Tuesday 26 May 2020

ARIFF BALIK KAMPUNG

ASSALAMUALAIKUM

ARIFF BALIK KAMPUNG




Sepasang burung kulihat bertenggek di pohon manggis berdekatan rumah Atuk. Bentuknya agak besar. Dan matanya yang bulat itu seolah merenungku. Seram pulak aku rasa.
“Burung apa tu Tuk?” Atuk yang hendak melangkah menuruni tangga terhenti, lalu duduk di sisiku.
“Mana?”
“Itu! Di atas dahan pokok manggis. Ada dua ekor di situ!”
“Mata Atuk ni dah kabur tak nampak jelas. Cuba Ariff tunjuk kat mana.”
Aku segera menunjukkan arah yang aku maksudkan kepada Atuk. Atuk tersenyum memandangku. Hairan aku dengan gelagat Atuk.
“Kamu ni antara pokok manggis dan rambai pun tak dapat nak bezakan.”
“Pokok manggis di sebelah pokok rambai.”
“Iakah? Tapi Atuk mesti tahu, burung tu burung apa?” aku masih tetap mahukan penjelasan Atuk walau merasa malu dengan kesilapanku menamakan pokok. Memang terlalu banyak pokok buah-buahan di sekeliling rumah Atuk dan aku tidak dapat mengingati namanya satu persatu.
“Oh itu burung jampuk! Burung jampuk memang suka tidur di celah dahan pokok rambai pada waktu siang. Selalu Atuk nampak jampuk tidur di situ.” Aku mengangguk mendengar penerangan Atuk.
“Tapi matanya bulat merenung kita.”
“Agaknya burung jampuk tu dah bangun tidur dan memandang mangsa yang hendak dijadikan makanannya,” ujar Atuk.
“Mungkin burung jampuk tu hendak menangkap kita kut. Takut juga!”
“Isyh kamu ni ke situ pula yang difikirkan.” Atuk ketawa. Mungkin Atuk merasa lucu mendengar apa kukatakan.
“Burung jampuk tu yang jadi makanannya adalah tikus. Bukannya orang macam kita.” Lega hatiku kala Atuk berkata begitu.
Tiba-tiba aku melihat seekor burung pula hinggap di pohon manggis. Kali ini aku pasti pohon itu ialah pohon manggis kerana Atuk telah memberitahuku sebentar tadi.
“Itu burung apa pula? Cantik dan besar paruhnya.”
“Itu burung enggang! Yang berbunyi riuh itu burung murai, yang di bawah pokok kelapa tu burung mala kebau.”
“Macam duduk dalam zoo pula ya Atuk. Pelbagai jenis burung ada di sini. Burung-burung bebas terbang ke sana sini. Tapi tidak terkurung macam dalam zoo.”
“Ialah tu. Kawasan rumah Atuk ini di kampung dan banyak tumbuh pohon-pohon yang rimbun. Menjadi tempat tinggal burung-burung dan pelbagai jenis binatang yang dipelihara atau hidup liar. Bukannya seperti tempat kediaman Ariff di bandar sana.” Benarlah kata Atuk itu. Aku dapat merasakan perbezaan suasana di kampung dan bandar semenjak aku tiba di sini untuk menghabiskan cuti persekolahanku. Pada mulanya aku berat hati hendak balik ke kampung Atuk kerana aku leka bermain game sama ada di komputer atau gajet di rumahku. Dan aku yakin di sini sunyi. Dan aku tidak mahu hadapi suasana asing begitu.
Ibu memujukku agar aku cuba belajar mengenali alam semula jadi pula. Pengetahuannya berguna juga dalam pelajaran sains di sekolah. Tidaklah aku terkial-kial hendak menjawab soalan cikgu tentang pelbagai hidupan dan tumbuhan yang terdapat di sini. Akhirnya aku bersetuju balik ke kampung dan tinggal bersama Atuk dan Nenek. Dan aku terpaksa lebih lama tinggal dengan Atuk dan Nenek kerana kerajaan isytiharkan PKP bersambung PKPB sebagai langkah mengekang penularan virus corona. Sekolah pun telah ditutup.
“ Atuk ni asyik melayan kau bersembang terlupa pula apa Atuk nak buat.” Atuk cuba mengingatinya.
“Oh Nenek suruh Atuk ambil daun kunyit dan serai kat belakang rumah! Nak suruh kau pergi ambil, nanti lain pula yang kau ambil.”
Aku tersengih saja. Memang aku tidak kenal rupa daun kunyit dan pokok serai bagaimana. Aku perlu belajar mengenalinya.
“Biar saya ikut Atuk mengambil serai dan daun kunyit di belakang rumah. Nanti kalau Nenek minta saya ambilkan serai dan daun kunyit saya sudah tahu” aku segera mengekori Atuk yang melangkah dengan agak cepat. Aku melihat dua ekor burung bersama anak-anaknya memagut sesuatu di atas rumput.
Aku teruja memandangnya. Kalau dapat kutangkap dapatlah aku bermain-main dengannya. Kelihatannya burung-burung itu amat jinak. Tentu mudah saja aku menangkapnya. Aku dekati burung-burung itu perlahan-lahan. Sebaik aku menghulurkan tangan untuk menangkapnya, burung-burung itu dan anak-anaknya melarikan diri pula.
Pantas aku cuba mengejar. Tapi kaki aku tersadung akar pokok. Lantas aku tersungkur. Lututku luka sedikit. Aku mulai merasa kesakitannya. Aku menangis.
“Atuk!” jeritku.
“Eh kenapa kau terduduk di sini? Menangis pula! Apa yang dah jadi? Atuk ingat kau dah balik ke rumah. sebab Atuk tak nampak kau dekat Atuk tadi. Sudah jangan menangis. Orang lelaki mana boleh menangis. Luka skit saja tu. Lepas disapu ubat sembuhlah tu.”
“Sakitlah Atuk!”
“Kau buat apa sampai terluka lutut kau?”
“Saya cuba nak tangkap burung tu,” tiba-tiba burung yang hendak kutangkap tadi kelihatan berada di tepi semak.
“Oh kau nak tangkap burung wak wak ke! Memanglah tak akan kamu dapat menangkapnya. Sudahnya kamu yang terjatuh dan luka lutut kamu.”
“Nampaknya macam jinak saja!”
“Nampak saja macam jinak. Tapi burung ni memang liar.” Atuk mengambil beberapa helai daun yang tumbuh di dalam semak. Daun itu Atuk ramas hingga lumat. Kemudian atuk meletakkannya di lututku yang terluka. Darah merah yang mengalir sudah berhenti.
“ Daun apa ni Atuk?”
“Ini daun kapal terbang. Ubat untuk sembuhkan luka kecil. Tak lama lagi sembuhlah luka kamu tu. Mujarab mengubat luka.”
Atuk menolong aku untuk bangun.
“Kamu masih kuat untuk berjalan kan? Kalau kamu tak kuat biar Atuk dokong kamu macam kamu kecik dulu.”
Aku tertawa sedikit mendengar kata-kata Atuk.
“Jom kita naik ke rumah. Nenek kamu tentu sedang tertunggu-tunggu serai, daun kunyit yang dipesannya untuk dimasak rendang ayam. Esok kan kita nak sambut raya. Kalau kamu nak burung wak wak, nanti Atuk tangkap dengan jaring.”
Keesokan pagi Atuk mengajak aku ke bawah rumah melihat burung wak wak yang telah Atuk tangkap. Teruja aku melihatnya. Ada enam ekor semuanya. Aku memegang seekor burung wak wak dengan kejap agar tidak terlepas.
“Atuk nak sembelih untuk dibuat lauk kita!”
“Janganlah sembelih Atuk! Kasihan kat burung burung tu. Mungkin mereka ada anak-anak kecil seperti saya lihat semalam. Saya hanya hendak bermain-main sekejap. Kemudian Atuk .lepaskanlah semula.”
“Suka hati kamulah Ariff” sahut Atuk sambil mengusap-ngusap kepalaku
TAMAT

8 comments:

  1. Begitulah nikmatnya bila berada dilampung kan kak PI..Allahu.Rindu kampung.

    ReplyDelete
  2. Nostalgia..daun kapalterbang..best duduk di kpg..

    ReplyDelete
    Replies
    1. TKSH NOHAS..KALAU LUKA SIKIT CPT JE CARI DAUN NI KAN

      Delete
  3. Nikmat berhari raya pasti lagi dirasai di kampung. Tahun ini pasti kita ramai yg merindui utk balik kampung.

    ReplyDelete
    Replies
    1. TKSH DIK KK KAMPUNG LAMAN DLM KENANGAN LEBH LAGI KALA NK BERAYA RINDU SUASANANYA

      Delete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist