMERLUKAN HARTAKU YANG SEDIKIT ITU UNTUK MENERUSKAN KELANGSUNGAN HIDUPKU SEKIRANYA ALLAH MENGATAKAN TAKDIRNYA BEGITU UNTUKKU.

HARTA YANGKU MAKSUDKAN ITU HANYALAH SISA-SISA TENAGA YANG DIKEMBALIKAN KEPADAKU SETELAH TIGA TAHUN TERLANTAR AKIBAT KEMALANGAN JALAN RAYA.

SEKIAN LAMA AKU MENGURUSKAN HIDUPKU MEMBESARKAN ANAK-ANAK DENGAN TENAGAKU YANG SEDIKIT ITU KINIKU RASA ALLAH SEDANG MEMPERLIHATKAN TANDA-TANDA BAHAWA APA YANG DIPINJAMKAN KEPADAKU AKAN DIAMBIL KESELURUHANNYA.

HANYA BERSEDIA PASRAH DAN REDHA. INNALILLAH,,,DARIPADA ALLAH KITA DATANG  KEPADA-NYA KITA KEMBALI....

DAPAT BERINTERAKSI DI LAMAN MAYA BERSAMA TEMAN-TEMAN YANG SUDI MEMBACA SETIAP CATATANKU SANGAT MENGGEMBIRAKANKU, MOHON MAAF SETIAP SEGALA KEKURANGAN YANG TERSENGAJA ATAU TIDAK.

TERIMAKASIH BANYAK KAWAN-KAWAN FB/BLOG YANG MENDOAKAN KESEMBUHANKU...INSYAALLAH DOA-DOA YANG TULUS SUCI AKAN BERKAH MENEMBUSI HIJABNYA...AMIN!